Aku masih teringat suatu ketika aku sedang beriktikaf di sebuah masjid, satu majlis ceramah agama diadakan. Aku berada di belakang masjid di belakang tiang memencilkan diri. Bukanlah aku mahu berlagak tetapi aku lebih selesa mengamalkan agama daripada bercerita tentang agama. Aku tidak mahu sekadar hanyut dalam retorik tetapi tenggelam dalam mengingatiNya. Itu lebih bermakna bagiku. Namun sesekali apa yang dicakapkan sang ustaz sampai juga ke telingaku. Tiba disuatu ketika, aku terkejut mendengar kata sang ustaz tersebut. Katanya, budaya dan adat tiada dalam agama yang ada Islam sahaja. Tidak ada budaya Melayu atau adat Melayu. Tidak ditanya dalam kubur kamu budaya apa adat apa. Itulah kata-kata paling bangang yang sampi ketelingaku pada malam itu. Mahu saja aku mendapatkan ustaz yang bersemangat menarik perhatian jemaah yang sedang menanti bilakah solat Isyak akan didirikan lantaran sudah melewati waktu Isyak beberapa lama. Namun aku menyabarkan hati. Ia semacam ujian. Sang khannas. Aku yakin ustaz yang bercakap itu tidak memahami sepenuhnya apa yang dia cakap. Ustaz, kalau benarlah kamu menolak budaya maka kamu jangan pulang ke kampung berhari raya. Jangan makan lontong, nasi himpit, kuih semperit, kuih pelita, cakar ayam, tempoyak, sambal belacan, ketupat, nasi kerabu, nasi dagang, nasi minyak, jangan makan semua itu. Itu baru tentang makanan. Ustaz yang menolak budaya jangan tolong jangan cakap bahasa Melayu. Jangan juga memakai baju telok belanga, baju kurung. Jangan pakai songkok. Jangan bukak kasut bila masuk ke dalam rumah. Apa itu rumah kamu?Rumah Melayu itu sila robohkan. Ustaz yang menolak budaya tersebut mesti ternga-nga mulut. Maka sahihlah dia tidak memahami apa itu budaya dan kebudayaan. Allah kata'Aku jadikan kamu berbangsa-bangsa agar kamu saling kenal mengenali...'. pada ayat yang lain ....agar kami dapat melihat siapa yang lebih beramal soleh'. Budaya dan agama suatu yang tidak terpisah. Agama dari langit. Budaya daripada manusia. Apabila agama datang mencerahi hidup maka budaya diikut dalam panduan agama. Budaya tetap wujud. Jika kamu tidak faham juga, menolak budaya maka silalah jangan berkomunikasi dengan bahasa Melayu atau bahasa apapun dalam dunia ini. Jadilah binatang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan