14 Februari 2009

Bacalah kalau kalian orang Melayu!

Oleh ARIF ATAN
Pemikiran dan kosmologi orang Melayu sekarang nampaknya semakin bercelaru dan bersimpang-siur. Mereka juga makin tidak peka akan daya tahan kebudayaan bangsanya yang sepatutnya mesti disemarakkan secara konsisten sepanjang masa.

Baik pemimpin mahu pun sebahagian besar masyarakat Melayu, mereka kini semakin tidak peduli akan bentuk seni dan kebudayaannya yang tanpa disedari sedang perlahan-lahan diganti dengan kebudayaan yang bukan berpijak dari Alam Melayu ini.

Sikap tolak-ansur Melayu pula makin keterlaluan sehingga peringkat zalim terhadap kedudukan kebudayaan bangsanya sendiri.

Apakah manfaat yang Melayu dapat daripada sikap tidak mengapa atau tunggu dan lihat sahaja penonjolan kebudayaan Cina secara berleluasa mutakhir ini manakala jati diri dan pusaka khazanah kebudayaan bangsa sendiri tenggelam ditelan masa?
Lebih berbahaya apabila tindakan yang penulis panggil sebagai “pembersihan budaya” Melayu (mengambil konsep pembersihan etnik atau ethnic cleansing) ini juga turut ‘disempurnakan’ oleh pertubuhan parti politik.

Kebimbangan ini bersandarkan kepada dua laporan akhbar. Satu dalam akhbar alternatif manakala satu lagi dari akhbar arus perdana.

Laporan akhbar Siasah Bilangan 136 (15 – 21 Februari 2009) yang memaparkan kebangggan penyokong dan pemimpin parti PAS yang sudah memiliki tarian singa sendiri. Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar telah melancarkan secara rasminya pasukan tarian singa yang dianggotai oleh Kelab Penyokong PAS di Parlimen Shah Alam pada 6 Februari lalu.

Ironinya, penubuhan pasukan tarian singa itu wujud bukan di kawasan yang didominasi oleh masyarakat Cina tetapi di kawasan penempatan bandar berpendudukkan Melayu yang sarat dengan lambang dan nilai seni budaya Melayu sehingga dipanggil Bandaraya Melayu.

Oleh sebab itu, lebih wajar dan waras apabila pasukan zapin atau joget yang dianggotai oleh penyokong bukan Melayu di Parlimen Shah Alam yang diwujudkan. Jika ini yang berlaku baharulah lebih dibanggakan kerana jelas menampakkan kaum bukan Melayu telah menunjukkan minat untuk cuba berasimilasi dengan kebudayaan asal tanah air ini.

Dalam masa yang sama, PAS perlu menjawab dengan jujur. Adakah parti itu sudah mempunyai pasukan tarian zapin, joget, indang, boria, dikir barat atau pun hadrahnya sendiri?

Pemerhatian penulis yang tidak memiliki kepentingan politik ini mendapati semacam sudah wujud kecenderungan kalangan sebahagian pemimpin dan penyokong PAS yang begitu liberal terhadap kebudayaan bukan Melayu. Ibarat kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, mereka dari golongan Islamik pada luaran inilah yang nyata jelas mengabaikan kebudayaan Melayu tetapi memuja-muji pula kebudayaan Cina.

Laporan akhbar Berita Harian 11 Februari lalu pula melaporkan projek Bandar Arab membabitkan pelaburan sebanyak RM185.4 juta kos pembangunan dan kos operasi di Jalan Ampang.

Kedudukannya yang hanya ratusan meter dari Menara Berkembar Petronas sepatutnya dibangunkan dengan projek Bandar Melayu bukannya Bandar Arab. Adakah adil kepada kebudayaan Melayu apabila gaya hidup dan perniagaan yang memaparkan tradisi, budaya serta makanan Arab wujud di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur ?

Walhal, Bandar Melayu lebih relevan malah ternyata begitu signifikan dalam mengetengahkan dan menguar-uarkan kehebatan tamadun Melayu yang juga mampu melakar kemajuan seperti tergambar dengan berdiri tegaknya Menara Berkembar Petronas itu.Adakah barisan pentadbir di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang majoritinya Melayu sudah lupa bahawa pembukaan Kuala Lumpur yang bermula di sekitar pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak lebih dua abad lalu telah dilakukan oleh bangsa Melayu bukannya bangsa Arab?!

Oleh sebab itu, adalah lebih wajar dan diterima akal untuk menubuhkan Bandar Melayu bukannya Bandar Arab yang telah diluluskan oleh DBKL itu hanya atas alasan mahu menarik pelancong dari Tanah Arab.

Bayangkan jika trend masa akan datang pula menunjukkan limpahan pelancong dari Vietnam . Adakah pada ketika itu Bandar Vietnam pula akan didirikan atas alasan bodoh yang sama?

Daripada dua laporan akhbar dalam tempoh minggu yang sama itu sahaja, penulis dapat membuat kesimpulan bahawa kebudayaan orang Melayu sedang berdepan dengan pembersihan budaya (cultural cleansing) yang menakutkan. Budaya Melayu sudah dianggap kotor lalu diganti dengan kebudayaan Cina dan Arab yang kononnya ‘suci bersih’. Malangnya, bukan orang lain tetapi orang Melayu sendirilah yang memenggal kebudayaannya sendiri!

Ramai orang Melayu bersikap mengalahkan orang Cina walhal dalam masa yang sama orang Cina tidak pun peduli untuk turut ‘memeriahkan’ erti perpaduan dengan mengamalkan adapt resam, bahasa dan budaya Melayu. Orang Melayu juga yang enggan mengajar bukan Melayu menerima kebudayaan Melayu lantaran kepentingan politik atau di peringkat individu takut dicop perkauman.

Hakikatnya, orang Melayu sekarang begitu sempit tafsirannya terhadap konsep tolak-ansur dan perpaduan. Bagi mereka apabila mengabaikan budaya Melayu kemudian ‘memeluk’ budaya Cina itulah yang melambangkan perpaduan.
Memanglah benar wujudnya perpaduan dengan cara songsang sedemikian. Namun, perpaduan yang wujud dibina atas dasar kebudayaan Cina bukannya kebudayaan tempatan iaitu Melayu seperti yang dihasratkan oleh Tun Razak dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada 1970-an lalu.

Selain ‘memeluk’ budaya Cina sebahagian orang Melayu yang lain pula begitu selesa dengan pelbagai bentuk kebudayaan Arab. Bukan sedikit daripada golongan ini yang menganggap budaya Arab itu ialah “budaya Islam”.

Sebaliknya, kebudayaan Melayu pula dilihat bercanggah dengan Islam. Malangnya, bentuk kebudayaan bukan berasal dari rantau Melayu tidak pula dilihat daripada kaca mata yang sama sebaliknya begitu terbuka malah menggalakkan lagi perkembangannya.

Seringkali didengar, mereka menggunakan alasan bahawa Islam bersifat universal, terbuka dan tidak membezakan warna kulit atau kaum untuk menghalalkan tindakan-tindakan yang dilihat pro bukan Melayu khususnya kebudayaan Cina.

Walhal, tidakkah mereka pernah terfikir bahawa apa salahnya atas alasan yang sama sekalipun, pelbagai bentuk seni dan kebudayaan dari Alam Melayu yang kita warisi zaman-berzaman perlu lebih diutamakan, disemarakkan dan disuburkan?

Jika hal-hal berkaitan mengangkat seni dan budaya Melayu ini diabaikan, amatlah dibimbangi nanti bentuk kebudayaan Cina, Arab dan Barat yang akan mewarnai seluruh gaya hidup kita kelak.

Ketika itu, hanya lagu berbahasa Mandarin dan Arab selain Inggeris dan Hindustan sahaja yang kedengaran sepanjang masa apabila kita keluar dari pintu rumah. Rekabentuk dan konsep bangunan atau kawasan perumahan pula kesemuanya sarat dengan kerencaman budaya yang berkiblatkan budaya Cina dan Arab.

Kehalusan seni tari dan lagu Melayu ibarat melukut di tepi gantang. Ketinggian seni bina Melayu juga sama sekali tidak berbekas di hati para arkitek, jurutera dan perancang bandar. Ukiran kerawang atau awam larat sudah pasti pupus lantaran diganti dengan bentuk ukiran bermotifkan haiwan dan geometri Cina selain bentuk kubah yang bertitik tolak dari senibina Arab bukannya tulen datang dari alam Melayu sendiri.

Orang Melayu mesti kembali menghargai dan menyebarluaskan kehebatan tamadun dan kebudayaan bangsanya sendiri. Bagi yang masih tidak rasa bersalah mengagungkan kebudayaan bukan milik bangsanya, soalan berikut perlu dijawab dengan jujur: Tidakkah kalian terfikir apa akan jadi terhadap bentuk kebudayaan di negara kita pada masa akan datang jika pembersihan budaya Melayu kita yang sedang rancak berlaku hari ini dibiarkan berterusan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan