23 November 2008

PPSMI tak capai matlamat 'sesat' & aniaya anak bangsa!

Oleh MOHD. ARIF ATAN

Di sebalik meraikan kejayaan 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini yang memperoleh gred A untuk semua mata pelajaran, usahlah dilupakan nasib dan masa depan kegagalan 30,049 murid yang mendapat gred D dan E untuk semua mata pelajaran. Jumlah sebesar itu boleh memuatkan 25 buah sekolah jika sebuah sekolah menampung 1,200 murid.

Lebih memeranjatkan, angka 30,049 itu adalah peningkatan “tidak sihat” sebanyak 44 peratus berbanding UPSR tahun lalu yang mencatatkan seramai 20,856 calon tidak menguasai tahap minimum untuk semua subjek. Jika diperincikan lagi, jumlah “murid kurang upaya” bagi tahun 2007 itu pula meningkat 4.5 peratus daripada tahun 2006. Ini bermakna bermula dari tahun 2006 sehingga tahun ini jumlah mereka yang gagal meningkat secara mendadak.

Apa makna semuanya ini? Selama enam tahun di bangku sekolah sebahagian daripada mereka masih gagal menguasai aspek literasi yang berkait rapat dengan kemahiran kognitif dalam membaca, menulis dan aritmetik. Bagaimana dengan gahnya pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), masih terdapat puluhan ribu murid “merangkak” membaca, menulis mahupun mengira? Jumlah seramai itu belum termasuk lagi mereka yang memperoleh gred C iaitu gred atas pagar atau sekadar nasib.

Tidakkah kelompok murid ini akan berdepan dengan tekanan yang lebih dahsyat apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah nanti sehingga terdorong terjerumus kepada pelbagai bentuk pelanggaran disiplin di sekolah? Sekiranya membaca pun tidak mampu tentulah mustahil untuk mereka mampu menguasai ilmu berkaitan sains dan matematik di peringkat sekolah menengah. Itu belum ditinjau daripada melebarnya jurang pencapaian antara murid kawasan luar bandar dan bandar.

Umum tahu, kadar keciciran pelajar adalah lebih tinggi di kawasan luar bandar. Bagaimana pula perincian pencapaian calon-calon Melayu dan Bumiputera yang sebahagian besarnya di bangku sekolah kebangsaan? Ini kerana murid-murid di sekolah jenis kebangsaan Cina dikira sebagai “bertuah” apabila berpeluang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Mandarin selain bahasa Inggeris. Kembali kepada "matlamat" PPSMI, adakah sejumlah 518,616 calon UPSR tahun ini sudah fasih berbahasa Inggeris memandangkan mereka merupakan kelompok pertama melalui dasar itu sejak dari Tahun 1?

Jika benar PPSMI adalah usaha yang terbaik dan benar untuk memastikan pelajar kita menguasai bahasa Inggeris sepatutnya selepas enam tahun belajar semua calon terbabit tiada masalah dalam berkomunikasi dalam bahasa itu. Malah, mereka juga semestinya tiada masalah menjawab 100 peratus kertas Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Namun, mengapakah hanya 31 peratus dan 47 peratus calon sahaja yang menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?

Banyak kajian linguistik dan pendidikan membuktikan pengajaran menggunakan bahasa ibunda dan dalam konteks negara ini semestinya dalam bahasa kebangsaan ternyata lebih berkesan daripada menggunakan bahasa asing. J.W. Wood (2002) misalnya berpendapat menggunakan bahasa kedua dalam pengajaran akan mengambil masa yang lama dan ini menjadi penghalang utama kepada pelajar untuk menguasai ilmu. Menyedari hakikat tersebut, keputusan UPSR tahun ini perlu dikaji daripada pelbagai segi agar masa depan modal insan puluhan ribu anak-anak Malaysia tidak sia-sia begitu sahaja. Kembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan