20 Jun 2009

Sepanjang Hari Sabtu Ini

Pagi ini saya ke Alam Megah, rumah Pak Cik saya. Isterinya tiada. Ke Genting kerana motivasi sekolah. Pak Cik baru balik dari Makkah. Umrah. Terlepas daripada selesema babi, Pak Cik berikan saya sepasang Jubah Warna Emas pudar. Beberapa utas tasbih. Dua botol minyak attar Makkah. Beberapa jenis buah kurma. Dan Kacang cerdik. Sebelum lupa, Pak Cik memberikan saya seteguk air Zam-Zam. Niat, rahsia. Saya minum sambil gosok dada.
Petang saya jumpa dengan Siti Zaleha, rakan baik saya semasa belajar di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Tahukah kalian macam mana saya mengenalinya?Sewaktu berjalan keluar dari dewan kuliah, saya melihat seorang gadis bercermin mata, berkulit putih, kurus sedang ketawa sakan. Saya merasa terganggu. Maklumlah pada tahun pertama saya masih lagi pendiam. Bawah tanah. Blues. Tiada kekasih. Baju singlet pagoda ke dewan kuliah. Seluar jeans lusuh. Buku nota kecil. Pen kilometrico yang sudah pecah bebulinya. Rambut kering tidak bersikat. Gaya jalan yang sangat jantan!
"Macam beruk!"
Spontan saya berkata. Gadis ketawa sakan itu terkedu. Memandang saya. Saya buat tidak endah. Memang saya garang dalam diam. Tidak lama kemudian, sedarlah saya gadis itu satu kelas tutorial dengan saya. Entah bagaimana tugasan yang diberikan bersekali dengan dia, berkumpulan. Bila sudah agak kenal, gadis bernama Siti Zaleha itu pun mengkritik saya.
"Dulu kata orang beruk!"
Saya tersengih semata. Tak dapat nak kata apa. Kulit wajahnya yang keberah-berahan membuatkan saya rasa macam-macam. Kembang kuncup. Sewaktu pulang ke kolej kediaman (Kolej 3) saya teringat pakaian yang belum berangkat. Sedangkan hari sudah mendung. Sarat macam perempuan mengandung. Langit bagai kelangkang perempuan!Begitu nakalnya metafora saya masa itu.
T adalah singkatan namanya. Begitulah bibit awal perkenalan kami sejak 5 tahun lalu.
Kini T di depan saya. T tidak seceria pertemuan lalu. Bibirnya rapat. Sebetulnya dia masih marah sebab saya gagal menunaikan janji untuk bertemu dengannya malam semalam.
"Hah, cakaplah apa nak cakap. Mengapa diam semata."tukas saya.
"Alah, tadi malam tak datang."kata T geram.
Saya pandang wajah pelayan kedai, dua orang wanita yang seksi memandang ke arah saya. Agaknya, kejantanan saya dengan baju tshirt putih menimbulkan rasa ingin tahu mereka, untuk menerka betapa maskulinnya saya. Kononnyalah!
"Kawan datang. Maaflah."Itu bukan penyebab utama biarpun betul. Sebetulnya saya sedang ber YM dengan seorang kawan yang tidak stabil emosinya. Berlanjutan dengan saya mendedahkan apa yang saya dapat tahu daripada orang di sekelilingnya yang tahu tentang dirinya. Saya bukannya hendak ambil tahu hal dia.
Tetapi pertemuan dengan pensyarah saya ini secara tidak langsung membualkan tentang kakitangan APM. Dulu-sekarang. Bila tersentuh namanya, saya pun menyoal kenapa dia tidak terus dipilih sebagai RA atau tutor?Kerana menurut dia, dirinya dianiayai oleh watak lain. Maka berceritalah pensyarah ini kepada saya. Automatik. Fakta dan pemerhatian nyata terkeluar dari mulutnya.
Salah sayakah wahai kawan?Saya terkedu bila tahu saya ditipu. Saya tidak kisah latarbelakang yang tidak menarik itu. Tetapi menipu saya adalah suatu kes serius. Saya tidak mahu mendengar lagi. Itulah yang saya tanya terus terang dengannya melalui YM. Dan mungkin dia emosional menyebabkan dia tuduh saya macam-macam. Kawan, kalaulah saya ini jahat, saya akan terus percaya kata orang lain tentang diri kamu, tetapi disebabkan saya seorang berani lagi berterus terang saya tanyakan kepada kamu terus kerana cerita kamu dulu lain. Kamu yang ceritakan sendiri.
Biarkanlah dia. Saya ini bukanya serius sangat. Saya sangat terbuka dan fleksibel. Namun kalau sudah KANTOI mengakui sajalah. Kejujuran penting dalam persahabatan. Kemudian pintalah maaf. Dan dia sudah lakukan. Saya sebetulnya tiada rasa apa-apa lagi kepada dia. Kosong.
T, membuka mulut akhirnya.
"T nak kahwin bulan 11 ini."

