05 Februari 2009

Ulasan Filem Maut-Naratif 1-

Tayangan Unggul mempersembahkan..
MAUT
Katakanlah: "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Rabbmulah kamu akan dikembalikan-Ayat 11 Surah As-Sajdah.
Filem MAUT arahan Bade Hj Azmi bermula dengan petikan ayat di atas. Ia baik. Namun 'qari' yang membaca terjemahan ayat tersebut tidak berkesan. Aku pernah menonton drama yang memetik ayat Al Quran sebelum ini. Pembacaannya berkesan. Intonasinya berkesan. Dalam pembacaan Al Quran terdapat banyak tarannum. Dan walaupun demikian aku tidak tahu jenis tarannum yang macam mana dibaca oleh 'qari' dalam filem MAUT itu-aku mempersoalkan suara terjemahannya. Aku teringat filem Sunan Kali Jaga yang dimulakan dengan alunan zikir Bismilahhirahmanirrahim secara berjemaah dan jahar ketika membina Masjid Agung Demak. Ia amat berkesan. Disertai dengan dialog antara Sunan Kali Jaga dengan Sunan Ampel. Juga petikan ayat2 Al Quran yang lain yang dibaca sepanjang filem ini. Lihat di sini:
Montaj pohon yang keguguran daun adalah unik dalam montaj2 filem Melayu tetapi biasa dalam dunia kerohanian. Daun memiliki pengertian roh manusia. Ada hadis menyatakan ketika Rasulullah ke langit, Rasulullah melihat sebatang pohon yang mana tertulis bagi setiap helai daun tersebut nama manusia dan bila ia akan menemui MAUT. Dan aku juga ada menulis sebuah puisi tentang daun ini. Dan ia tersiar dalam Dewan Agama & Falsafah. Judulnya Sehelai Aku. Majalah tersebut 'hilang' dalam stor buku dan majalahku. Nanti bila senang aku akan lekatkan di sini.
Secara keseluruhannya, filem MAUT ini tidaklah berbeza sangat dengan filem lain. Cuba ARAH filem ini dibawa oleh pengarah ialah untuk memberikan pengajaran kepada penonton. Ia masih berpaksikan kepada sebab dan akibat. Terdapat 3 naratif utama yang tidak berkaitan tetapi bernuansa yang sama.
NARATIF 1:

Su seorang pelajar, dalam perjalanan pulang dari universiti. Di dalam bas, selain Su, terdapat seorang lagi gadis, Fadilah. Setelah pulang ke rumah, tiba-tiba pintu rumah Su diketuk. Fadilah dalam keadaan basah kuyup meminta bantuan untuk menumpang teduh. Fadilah diragut dan tiada wang untuk pulang kerumah makciknya di Bukit Kemboja, Cheras. Oleh kerana malam semakin larut, hujan lebat dan Fadilah telah diragut, Su mengizinkan Fadilah bermalam di rumahnya namun esoknya telah tiada. Setelah di siasat oleh Su rumah makcik Fadilah bukan di Bukit Kemboja. Selang beberapa hari dihujung naratif ini, Fadilah ditemui mati di perkuburan kristian yang terletak di Bukit Kemboja, Cheras. Fadilah dirogol dan dibunuh.
Apa mesejnya di sini? Sebentar. Sebelum aku nak mengkomentar soal mesej dalam Naratif pertama ini aku nak melihat dari aspek lakonan.
ASPEK LAKONAN
Aspek lakonan merupakan aspek yang kritikal dalam membangunkan sesebuah karya sama ada drama, filem dan teater. Lakonan watak Fadilah masih berada di tahap lemah dengan segala kekakuan wajah. Lakonan Su agak baik namun masih cukup-cukup makan. Pendek kata lakonan dalam semua pelakon dalam Naratif 1 ini aku letakkan dikategori LEMAH. Penghayatannya kurang dan lontaran INTONASI suaranya juga. Mengapa lontaran suara watak seperti berbisik dalam kelambu?Sepatutnya ia dineutralkan. Ini bukan filem nuansa seram.
CERITA
Longgar. Apa mesej yang hendak dibawa?Mati datang bila-bila masa atau tidak semestinya apa yang dirancang akan jadi kenyataan???Sebenarnya Fadilah merancang berkahwin tetapi dihalang keluarganya. Begitulah naratif yang klise.
Benar itu wujud. Namun ia masih tidak kemas dan spesifik. Apakah tujuan Bade meletakkan mayat Fadilah di kubur kristian?Ketika babak pemaparan perkuburan Kristian itu aku minda aku diterpa cerita tentang mayat orang Islam ditanam di perkuburan Kristian dan juga mayat orang hindu yang masuk Islam ditanam di perkuburan Islam tetapi dibantah keluarga yang tidak tahu keislaman anggota keluarga mereka.
Aku mula diusik dengan kejadian pelajar Melayu yang terminum air HOLLY WATER tidak dapat menyebut nama Nabi Muhammad dan menyeru Allah sebaiknya hanya berjesus semata-mata. Aku fikir isu pengajaran itu yang akan ditampilkan Bade atau sekurang-kurangnya muslim yang masuk Kristian dan dikuburkan di perkuburan Kristian.
Namun hanya beberapa saat kemudian terkaan aku itu ditolak Bade dengan menyuguhkan aku cerita Fadilah dirogol dan dibunuh. Tamat. Sangat mengecewakan aku. Bade semestinya tahu tentang perkara yang menjadi terkaan aku tadi. Justeru apakah mesejnya?Apakah sekadar apa yang dirancang tidak semestinya berlaku atau apa?
LATAR/SUASANA DAN LAIN-LAIN
Lemah. Kerana tidak wujudnya suasana misteri melainkan babak langit KL yang berdiri megah KLCC dengan suara audio yang tidak difahami maksudnya dan putaran udara? awan ? yang cepat. Itu saja. Aku rasa Bade perlu menghayati cerita bernuansa begini dalam MASTIKA yang amat kuat kesannya kepada pembaca. Walau Bade mungkin mengambil inspirasi naratif daripada MASTIKA namun penghayatan naratif itu agak kurang aku fikir. Sekadar beseronok dnegan cerita! Barangkali susah benar hendak menvisualkan keadaan begitu atau apa yang dibayangkan oleh otak melalui pembacaan. Namun aku fikir ia boleh didekati sedekat dekat mungkin. Dengan visual ya dengan visual. Pembikin filem tiada pilihan.
MUZIK latar juga lemah. MUZIK itu mengingatkan aku kepada filem2 melayu tahun 90-an atau 80-an yang bersifat melankolik dan terlalu biasa.
MUZIK latar mestilah menyokong emosi cerita dalam filem malah MUZIK juga kadangkala pergi lebih jauh dengan membawa emosi penonton ke tahap lebih jauh dan berseni serta bercabang-cabang. Hanya dengan muzik latar!
Namun, maaf, Bade agak gagal apabila muzik latar dalam Naratif 1 ini. Skor muzik itu tidak menyokong emosi cerita atau penonton untuk menghayati babak malah memusnahkan penghayatan. Bade ada dua pilihan pertama memilih MUZIK latar yang lain dan kedua tidak memasukkan muzik latar langsung. melainkan 'muzik' natural seperti dengusan nafas, kipas angin, desiran angin dan suara halus. Itu lebih baik drp memasukkan muzik latar yang meruntuhkan mood!
Ada lagi beberapa aspek yang aku mahu komen. Sejak selepas pemaparan ayat 11 As Sajdah itu aku tanganku sudah gatal mahu menulis dan mengkomentar. Susah sungguh aku mahu membenamkam minda dan hati aku dalam cerita MAUT ini kerana faktor2 yang aku nyatakan di atas bertaraf lemah.
Namun dari aspek lain aku memujinya juga. Cthnya LATAR Universiti Malaya itu-simpang tiga di depan Fakulti Sains, bangunan Universiti Malaya yang berusia hampir seratus tahun. Dan juga bunga lalang di tepi jalan. Ia suatu sinematografi yang bagi aku CANTIK. Usaha Bade yang hampir menemui terkaan aku yang mungkin agak sensitif ini-Membawa simbolik tertentu. Tentang lakonan aku berikan kredit kepada Liyana Jasmay walau lontaran intonasinya dalam beberapa ayat atau dialog kaku dan beku. Aku fikir kita semua penggiat seni harus mengambil kursus melontarkan suara atau intonasi. bersambung nanti..........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan