18 Februari 2009

Ulasan Filem Geng : Pengembaraan Bermula-20 Minit Pertama-

Rasa, Hati dan Harapan
Apabila kita ke panggung, kita bukan membuang duit secara percuma. Kita membawa rasa, hati dan harapan. Walaupun harga 7-12 ringgit per tiket itu tidak dapat ditukar dengan material melainkan slip tiket yang menyemakkan saku akhirnya, kita tetap berkunjung ke panggung untuk menonton filem. Filem adalah karya seni dan produk seni dalam bentuk digital. Daripada bunyi hinggalah sinematografi serta kesan-kesan khas yang dijana oleh komputer-filem adalah hasil seni yang dapat ditangkap dengan pancaindera lalu berkumpul di hati. Maka hatilah yang menentukan rasa menonton filem itu bagaimana-bukan sekadar tertawa menangis melankolik suspen teruja kagum. Filem seharunya memberikan rasa pada hati dengan rasa yang paling dalam halus dan abtsrak bercabang-cabang sifatnya. Akhirnya kita temuilah kepuasan yang antara manifestasi kepuasan tersebut ialah rasa berbaloi. Maka apabila aku selaku penonton-bukan pengkritik dan bukan juga sebagai graduan filem-memilih untuk menonton sesebuah filem bermakna ada harapan yang aku bawa bersama pada filem tersebut.
10 Minit Pertama adalah Pendekatan Basi
Oleh kerana sudah terlalu banyak filem holyywood atau barat menggunakan 10 minit pertama untuk memikat penonton dengan AKSI yang meninggalkan klu dan persoalan akhirnya ia menjadi suatu pendekatan basi. Pendekatan basi tersebut akan bertambah basi dan busuknya menyebar keluar kemana-mana apabila budaya mimesis pembikin filem (juga penulis skrip)tersebut ialah memaparkan AKSI yang meninggalkan klu dan tandatanya. Iaitu babak AKSI yang meninggalkan klu dan tandatanya tersebut merupakan AKSI yang nampak sangat dibuat-buat meninggalkan klu yang terlalu mudah dibaca penonton lalu menjadikan tandatanya bukan tandatanya lagi. Memang. 10 minit pertama adalah penting dalam sesebuah filem. Namun apabila kita hanya menyalin iaitu 10 minit pertama mesti dengan AKSI yang nampak sangat dibuat-buat maka hilanglah fungsi babak tersebut. 10 minit pertama tersebut gagal membawa minat aku selaku penonton untuk bertandatanya. Sebaliknya aku mula diterjah resah yang Geng akan mengulangi mimpi buruk aku!
Opet
Opet bergerak di dalam hutan yang dipenuhi pokok durian. Makan durian. Apakah kelemahan babak ini?Iaitu 1 tiada unsur kejutan. Hal ini kerana memaparkan keseluruhan tubuh Opet itu menghilangkan rasa ingin tahu penonton dengan banyaknya sekali. Aku sudah dapat menjangkakan bahawa Opet inilah hantu durian!Pada mulanyalah. Ia hanya makhluk yang comel dan tidak menakutkan atau berbahaya. Bagiku ia tidak meninggalkan tandatanya malahan aku khuatir Geng terperosok lagi dengan babak klise sesudah babak ini.
Insiden yang sama sesungguhnya menganggu!
Terdapat 2 babak insiden yang mengganggu aku.
Babak Insiden 1=Badrol dan Lim balik ke Kampung Durian Runtuh yang merupakan kampung Datuk Badrol. Mereka menaiki bas. Tayar bas meletup dan bas tersadai di tepi jalan setelah seekor ayam nakal melintasi jalan tiba-tiba.
Babak Insiden 2=Badrol dan Lim menumpang lori yang dipandu oleh Sighn. Pak Mail yang merupakan tuan kepada Sighn turut ada bersama. Ayam nakal yang sama melintasi jalan dengan tiba-tiba dan lori dipandu Sighn hilang kawalan. (Tayar lori juga pecah ?)
Dua babak diatas merupakan babak insiden yang hampir sama. Malah pencetus atau sebab berlakunya insiden tersebut ialah AYAM NAKAL MELINTAS JALAN. Apabila menonton babak ini aku tidak seperti penonton lain ketawa terbahak-bahak. Tetapi aku memikirkannya dengan kritis selaku penonton kritis. Apakah tiada idea keratif lain untuk membikin babak ini?Jangan terlalu ambil mudah dalam mencerna penceritaan. Kebanyakan penonton bukan baru penonton sebuah filem! Dan harus ditegaskan. Filem adalah filem. Ia bukan sebuah kartun Ujang misalnya. Majalah kartun boleh sahaja menjadi majalah picisan yang amat klise disertai lawak bodoh yang berulang-ulang dalam setiap keluaran yang menjadi punca kematian kepada banyak majalah kartun tetapi aku harap tidaklah filem. Jika adalah filem begitu jangankan menonton beli VCD Harga Hebat RM1.00 pun aku rasa rugi nak beli.
Namun aku tidaklah menyatakan Geng termasuk kategori di atas. Ia masih terlalu awal untuk aku simpulkan. Sabar ya! ;) Cuma dua babak cacat tersebut. Sudahlah hampir sama pernyataan SEBABNYA malah berturutan pula antara dua babak ini yang menampak jelaskan lagi kecacatan tersebut!
Komedi dalam 20 minit pertama-Segar!
Badrol dan Lim balik ke kampung durian runtuh yakni kampung datuk Badrol. Babak itik melintas mengingatkan aku kepada pepatah Melayu iaitu 'Itik pulang petang."Dan komedi situasi yag cuba yang ditonjolkan agak segar. Aku berikan kredit dalam hal ini Babak Badrol (atau Lim?)dengan monyet-mengemukakan prinsip karma yang ditampilkan dalam bentuk komedi juga agar segar. Aku seperti membaca komik Ujang suatu ketika dulu. Babak lembu melintas. Ayam yang nakal melintasi jalan. Babak perlakuan lelaki lembut yang bagi akulah agak memualkan. Aku yakin tanpa watak lembut berlebih-lebih 'lelaki' tersebut Geng tetap merupakan filem animasi yang tetap berada di depan antara filem animasi yang pembikin filem kita terbitkan.
Kepercayaan dan Budaya
Aku memahami filem adalah karya seni yang abtsrak dan boleh menjadi apa sahaja. Namun filem tetap mesti mempunyai budayanya yang tersendiri kerana budaya dalam filem menunjukkan bangsa. Memaparkan imej budaya dan kepercayaan merupakan elemen terpenting dalam sesebuah filem yang berjatidiri.
Begitu juga dalam filem Geng ini. Sikap masyarakat yang ramah tamah, suasana kampung dan juga aspek pakaian walaupun tidaklah terlalu jelas dan nyata-ia tetap relevan. Walaupun elemen budaya dan kepercayaan ditampilkan adalah kecil/sedikit tetapi dalam sesebuah filem ia menjadi besar sekali. Aku hanya mahu menegur tentang AZAN.
Azan Mahgrib
Babak menunjukkan azan maghrib bergema. Badrol dan Lim sudah sampai di rumah datuk dan berehat di ruang tamu. Memasukkan kalimah takbir dengan jelas berkumandang bagiku amat bagus. Dalam realiti budaya orang-orang Melayu kampung/desa, apabila seseorang cucu bersama datuknya yang taat kepada agama mendengar lauangan azan dari surau atau masjid maka datuk pasti akan menyuruh cucunya bersiap untuk bersolat maghrib mengikutnya berjemaah ke surau/masjid atau solat di rumah. Atau ibu memanggil anak-anaknya yang sedang bermain di bawah naik ke atas rumah. Mandi dan solat maghrib. Elemen kepercayaan dan budaya ini jelas dalam novel seram Siri Bercakap dengan Jin (SBDJ).
Namun sebaik sahaja selesai azan, Datuk Badrol berkata
'Badrol pergilah berjalan-jalan di sekitar kampung dengan Lim. Ambil kunci motor ini.Atuk nak ke mesjid.'
Begitulah lebih kurang dialognya yang aku ingat. Datuk Badrol berikan kunci motor lagi kepada Badrol dan Lim. Aku terus menepuk dahi. Aku tahu bukan aku seorang yang berkata dalam hati 'eh, menapa Datuk Badrol tidak menyuruh Badrol mandi dan mendirikan solat maghrib?'
Aku cuba menyelami hati budi penulis skrip Geng ini. Mungkin mereka
1. Jika menunjukkan Badrol bersolat ia akan menganggu Lim yang non muslim.
2.Jika menunjukkan Badrol solat mestilah nampak macam skema.
3.Filem adalah filem. Bukan realiti sebenar.
Aku ingin menjawab 1 dan 2 dahulu. Jika aku lah penulis skrip bagi Geng aku akan buat 2 pilihan.
1.Cukup Datuk Badrol cakap 'Hah dah azan tu. Badrol. pergilah mandi dan solat maghrib dulu. Atuk nak ke mesjid. Kalau kamu nak ikut boleh juga. Kalau tak nak solatlah dibilik kamu. Jangan tak solat pulak.'
Kemudian jadikanlah babak Badrol bersolat dan Lim mandi sendirian di perigi misalnya dalam keremangan senja di kampung. Bukankah watak Lim adalah budak bandar?Dan mengapa hanya ditonjolkan Jamban di luar rumah tidak pula ditonjolkan babak perigi tempat mandi penduduk Melayu desa. Aku rasa babak Lim merasa sepeti diganggu hantu di perigi lebih molek dan watak Badrol bersolat. Mungkin solat Badrol terganggu dengan seekor kucing/tikus atau benda lain pun baik juga.
Tentang no.3-benar demikian. Namun setelah kamu(penulis skrip Geng) memasukkan elemen azan maghrib kamu mestilah peka dan tahu bahawa tiada orang-orang tua Melayu terutama yang lebai dan berjemaah di masjid akan menyuruh cucunya bersiar-siar di kampung dengan memberikannya kunci motorsikal lagi!
Aku harap babak yang cacat ini diubah. Jika hendak masukkan babak Badrol dan Lim bersiar-siar masukkanlah mereka bersiar-siar pada pagi hari. Bukannya senja. Hal ini kerana babak Badrol dan Lim bersiar-siar di waktu senja itu tidak nampak suasana senja langsung. Ini mencacatkan aspek kelojikan. Maksud aku lojik dalam filem. Mungkin kalian boleh tanya graduan filem tentang lojik dalam filem. Bagi aku dalam konteks masa, lojik itu mesti ada. Takkanlah senja digambarkan seperti siang yang terang benderang juga. Ia sepatutnya semakin gelap.
Begitulah yang aku ingat tentang 20 minit pertama yang bagi aku tidaklah buruk-cuma ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan oleh pembikin filem dan penulis skrip agar tidak berulang dalam sekuel (jika ada)nya pada masa akan datang. Secara keseluruhannya bagi aku 20 minit filem Geng ini baik. Aku berikan 3 bintang daripada 5 bintang!. bersambung....

4 ulasan:

  1. ya! geng MEMANG byk plot holes!
    nice rev bro! ;-)

    BalasPadam
  2. bravo ....
    i terfikir panjang lepas membaca review ini

    BalasPadam
  3. kena tonton jugak filem Geng tu bro..jgn tak tonton...review ni khusus utk penulis skrip dan pihak penerbit je.Kasi mereka lebih prihatin sikit.

    BalasPadam
  4. setuju ulasan adegan semasa azan tu..
    perlu diolah supaya diterima akal...
    tp rasa2nya azan tu bukan azan maghrib..
    boleh jadi azan zuhur atau asar..
    sbb tu masih nampak siang lg..

    BalasPadam