Saya terkedu entah ke berapa kali. Masa itulah lagu Zikir Kasih oleh Ukays mendayu berkumandang di corong radio kedai makan kami lepak. Saya ingat T sauh banyak kali cakap secara lelucon dia hendak berkahwin. Ada suatu ketika dia ajak saya tolong carikan dia baju pengantin. Bila saya bertegas mahukan pengakuannya, dia berkata itu sekadar lelucon. Dan hari ini T berkata lagi. Hal itu. Cuma kali ini, lebih spesifik. Saya hirup minuman cincau sampai kering. Cincau dihiris panjang-panjang rasa macam lidah pula yang boleh dikunyah-kunyah. Licin mengelinjang dalam kerongkong.
"T, Ali sokong T kahwin. Kalau nak tunggu ali lambat lagilah alamatnya."
T diam. Saya tahu. Dia tidak mahu saya bercakap begitu.
"Tapi, T tak bersedia lagi. Ni belum kata putus. Kami masih berbincang."
T seperti memberikan peluang untuk saya mencelah ke ruang yang ada.
"T, perkahwinan bukanlah perkara main-main. Ini kisah manusia yang ada ikatan yang ada kaitan dengan dosa pahala syurga dan neraka."
"T, ye T faham...Ali kenapa tak pandang muka T..macam marah sahaja...adakah lepas ini kita tidak boleh jumpa lagi?"
"Laa...terpulang pada Ali lah nak tengok muka T atau muka kucing. Ali tak apa-apa lah. T, lepas kahwin T kena setia. Tutup pintu dari semua ruang kecurangan. Itupun kalau mau bahagia.
"Ala, kita jumpa bukan nak buat apapun. Lagipun kalau T kahwin bulan 11 T nak terus tinggal disini. Dia (bakal suaminya)terus kerja di Pulau Pinang. Dan kita boleh jumpa macam dulu-dulu."
"Laa.. T kalau kahwin kenalah duduk serumah. Sebumbung. Nanti kalau datang keinginan nak bersama suami ada di sisi. Bayangkan kalau tiada. Dan kita kebetulan berjumpa. Apa akan jadi ikatan itu?"
"Ala ali ni serius sangatlah."
Ya, saya serius kali ini. Sedangkan saya suka menyukakan hati orang. Saya ramah dan terbuka. Cepat mesra. Cuma adakalanya saya serius. Contoh perkara lain saya serius ketika saya rasa hendak buang air besar atau buang angin.
Ia perkara serius. Kerana tahi mesti dikeluarkan habis dari perut biar lapang. Dan angin mesti dibuang pada tempatnya agar tidak membunuh rasa orang lain.Hahahaha. Tapi kata Guru Bahasa Melayu saya semasa tingkatan 5:
"Benda apa kalau simpan rosak badan. Kalau buang rosak kawan. Kentutlah."
Pertemuan berakhir bila azan Asar bergema. Agaknya inilah pertemuan akhir kami. T bakal jadi milik orang.
Malam. Lepak di Masjid ArRahman sambil dengar kuliah agama berkitabkan Minhajul Abidin oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali RA. Bab dengki. Saya tidak dengki kepada sesiapa. Saya ada cara bagaimana nak hapuskan dengki sakit hati dan rasa benci orang pada kita. Kalian berdoalah untuk kebaikannya. Diam-diam sahaja. Jangan ungkit2 pula di depannya. Biar kita dengan Tuhan sahaja tahu. Nanti suatu masa percayalah, hatinya akan selembut sutera dengan kita semula. Neutral.
Masa balik naik bas tempatan ke SS dari Taman Jaya, simpang ke Jalan Klang Lama penuh kenderaan. Rupanya ada sekatan jalan. Mujur saya bawa kad pengenalan. Selepas makan-makan saya naik ke atas rumah. Saya teringat dia. Sewaktu menghantar saya. Setelah kami tersesat. Dan dia sakit.
Saya sayang kepada dia. Dan semua rakan taulan saya. Sahabat-sahabat saya. Sayang itu lahir daripada rasa kemanusiaan yang universal sifatnya. Sepanjang hidup saya, saya hanya sekali bermusuh. Berkelahi sehingga tidak bertegur sapa. Dengan seorang rakan perempuan juga semasa tingkatan 6. Namun dengan petua di atas, dia jadi baik dengan saya bila kami bertembung bila pulang berhari raya di kampung. Saya tidak tahu sama ada dia sudah berkahwin atau masih sendirian.
Semasa saya berjalan menuju ke rumah saya, saya lihat ada majlis persandingan. Indah sungguh pelamin yang berkain emas. Lagu klasikal berjudul Bidadari oleh Lela juga berkumandang.
Saya senyum sendirian. Saya tidak sakit hati atau marah apabila T hendak berkahwin. Malah saya galakkannya lagi. Mungkin itulah jodoh T. Kenapa kita harus rasa dengki iri dan sakit hari bila ada kawan kita naik pelamin? Ya saya ada menaruh hati kepada T, tetapi itu bukanlah alasan untuk menidakkan peluangnya membina hidupnya dengan sempurna.
Saya berharap saya naik pelamin suatu hari nanti bersama isteri yang dicintai sepenuh hati. Sampai mati.
Di syurga bersamanya. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan