26 Mei 2012

Mengenang Tok Awang Ngah dan Ketokohannya 4

Salam sejahtera. Ilmu perubatan secara tidur dengan kembaraan roh bukanlah perkara baharu sebenarnya. Tetapi kalau kita nak katakan siapakah yang menguasai tekniknya dan hikmahnya tak ramai kita boleh tunjuk. Tok Awang Ngah antara yang paling berjaya sebenarnya dalam pengamalan ilmu sebegini. Tok Awang Ngah bukan sahaja berjaya semasa tidur malah berjaya dengan hanya melalui tafakur sahaja. Inilah rahsia tafakur yang barangkali tidak diketahui secara mendalam oleh kita walhal tafakur itu sendiri adalah sangat dianjurkan dalam agama kita. Saya sendiri sudah beberapa kali secara tidur merawat beberapa pesakit, sama ada saya kenal atau tidak. Mimpi itu bukannya mimpi merepek tetapi lengkap hujung pangkalnya dan saya tahu dengan terang sekali bagaimana saya merawat pesakit dalam mimpi saya. Pos sebelum ini menyatakan penguasaan ilmu roh atau kenal diri oleh Tok Awang Ngah memang itulah jawapan terhadap kemampuan yang dimilikinya selama ini. Ada dikalangan kita hendak ilmu macam TAN tetapi tidak mengusul diri maka bagaimana nak tahu ilmu yang sejak azali ada pada kita ini? Kita kenal diri kita setakat jasad, anggota badan dan akal fikiran sahaja tak lebih daripada itu. Walhal diri kita sempurna zahir dan batin. Renung-renungkanlah. Sebab itu dalam satu buku TAN yang terawal Jilid 4 (ada dalam kereta saya, lupa pula nak membawanya naik ke atas) ada menceritakan bagaimana TAN menidurkan orang lain dan membawa roh orang itu menembusi alam ghaib. Inilah persoalan yang mungkin membingitkan jika sampai terbaca oleh golongan yang hanya berhenti pada cerapan pancaindera dan nalar logika. Tetapi di sana ilmu roh atau kenal diri bukanlah ilmu batin yang berada di luar daripada Islam. Tetapi ia berada dalam wilayah kesyumulan agama Islam itu sendiri. Orang sekarang kenal Islam pada nama dan masjid. Lagi banyak masjid maka Islamlah kita walhal banyak atau sedikit masjid bukanlah perkiraan besar melainkan keutuhan iman dan penyertaan anak kariah memakmurkan masjid itulah yang patut dijadikan keutamaan. TAN akan terus menjadi lagenda dalam cerita seram negara kita dan saya syorkan cerita TAN ini dibukukan dalam koleksi yang lebih baik kulit buku dan kualiti kertasnya. Dijilid tebal. Sebenarnya di sana masih banyak lagi orang kita yang tahu ilmu yang diluar arus perdana ini. Bukan menjadi suatu keanehan pun.

16 Mei 2012

Mengenang Ketokohan Tok Awang Ngah 3

Nampaknya komentar terhadap entri Mengenang Tok Awang Ngah dan Ketokohannya 1 dan Mengenang Tok Awang Ngah dan Ketokohannya 2 mengujakan saya. Walau tanpa nama tapi komen yang dibuat antaranya yang menyatakan sebagai anak kepada TAN dan murid kepada anak murid TAN sangat menarik. Apatah lagi dipetik kata-kata hanya jauhari mengenal manikam dan juga tentang ROH.
            Jadi tidak bersalahan lagi saya ingin menegaskan ilmu tentang roh sememangnya amat sedikit tetapi dalam sedikit itulah ada hakikat kepada penyaksian Allah Yang Maha Esa. Saya berani memperkatakan demikian.
            Masakan tidak kalau bukan kerana bukan kerana Allah yang Maha Esa lagi Berkuasa mencipta pelbagai alam ghaib dan menghembuskan ROH ke jasad Adam! Maaf saya bukan nak berdebat. Kalau setakat berdebat menggunakan pendapat itu masih ditakuk mana. Penyaksian itu di takuk mana. Hah, silalah kaji kalau berani!!!
           Sudah tentu kita biasa mendengar turutan ini, syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Apa yang disentuh tentang alam roh dan kembaraan roh merentasi alam demi alam dan juga pengalaman pengembaraan roh dalam Siri Berkelahi Dengan Syaitan bukannnya syiah. Bukannya ajaran sesat. Saya membaca buku Abdul Fatah Haroun sampai yang terkini tentang akidah dan buku terbitan DBP itu sudah cukup menjelaskan kekeliruan Abdul Fatah Haroun yang memukul lambak dan menghukum sesat.
           Siapa Tok Awang Ngah sebenarnya?
          Syukur masih berpeluang lagi kita menghirup udaraNya. Semoga kita sentiasa mendapat limpahan anugerahNya. Entri kali ini saya ingin berkongsi tentang Tok Awang Ngah. Siapakah Tok Awang Ngah? Beliau ialah Allahyarham penulis dan sasterawan Negeri Sembilan bernama samaran Dharmala NS. Manakala nama sebenarnya ialah Abdul Muluk Daud. Blog ini menyatakan Abdul Muluk Daud atau Dharmala NS ialah Tok Awang Ngah penulis buku seram atau novel seram popular berjudul Siri Berkelahi Dengan Syaitan (SBDS). Sebelum itu saya saya diemailkan oleh anggota keluarga allahyarham Dharmala NS yang menafikan maklumat tersebut selepas saya menulis beberapa entri berkaitan Tok Awang Ngah antaranya boleh rujuk di sini. Blog wanmus dalam rujukan pertama di atas berlapik-lapik apabila menyebutkan bagi menjaga hati anggota keluarga Dharmala NS. Tidak dinyatakan pula kenapa tidak diterangkan lebih mendalam identiti Tok Awang Ngah mengikut penyiasatan wanmus. Dalam sumber ini dinyatakan Tok Awang Ngah ialah Abdul Latip bin Ahmad. Dan sumber tersebut juga tiada rujukan yang kuat bagi membuktikan kebenaran dakwaannya.
          Saya fikir kalau pembaca berminat untuk mencari boleh merujuk kepada anggota keluarga Allahyarham Tan Sri A. Samad Idris kerana beliau juga adalah Mamak Bandaro , mamak kepada Tok Awang Ngah yang mempunyai kebolehan ilmu sama dengan TAN. Orang-orang lama Nasrul Haq juga boleh dirujuk untuk mendapatkan cerita lama. Sebenarnya masih banyak cerita lama 'orang-orang pandai' yang belum kita generasi muda ini ketahui. Manalah tahu dalam cerita mereka ada pengajaran buat kita generasi gajet ini. Apakah kita mahukan generasi yang hanya suka menekan punat, bermain permainan digital, mengadap tv, atau melayari internet dan berhiburan tanpa mengenali susuk peribadi bangsanya sendiri. Berikut sebahagian buku seram atau novel seram TAN yang masih belum terusik oleh pengkaji sastera mana pun. Kita juga pelik dunia sastera kita sangat terkongkong agaknya sarjana sastera kita terlalu malu untuk mengkaji novel seram ini kerana bagi mereka tahyul dan khurafat. Janganlah menuduh sebarangan kalau belum meneliti dan membaca dahulu. Bacalah dahulu baru tahu. Kalau kita boleh menerima Barat sebagai dalil kajian akademik kita kenapa sumber kita sendiri kita pejamkan mata...
          Antara buku, karya, novel seram yang saya miliki , hasil penulisan Tok Awang Ngah. Buku ini mengajar saya sesuatu tentang kebesaran Allah sehinggalah menjadikan hidup yang saya rasakan kini amat bermakna. Alhamdulillah. Hidayah boleh datang dari pelbagai arah dan cara. Adakah kita mahu sedar atau mahu terus suka dibuai dunia yang sementara?Aduhai.  TAN adalah saudara saya, saudara kalian juga, bersama-sama kita mengenangnya. Ilustrasi buku hanya umpan semata tetapi isi kandungnya mendewasakan saya sebagai seorang pembaca. Jika saya meletakkan diri saya sebagai seorang anak muda yang lahir dalam tahun 90-an sehingga kini boleh saya katakan karyanya ini memberikan inspirasi kepada saya dalam banyak hal bahkan tidak salah dikatakan 'menguatkan keyakinan' saya terhadap kekuasaan Allah dan begitu luas dan misteriusnya alam ini.

Marilah menyuluh diri agar segala rahsia terbuka sendiri.