Sebenarnya seseorang salik dilarang untuk menjengah dunia perdebatan dan penghujahan yang termasuk di wilayahnya ialah kesusasteraan sebelum wusul kepada Allah. Hal ini kerana ia akan mudah menyesatkan salik dalam dunia ting tong kata-kata yang menjadikan masanya lagho sia-sia. Penulisan berkaitan dengan kerohanian dan jiwa manusia. Justeru ia memberikan bekas kepada penulisnya seperti loyang membentuk seri muka contohnya. Dalam tradisi penulisan agama khususnya ilmu kerohanian, Al-Ghazali menulis Lubab Ihya Ulumuddinnya setelah Al-Ghazali berguru dengan guru hakikat yang kerjanya hanya Tukang Kasut sahaja. Sesudah Al-Ghazali bertemu dengan guru hakikat dan makrifatnya maka Al-Ghazali pun beruzlah selama beberapa tahun (melebihi 10 tahun) untuk menyucikan diri sehingga mencapai peringkat wusul iaitu sampai ke hadrat Allah. Ia merupakan suatu latihan kerohanian yang amat-amatlah ketat dan ia terbukti dengan penghuraian Al-Ghazali dalam Ihyanya betapa dispilin dan akhlak amat ditekankan selain amalan zikrullah. Amalan zikrullah ada yang bersifat khusus dan bersifat umum. Dalam kitab Wasiat Imam Al-Ghazali diterangkan anjuran agar umat Islam menjauhi sebarang perdebatan apatah lagi perdebatan yang bertele-tele kerana perdebatan demikian menjurus kepada sikap berlebih-lebihan sehingga boleh mengundang seribu macam bahaya sama ada kepada kehidupan sosial dan juga ancaman kepada akhlak mulia. Di Alam Melayu perkembangan tasawuf sunni Al-Ghazali dikembangkan secara meluas oleh Syeikh Abdul Samad Al-Palimbani ra. Kitab tasawuf ulamak besar ini antara lain Sairus Salikin (Sair) yang digunakan secara meluas di sekolah pondok, sekolah agama berbagai-bagai peringkat dan jenis sehinggalah kuliah di masjid-masjid. Walaupun Sair merupakan karya tasawuf saduran Ihya namun terdapat huraian-huraian tertentu yang tiada dalam Ihya terdapat dalam Sair. Malah ia menjadi kitab pegangan untuk penuntut berbagai-bagai jalan tariqat. Tasawuf itu adalah ilmunya untuk membaikkan hati. Ia amat anti riak, ujub, sum'aah dan sebagainya yang bagi saya amat diperlukan oleh setiap muslim di hujung zaman ini termasuk penulis muda. Itupun kalau mahu menjadikan karya mereka menjadi sumber amal ibadat dan pahala. Awaslah, apabila mengaji tasawuf ini ia akan menyelak aib diri sehabis-habisnya justeru jika tidak tahan menilik diri sendiri maka jauhkanlah diri tuan puan daripada ilmu-ilmu kerohanian ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan