27 Februari 2009

Isteriku

Isteriku
meski kau bukan
yang pertama
kota cinta kita
tetapkan utuh
sedari mula
kau datang
merawat hatiku
yang parah ditikam
belati cinta pertama

kini
berdekad-dekad
kau menjadi pemaisuri
di kota ini
cahaya mata yang lahir
menjadi bunga taman
pelangi melandskapi
kota cinta kita
dan aku sebagai rajanya
tetap setia dan perkasa
membentenginya!

isteriku
usah percaya pada mimpi
usah percaya pada cerita
"seorang lelaki akan mencintai seseorang
wanita, namun akhirnya akan memiliki
selain yang satu itu"
kerana itu akan menjadi api
yang akan membakar kota cinta kita!

isteriku
lenalah di bahuku
hentikanlah racaumu
biar aku panah
si penggaruk qalbu
itu dengan panah zikrullah

isteriku
eratkanlah dakapanmu
hentikanlah racaumu
biar aku tepi feminisma itu
dengan perisai samawi
wahyu dan sabda

kerana aku suamimu
ingin mengajakmu
menjejak denai bahagia ini
yang dihujungnya
adalah syurga

Mohd Ali Atan
Dewan Sastera
Julai 2007

Tiada ulasan:

Catat Ulasan