Apabila kita memperkatakan soal Melayu dalam wacana politik maka perbicaraan kita itu tidak akan habis dan selesai. Ini kerana PAS ada wacana politiknya tersendiri tentang keMelayuan. Manakala UMNO ada wacana politiknya tersendiri tentang keMelayuan. Masing-masing akan membicarakan Melayu dan keMelayuan itu dari sudut wacana politik masing-masing yang sudah barang pasti masing-masing tidak terlepas daripada meraih kepentingan politiking dan sokongan.
Sebab itulah apabila UMNO menyeru orang Melayu bangkit membela maruah, daripada aspek wacana budaya, seruan itu tidak lebih sekadar seruan yang terhasil daripada wacana politik UMNO semata-mata. Apakah maksud maruah Melayu bagi UMNO?Adakah faktor kekalahan dan kemalangan berturut-turut menimpa UMNO itu menyebabkan seruan itu?
Apabila kita melihat isu Melayu dan keMelayuan itu daripada aspek wacana budaya maka kekalahan pemimpin UMNO dalam PRU dan juga nasib yang sentiasa tidak menyebelahi UMNO itu bukanlah suatu elemen maruah Melayu tetapi maruah UMNO. UMNO memandang ia sebagai maruah Melayu sebab UMNO berbicara dalam aspek wacana politik.
Dalam wacana budaya UMNO dianggap bukan lagi mewakili orang Melayu apatah lagi maruah orang Melayu. Setelah Dasar Bahasa Kebangsaan dipijak-pijak maka dimanakah lagi maruah Melayu?
UMNO tidak menganggap isu bahasa (baca:PPSMI) sebagai sebahagian daripada elemen maruah Melayu kerana dari sudut wacana politiknya isu bahasa adalah isu pemberian tender dan segala macam yang bersangkutan tentangnya. Malah ia adalah produk pemikiran pemimpin UMNO yang sangat kebaratan dan songsang itu.
Jadi isu bahasa tidak termasuk dalam wacana politik UMNO kerana ia memartabatkan bahasa dan memajukan bangsa dengan bahasa kebangsaan tidak kelihatan secara mata kasar. Kesannya tidak dapat dinikmati pada masa sekarang berbanding wacana politik UMNO mementingkan pembangunan material yang dapat dilihat sesegera yang mungkin dan nyata di mata kepala walaupun peradaban hancur.
Dalam wacana budaya, isu bahasa adalah isu peradaban sesebuah tamadun. Sudah banyak kali ditegaskan dalam mana-mana tamadun sekalipun yang pernah wujud di atas bumi Allah ini, semuanya didirikan atas perkembangan ilmu dalam bahasa tamadun itu sendiri. Bahasa itu menjadi penanda aras ketamadunan sesebuah bangsa dan negara. Maksudnya bahasa yang berfungsi secara maksimum sebagai alat penyampaian akal fikiran, akal budi dan segala macam pertumbuhan ilmu dan keilmuan. Bahasa itu sumber epistimologi. Justeru mendirikan tamadun tanpa epistimologi adalah tanda bangsa itu akan CELAKA.
Wacana budaya tidak memperakui seseorang pemimpin sesesuatu bangsa mewakili suara bangsanya apabila tindakan pandir pemimpin itu memijak bahasanya dan bangsanya. Pemimpin itu dalam wacana budaya adalah pemimpin yang harus disungkurkan dan segala pencapaian dan ucapannya terhasil daripada wacana politik yang mementingkan kepentingan sendiri.
Justeru bezakan. Wacana politik mementingkan kuasa dan kepentingan kuasa manakala wacana budaya mementingkan kepentingan bangsa, bahasa, agama dan peradaban.
Justeru hujah mengatakan bangkitlah selamatkan maruah Melayu dengan bersatu dalam parti UMNO adalah premis yang terhasil daripada wacana politik yang falasi sifatnya. Melainkan UMNO kembali membela Melayu dalam wacana budaya maka ia haruslah disokong semula.
Namun nampaknya, wacana politik dan kuasa lebih mendominasi parti UMNO berbanding wacana budaya. Justeru faham-fahamlah bila UMNO menyeru orang melayu supaya bangkit selamatkan maruah Melayu...Selamatkan maruah semua orang Melayu atau selamatkan maruah pemimpin UMNO yang kalah PRU dan dikalahkan di mahkamah akibat rasuah, membelakangkan perlembagaan dan sewaktu dengannya sehingga mencalitkan malu ke atas semua orang Melayu?
Justeru cerdiklah sedikit, wahai Melayu agar tidak dipergunakan lagi. 600 tahun orang Melayu dipergunakan. Diperbodohkan. Cukuplah wahai UMNO.Dengan wacana politik dan kuasa kalian!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan