Mengucap Dua Kalimah Syahadah tanpa hakikat sekadar kata-kata biasa yang biasa tertutur di lidah semata-mata. Hendaklah kita faham hakikat Dua Kalimah Syahadah itu. Kemana sahaja kita memandang di situ Wajah Allah. Oleh itu tiap-tiap 'ain ada 'ain dan semuanya 'Laa ilaha illallah.' Dalam Dua Kalimah Syahadah terkandung wujud semesta raya dan wujud secara khusus atau wujud dan apa yang dianggap wujud atau wujud hakiki dan wujud makhluk. Wujud makhluk tertakluk kepada 'Laa ilaha' segala-galanya selain Allah (masiwallah) adalah batil-nol iaitu dinafikan buka di isbatkan. Wujud hakiki termasuk di 'Laa illaha' dan semua yang dipuji tertakluk di bawah 'illallah'.
Semua yang wujud terkandung dalam mengisbatkan KeEsaan dan kita mestilah memasukannya juga dalam menamakan hamba yang paling mulia (sewaktu mengatakan Muhammadun Rasulullah). Muhammad Rasulullah mengandungi 3 alam. Muhammad itu menunjukkan alam nyata (Alam Nasut) iaitu alam yang boleh dipandang dengan deria. Rasul itu menunjukkan Alam Perintah (Alam Malakut) iaitu alam batin berkenaan rahsia-rahsia tanggapan yang mujarab dan ini terletak antara yang muhaddas dengan yang qadim.
Nama Ilahi itu menunjukkan Alam Pertuanan. Lautan yang darinya terpancar pengertian deria dan pengertian tanggapan. Rasul itulah pengantara yang muhaddas dan yang qadim, maka binasalah yang muhaddas dan tinggalllah yang qadim.
Apabila Rasul diletakkan pada tempatnya yang wajar pada kedua itu maka barulah alam ini diperintahkan kerana pada zahirnya ia adalah hanya seketul tanah liat tetapi batinnya ia adalah khalifah Allah. Pendeknya maksud mengisbatkan. Tauhid itu tidak sempurna dan tidaklah meliputi tanpa diisbatkan keesaan atau Tauhid Zat, Sifat dan Lakuan. Pengisbatan ini difahami dari Muhammad Rasulullah.
Apabila Ahli Makrifat berkata La ilaha illallah maka ia ketahui pada hakikatnya bukan hanya pada majazinya sahaja, iaitu tidak ada yang lain melainkan Allah.
Oleh itu wahai saudaraku, janganlah hanya pandai mengucapkan dimulut sahaja kalimah syahadah yang mulia ini. Ketahilah bahawasanya Allah tiada sekutu baginya. Selian daripada Allah itu tidak akan lenyap dengan hanya mengatakan "tidak" dengan lidah sahaja dan belum sempurna juga lagi dengan mata keimanan dan keyakinan TETAPI akan lenyap dengan pandangan langsung atau Musyahadah. Allah adalah matlamat yang terakhir. Dialah sumber segala-galanya. Maka kita tidak perlu lagi naif dan tidka perlu lagi isbat kerana Yang Wajib itu telah memangnya isbat walaupun belum kita isbatkan dan yang ghairullah itu telah sememangnya dinafikan walaupun sebelum kita nafikan.
Hari ini setelah melakukan pemeriksaan, rupa-rupanya terdapat 18 buah buku yang saya telah pinjam daripada Perpustakaan Utama Universiti Malaya. Sebahagian besar daripadanya adalah buku tentang sejarah Johor-Riau-Lingga, seni tembikar dan buku Bapa Tenas Effendy. 11 buah daripadanya sudah tamat tarikh tempoh pinjaman dekat sebulan!Aduhai. Esok baru saya akan hantar dan pinjam kembali 5-10 buah buku yang saya rasakan penting dan tiada duit untuk memfotostatnya.
-
Selain itu esok juga saya akan bertemu dengan Nurol Huda pelajar pascasiswazah yang baru sahaja dapat SLAB (Skim Latihan Akademik Bumiputera) di bawah slot Universiti Sains Malaysia (USM). Nurol baru pulang dari Riau, Indonesia. Tentu banyak ceritanya sepanjang dia di sana. Juga saya mahu tahu juga bagaimana pembentangan keertas kerjanya yang saya menjadi 'tutor' tidak rasmi menyediakn bahan dna rujukan kepadanya.
-
Dan semestinya dia mahu terus memujuk saya untuk mengisi borang SLAB di USM. Katanya, dekan mereka perlukan pelajar berpotensi untuk mendapatkan slot SLAB yang masih ada di USM. Ajakan Nurol ini sejak beberapa bulan lepas. Tetapi hati saya tetap kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Selain faktor cinta kepada APM dan UM dan juga segala yang ada di sini, termasuk taman dan pokok-pokok berusia ratusan tahun, juga koleksi yang terdapat di Perpustakaan Za'aba dan Perpustakaan APM, UM juga dekat dengan Rumah PENA, GAPENA, DBP, kedai buku di Jalan Masjid India, Perpustakaan Negara, Perpustakaan Kuala Lumpur, Istana Budaya dan kawan-kawan, budayawan, ilmuwan, negarawan dan wartawan yang berjuang dalam gerakan sastera. Saya tidak mahu terputus hubungan dengan semua ini kerana inilah dunia saya dalam hemisfera yang lain.
-
Andai kata saya ke USM tentulah saya akan ketinggalan dalam jurus gerak sastera. Saya tidak mahu itu berlaku. Dahulu, semasa saya berhenti sementara kerja sebagai editor, saya sanggup berkerja apa sahaja hatta pengawal keselamatan semata-mata asalkan minat saya menulis dan membaca serta bergelumang dalam dunia sastera tidak terjejas. Saya sanggup.
-
Namun setelah terdapat peluang apabila UM mengeluarkan iklan SLAB November 2008 maka saya pun merasakan inilah peluangnya. Maka apabila saya memohon, lulus temuduga dan menunggu surat daripada KPT, surat yang lama dikirimkan sebelum ini, sebelum temuduga di Akademi kepada saya daripada Bahagian Sumber Manusia UM, sudah lama mengejutkan dan mengecewakan saya. Peruntukan SLAB untuk Sarjana telah diberikan kepada pHD tempatan.
-
Saya terfikir berapa ramai sangat pelajar Melayu yang hendak melanjutkan pelajaran di peringkat pHD?Pada masa yang sama KPT telah memperuntukkan SLAB dan SLAI (utk bukan bumiputera) di peringkat pHD. Adakah sudah terlalu ramai pelajar bumiputera pHD slot SLAB di UM sehingga memaksa SEMUA slot SLAB utk Sarjana di ambil?Inilah persoalan yang berlegar di mandala fikiran saya. Paling mengejutkan, surat daripada Bahagian Sumber Manusia UM tersebut tidak dikirim ke Akademi Pengajian Melayu, UM sedangkan kepala surat jelas menunjukkan surat itu ditujukan kepada setiap Pengarah/Dekan/Ketua Pendaftar setiap Akademi dan Fakulti untuk makluman bahawa SLOT SLAB untuk pelajar Sarjana telah diambil semuanya diberikan kepada pelajar pHD tempatan (bumiputera semuakah???).
-
Walaupun dalam surat itu dinyatakan permohonan kami(semua permohonan pelajar Melayu untuk SLAB UM di semua fakulti dan akademi)dilencongkan kepada biasiswa pascasiswazah UM, namun saya yakin itu sekadar penyedap hati semata. Ini kerana sudah masuk semester baharu tiada apa-apa lagi maklum balas daripada 'pihak berkaitan' seperti dimaklumkan dalam surat rasmi tersebut.
-
Apabila saya mennyatakan perkara ini kepada Ketua Jabatan Sastera saya, beliau terkejut kerana tidak tahu dan memikirkan saya sudah mendapat surat rasmi daripada KPT (SLAB adalah biasiswa dan program pembentukan pensyarah muda di Uni yang ditaja oleh Kementerian Pendidikan Tinggib. Stp IPTA telah diberikan SLOT SLAB tersebut)
-
Beliau dalam nada agak kehairanan itu juga menyatakan Jabatan Sastera amat perlukan tutor. Dan menyuruh saya memfotostat surat tersebut untuk diberikan sesalinan kepadanya. Saya telah tunaikan. Dan saya menunggu janji beliau untuk membincangkan hal ini dengan Pengarah(dekan, tetapi dekan untuk fakulti manakala Pengarah untuk akademi).
-
Nurol bersungguh mengajak saya ke USM, kerana dekannya juga bersungguh menyuruh Nurol mencadangkan nama-nama pelajar yang berpotensi untuk diberikan biasiswa SLAB slot USM dan menjawat tenaga pengajar di sana. Saya bukanlah manusia yang berkepentingan peribadi. Saya juga tidak fikirkan Sastera sebagai landas untuk saya cari makan melainkan Sastera adalah bidang permainan saya sejak sekolah lagi. Saya kenal buku Taman Kesusasteran Pelajar oleh Hashim Awang sejak sekolah rendah dan membacanya dengan penuh minat tentang proses kreativiti dan penciptaan karya sastera.
-
Hanya memikirkan andai saya berada dalam iklim sastera maka diharapkan saya dapat terus mengembangkan minat dan bakti sumbangan saya terhadap pembinaan bangsa dan jatidirinya. Kepada Nurol, saya menimbang tawaran tersebut, saya telah merumuskan saya perlu menunggu hingga hujung bulan ini sebagai respon saya hari ini kepada Ketua Jabatan bahawa saya sedia berkhidmat andai APM perlukan tutor (memang perlukan pun). Namun esoknya Nurol akan terus memujuk saya, dan saya memang kena bersabar lagi.
-
Mungkinkah ini pengorbanan sebuah cinta?
Pst:Buku itu adalah pembacaan sukarela saya untuk menambahkan ilmu tentang sejarah dan budaya serta ilmu sastera. Bayangkan kecintaan saya terhadap buku. Dan di Yan sekalipun, hampir semua buku di rak perpustakaan daerah yan telah saya pinjam hingga rak buku rujukan. Saya fikir, untuk menjadi tenaga akademik pembacaannya harus lebih meluas dan melebar lagi!
Mulai hari ini juga saya akan kirimkan sebuah ungkapan Melayu Riau setiap hari untuk kita melihat apakah ciri-ciri pemimpin yang dikehendaki oleh masyarakat Melayu ideal.
Tuah ayam pada sisiknya Tuah manusia pada baiknya Tuah kain pada tenunnya Tuah kayu pada elok buahnya Tuah Melayu elok maruahnya Elok kain elok raginya Elok pemimpin elok negerinya Elok corak sedap dipakai Elok pemimpin elok akhlaknya Elok akhlak memimpin sesuai.
Mulai hari ini saya akan mengirimkan sebuah peribahasa setiap hari untuk kita menyelami pandang dunia Melayu dan pemikirannya.
1.Air dalam karang menonggok, setanggi campur kemenyan, gula tertumpah pada kanji=Usaha yang berhasil baik. Menonggok sama maksud juga dengan melonggok atau menimbun.
Contoh ayat:Sayur-sayuran yang subur ini adalah seperti air dalam karang menonggok, setanggi campur kemenyan, gula tertumpah pada kanji.
Apabila Wawasan 2020 diumumkan oleh Tun Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri ketika itu, sebaik-baik sahaja Malaysia memasuki awal dekad 1990-an, tidak banyak perbahasan tentang konsep negara bangsa dan kemajuan dalam acuan sendiri dibahaskan. Jikalau pun ada mungkin dari sudut ekonomi dan dagang yang melibatkan mereka yang berkepentingan dalam bidang tersebut dan suara politik sahaja dan tidak banyak perbincangan dilakukan dalam konteks sains sosial.
Secara umumnnya bahasa Melayu memang berkembang pesat sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan serta beberapa fungsi lain sejak kemerdekaan 1957.
Namun demikian Laporan DBP 1997 menyebut:
Sungguhpun begitu, kajian yang dibuat menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan belum dapat digunakan dengan meluas atau tidak memainkan peranan yang utama sebagai bahasa komunikasi bagi urusan komersil dan perdagangan dalam negeri, industri, sains dan teknologi serta urusan-urusan dalam negeri yang lain. Tempat bahasa Melayu itu telah diambil oleh bahasa-bahasa asing terutama sekali bahasa Inggeris. Malah kualiti bahasa Melayu merosot terutama apabila bahasa Melayu digunakan secara bercampur aduk dengan bahasa Inggeris.
Pencapaian menurut bidang, secara ringkas dapat disebutkan bahawa pencapaian pelaksanaannya sebagai bahasa negara dengan fungsi rasmi dan fungsi kebangsaannya. Keadaan bahasa melayu masih dalam kerendahan prestasi iaitu:
1.Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
2.Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berkualiti tinggi dan bercitra Malaysia.
3.Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan kerana ada masalah di sektor institusi pendidikan swasta dan ikut menjalar ke institusi pendidikan awam.
3.Belum luas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan keewangan.
4.Sangat rendah prestasi bahasa Melayu sebagai bahasa penyelidikan, penciptaan dan pembangunan sains dan teknologi.
5.Rendah penggunaan bahasa melayu dalam amalan industri dan bidang profesional.
Kesan daripada ini ialah bahasa Melayu hanya menjadi bahasa bazar yang hanya digunakan untuk membeli kueh mueh dan bahasa rojak. Bahasa Melayu bukan bahasa pembinaan tamadun lagi.
Pakar lingusitik seluruh dunia menyatakan sesuatu bahasa bakal pupus dengan 3 cara iaitu:
1.Kematian bahasa apabila penuturnya mati
2.Kehilangan bahasa apabila hilang kebolehan menggunakannya secara berkesan.
3.Peralihan bahasa apabila bahasa asing menggantikan bahasa ibunda dalam ekonomi, penyampaian dan pembinaan korpus ilmu, perdagangan dan perundangan menyebabkan bahasa ibunda setaraf anjing kurap.
Tanda-tanda kepupusan bahasa Melayu kian terasa saban hari apabila bahasa Melayu sudah terjejas fungsi rasmi dan fungsi bahasa kebangsaannya apabila sebahagian besar kehidupan rakyat bertukar kepada bahasa Inggeris. Ditambah dengan sikap orang Melayu yang tidak ambil kisah tentang bahasa ibunda sendiri kerana berfikiran seperti PANDIR iaitu hanya mementingkan keputusan A dalam matapelajaran serta sikap mempermain-mainkan bahasa kebangsaan menambah burukkan lagi ketenatan bahasa Melayu. Sikap ini lahir daripada pemikiran PANDIR orang-orang Melayu yang berfikiran cetek dan tidak mengenali tamadun bangsanya sendiri dalam erti kata sebenarnya-serta malas pula untuk membaca karya-karya intelektual hasilan cendikiawan pujangga Melayu. Carikkan kain kapan sediakan keranda dan luaskan lubang lahad untuk kita kebumikan bahasa sendiri.
Bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa ilmu. Catatan pengembara I-Cing yang singgah dan bermastautin selama 6 bulan di ibu negeri Sriwijaya di Sumatera menunjukkan bahawa pada sekitar abad ke-7 telah ada pusat pengajian agama Buddha di Sumatera dengan menggunakan bahasa Melayu.
Sesudah Islam menyinari Alam Melayu, bahasa dan persuratan melayu menjadi demikian kayanya dengan fungsi bahasa Melayu mengungkapkan ilmu-ilmu agama, ilmu kalam dan fiqah, muamalat, munkahat, jinayat, sirah, qiraat dan tasawuf. Manuskrip tertua bertarikh 1590 yang telah dikaji oleh Prof Syed Naquib Al-Attas iaitu terjemahan Aqaid Al-Nasafi oleh ulamak Melayu (mungkin Nuruddin Al-Raniri) ialah kitab yang membicarakan soal akidah atau tauhid. Selain itu, bahasa dan persuratan Melayu menjadi kaya dengan ilmu dan maklumat dalam pelbagai bidang lain. Sehingga kini, kita mewarisi ribuan karya yang mengungkapkan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran daripada tradisi ilmu hinggalah pembuatan persenjataan, perubatan dan pembinaan.
Karya-karya demikian ditulis dalam bahasa Melayu menjadi bukti wujudnya pemikir, ilmuwan, pujangga, pengarang, tukang kayu, tukang besi dan pembuat bahtera yang memerlukan seni ukuran dan pengetahuan alam tabi'i yang sangat menakjubkan.
Dalam bahasa dan persuratan nama-nama seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Syamsudin Al Sumatrani, Abdul Rauf Singkel, Abdus Samad al-Falimbani, Syeikh Daud Al-Fatani, Syed Muhammad Arsyad al-Banjari, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan banyak lagi telah diktiraf oleh seluruh peneliti dan orientalis seluruh dunia sebagai pendukung tamadun Melayu dalam bidang bahasa dan persuratan.
Demikian pula munculnya tokoh-tokoh dan karya-karya dalam pelbagai bidang menjadi bukti berdiri teguhnya pusat-pusat peradaban Melayu seperti Pasai, Melaka, Acheh, Patani, Banjarmasin, Palembang, Riau-Johor dan beberapa lagi. Prof A. Teeuw, sarjana Belanda mengakui bahasa Melayu tinggi sudah wujud ketika zaman perkembangan Tamadun Melayu-Islam lagi.