17 Jun 2009

Di Mana Tangkai Nyawamu?

Bertanyalah si peminta mongel
bapak katanya, tak saya pinta syiling ini
tapi mohon jawapan
tak saya ngerti di mana tangkai nyawa
pada kuasa manusia atau makanan?
Bumi serumpunku ini gegarnya luar biasa
Krakatoa alah.
Sedang aku diceracaki beribu duri dosa
anak-anak Masjid Maimun itu lagi menyoal
bagaimana rupanya jati diri hamba Allah
bak bapak, ibu atau seperti saya?
Tumpah darah dadaku
akalku punah-ranah berpindah segera
ke liang pusara di kerlipan matanya
tak kuduga sekecil itu anak
tahu erti rupa siapa
manusia bangsanya yang dewasa
dan diri wartawan tua ini
ikat janji sekukuh kota paling tua.
Katanya lagi, bapak, mari kuhantar
segera terbang ke Kaabah
sujudlah beribu jam, kelak nafas jelas.
Daeng Ramliakil
Istana Maimun, Sumatera
Karya, April 1998
Sumber Antologi Di Mana Tangkai Nyawamu Hadiah Sasterea Kumpulan Utusan 1998.
Ulasan
Puisi yang menjuduli antologi ini merupakan sebuah puisi yang padat kata dan tepat melekat ke hati saya. Beberapa kali saya cuba menghisap sakan madunya. Setiap berulang kali baca itulah saya mengalami kenikmatan berbeza-beza arasnya. Dan paling menurani ketika saya baca sesudah membersihkan diri dan tidur sebentar untuk menyegarkan minda dan jiwa.Panel berpendapat puisi ini mencapai tahap tinggi apabila persoalan pengolahan masyarakat dengan keagamaan di satukan malah terasa begitu adil di beri tafsir oleh penyair dan diberi letak duduk tanpa terlalu berlebih-lebih dengan kata-kata terlalu klise. Inilah yang dicari. Terasa segarnya apabila saya baca lagi dalam beberapa minit tadi. Ia amat parodi dimana seorang bocah yang menadah tangan bukan meminta syiling tetapi menagih tanya antara nyawa dan kuasa dimana lebih bernilai.
Mimpi
Tadi semasa saya tidur sebentar saya bermimpi Sultan Kelantan datang dan mendoakan kepada rakyatnya yang sedang sakit. Saya termangu apabila terjaga. Saya tidur setelah dipulas senguk sesudah minda saya berada dalam fasa beta yang amat mendamaikan seperti berjejak di danau terpencil di tengah rimba dalam. Syahdu bersama Tuhan.
Muhammad
Ya, pada makam Muhammad itu terlalu kasih-kasih kepada semua manusia-rakan sahabat taulan musuh-kerana itu Muhammad SAW[Ada beza antara Nabi Muhammad SAW dan Muhammad atau makam Muhammad yang merujuk kepada sifat] tidak membalas dendam seorang Yahudi yang menyimbahkan najis ke kepalanya berulang kali.
Kasih Itu Pelik
Sifat kasih Muhammad ini suatu ehwal salik yang amat memelikkan kerana kasih meraka kasih luar biasa kasihnya hatta seekor semut kasih pada semua walau kepada manusia terjahat sekalipun. Yang kotor itu jasad yang mempertuhankan nafsu sahaja, bukan roh yang bersaksi di depan Tuhan itu. Barangkali cuma lupa bila roh di masukkan ke dalam jasad, ia mengikut nafsu yang Alah telah hempaskannya di dasar neraka paling dalam ini yang masih ber-AKU-an lagi. Kau engkau. Aku akulah. Kata nafsu.[Tak bermaksud aku yang merujuk kata ganti nama diri pertama] Nampaknya saya sedang belajar memahami nafsu yang meliang liuk ini. Ehwal sifat Muhammad itu lain, ia suatu sifat sejati roh yang azali memang begitu. Kata mursyid saya, jangan dibenci manusia yang khianat [banyak berdosa] kerana jika Allah meletakkan dirimu ke tempat mereka belum pasti kamu akan selamat. Kasihlah kepada mereka. Saya sukar untuk kasih kepada mereka, tetapi apabila Allah memberikan ruang saya berkenalan dan bertemu dengan mereka maka saya pun belajar sesuatu bahawa nafsu itu mesti dilenturkan. Difahamkannya di mana letak duduknya yang pasti supaya ia tidak melampaui akal dan roh memanjat duduk di atas singgahsana.
Puisi
Ah, nampaknya saya boleh menulis puisi tentang ini. Saya tidak tahu adakah mereka akan suka entri ini atau puisi itu. Tetapi itulah yang lahir daripada hati dan jiwa saya tatkala ini walau sesekali saya hairan betapa memelikkan makam Muhammad ini. Nafsu saya tidak berapa menyukai saya patuh kepada nurani. Namun ini kerta Allah. Allahlah arkitek makrifatullah. Allah membenarkan watak antagonis itu wujud. Kata mursyid saya lagi sesudah salik sampai ke makam Muhammad maka mursyid tiada hak lagi. Diri salik dalam hak Allah sepenuhnya. Allah lah yang menggenggamnya. Allah yang akan mengajar hambaNya untuk melihat merasa dan memandang sendiri. Berlaku tolak menolak dan tarik menarik dalam diri suatu perkara biasa. Namun memandang kasih semua perkara suatu yang luar biasa. Saya rasa ini tidaklah lama, melainkan sebentar sebelum saya menjadi diam seperti hari-hari lalu terutama waktu saya bermula menempuh jalan ini. Bezanya saat menempuh tiada ehwal demi ehwal yang berupa antaranya ujian demi ujian pada setiap makamnya. Hanya peningkatan [terlalu laju, kata mursyid saya itulah berguna piir]
Harapan
Setelah tinggi sedikit sebelum menakah lagi, nampaknya Allah menghentikan kita, dan di situlah Allah letakkan ujian.Semoga aku memahami kemanusiaan dan aku melepasi ujian dengan baik-baik belaka. Dan aku tahu ia semakin ke penghujung...dan aku tidak tahu ke mana pula aku akan menakah dan macam mana pula ehwal pada makam seterusnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan