Tanpa konflik filem tidak akan jadi sebuah filem. Ia mungkin sekadar babak demi babak yang dirakam mendatar tidak beremosi. Dalam filem Geng, konflik bermula apabila watak-wataknya tersesat dalam hutan. Lebih tepat pengembangan konflik. Menyimpan identiti siapa hantu durian merupakan suatu yang baik. Namun penonjolan imej hantu durian dengan suara dan rupanya dipermulaan pengembangan konflik agak merugikan. Aku tidak ada masa untuk menulis per se babak konflik dan pengembangan tersebut. Aku yakin yang membaca blogku ini kebanyakkannya telah menonton filem Geng. Bila aku mengulasnya diharapkan kalian dapat terus menangkapnya-melainkan kalian menonton filem Geng semata-mata untuk berseronok bersama anak-anak sahaja.
Harmoni
Apa itu harmoni?Aku tidak mengaji filem. Tetapi pengalaman aku menonton filem membuatkan aku dapat mengetahui bahawa elemen harmoni amat penting agar filem hadir sebagai sebuah katarsis.
Geng tiada harmoni
Ia bermula pada babak-babak pengembangan konflik yang bermula sejak kemunculan ular, lintah dan hantu durian dalam babak-babak kejar mengejar. Lawan kepada harmoni ialah kekerasan. Dengan kualiti bunyi yang baik, aku rasa tidak perlu mereka menonjolkan bunyi suara dan muzik latar babak kejar mengejar itu dengan keterlaluan sehingga membingitkan telinga. Penonton bukannya pekak! Terdapat babak antara babak dengan babak yang berlanjutan bingit dan kerasnya. Langsung tiada harmoni.
Filem Aksi pun ada Harmoninya
Filem aksi sekalipun banyak mempunyai elemen harmoni. Penonton seharusnya tidak terlalu dipaksakan untuk berasa teruja, takut dan terpegun. Sebaliknya unsur harmoni dalam filem membuatkan penonton menghayati babak aksi yang ganas tanpa dipaksa-paksa dengan bunyi yang berlebih-lebih serta unsur grafik yang terlalu cepat dan besar.
Grafik dan tempo
Dalam Geng unsur grafiknya ditonjolkan agak berlebihan dalam beberapa babak dan babak tersebut amat cepat temponya dan memeningkan kepala untuk aku menghayatinya. Sebagai seorang penonton yang sudah banyak menonton filem dan mempunyai pengalaman menonton berbagai genre filem aku merasakan bahawa betapa peri pentingnya penulis dan pembikin filem meneliti hal ini. Ini kerana filem tanpa elemen harmoni akan membikin kekerasan, keterlaluan dan kecelaruan.
Terlalu mudah
Watak hantu durian ialah Sighn-terlalu mudah. Begitu mudah sekali!Setelah watak hantu durian diberikan pengenalan mempunyai suara yang garang, badan yang agam dan gerak aksi yang tangkas bila sahaja Sighn membuka topengnya kesemua sekali ciri-ciri misteri hantu durian ghaib sama sekali.
Dengan memakai topeng hantu durian maka suara watak akan berubah. Klise dan tiada unsur kejutan langsung. Kalau kita menonton filem barat, semakin menuju pengembangan konflik maka semakin teruja penonton sehinggalah rasa teruja itu terpenuhi dengan pendedahan yang mengejutkan!
Atau setidak-tidaknya terasa relevan sesuai dengan aras ingin tahu penonton terhadap watak pada babak pengenalan watak yang terlebih awal. Dalam Geng babak pengembangan konflik menuju ke klimaksnya terasa amat biasa-cuma yang mujurnya dan bernasib baiknya animasi Geng amat baik kualitinya.
Animasi
Geng berada pada tahap 5 bintang. Teknik pelontaran suara wataknya berkesan dan mempunyai identiti tersendiri. Ia suatu perubahan dalam filem animasi dan filem Malaysia seluruhnya. Jika hendak tahu apa bezanya lontaran suara watak-watak dalam Geng cuba bandingkan dengan lontaran suara watak dalam drama animasi Keluang Man contohnya. Lihat betapa cepat, segar dan bertenaganya lontaran suara watak-watak dalam Geng dan betapa lembab, basi dan longlainya lontaran suara watak-watak dalam Keluang Man.
Deduksi
Geng : Pengembaraan bermula berjaya sebagai sebuah filem animasi yang agak berbeza daripada filem animasi sebelumnya. Namun plotnya mesti diperkemaskan. Teknik bunyi dan grafik mestilah diteliti. Cerita juga mesti diambil perhatian. Pengisian juga mesti dihalusi. Contoh yang nyata seperti yang aku sebut sebelum ini ialah azan maghrib yang berkumandang sepatutnya watak datuk Badrol tidak menyuruh Badrol dan Lim bersiar-siar di waktu maghrib sebaliknya mandi dan berehat di rumah. Biarlah ada pengkritik mengatakan pengulas tidak berhak menentukan cerita yang sepatutnya dalam sesebuah filem. Tujuan aku jelas iaitu agar kesilapan mudah begini tidak lagi dilakukan. Pengembangan konflik dan klimaks janganlah terlalu diambil mudah. Benar Geng untuk kanak-kanak sebagai sasaran utamanya namun kebanyakan filem animasi yang berjaya ditonton oleh semua lapisan anggota masyarakat. Benar, Geng ditonton oleh pelbagai golongan masyarakat. Mereka berasa gembira dengan Geng. Kegembiraan itu pada aku merupakan kegembiraan pada tahap permulaan iaitu agak berbeza sedikit sahaja. Jikalau tanpa sokongan animasi yang baik dan lontaran dialog yang mantap dan beridentiti maka aku yakin Geng tidak akan menjadi sebuah filem yang hebat. Tetapi haruslah diingat sesebuah filem itu hebat bukan kerana satu dua faktor tetapi paduan semua elemn yang membina filem itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan