07 Jun 2009

Semut

Semasa di pasaraya UO, Pasar Seni, sebelum membeli barang keperluan saya naik ke tingkat teratas sekali dengan dibawa oleh eskalator yang terhegeh-hegeh.
Di situ ada kedai-kedai makan. Setelah membeli makanan saya memilih meja paling rapat ke dinding kaca. Di luar kaca separuh suasana kotraya KL terpampang di depan mata. Kawan saya, P merungut:
"Antara makan dengan menulis mana kau pilih terlebih dahulu?" Saya terdiam. Kawan saya bernama B pun mencuit lengan saya. Katanya:
"Lebih baik kau makan dulu sebab kalau kau tulis dalam keadaan kau lapar, hasil tulisan kau tidak mencengkam."
Aku menggerakkan jari telunjukku kepada P dan B.
"Apa masalah ini?Aku akan melakukan kedua-duanya serentak. Bagaimana?Aku tidak fikir kalian mempunyai hati dan akal sepertiku untuk membuat keputusan untuk aku. Aku sudah biasa membuat keputusan sendiri!"
P dan B mencebik.
"Kau telalu kasar. Jadi tulisan kau dan kata-kata kau juga akan kasar."B menyokong.
"Kau seharusnya belajar menghaluskan perasaan dan perkataan melalui tulisan juga pertuturan . Alangkah pentingnya hubungan dan komunikasi dibina atas dasar saling faham memahami."
Aku terkejut. Dek kematian akal untuk menjawabnya aku langsung menyumbatkan P dan B ke dalam beg kembaraku. Nasi masih panas dengan telur goreng sama ulam serta sambal yang menjadi hidangan ringkas kegemaranku.
Namun seleraku mati. Ingatanku dipenuhi oleh sesuatu perkara. Mataku bergilir pindah antara dua puncak Bangunan Berkembar Petronas. Alangkah indahnya berada di puncak apatah lagi di dua puncak. Bagaimanakah berasa kepuasan berada di dua puncak itu sekaligus dinikmati oleh diri?
Ilham terjelupuk ke celahan hangat antara belahan serebrumku ketika mataku hinggap pada bingkai cermin jendela. Oleh kerana kawanku, iaitu P dan B sudah dikurung dalam begku, begini lebih kurang kutuliskan ilhamku yang tercungap-cungap itu di dalam hatiku.
Semut
bunuhlah aku
hurunglah cintaku
heretlah jasadku
ke sarangmu
buatlah apa jua
mahumu
sepasrah mahu dikenal dan dicintai!
~~~
Bait-bait diatas tercipta setelah 2 mesej yang kuhantar tidak berbalas. Dan sangatlah aku terasa hati. Ini bukan cinta biasa. Tetapi cinta luar biasa!
Semut simpatik dan memberikanku secebis kotak impian. Dalamnya ada kata-kata ini:
cinta itu seperti kopi
tanpa gula
dicicah roti patta.
impiannya:Tambahlah sedikit gula!
Aku tersandar ke dinding.
Semut mengeleng hiba.
Pra Pertemuan Bumi Yan, Kedah
7 Jun 2009
12.30 tgh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan