Bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa ilmu. Catatan pengembara I-Cing yang singgah dan bermastautin selama 6 bulan di ibu negeri Sriwijaya di Sumatera menunjukkan bahawa pada sekitar abad ke-7 telah ada pusat pengajian agama Buddha di Sumatera dengan menggunakan bahasa Melayu.
Sesudah Islam menyinari Alam Melayu, bahasa dan persuratan melayu menjadi demikian kayanya dengan fungsi bahasa Melayu mengungkapkan ilmu-ilmu agama, ilmu kalam dan fiqah, muamalat, munkahat, jinayat, sirah, qiraat dan tasawuf. Manuskrip tertua bertarikh 1590 yang telah dikaji oleh Prof Syed Naquib Al-Attas iaitu terjemahan Aqaid Al-Nasafi oleh ulamak Melayu (mungkin Nuruddin Al-Raniri) ialah kitab yang membicarakan soal akidah atau tauhid. Selain itu, bahasa dan persuratan Melayu menjadi kaya dengan ilmu dan maklumat dalam pelbagai bidang lain. Sehingga kini, kita mewarisi ribuan karya yang mengungkapkan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran daripada tradisi ilmu hinggalah pembuatan persenjataan, perubatan dan pembinaan.
Karya-karya demikian ditulis dalam bahasa Melayu menjadi bukti wujudnya pemikir, ilmuwan, pujangga, pengarang, tukang kayu, tukang besi dan pembuat bahtera yang memerlukan seni ukuran dan pengetahuan alam tabi'i yang sangat menakjubkan.
Dalam bahasa dan persuratan nama-nama seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Syamsudin Al Sumatrani, Abdul Rauf Singkel, Abdus Samad al-Falimbani, Syeikh Daud Al-Fatani, Syed Muhammad Arsyad al-Banjari, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan banyak lagi telah diktiraf oleh seluruh peneliti dan orientalis seluruh dunia sebagai pendukung tamadun Melayu dalam bidang bahasa dan persuratan.
Demikian pula munculnya tokoh-tokoh dan karya-karya dalam pelbagai bidang menjadi bukti berdiri teguhnya pusat-pusat peradaban Melayu seperti Pasai, Melaka, Acheh, Patani, Banjarmasin, Palembang, Riau-Johor dan beberapa lagi. Prof A. Teeuw, sarjana Belanda mengakui bahasa Melayu tinggi sudah wujud ketika zaman perkembangan Tamadun Melayu-Islam lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan