Aku masih ingat, sewaktu aku masih bersekolah, ada seorang wanita melepas 60 tahun umurnya, berjalan sekitar kampung dan pekan setiap hari menziarahi rumah ke rumah sesiapa sahaja. Namanya Mak Jah Tok Ti. Tolonglah jangan jeritkan Polis kepada Mak Jah kerana mampus dikejarnya dengan tongkat kayu akaq berlinkaq. Walaupun Mak Jah Tok Ti, sudah terlalu tua untuk berjalan berkilometer seharian, bertubuh kecil dan menghidap buasir berdarah, wanita yang sudah kematian suami ini tetap berjalan dan menziarahi. Antara rumah yang didatangi dalam putaran kunjungannya ialah rumah Tok dan Tok Wan ku. Apabila datang Mak Jah Tok Ti akan dihidangkan Tok dengan ayaq kopi bersama biskut marrie atau cekodok panas. Mak Jah Tok Ti selalu tanya aku bila nampak aku mengendapnya dari celah cermin. "Mai la sini, mengaji depan mak jah."katanya membuatkan aku meremang serata tubuh. Mak jah terkerinyih menampakkan gusinya semata-mata. Mata Mak Jah tetap terang benderang. Rutin Mak Jah memang sudah lama seingat aku ketika aku masih kecil lagi, belum tadika, Mak jah ada sekali ambil aku bawa ke jalan besar menyebabkan aku menangis 'selak' ketakutan. Apabila aku besaq sikit, belajar di sekolah menengah, aku kian matang dan adalah tanya sikit-sikit Mak jah macam mana kesihatannya. Mak Jah ada anak namanya Mael yang separuh mereng. Kerjanya macam maknya juga berjalan-jalan tapi Mael suka berjalan dan bercampur dengan sebarang orang walau orang itu mempermain-mainkannya. Walau macam itupun, Mael bekerja juga di kedai suratkhabar sebagai pengemas kedai yang setia dan patuh. Aku tidak mendengar lagi kisah Mak Jah Tok Ti sejak berada di Universiti Malaya sehinggalah sesekali aku pulang ke kampung Mak Jah Tok Ti sudah tiada. Bukan matilah, tetapi telah dihantar ke rumah kebajikan orang-orang tua di Perak. Bila aku ingat balik, bukan Mak Jah Tok Ti sahaja yang tergolong dalam masyarakat kampung yang miskin dan susah tetapi juga ramai lagi seperti Mak Peah, Mak Zenab dan sebagainya lagi yang rata-rata sudah meninggal dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan