27 April 2010

Forest Gump dan Jibam


Frest Gump sebuah filem yang secara literalnya cuba memaparkan watak Forest Gump sebagai insan autisma. Namun demikian sesudah saya menonton berulang kali dan cuba memahami setiap babak yang ditayangkan itu, saya terkesan bahawa FG bukan semata-mata kisah insan autisma dengan segala feelnya yang serba lambam, lurus dan tampak bodoh. FG cuba memaparkan sebuah satira halus yang menyinggung permasalahan sosial, politik dan budaya moden atau budaya popular.

Saya tidak dapat membayangkan jika FG benar-benar wujud di alam syahadah ini, dan ia benar-benar berlaku apabila FG berlari dan terus berlari sehingga panjang janggutnya dan mempunyai pengikut pula di belakangnya itu, kerana khabarnya lariannya memberikan inspirasi kepada insan lain. Suatu babak, FG berhenti berlari, ketika itu setting di lembah Grand Canyon kalau tidak salah saya, dan semua pengikut yang turut berlari dengannya pun berhenti berlari. Semuanya tertunggu-tunggu apa yang akan diperkatakan oleh FG pada babak yang bersejarah itu. "Saya penat. Saya mahu pulang." Itu sahaja kata-kata FG. Dalam babak yang biasa, bayangkan beberapa rekod dipecahkan dan kita diberi peluang untuk bercakap, maka sudah tentu kata yang kita mahu tuturkan itu adalah bait-bait kata yang bombastik agar dikagumi oleh para pendengarnya.

FG menidakkan jangkaan itu dan sebenarnya perwatakan FG itu bukanlah suatu yang asing kerana trait personaliti FG telah dapat membayangkan aksinya. Contohnya, semasa FG "berlari" dengan tanpa tujuan tertentu, hanya mahu berlari, FG diminta oleh taukey pencop baju untuk memberikannya suatu lakaran atau idea untuk cop bajunya, FG hanya melakarnya iras wajah manusia yang tersenyum sahaja dan diakhabarkan sesudah itu taukey itu berjaya dalam perniagaan bajunya. "Kasut boleh menceritakan kemana kita pergi dan kasut boleh menceritakan siapa kita." Kata-kata FG yang berfalsafah-dalam ertikata afala tatafakkarun. Oleh kerana kaki itu juga dinyatakan diakirat akan boleh bercakap termasuk anggota tubuh kita lain apa yang kita telah lakukan (aksi) dengannya.

Dalam hal ini saya teringat pada novel Jibam oleh Ujang. Novel Jibam menceritakan kana-kanak yang lambam seperti itu. Skop penceritaan Jibam hanya berkitar daerah diri dan masyarakat lokal sekelilingnya. Malahan Jibam ditampilkan sering dianiayai dan melakukan beberapa perkara yang dianggap bodoh. Perwatakan Jibam tidak berkembang sebagaimana watak FG. Perwatakan FG bukan semata-mata suatu salinan insan autisme dengan segala perlakuan atau tingkah laku autismanya, tetapi perwatakan FG berkembang kepada yang lebih luas dan sejagat sifatnya sehingga boleh dijadikan bahan motivasi. Jika Jibam dikejar oleh Tok Ngah Sudin sehingga dikerjakan separuh mati, tetapi FG dikejar oleh kanak-kanak nakal dengan basikal dan FG berjaya melepaskan dirinya. Kaki mekanikal yang membantu otot kakinya melangkah telah relai sewaktu dia dikejar dan FG terus berlari tanpa apa-apa kesan yang membimbangkan."Kadangkala keajaiban boleh berlaku."

FG juga dikejar sewaktu disudah remaja, kali ini dengan kereta, tetapi FG berjaya juga melepasi dirinya daripada kejaran itu. FG juga mempunyai cinta walaupun cintanya itu cinta yang baik dalam ukuran Barat, namun cintanya itu dikakhiri juga dengan perkahwinan dan isterinya mati tidak lama kemudian.

Dalam novel Jibam, Jibam tetap kekal sebagai watak kanak-kanak autisma yang terus dengan tingkahlakunya dan dibuli atau dikejar lalu di 'kasi habis-habis' sehingga separuh mati. Walaupun Tok Ngah Sudin dihukum dengan babak mistikal namun demikian Jibam pada akhir ceritanyaa tetap sebagai wujud sebagai kanak-kanak terencat akal yang berada dalam daerah diri dan masyarakat sekelilingnya. Maknanya tiada perkembangan watak ke arah watak simbolik. FG merupakan watak simbolik yang menjadi kreatif di tangan pengarangnya.

Walaupun demikian tidak dapat dinafikan Jibam merupakan karya kreatif yang berjaya, namun kejayaan Jibam terletak pada aspek pengolahan bahasa yang ringkas, mudah, dan terus kepada inti cerita. Kejayaan Jibam pada akhirnya berjaya memberikan kesan emosi simpatik kepada watak utamanya, Jibam. Manakala kejayaan watak FG terletak pada kesan emosi yang pelbagai hasil daripada perkembangan watak daripada watak salinan kepada watak simbolik.

Perkembangan watak salinan atau watak realiti kepada watak simbolik merupakan beberapa rahsia keunggulan sesebuah teks sastera. Watak simbolik ini jika dapat ditakrifkan ialah, watak yang menjadi alat kepada pengarang untuk menyampaikan apa sahaja mesej dengan cara yang aneh dan pelik kepada audeins. Manakala watak salinan atau watak realiti merupakan watak yang secara terus dapat dikesan trait personalitinya dalam sesebuah cereka dan pengarang terikat betul dengan trait personalitinya. Walaupun FG merupakan watak realiti namun pada perkembangan berikutnya FG menjadi watak simbolik pada pelbagai isu sosial, politik, tanggapan dan retorik.

Saya tidak mendapat kesan simpatik sesudah habis menonton FG tetapi saya mendapat kesan emosi pelbagai yang mengajak saya menjejak semula babak-babak yang telah berlaku dalam kehidupan FG. Sebaliknya Jibam memberikan kesan simpatik kepada saya. Saya juga merasa kesal kenapa Sumam mati dan Tok Ngah Sudin berjaya memukul kanak-kanak lambam seperti Jibam!

Kedua-dua buah karya yang diperbandingkan ini merupakan suatu bacaan resepsi daripada saya selaku audiens. Ia bukan bertujuan untuk menilai karya mana yang lebih baik daripada karya yang lain. Kedua-duanya baik, namun dari segi perkembangan sesebuah karya, FG merupakan hasil karya yang baik, jika dinilai daripada aspek penceritaan (bukan genre, walaupun FG ada dalam bentuk novel sblm ini).

Jadi selaku pengarang hendaklah kita dalam mengarang itu bukan menjadikan watak itu statik sebagai watak realiti sehingga ke garisan penamat cerita tetapi jadikanlah ia sebagai watak simbolik yang memberikan kesan emosi yang pelbagai lalu ditamatkan dengan suatu epilog yang positif.

Kerana karya yang baik pada akhirnya menyumbangkan inspirasi kepada audeinsnya. Kita tunggu Jibam edisi filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi!Sambil-sambil itu bacalah novel Jibam berulang kali dan tontonilah filem FG  supaya lebih mahfum kita akan makna yang terdapat di dalamnya. 

Sastera itu bermula daripada karya bukannya daripada gagasan-gagasan yang bertujuan untuk menempelek orang lain secara mandatori.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan