27 Februari 2009

Lelaki yang Diculik

Oleh : Muhammad Ali Atan
Pagi hujung minggu itu, aku masih ingat. Sewaktu menuruni anak tangga setelah keluar dari pintu rumah kepalaku berdenyut-denyut sakit. Dalam terhuyu-hayang dan imej yang bertindan tindih pada retinaku seorang lelaki tiba-tiba muncul dihadapan. Dan jangan tanya aku lagi apakah yang berlaku sesudah itu.
“Di mana aku?”
“Di rumah aku,”
“Siapa kau,”
“Aku adalah kau, kau adalah aku,”
Ah!Apa pula yang menimpaku kini. Tiba-tiba lelaki itu merepek yang bukan-bukan. Kupandang sekelilingku. Susun perabotnya, hiasan dalamannya dan segala perkakas bukanlah menandakan ini adalah rumahku.
“Hei, apa yang kau pandang, tak pernah tengok rumahkah?”
Aku terkejut. Pantas pandanganku berkalih kepadanya. Ah!lelaki itu. Lelaki inilah! Bukankah lelaki itu yang sering aku jumpa. Di kedai makan dibawah bila waktu makan tengahari. Lelaki yang kehilangan ‘sendinya’. Lelaki berseluar pendek mencerut paha mempamerkan paha dan betis hitam berbulu-bulu. Lelaki yang berambut panjang diikat dibelakang kepala. Lelaki yang bila dipintanya nasi akan tertutur intonasi melentik-lentik seiring lentikan kepala, badan, pinggang dan tangan. Ah!Dialah itu. Aku pasti tidakkan salah lagi.
“Kau kah lelaki itu?”
“Apa kau cakap, maksud kau?”
Semacam lintah yang masuk kedalam seluar merayapi paha atau cuba menyelinap cuba memasuki mulut uretra! Aku mengeletar geli-geleman.
Dia merengus seiring kelopak matanya bagai tirai dilabuhkan dan direntap tiba-tiba sambil menyandarkan tubuh pada sofa. Dia menanggalkan jam tangannya. Tali jam tangannya pun kecil nipis yang bentuknya saling tak tumpah seperti jam yang dipakai oleh kekasihku!
“Sekarang, kau berada dirumah aku. Atau dalam kata yang mudah kau diculik!”
Aku terkesima. Terutama pada kata akhirnya. Adakah betul dia menyergah aku? Seperti sergah bapa ku yang berang melihat aku pulang senja kerumah sewaktu kanak-kanak.
“Kau culik aku,”
“Ya,”
“Kau tahu itu satu kesalahan,”
“Aku bukan maharesi,”
“Kau ingat aku bodoh,”
“Aku tak kata pun kau bodoh,”
Aku bingkas. Lalu mara kepintu. Dia tidak menghalang aku kecuali tersenyum. Aku harus keluar dari rumah lelaki ini. Lelaki gila ini!. Ajaibnya terpocol kunci dilubangnya. Ah!Apa perlunya kunci lagi bila sudah berada didalamnya. Ah!Tombol ini. Mengapa ketat pula. Kuncinya rosakkah?Atau apa. Aku bingung. Dan dia mara melangkah kepada ku. Dari geraknya melangkah aku terasa sangat janggal, pelik dan mahu ketawa pula. Dan akhirnya ketawaku meletus seperti volcano yang memancutkan lahar dengan deras tiba-tiba. Aku tersepuk dikaki pintu tercungap-cungap, perutku senak dan mataku berair.
“Kau hanya mengetawakan diri kau sendiri,”
Lantas ketawaku mati. Hei!Aku bukan kau, kau bukan aku. Aku lelaki yang sejati punyai ‘kekerasan’dan maskulin. Kau apa ada!
“Sebab itulah aku menculik kau dan pintu ini akan menjadi pengawalnya sepanjang kau diculik sehinggalah tugas kau selesai,”
“Aku akan dibebaskan setelah tugasku selesai?”
“Ya,”
“Baiklah, apakah tugasku?”
“Ajari aku menjadi lelaki sejati”
Jeda. Sesudahnya aku ketawa. Ketawa, ketawa dan ketawa lagi sebelum pandanganku gelap dan jangan tanya aku apa yang terjadi selepas itu!
Hari Pertama
Aku tidak tahu apakah aku yang majnun atau ruang atau masa. Pastinya aku mesti mengajari dia seperti mana yang dipintanya kepada aku. Aku mesti mengajar dia!
“Pertama sekali,”mula bicaraku kepadanya yang duduk dihadapanku. Dia telah ku arahkan berseluar slet, berkemeja dan bersepatu. Warnanya semua putih. Kecuali kasutnya yang hitam. Hitam merelit.
“Kau berdiri seperti aku ini,”arahku. Dia menurut. Berdiri sepertiku disisi. Berdiri dengan kedua telapak tangan menggenggam penumbuk melurus disisi tubuh. Kaki menegak merapat antara satu sama lain. Keraskan tubuh kau!Aku seakan menjerit. Memberah mukanya bila kutumbuk perutnya. Aku mahu ketawa, ya mahu ketawa. Tetapi kuketawa dalam hati sahaja. Cuma keraskan badan bukan tahan nafas kau! Sergahku kecuping telinganya. Dia terkejut. Bagai gong yang bergetar dipalu penukul oleh bapak menteri dalam majlis rasmi apa-apa. Sewaktu melangkah ingat prinsipnya, mulakan dengan langkah kanan, pacak tumit kau. Ingat, kunci pinggang, kemutkan anus dan buka dada. Dia angguk. Dari kanan cepat jalan!
Dia pun melangkah. Seperti kataku. Dia menurut semunya. Tetapi dia seperti robot. Aku memang sengaja tidak memberitahunya. Henti!Jeritku. Dia terkejut. Segera kawadnya mati. Dan kedua telapak tangan menekup dada. Aku mara dengan bertambah-tambah garang. Pumpin sepuluh kali!Hukumku. Dia menurut. Kutekan-tekan belakangnya sewaktu badannya diangkat. Dia mengeluh. Tapi tidaklah marah. Dia tidak akan marah kepadaku.
Aku terlupa beritahu kau. Berdiri tegak macam mula-mula tadi. Dan keluarkan kaki kanan kau kedepan. Ingat prinsip melangkah yang telah kunyatakan. Baik, keluarkan tangan kiri kau. Ah!Bukan begitu. Begini. Tangan kirinya kurentap melurus kedepan separas bahunya. Au!Jeritnya spontan. Biarlah.Dia tidak marah akan kepada ku. Sewaktu kubetulkan kedudukan tangannya hidungku tertusuk mahing amat. Ya Tuhan! Pening-pening lalat aku. Tapi kepadanya aku senyum saja. Dan dia senyum juga. Walaupun dalam senyum kekok. Dia mematuhiku jangan memakai deodoran. Pujiku: Bagus. Inilah bau maskulin, kau tahu tak!.
Hari Kedua
Sesudah sarapan kami ke jendela. Dia memandang aku. Aku memandang dia. Apa yang kau pandang?soalku garang. Lihatlah keluar jendela. Alam yang terbentang. Bunyi ciap-ciap itu apa?. Burung!!!Jawabnya pantas. Seakan lipas merayapi tubuhku!.
Apa motif soalan itu?Soalnya. Fikir sendiri!.
Sekarang, ikuti aku. Nafas kutarik sepanjang-panjangnya sehingga membusung dada. Lalu sepantasnya aku melontarkan diftong sekeras-kerasnya keluar jendela. Dia terlopong. Ha!Apa ditunggu lagi. Dia menarik nafas dan...ah!Berhenti!Kau tahu tak, burung-burung akan pelik dan ketawa mendengar vokal kau itu?.Dia menggaru kepala. Aku tunjukkan lagi. Dan kali kedua, ketiga dan seterusnya ia semakin baik. Dia mahu berhenti, suaranya sudah serak dan hendak berehat. Aku sogokkan air asam jawa pekat, teruskan kataku dari sofa. Sesekali suara ku pecah bila suaranya mahu melencong macam perempuan yang diragut beg tangannya. Atau kubaling saja majalah kebelakangnya.
Hari Ketiga
“Kau ada kawan?”
“Ada, banyak,”jawabnya dalam suara yang serak. Memang keserakan itu yang kucari. Pujiku: Inilah suara maskulin, punya kejantanan!. Dia terkerisin.
“Tetapi yang spesis yang beruthopia dan berfantasi seperti kau yang paling akrab kan?,”
“Macam mana tahu?”
“Ah!Kau juga kata. Aku adalah kau. Kau adalah aku!”
“...”
“Ah, sudah. Cuma aku nak beritahu manusia itu sangat dipengaruhi oleh rakan atau sahabat-sahabatnya,”
“Jadi?”
“Pisahkan diri dari mereka!”
“...”
“Kau ada kekasih?”
“Kekasih?”
“Ya, kekasih. Ya, ops kekasih kau pasti yang agam bangun tubuhnya. Kacak dan manis. Bonusnya berwang dan pandai bersosial. Pasti ada punya,”
“Kau sudah pun tahu jawapannya...”
“Pisahkan diri dari dia,”
“...”
“Memang payah. Tapi kalau nak berubah, ikut nasihatku!”
“Baiklah, aku akan cuba!”
“Nah, ini adalah senarai no. telefon bimbit gadis-gadis yang manis-manis,”
“Buat apa?”
“Kau tanya lagi aku soalan bodoh ini!” Dia ternga-nga. Sebelum terkerinyih menyalin nombor telefon itu. Bagus!Pujiku: Inilah kecenderungan maskulin sejati!.
Hari Keempat
Aku bentangkan rajah anatomi. Dengan sebilah rotan yang mengunjuk dua rajah anotomi yang berbeza sebelah menyebelah kepadanya. Nama setiap bahagian sudah tertera. Cuma kau sebutkan dan ingatkan sahaja. Selepas ini akan aku adakan ujian. Rajah itu ku telangkupkan.
“Nyatakan kepada aku apakah perbezaan antara organ kelamin wanita dengan organ kelamin lelaki?”
“...er...lelaki punyai zakar dan testis...perempuan...er...”Zup. Aduh!Pedih ya. Mengapa kau tergagap? Sebutkan sahaja. Rotan ini hanya mengenal kegagapan kau menyebut daripada kesalahan kau menyebut!”
“Wanita ada faraj dan rahim!”
“Satu lagi organ penting wanita?”
“er...payudara!”
“Bagus. Bagaimana benih pula?”
“Benih lelaki disebut air mani. Dalamnya ada sperma berbentuk budu-budu yang berenang-renang. Yang dipancutkan sesudah klimaks masuk ke faraj perempuan. Berenang-renang bertemu dengan benih wanita yang disebut ovum. Menempel dirahim, membentuk zigot, embrio dan fetus,”
“Kau hafal satu persatu ayat yang kugunakan semasa pengajaran tadi?”
“Er...bolehkan?”
“Tak apa. Cuma yang penting aku nak beritahu kau, dalam berjuta-juta ‘budu’ itu hanya satu atau dua yang dapat merebut tempat didalam ovum. Mereka adalah pemenang dan juara. Itulah kita!”
“...”
“Nah, ini soalan kedua. Baca untuk diri sendiri,”
“Ha!”
“Apa ha, ha. Lakukan sekarang. Esok aku mahu tau jawapannya ya!”
Hari Kelima
“Bagaimana?”tanyaku pagi-pagi lagi.
“Sudah tentu aku punyai alat kelamin lelaki!”
“Bagus. Inilah satu-satunya bukti kemaskulinan lelaki!”
“Tapi...”
“Kau dulu mahu mengubahkannya bukan,”
“Macam mana kau tahu!”
“Ah!Bukankah aku juga kau dan kau adalah aku?”aku berseloroh.
“Oh...tapi itu dahulu...”
“Sebelum lima hari ini kan,”
“Ya!”
“Sekarang?”
“Oh, tak lagi.”
“Tapi aku...”
“Ah!Tiada tapi-tapi lagi. Kau kena menghargainya!”
“Bagaimana?”
“Begini,”aku bisikkan sesuatu dan dia mendengar penuh tekun.
Hari Keenam
Seharian ini kami hanya bertemu semasa mandi, makan dan buang air sahaja. Aku tidak mahu menggangu sepanjang dia didalam bilik itu. Dia sedang menghargai dirinya melalui pengenalan dirinya sebagai lelaki yang punyai maskulin sejati!
Hari Ketujuh
Pagi yang indah. Aku bangun dengan hati yang berbunga. Ah!Bukan wanita ya. Lelaki. Lelaki pun ada bungannya juga. Kelelakiannya!
“Bagaimana rasanya?”
“Hebat! Tetapi lututku kurasa sedikit lemah dan goyah. Pinggangku mencucuk-cucuk sedikit.”
Aku ketawa, ketawa dan ketawa.
“Seharian kau lakukan!”
Dia merengus. Kali ini rengusannya tidak lagi dengan kelopak mata seperti tirai yang dilabuhkan perlahan-lahan lalu direntap deras. Tiada lagi menjeling-jeling. Sebaliknya dia menumbuk aku. Kebas bahuku!
“Tidaklah. Tidaklah sampai berbelas-belas atau berpuluh-puluh kali. Gila!”
Dia bingkas. Mahu kemana? Aku mahu memberitahu kau bahawa...Ikut sahaja aku! Suaranya meninggi. Ah! Tidak lagi seperti wanita yang melenggang-lenggang mengepit beg tangan dicelah ketiak, sudahnya diragut peragut lalu menjerit bertele-tele.
“Ini bilikku!”
Wah, hiasan dalaman yang baharu. Lambang maskulin sejati. Kujenguk kedalam almari pakaian. Di mana seluar pendek kecil dan menjerut paha?Di mana baju kecil dan singkat menampakkan pusat? Di mana coli dan bra? Dimana lipstik merah?
“Aku sudah tong sampahkannya!”katanya sambil terkerisin lalu melepaskan buku lima kebahuku. Aduh!Jeritku. Kebas seluruh badan. Takkan itu pun sakit!.Katanya sambil berlalu. Aku juga akan kemaskan ruang tamu dan seluruh pelusuk rumahku. Biar nampak maskulin menggambarkan kelelakianku! Dia menjerit. Sekuat-kuat hatinya. Terutama baris: Biar nampak maskulin menggambarkan kelelakianku!. Aku menekup telinga. Bingit. Suaranya tetap bergema-gema. Ah! jangan tanya aku lagi selepas itu kerana bila kucelik, aku sudah berada diluar rumah lelaki itu. Aku sedang menuruni tangga kerana mahu membeli makanan tengahari dikedai makan dibawah.
Hai!
Fei Wit!
Mereka segera kubaling. Bajingan. Bila mereka pergi dan aku waras kembali kakiku kehilangan kasut. Oh!Rupanya dengan kasut kubalingkan mereka. Aku bergegas mendapatkannya semula. Tiba-tiba terasa keanehan kepadaku. Langkahku melenggang-lenggang dan pergelangan tanganku seperti kehilangan sendi. Dan...ah!Mengapa aku memakai coli dan baju ketat serta singkat ini, seluar singkat yang menampakkan peha dan betisku yang hitam merelit? Dimana bulu kaki ku?Ah!Bukankah aku ini seorang lelaki!
Sewaktu aku berpatah balik kerumahku, telinga ku seperti disepak-sepak.
Hai!
Fei Wit!
Dan kali ini aku akan balas sepakan dengan penyepak!
Glosari
maskulin=sifat kelelakian/kejantanan
maharesi=pendeta yang suci/mulia
volcano=gunung berapi
majnun=gila
pumpin=tekan tubi
diftong=rentetan dua vokal yang dihasilkan dengan satu hembusan nafas dan mempunyai satu puncak kelantangan. Daalam Bahasa Melayu terdapat tiga jenis diftong iaitu ai, au dan oi.
Penyepak=tendangan kaki.
*cerpen ini tidak disiarkan dimana-mana media.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan