15 Jun 2009

Tunanetra

Oleh: Muhammad Ali Atan
Babak-babak yang berlalu begitu tangkas membelit akal fikir. Dia tidak mendengar pun Mak Uda kata hendak makan sebaik tiba di Hentian Rehat itu. Yang tersentuh dek gegendang telinga ialah ‘Mak Uda mahu ketandas’. Kata-kata Mak Uda itupun hanya dapat didengarpastikan setelah tiga kali dia bertanya. Kebisingan enjin motorsikal berkuasa tinggi dicampur keletihan diri menggangu pendengaran. Pangkal kata Mak Uda hilang entah kemana. Tengah katanya(samar-samar pada pendegaran) nak ketandas. Hujung katanya ‘Tak larat nak cakap banyak-banyak kali haih!’ Yang terakhir itulah yang paling jelas didengarinya. Rasa malu menerpa diri apabila ada orang memerhatikan.
Tren berhenti di KL Sentral. Cepat-cepat Imran keluar daripada tren.Entah bagaimana reaksi Mak Uda apabila permintaannya ditolak. Bukan dia tidak mahu pergi. Tenaga dan masanya pasti terkuras. Sedangkan tenaga dan masa perlu ditumpukan terhadap tugasan yang masih belum selesai lagi. Lusa tarikh akhir serah. Profesor itu bukannya boleh dibuat berkira barang sedikit pun. Semuanya hendak cepat saja.
“Banyak ni cukup?” Dua keping not RM 50.00 terhulur dari tangan kecil yang kental pejal . Imran menggaru-garu kepalanya.
“Im nak pinjam dua tiga puluh saja…”
“Ambillah. Tumpang rezeki ada. Malu-malu pulak!”
Mak Uda mara lantas digagaunya tangan Imran mencari telapak tangannya.
“Ambiklah. Tak payah pinjam-pinjam,”
“Terima kasih Mak Uda,”
“Em, jangan boros pulak,”
Mak uda memang tidak pernah berkira. Cakaplah perlukan duit, bila-bila masa Mak Uda boleh hulur. Kadangkala rasa semacam bersalah pula menerima pemberian Mak Uda. Tetapi dalam banyak keadaan Mak Uda yang bertanyakannya soal itu. Mak Uda yang hendak beri. Nanti, jika menolaknya Mak Uda berasa hati pula. Memang Mak Uda mudah berasa hati pun.
“Mak Uda nak ajak pi mana ?”
“Tu. Ada jamuan kat MAB tengahari esok,”
“Tengahari esok…em…esok…”
“Awat, pasaipa?”
“Rasanya Im tak boleh pergilah esok. Ada temujanji dengan kawan pasal tugasan dalam kumpulan. Mak Uda pi la dengan kawan-kawan esok ya,”
“La budak ni…”
Serta merta muka Mak Uda jadi merah. Kerjanya yang melipat kain segera terhenti. Matanya tidak berkedip memandang Imran. Imran memandang kearah dinding rumah yang kusam tidak bercat tahun-menahun itu. Pandangan mata Mak Uda sentiasa tepat dan tajam kewajah walaupun Mak Uda tidak nampak.
“Orang ajak hang bukan apa. Boleh hang tolong bawak mak Uda pi sana,”
“…”Imran menarik nafas panjang-panjang. Ditekan kepalanya untuk menuturkan kata-kata yang terbaik untuk Mak Uda. Tetapi kala itu pula fikirannya menjadi buntu.
“Hang tak mau tolong sudahlah.”
Mak Uda cepat-cepat melipat kain baju. Diikuti mengomel-ngomel entah apa. Sehabis melipatnya, Mak Uda bingkas dengan mengendong kain bajunya melangkah kebilik tanpa mempedulikan Imran yang diserbu rasa serba salah.
“Mak Uda…”
Tum!. Pintu bilik ditutup rapat. Imran termangu sendiri. Aduh!Hal ini sudahpun dijangkakan. Sememangnya Mak Uda mudah berasa hati dan merajuk. Dahulu pun kerana sebab-sebab yang kecil pun Mak Uda mudah merajuk. Rajuknya pula kadangkala nampak seperti tidak lojik. Kadangkala kesalahan yang nampak kecil bagi dirinya begitu besar jadinya bagi Mak Uda.
Nampaknya babak-babak yang berlalu sebelum ini belum cukup untuk mengajar diri untuk menjadi lebih empati menghadapi golongan tunanetra.
“Hang bangun sembahyang subuh tak tadi?”Tanya Mak Uda sewaktu Imran melangkah hendak menuju kebilik air. Ah!sungguh peka perasaan Mak Uda., walaupun aku berusaha menyimpan bunyi derapan kaki sewaktu melalui belakang Mak Uda.
“Er...sembahyang...”
“Tak bunyi air pun?” Mak Uda memerangkap samar. Mata Imran terkelip-kelip memikirkan betapa bodohnya dia hendak membohongi Mak Uda.
Imran merengus kecil. Benar, dia tidak bangun solat Subuh tadi. Tidurnya bersenar sungguh.
“Pi la mandi dulu. lepas tu amik wuduk Qada sembahyang. Habis tu baru makan,”kata Mak Uda tanpa beralih memandang kearah Imran. Imran menurut dan meneruskan langkah kebilik air. Tapi niatnya terhenti. Hatinya ditarik-tarik untuk melihat Mak Uda masak. Bagimana kah Mak Uda hendak masak agaknya?
Mak Uda meletakkan kuali diatas dapur. Kedudukan kuali itu dibetul-betulkan agar seimbang. Dia bukan tidak mahu menolong tapi Mak Uda mahu melakukan kerjanya sendiri. Memasak atau menggoreng memang sudah biasa dilakukan sejak tiga tahun Mak Uda duduk di Bricfields. Mak Uda menceritakan setiap pagi Jumaat biasanya Mak Uda akan masak sendiri. Cuma Imran tidak berpelung merasakan sendiri masakan Mak Uda.
Tong!Teng!Tong!Teng! Bunyi senduk berlaga dnegan kuali. Tangan kiri Mak Uda membubuh Minyak masak yang telah disukat dalam mangkuk plastik kecil. Mak Uda menunggu disisi kuali setelah minyak dimasukkan. Agaknya, menunggu minyak panas. Mulut Mak Uda terkumat-kamit. Agaknya Mak Uda melakukan kiraan minyak akan panas. Sambil itu mata Imran terkalih kearah meja kayu empat segi yang merapat ke dinding dapur rumah. Bawang, tomato, garam, bebola ikan, sayur sawi yang telah dipotong-potong siap sedia untuk dimasukkan kedalam kuali.
Crih!!!!!! Sebaik Amk Uda memasukkan bawang putih dan bawang merah yang telah ditumbuk. Wangi semerbak. Selepas itu Mak Uda mengacau kuali. Gerakan Mak Uda terkawal dan kagumnya bagimana Mak Uda dapat mengawal sudipnya itu seperti orang yang punyai penglihatan. Sesekali Imran kegayatan juga melihat gerak kerja Mak Uda...
“Imran!”panggil Mak Uda tiba-tiba. Mata dan kepalanya mengarah kebilik air yang hanya sebelah dengan ruang dapur. Cepat-cepat Imran masuk kebilik air lalu menyahut panggilan Mak Uda.
“Awatnya!”
“Hang buat apa, tak dengar bunyi air pun?”
Aduh!Pekanya Mak Uda Air dalam kolah segera dikocakkananya lalu ditimba air kelantai seolah sedang mandi. Kuali bertong teng tong teng semula menandakan Mak Uda kembali menumpukan kerjanya. Air paip dibuka lalu tumpah kedalam kolah. Imran melangkah keluar dari bilik air dengan waspada. Keinginan mahu melihat Mak Uda masak berombak-ombak.
Membran hidung terasa merenyut-renyut. Wap cili boh mengapung dimana-mana. Imran sesekali menahan nafas agar tidak terbersin.
Semua bahan tumis sudah berada dalam kuali. Hanya menunggu masa mee kuning untuk dimasukkan. Tangan kanan Mak Uda memegang bakul berisi mee kuning itu. Wah! Banyaknya mee kuning!Tidak berpatutan dengan jumlah isi rumah yang hanya lima orang termasuk dirinya. Mengapa begitu banyak?
“ Banyaknya Mak Uda mee kuning Mak Uda bubuh,”
“Ha?Banyak.”Mak Uda tidak jadi memasukkan mee dalam kuali. Sudip yang dipegang pada tangan kiri ditolak-tolak kedalam bakul. Imran mendekat arah Mak Uda dan matanya tersambar pada tumisan yang merah menyala itu.Banyaknya sambal.
“Tak banyak aih,”kata Mak Uda setelah beberapa ketika. “Kalau tak habis boleh simpan dalam peti ais. Malam boleh makan lagi,”
Imran mengaru kepala. Sambal yang sebanyak itu (cili boh) cukup untuk makan sepuluh orang, congaknya. Tapi entah mengapa hatinya mendesak jangan mengomen apa-apa.
“Eh, mai ni Im tolong,”
“Tak payahlah, er, hang habis mandi dak lagi?”
Soalan itu menyedarkan dirinya. Aduh!Suatu kesilapan diluar kawalan diri! Pecahlah tembelang. Mak Uda mengomel panjang itu ini. Hang mandi lama lah. Buang masa lah. Sat gi orang lain nak masuklah. Dan macam-macam lagi.
“Hang nak balik bila?”
“Macam halau nampak,”
“Tak la. Orang tanya...”
“Pak Su dapat kerja dah ka?”
“...,”
Pak Su bingkas lalu melakukan senaman kecil. Abang Giman masih berada dalam bilik air. Mak Uda pula melaung dari tengah dapur.“Pak su bangun tak lagi, ajak dia makan mee dah siap,”
Pak Su membisikkan sesuatu ketelinga. Pak Su hendak keluar cari kerja. Jangan bagitau Mak Uda. Selepas itu Pak Su menggalas beg dan memakai stoking lalu keluar dari rumah. Langkahnya menyimpan bunyi.
“Pak Su tak bangun lagi ka?”
“Tak,”
“La, hang tak gerak dia ka,”
Banyak pula soalan dari Mak Uda. Itu ini. Belum seurat mee pun sempat disuap kemulut.
“Tadi Pak Su dah keluar.Dia kata dah lambat...dan rimas sebab Mak Uda dah bising –bising pagi-pagi ni,”
Entah bagaimana terluncur kata-kata itu. Terasa bersalah juga. Pak Su tidak cakap seperti itu pun. Tapi memang sejak akhir-akhir ini Mak Uda memang banyak cakap. Itulah. Inilah. Mungkin sebab itulah Pak Usu merajuk, tidak mahu cakap dengan Mak Uda. Tapi Mak Uda susah nak sedar. Kata-kata Mak Uda kadangkala sangat tajam menyabit sukma.
“Pak Su hang memang macam tu. Orang kesian kat dia. Elok-elok kerja, berhenti.”Imran hanya mendengar tanpa menyampuk.
“Lepas itu bila orang nasihat dia merajuk, ei tak taulah nak buat macam mana,” Selepas itu Mak Uda terus diam. Imran senyum sendiri. Baru selesa hendak makan. Namun sebaik sahaja mee mencecah ke lidah dan dikunyah perlahan, automatik mulutnya menolak. Fuh betapa pedasnya! Gelas berisi air Milo yang disediakan Mak Uda. Pantas dicapai lalu diteguknya. Aduh!Air ini...panasnya! Melecur lidah aku.
“Macam mana, sedap tak?”
“Oi sedap. Memang sedap. Macam masakan tok dikampung ,” Mak Uda segera tersenyum menjawab “Biasalah,” Kembang-kempis hidung Mak Uda. Imran segera mencapai botol air biasa lalu dituangnya kedalam cawan palstik. Berwaspada dilakukan itu semua agar Mak Uda tidak menyedarinya.
Mak Uda mencedok mee untuk dimasukkan kedalam mangkuknya. Tapi sudip itu terbalik. Sepatutnya pada bahagian sudip yang melengkung itu keatas tapi ia kebawah. Bila Mak Uda mencedok mee tidak melekat. Yang dituang ke dalam mangkuk hanya angin semata.
Imran geli hati. Tetapi ditahan-tahan ketawa daripada meletus. Berkali-kali Mak Uda membuat seperti itu seolah-olah Mee sudah ada dalam mangkuknya. Imran pantas bingkas mahu membantu Mak Uda.
“Macam mana Mak Uda senduk, seurat mee pun tak masuk,”
“La tu ka,”kata Mak Uda spontan.
Selepas menbubuh mee kedalam mangkuk Mak Uda duduk dimeja makan berhadapan dengan Imran. Berselera Mak Uda makan. Hairan sungguh, bagaimana Mak Uda tidak terasa pedas?Tetapi Mak Uda beberapa kali meneguk air.
Sudah pastinya mee dalam pinggan Imran tidak habis. Lantas dia membuangnya kedalam tong sampah hitam yang tersadai dibawah singki. Kedudukan pinggan direndahkan agar bunyi mee jatuh kedalam tong sampah tidak tercapai dek pendengaran Mak Uda. “Kalau nak buang sampa, buang dalam tong ni,”kata Mak Uda tiba-tiba. Alamak!Ini tong apa pula?Nampak macam tomng sampah, tapi...
Maka, apabila Cik Sofea bangun dan meraba-raba kedalam tong yang disangka tong sampah itu pecahlah rahsianya. Dua pecah rahsia sekaligus! Walaupun Imran telah membuang mee kedalam tong sampah yang sebenarnya, sisa-sisa mee masih terpalit dalam tong itu. Tidak sangka pula Cik Sofea menggunakan tong itu sebagai timba kain.
Berleterlah Mak Uda pagi itu. Membuang lah. Tak fikir dulu sebelum bertindaklah. Entah apa-apa lagi yang terpaksa didengar. Serius juga Mak Uda berleter dengan tangannya mencekak pinggang. Dan seperti biasa sepanjang Mak Uda berleter tidak boleh sepicingpun menyampuk. Biarlah, dengar sajalah. Dan ia disambung dengan rajuk. Tandanya merajuk ialah diam dan diam. Bagus juga Mak Uda diam kan?
“Jom turun makan,”ajakan Pak Su memutuskan ingatannya.
“Petang tadi dah makan dengan Mak Uda,”
“Kita pi minum cukup la,”desak Pak Su. Imran menurut. Pak Su berbeza dengan Mak Uda. Pak Su pendiam. Apa yang ditanya itulah yang dijawab. Penglihatan Pak Su juga tidaklah seteruk Mak Uda. Pak Su masih dapat melihat dan mengecam objek yang besar-besar serta dapat berjalan tanpa bertongkat. Mak Uda langsung tidak dapat melihat. Cuma matanya sedikit peka dengan kehadiran cahaya.Sewaktu melalui runag tamu, mata Imran menyambar kearah bilik Mak Uda. Sejalur cahaya terlolos dari celahan pintu bilik yang sedikit terbuka . Mak Uda bertelekung berteleku diatas sejadah.
Esok, 8.00 pagi balik ke kampus. Bagaimana dengan Mak Uda?Ah!Bukankah tugasan yang perlu aku hantar lusa masih telanjang dalam PC ku?Aku aku harus ada prioriti. Mak Uda tidak pentingkah?Bukan begitu maksudku. Tetapi bukankah Mak Uda ada kawan-kawannya/ Mak Uda ramai kenalan. Takkan Mak Uda pergi seorang diri saja ke Jamuan itu. Lagipun MAB dekat saja. Lepasi dua blok bangaunan itu sampailah. Apa pun tidak patut menolak permintaan Mak Uda kan?....
Tanpa jawapan. Imran merengus perlahan. Dia tidak sedar bila masa Pak Su dan dirinya duduk disebuah gerai makan dirusuk Brieckfields. Orang tunanetra dimana-mana. Ada sedang berjalan dikaki lima, ada yang sedang makan, ada yang sedang menunggu teksi ditepi jalan dan ada yang sedang berurusan membeli barang dikedai runcit. Pemandangan ini bukan asing bagi dirinya. Sejak setahun lalu datang jenguk Mak Uda di Bricfields pemandangan itulah yang dilihatnya.
Dihujung jalan, beberapa orang tunanetra berjalan menyusuri susur jalan kaki menarik tumpu fikirnya. Biasanya orang tunanetra bila berjalan pasti berkawan. Antara tunantera yang penglihatannya lebih baik daripada kawannya akan menjadi pemandu arah didepan. Tetapi bagaimanakah mereka berjalan?Benar, ada tongkat putih ditangan yang berkerjasama dengan sejalur aspal berbonjol-bonjol membantu mereka berjalan...namun aku pernah mencuba berjalan dengan memejamkan mata dan menggunakan tongkat putih Mak Uda. Aku langsung tidak dapat mengecam jalan dan bagaimana untuk aku melangkah! Malah aku terasa lemas berjalan dengan mata terpejam. Betapa sukarnya!
Tapi mereka dapat berjalan. Dan sewaktu melintas mereka berhenti sejenak ditepi jalan. Mereka dapat mengagak jarak kereta dengan diri mereka sebelum melintasi jalan. Tapi biasanya pemandu yang prihatin akan memperlahankan kereta atau memberhentikan terus kereta agar mereka dapat melintasi jalan. Pendengaran kami amat tajam. Dan kami punyai gerak hati yang kuat. Itulah penglihatan kami, kata Mak Uda muncul tiba-tiba diminda...
Gegendangnya dipalu suara ketawa. Matanya ditarik pula memandang kearah itu. Sekumpulan orang tunanetra sedang rancak berbual sementara menunggu makanan sampai berselang semeja dari dari tempatnya dan Pak Su duduk. Macam-macam kisah terpacul dari mulut. Yang lain-lain tidak kaku untuk memberi reaksi, walaupun tidak ada eye contact antara mereka. Kalau sesama lelaki mereka akan memegang bahu kawan sebelum bercerita. Begitu juga perempuan. Abang kakak apa cerita hari ini?Ceria dan gembira nampak. Banyakkah pelanggan yang datang urut? Boss tambah gajikah?...Ah!Ketawa mereka, keceriaan mereka dan kata-kata mereka kadangkala amat sukar ditemukan dimana-mana, fikir Imran. Tidak sepicing pun dalam perbualan, mereka mengeluh tentang nasib diri.
Klak!Kluk! Bunyi itu mengejutkan Imran. Segera dia beralih kebelakang dan sepasang tunanetra segera meminta maaf kepadanya.
“Tak mengapa,”jawabnya ringkas. Dan pasangan itupun berlalu.
“Hang dok tengah jalan sangat tu, injak la sini sikit,”kata Pak Su setelah pasangan itu berlalu pergi. Imran menurut dan berinjak ketepi Pak Su. Pak Su mendekatkan mukanya pada gelas yang berisi Teh O.
“Hang tak minum ka, ayaq dok banyak lagi tu,”kata Pak Su lagi. Imran tersenyum sendiri. Seteguk air membasahi kerongkong, namun matanya tidak lepas memandang kearah pasangan suami isteri yang berlalu tadi. Mereka berlabuh disalah sebuah meja makan tidak jauh dari sini. Amboi!Pandai abang dan kakak ya. Sama padan, sama cantik, sama putih, sama tinggi, sama rendah malah raut wajah seakan sama juga. Anak kecil didokongan si ayah diletakkan ditempat khas yang disediakan oleh abang gerai. Matanya bulat hitam bersinar jernih. Duhai!Adik, jangan dipersia ibu dan bapamu!
Sesekali si abang tersayang mengusik sidinda manisnya. Seperti pasangan kekasih yang baharu menemui cinta-mereka saling bertukar straw minuman dengan gelas dipegang bersilangan. Tapi cinta kekasih ini lebih suci lagi daripada cinta sepasang kekasih yang belum tentu yang melata di Tasik Universiti ataun KLCC atau dimana-mana!
Pak Su sudah lama berdengkur enak. Dan mungkin juga Cik Sofea tuan punya rumah disebelah bilik ini. Dari anjung Imran melihat kebanyakan tingkap-tingkap rumah sudahpun gelap. Deruman kenderaan yang membelah dada Brickfielda semakin jarang kedengaran. Cuma yang ada cahaya yang terbias keangkasa kota Kuala Lumpur-menandakan ada sekelompok manusia di tempat yang lain sedang menikmati malam.Sukar pula untuk melelapkan mata...Ah Kering pula tekak!.
Imran menguak pintu lalu melangkah waspada menyimpan bunyi. Ruang tamu gelap dan samar. Abang Giman tidur terlentang diatas tikar. Memang disinilah tempat abang Giman tidur. Katanya,dalam bilik panas bahang. Tapi aduhai syahdunya betapa tikar ini langsung tidak menganggu tidur Abang Giman tidur hingga tersenar sungguh!
Ah!Tidak tidur lagikah Mak Uda?Dari celahan pintu bilik bahagian bawah terselinap cahaya lampu menerobos keluar. Apa yang Mak Uda buat? Hatinya tiba-tiba begitu dirangsang untuk kebilik Mak Uda. Keinginannya begitu kuat untuk mengetahui sehingga melupakan rasa dahaga!
Imran melangkah ke bilik Mak Uda. cermat langkahnya. Biar Mak Uda tidak sedar. Panaskah malam ini?Insomania kah? Atau em, tengah berbual mesra dengan bakal Pak Uda!Manalah tahu kalau benar tentu gembira tok dikampung. Mak Uda juga yang beritahu sekarang dia tengah berkawan. Pemuda itu tunanetra juga tapi masih lagi di MAB ambil kursus urut.
Dari celah pintu bilik Mak Uda yang terbuka seinci itu, matanya tersambar kepada Mak Uda yang sedang duduk membongkok-bongkok di lantai bilik. Tangan kanannya meraba-raba lantai dan tangan kiri pula memegang penyapu. Tengah malam pun menyapu sampah Mak Uda? Namun bila pandangan jatuh kebawah betapa terkejutnya Imran.
Pijat! Ya Tuhan!Betapa banyaknya. Pijat bukan sahaja melata dilantai malah didinding bilik dan atas katil Mak Uda. Berenyut-renyut! Oh ya!Unggas inilah yang dirungutkan Mak Uda sebelum ini. Tiba malam sahaja pijat akan keluar dari sarangnya yang entah dimana. Kehadirannya disedari apabila sedang enak tidur tiba-tiba tubuh badan terasa dirayapi sesuatu. Mulanya sedikit selepas itu berenyut-renyut dirasakan pada kulit tubuh. Sekejap itu kulit berasa miang dan gatal-gatal. Rasa geli geleman tidak usah kiralah!...cerita Mak Uda.
“Mak Uda, tak tidur lagi?” Mak Uda segera memanggung kepala. Mengalih arah kepada Imran yang tercongok didepan pintu bilik.
“Macam mana nak tidur Im, pijat mengamuk pula malam ni,”
“Boleh Im tolong?”Teragak Mak Uda mahu memberi persetujuan. Tapi Imran berharap sangat dapat membantu Mak Uda.
“Hang boleh ka bunuh pijat-pijat ni?”ujar Mak Uda ragu. Apa yang Mak Uda tahu Imran memang penakut kepada unggas-unggas. Lipas, pijat, misai, kumbang,...
“Im dah besaq la. Tak takut punya kalau demi Mak Uda,”katanya bersemangat. Inilah peluang untuk mengambil hati Mak Uda. Meredakan rajuk Mak Uda. Akhirnya Mak Uda tersenyum. Caranya mudah saja. Penyet pijat ni sampai mampus! Lalu malam itu berlakulah perang besar-besaran. Kata Mak Uda entah mengapa malam ini bala tentera pijat-pijat ini begitu menggila. Pijat sangat banyak berdasarkan rabaan telapak tangan Mak Uda dibelakang badan pijat agak kesat itu. Kata Mak Uda kedatangan pijat pada malam ini lebih banyak daripada malam-malam lalu.Imran hanya mendengar dan mendengar. Imran memberi reaksi-reaksi mudah-ber ehem, ber ya, senyum dan ketawa kecil-satu reaksi spontan yang sebelum ini sangat jarang dilakukannya!Oh!baru ingat, kata Mak Uda. Masa magrib tadi Mak Uda sembur racun serangga di celah rekahan kecil pada dinding. Tempat tinggal pijat mungkin disitu!Selain dibawah-bawah tikar, didalam gulungan tikar, celah akhbar lama dan cadar katil. Pijat seperti manusia juga yang mahu melarikan diri dari cuaca bak ketuhar di Kuala Lumpur ke tempat dan cuaca yang sejuk dan nyaman, cerita Mak Uda. Entah bagaimana dalam asyik Imran memenyet pijat dan menyapu bersihkannya keluar dari bilik Mak Uda, Imran melihat dalam ingatannya; Mak Uda yang menjaga(juga Tok dan Tokwan), Mak Uda yang mengenalkannnya kepada aksara dan digit, Mak Uda yang membawannya berjalan-jalan sama ada ke Sungai Petani, Alor Star atau Kulim, Mak Uda yang tidak pernah berkira-dengan aku yang menolong memenyet pijat adalah suatu yang tidak terbanding!
***
Dalam pukul 12 tengahari Imran telah bersedia. Rambut diminyak, badan dibedak dan lebih penting mental disediakan.
“Jom kita pi,”kata Mak Uda setelah Imran mengunci pasti pedal ayam.
Tangan Mak Uda memegang tangan kiri Imran. Kata Mak Uda biasanya orang tunanetra memegang bahu kawan yang menjadi penunjuk jalan. Tapi kerana saiz tubuh Imran tinggi...
Cermat langkah diatur. Tidak lagi cepat-cepat sahaja seperti dahulu hingga Mak Uda tercungap-cungap kepenatan. Bila tiba di kawasan yang tinggi-rendah langkah diperlahankan dan beritahulah Mak Uda. Jaga-jaga ada gon depan, jaga-jaga ada lubang didepan. Barulah Mak Uda bersedia untuk melangkah. Bukan terus redah saja hingga keseimbangan tubuh Mak Uda terampas seperti dahulu. Dan disini harus ada rasa ikhlas dan jujur; nyahkan rasa janggal,rasa menyusahkan atau merasa malu. Inilah yang terpenting!
Tiba di depan MAB beberapa petugas menyambut. Dengan mesra mereka menghulurkan kad, slipcabutan bertuah dan beberapa cenderamata. Mereka memegang bahu Mak Uda bertanyakan nama untuk mendaftar.
Imran melihat dengan pandangan yang bening...
Ramai sudah orang tunanetra yang datang. Ada yang bersama ahli keluarga yang celik menjadi penunjuk jalan. Ada sesama kawan yang ‘lebih celik’ menjadi penunjuk jalan. Ada yang sama-sama tidak nampak-bergeraklah dan berjalanlah dalam cara mereka.
Yang penting Diri mesti rela betis dilibas tongkat putih tanpa pintaan maaf. Diri mesti rela dilanggar dari arah sudut manapun walaupun pada sudut pandangan orang celik ia tidak sepatutnya. Diri mesti membuka mulut dengan kawan-kawan Mak Uda yang agak ramai itu. Berikan respon yang baik apabila Mak Uda mengenalkan Diri kepada rakan taulannya. Yang pasti setiap kali Mak Uda memberi pengenalan dirinya kepada rakannya, Mak Uda tidak lepas mengatakan diri masih belajar diuniversiti, Universiti Malaya... Itu...dengar macam suara Ustaz. Diri kenalah menegur dan mempertemukan Mak Uda dengan ustaz. Ustaz itulah yang memberi pengajaran agama ketika Mak Uda masih dalam latihan di MAB. Itu suara As, itu suara Kalid, itu suara Siti...Diri, diri, diri kenalah, kenalah, kenalah (aku harus memupuknya walau terselinap rasa janggal dan tidak senang!)
Rupa-rupanya disini ada ramai orang celik yang begitu empati dengan tunanetra. Ketepikanlah sama ada mereka hipokrikt atau tidak-untuk hari ini meraikan mereka adalah lebih penting. Melayu, Cina, India dan kaum-kaum bumiputera sabah sarawak berkumpul meraikan Jamuan Khas Untuk Golongan Tunanetra.
Untuk hari ini, buat pertama kalinya senyuman Mak Uda begitu indah dilihat Imran. Seolah setiap pandangan Mak Uda kepadanya adalah uluran terima kasih walau perkara yang ‘dibantui’ terlalu kecil dipandangan Imran. Semacam kepuasan pula hari ini, suatu kepuasan yang tidak pernah dirasakannya sebelum ini. Dan sesuatu yang berharga yang tidak mungkin dapat diperolehi di dewan-dewan kuliah!
Tertulis pada
6 Mei 2006
*Cerpen ini saya cuba hantar ke Tunas Cipta 3 tahun lepas tetapi gagal disiarkan. Masa ini saya masih lagi belajar di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Memang gaya bahasanya agak polos tetapi ceritanya saya fikir tetapi tinggi kemanusiannya. Dan cerita ini cerita benar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan