Berkumandang suara itu melalui pembesar suara yang terlekat di kepala lori sederhana besar yang bergerak perlahan-lahan mengitari kawasan perumahan aku tinggal. Aku menjenguk ke bawah (Aku tinggal di tingkat 4). Ada seorang dua wanita Indoensia 'menukar' tilam lama dengan tilam baru. Ada perbualan antara mereka yang pekat dengan tutur Indonesianya. Ia suatu babak dalam kehidupan. Sebelum lori yang menggalas tilam di belakangnya meninggalkan tempat ini bergerak ke tempat lain. Babak lain pula berlaku. Aku merenung Sungai Klang yang mengalir letih. Matahari pucat jatuh di permukannya. Airnya sepucat-pucatnya. Bangunan-bangunan serata Kuala Lumpur tegak kaku dalam redup cuaca. Nun di seberang sungai terbaring menjajar rumah kampung. Selalu mengingatkan aku kepada desaku bernama Yan. Di sepanjang kampung tersebut ada kenderaan bertali arus membelah jalan sama ada menuju ke Kuala Lumpur atau menuju ke Puchong. Angin pagi malas mengusik rambutku. Aku menguap dan berundur dari jendela. Aku ada temujanji hari ini. Dengan Sarah Syahira. Aku merasa agak pelik dengan Farahana. Setelah mendapat kesemua yang diperlukan untuk dia menulis drama tersebut, tiba-tiba dia sms kepada aku untuk tidak meneruskan. Masalah peribadi katanya. Bila aku telefon tidak mahu menjawab pula. Aku hanya berharap kepada kejujuran manusia yang kian hilang seperti debu yang berterbangan. Jika sebaliknya terpaksalah aku berlawan. Walau mungkin aku gagal mempertahankan hak. Ah! Jauh aku berfikir! Dan aku yakin bahawa rezeki ditentukan Allah semata. Yang baik biasanya tidak akan tertolak. Walau dunia kini menyediakan tempat untuk si jahat berleluasan. Dalam terang. Dalam gelap. Menumbangkan yang baik! Kak, dunia bukan sekadar kehidupan. Ia adalah babak-babak yang dirakam dengan cermat. Filemnya akan diputarkan kembali. Dan aku berusaha membuat yang terbaik. Kita semua, ya. Semestinya bakat dan minat serta kesungguhan yang ada pada kita. Jangan dipersiakan. Sama ada untuk memenangkan yang jahat ataupun berputus asa beralih ke arah lain. Seperti aku yang mahu keluar. Tetapi tiada jalan keluar. Aku sudah ada cangkul tempat dan tenaga untuk mengorek bumi. Yang dibawahnya timbunan emas tidak terkira nilainya. Dan emas itu untuk semua. Menikmatinya. Merasainya. Bukan. Ia bukan tentang material dan kapatalisma. Walau kita terpaksa tumbuh di dalam pagarnya. Kita sendiri berpucuk ke langit menyedut udara dan mengumpulkan cahaya matahari. Seterusnya kelopak bunga yang mengembang dari kuncupnya. Mewarnakan mayapada. Insya Allah.
Aku(V/O)
Aku kembali ke 'tilam' burukku. Cuba merasakan berbaring di atas pelepah tamar yang keras menekan kulit dan uraf di belakang tubuhku. Teringat Rasulullah. Tangisan sahabat. Dan jawapan baginda, mengelopakkan bunga syukur di taman sukmaku...Emmm.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan