Penghayatan skrip yang tepat berjaya banyak menyumbangkan kepada kejayaan sesebuah persembahan. Seorang pelakon perlulah mempunyai imaginasi dan penghayatan serta pengalaman untuk memudahkannya memahami sesebuah skrip. Pengarah yang berpengalaman juga turut memainkan peranan di dalam membentuk dan membimbing pelakon di dalam menjadi seorang pelakon yang berjaya.
Seorang pelakon bukan sahaja perlu untuk menghayati skrip yang telah dihasilkan tetapi dia juga perlu untuk memahami teks dan skrip yang diberikan. Mencari matlamat utama sebuah skrip dan mencari persoalan utama yang ingin disampaikan oleh pengarang dapat memberikan satu kemudahan di dalam menjiwai sebuah cerita. Kita juga perlu mencari suatu “motivating force” atau matlamat utama di dalam setiap perlakuan.
MENCARI PERSOALAN DAN MAKSUD UTAMA YANG DINGINI OLEH PENULIS :
- Mengetahui apa yang diperlukan oleh seorang pengarah dan juga matlamatnya di dalam menghasilkan skrip akan turut membantu pelakon di dalam prosesnya untuk memahami dan menghayati skrip. Seorang pengarah terkemuka daripada Rusia,
Constanstin Stanilavski menulis : “Persoalan mengenai tema dan persoalan utama di dalam skrip perlu disetkan di dalam minda pelakon sepanjang persembahan, kerana ia akan membentuk satu “kelahiran” kepada tema dan persoalan utama yang ingin disampaikan oleh penulis. Ia juga menjadi kayu ukur kepada kreativiti seorang pelakon di dalam bekarya ” (An Actor Prepares : 256-258). Beliau juga memanggil perkara ini sebagai “super objective” atau matlamat utama sebuah lakonan :
“Di dalam sebuah persembahan, keseluruhan aliran secara individu yang terdapat di dalam pelakon, matlamatnya, objektifnya untuk mencapai sesuatu perkara serta perasaan, tindak tanduk yang dilakukan oleh seorang pelakon akan dibawa di dalam “super objective” plot sesuatu cerita. Kaitan di antara keduanya ini harus kuat dan perkara yang signifikan yang tidak berkaitan dengan “super-objective” ini perlu dikesampingkan dan perlu diketepikan.”
- Harold Clurman berpendapat bahawa “tiada satu watak pun yang akan dapat difahami kecuali seandainya seorang pelakon itu berjaya untuk memahami dan menghafal keseluruhan teks dan skrip” (The Priciple of Interpretation).
a) Mencari sesuatu asas kepada sesuatu aksi di dalam naskhah adalah perkara yang paling utama kepada seorang pelakon. Jika seorang pelakon itu ingin mencapai kejayaannya menjadi seorang pelakon yang kreatif dan mempunyai kelasnya yang tersendiri dia perlu berusaha untuk memahami keseluruhan tema dan persoalan melalui usahanya sendiri.
b) Untuk mencari sesuatu maksud yang tersurat dan tersirat, kita perlu mengenalpasti melalui pembacaan yang berulang kali dan bukan sekadar membaca dan memahami sesuatu cerita hanya berdasarkan kepada naskhah cerita tetapi perlu juga memahami “story flow” tersebut.
c) Cerita dan perwatakan menggabungkan di antara keduanya di dalam membentuk sebuah plot dan melaluinya penulis akan membuat satu bentuk “observation of life” yang merupakan asas utama kepadanya di dalam menulis skrip. Mendedahkan pemerhatian ini merupakan tujuan utama seorang pelakon apabila persembahan itu dipersembahkan.
- Pelakon dan pengarah perlu bergerak jauh untuk menentukan kehendak asas di dalam menentukan kehendak penulis yang menjelaskan maksudnya apabila mencipta sesuatu konflik di dalam skrip yang dihasilkan. Perkara ini menurut Clurman dipanggil “spine”. Ia bertindak sebagai sebagai panduan kepada pelakon dan pengarah kerana ia merupakan faktor utama kepada sebuah persembahan. Sebagai contoh drama Romeo and Juliet karya William Shakespeare. Pokok persoalan utamanya ialah bagaimana perasaan benci yang melampau akan membawa kepada penderitaan dan kematian, namun begitu ia perlu diatasi dengan perasaan dan kuasa cinta di antara kedua watak tersebut. Tulang belakang atau “spine” kepada drama ini ialah mengharungi semua rintangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi.
MENGINTERPRETASI SEBUAH SKRIP :
(PERTEMBUNGAN DI ANTARA WATAK LAKONAN DAN PERSONALITI PELAKON)
- Di dalam menjalankan tugasnya untuk berkomunikasi selaku seorang pelakon di dalam persebuah persembahan, seorang pelakon itu memegang dua personaliti. Dia telah membahagikan dirinya kepada dua watak. Satu, dia memegang watak yang dimainkannya dan satu lagi ialah personaliti dirinya sendiri. Penyataan bahawa seorang pelakon itu tidak harus "terbawa-bawa" atau hanyut di dalam wataknya ini sering digunakan oleh George Bernard Shaw; "Perkara yang tidak dapat dimaafkan ialah menjadi watak itu dan bukannya memainkan watak tersebut." ( Shaw: 1966). Seorang penulis menulis sesuatu watak bukan semata-mata untuk hiburan kepada audiens sebaliknya dia ingin membuat pemerhatian mengenai kehidupan yang dirasakannya betul dan benar.
- Di dalam mencipta watak dan menghayati watak tersebut, seorang pelakon perlu membuat ulasan tentang wataknya dan menceritakan tentang persoalan yang ingin diterjemahkan ke atas pentas oleh penulis dan jika mampu, sehingga ke peringkat beliau memikir dan merasakan tentang tingkahlaku watak dan perwatakan itu.
-Di dalam soal "dual personality" pula pelakon harus membuat keputusan apakah cara yang dikiranya terbaik bagi dirinya untuk mencari kesesuaian di dalam membentuk personaliti yang terbaik bagi dirinya. Ia akan ditetapkan lagi dengan bantuan setelah kita memahami skrip itu. Di dalam sesetengah karya klasik seperti ketika zaman Elizabethan (karya seperti Hamlet), banyak pelakon yang dapat memahami karya Hamlet disebabkan oleh pemahaman mereka yang mencukupi dan mendalam tentang karya tersebut.
RESOLUSI
Di dalam perbezaan bentuk karya dan zaman ia dihasilkan, perkara-perkara inilah yang akan membantu pelakon untuk memahami teks yang dibaca dan dihayati. Pelakon akan dapat menafsir dan menjiwai watak dan juga cerita yang dipersembahkan dan dilakonkan. Permulaan utama bagi seorang pelakon yang paling utama ialah apabila pelakon telah benar-benar memahami dan menjiwa sesuatu watak setelah mereka memahami dan berjaya menginterpretasikan teks atau naskhah lakon tersebut.
Dengan kata lain, pelakon akan menggunakan wataknya untuk mengekspresikan keseluruhan maksud penceritaan drama tersebut. Pelakon akan menerangkan secara terperinci tentang maksud dan pengertian drama yang dilakonkannya berdasarkan kepada lakonan yang benar-benar mantap dan mendatangkan kesan yang mendalam bukan sahaja kepada audiens malahan kepada dirinya sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan