16 Mac 2011

Pencerobohan bahasa gugat jati diri nasional

16 MAC 2011 — Dalam Malaysia cuba membentuk dan mengekalkan jati diri nasional, sudah tentu bahasa mempunyai peranan. Untuk ini, pengetahuan dan penguasaan terhadap satu bahasa yang dikongsi bersama adalah penting.

Menerusi penggunaan bahasa sebegini di seluruh pelosok negara, perpaduan bulat dalam kalangan rakyat boleh dicapai. Ini dapat dilakukan antaranya melalui jati diri nasional yang dimiliki semua lapisan dan sektor rakyat selepas dipupuk melalui penggunaan satu bahasa yang dituturkan serta difahami bersama.

Sebaliknya, penggunaan pelbagai bahasa, lebih-lebih lagi untuk tujuan rasmi dalam majlis formal, termasuk pendidikan, dilihat sebagai menghalang proses perpaduan yang ingin dipupuk, selain merintangi proses pembentukan jati diri nasional yang dihasratkan.

Berdasarkan ideologi nasionalisme bahasa, promosi hanya satu bahasa untuk tujuan nasionalistik, iaitu penyatupaduan dan wahana komunikasi rasmi negara, khususnya dalam sistem pendidikan negara, didapati berjaya membentuk dan mengekalkan jati diri nasional.

Pemilihan hanya satu bahasa untuk membentuk jati diri nasional walaupun di dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang diamalkan di merata tempat, baik di Asia mahu di Barat memang terbukti kejayaannya.

Dalam konteks ini, penggunaan bahasa Melayu yang didapati amat berkesan untuk menonjolkan jati diri nasional, bukan saja perlu diteruskan. Malah, ia perlu dipertingkat dari semasa ke semasa supaya keutuhan bentuk dan amalan berbahasa Melayu dapat sentiasa dipelihara.

Sehubungan ini, tindakan memperkenal semula penggunaan bahasa penjajah yang walaupun kini adalah bahasa perhubungan dunia dengan nilai pragmatik yang amat tinggi, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya semacam bahasa rasmi negara adalah langkah ke belakang dari segi nasionalisme budaya. Nasionalisme budaya amat mementingkan warisan budaya dan bahasa pribumi sendiri.

Nasionalisme budaya menegaskan peri pentingnya sebuah komuniti politik yang merdeka, mengamalkan resam dan tertib yang sama, selain memiliki idealisme sosial yang sama, daripada budaya dan bahasa sendiri.

Justeru orientasinya yang sebegini, nasionalisme budaya juga dikenali sebagai nasionalisme jati diri. Dengan ini, nasionalisme budaya ataupun jati diri ini mengutamakan kesatuan serta kualiti kehidupan rakyat yang diasaskan sepenuhnya kepada warisan budaya dan bahasa negara berkenaan.

Untuk sesebuah komuniti politik terus menjadi perkasa dan bersatu padu, semua ahli di dalamnya perlu bukan saja memiliki nilai asas yang sama mengenai budaya dan bahasa negara, tetapi berkongsinya supaya ia dapat dikekalkan dengan lebih baik lagi.

Ini penting bukan saja untuk memelihara, tetapi memperkasa satu bentuk kelainan budaya atau jati diri nasional yang didapati tidak sama dengan yang dipamerkan komuniti politik lain.

Kelainan atau jati diri inilah yang mendorong komuniti berkenaan untuk terus maju dan membandingkan segala kemajuan yang dicapainya itu dengan yang dijangkau komuniti lain. Dalam hal ini, semua kemajuan itu diasaskan sepenuhnya kepada nilai, simbol, sejarah, aspirasi dan tradisinya sendiri.

Sehubungan ini, tindakan Malaysia pada 2003 untuk menggunakan kembali bahasa Inggeris, khususnya di sekolah bagi mengajar sains dan matematik melalui Dasar PPSMI, selepas bahasa Melayu berjaya digunakan sebagai bahasa ilmu untuk beberapa tempoh lamanya adalah keputusan yang kurang bijak. Tindakan ini boleh memberi banyak implikasi buruk kepada bahasa Melayu, khususnya sikap negatif terhadapnya.

Antaranya kedudukan bahasa Melayu dilihat lemah sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya sebagai bahasa rasmi negara, sehingga perlu digantikan dengan bahasa lain yang lebih berprestij.

Lebih mudarat lagi ialah tindakan seperti ini menjejaskan proses pembentukan dan pengekalan jati diri nasional yang tidak selalunya mudah dan lancar dalam sebuah negara pelbagai etnik yang mengamalkan pelbagai budaya pula.

Walaupun tindakan ini ditarik balik, manakala pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran ini dikendalikan seperti sedia kala dengan menggunakan bahasa Melayu semula selaku bahasa pengantar utama, kesannya dalam bentuk persepsi bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu sepenuhnya, akan terus tinggal dalam minda sesetengah pihak di negara ini untuk satu tempoh yang lama.

Kesan ini yang terbaru dapat dilihat pada ucap utama pada satu forum yang berjudul “Past Wisdom for Future Direction”. Pemidatonya menyelar mereka yang menentang Dasar PPSMI dengan mengatakan penggunaan bahasa Inggeris semula itu, tidak sekali-kali bersifat tidak patriotik.

Beliau juga menyentuh peri pentingnya bahasa Inggeris pada zaman globalisasi ini dan memberi amaran Malaysia akan ketinggalan jika ia terus enggan menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan berkenaan.

Tuntutan kepenggunaan terhadap bahasa Inggeris yang begitu tinggi ketika ini tidak dapat disangkal. Namun, adakah itu kaedahnya untuk rakyat Malaysia menguasai lingua franca dunia serta bahasa ibunda sains dan teknologi itu?

Dalam hal ini, bukan saja impak terhadap jati diri linguistik rakyat, tetapi kejayaan bahasa Melayu memajukan bangsa dan negara Malaysia, selain menyatupadukan rakyat yang berasal daripada pelbagai etnik perlu diambil kira dengan serius.

Sudah pasti kita mempunyai pilihan lebih bijak sifatnya untuk tujuan integrasi yang lebih banyak dengan pasaran antarabangsa yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris. Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBM-MBI) yang menggantikan Dasar PPSMI, adalah respons bestari bagi menyahut tuntutan tinggi untuk menguasai bahasa Inggeris.

Dalam keghairahan mengembalikan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara sebagai antara bahasa pengantarnya, ada sesetengah pihak daripada kalangan etnik Melayu sendiri mengesyorkan bahasa dunia itu dijadikan alat pemersatu bangsa Malaysia. Bahasa Inggeris bersifat neutral etnik di negara ini yakni ia bukan bahasa leluhur mana-mana kumpulan utama di Malaysia.

Hasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan kemajuan bangsa dan negara melalui Dasar PPSMI, walaupun adalah satu penyelewengan dalam pembentukan dan pengekalan jati diri nasional, sebetulnya adalah lebih mulia daripada hasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan pemersatuan sosial di Malaysia.

Dalam konteks begini, ia sesungguhnya adalah satu pencerobohan yang amat hina sifatnya terhadap jati diri nasional yang sudah, sedang dan akan terus dibentuk dan dikekalkan di negara ini. — Berita Harian

* Teo Kok Seong ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)