22 Februari 2009

Tonton dan bikinlah








Aku sedang menonton filem berikut dengan kritis :

-Slumdog Millionaire (2009)
-No Country For Old Men (2007)
-There Will Be Blood (2007)
-Children of Heaven (1998)

Keempat-empat buah naskhah filem ini sarat dengan tema kemanusiaan yang tinggi. Menang anugerah. Dan berkait dengan apa yang aku sedang bikin sekarang:

-Tiga Impian (judul sementara)

Benar ia sebuah mimesis. Namun bukanlah ideanya. Bukan menciplak ceritanya. Tetapi cara bagaimana idea diolah menjadi sebuah visual yang bercerita. Itu penting. Hal ini kerana aku bukan graduan dalam bidang filem maka aku mesti menonton dengan agak banyak dan kritis juga filem yang menang anugerah atau tidak. Aku fikir belajar dengan cara ini lebih berkesan daripada berteori semata-mata. Apatah lagi berdepan dengan pensyarah yang baru buat sebuah dua filem atau pensyarah yang bikin filem jamban!

Tentang apa yang aku bikin sekarang ialah hakikatnya ia sebuah filem. Ini adalah naskhah kedua aku. Aku tidak peduli tentang naskhah pertama yang masih tidak 'terjual'. Aku seorang penulis. Aku baru 24 tahun. Aku tidak takut berdepan dengan mitos kehidupan. Semuanya ketentuan Allah jua. Yang penting aku mahu belajar menulis dengan baik, naskhah demi naskhah-sehinggalah sampai ketika naskhahku itu difilemkan.

Sekurang-kurangnya aku tidak hipokrit kepada Allah hanya bersyukur ketika diberikan rezeki. Kita semua penulis muda masih ada peluang dan harapan. Mengkomentar dan mengulas. Berblog. Menonton lagi. Menyediakan waktu untuk berfikir dan menulis. Bersantai di tengah masyarakat. Dan juga bersendirian bersama Allah. Diri, jangan tolong jangan berikan sebarang alasan.

Kita bukan dipenjara. Seperti Pramoedya Ananta Toer atau penulis dan pelukis agung dunia yang lain-mereka menulis dan melukis semata menurut bakat alamiah dan anugerah Tuhan tanpa memikirkan anugerah bikinan manusia. Jangan dicari anugerah. Anugerah akan sendiri datang mencari kita. Biarkan proses alamiah ini berlaku. Ikhlas. Dan berkorban apa sahaja.

*Aku tidak kecewa dengan dunia prosa. Cuma aku mencuba sesuatu yang baharu. Dan cuba keluar daripada kelompok yang mendefinasikan karya mereka semata sebagai sastera tinggi itu. Ya, aku rasa selesa menjadi burung pipit bebas di angkasa daripada harimau sarkas di dalam sangkar!
*Kepada penulis/graduan filem sila jangan seronok menonton hasil karya orang luar sahaja. Seronok mengulas dan mengumpul peminat sahaja. Sila bikin naskhah anda sebaik atau lebih baik daripada naskhah yang anda tonton. Sama-sama kita memajukan sinema filem negara kita ke mercu jaya dan beridentiti sendiri!Juga tidak lupa seronok ditonton!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan