Oleh MOHD. ARIF ATAN
Akal budi, jati diri, prinsip dan pegangan hidup masyarakat Melayu hari ini sebenarnya berdepan dengan pelbagai cabaran. Bagaimana keadaan Melayu untuk tempoh 100 tahun akan datang jika baharu setengah abad merdeka pun orang Melayu sudah alah dengan cabaran lalu terpasung akal budinya oleh penjajahan, hegemoni atau dominasi kuasa dan budaya luar?
Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberi takrifan Melayu sebagai “seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Melayu, mengamalkan adat Melayu…” tidak bermakna jika kita gagal menangani impak budaya yang muncul daripada cabaran dari luar yang ditandai melalui fenomena dunia tanpa sempadan atau globalisasi serta cabaran dari dalam diri Melayu sendiri yang bersifat tidak ambil peduli.
Menyedari hakikat itu, orang Melayu perlu menyelongkar kembali khazanah warisan adat resam pusaka lalu dan menghidupkan kembali tradisi Melayu silam dalam segenap lapangan kehidupan kita hari ini.
Usah salah faham tentang adat. Seruan kembali kepada adat bukanlah menyuruh orang Melayu menjadi mundur. Jangan pula ada yang menganggap adat itu lapuk dan usang sehingga mesti ditinggalkan.
Ini kerana adat bukan seperti adat bersanding atau adat berinai yang diketahui umum semata-mata.
Itu semua terangkum dalam adat istiadat. Selain itu, terdapat dua aspek adat lagi iaitu “adat yang sebenarnya adat” melibatkan hukum tabii yang dicipta oleh Tuhan serta “adat yang diadatkan” berkaitan dengan peraturan hidup yang diwujudkan oleh generasi sebelum ini seperti Adat Perpatih dan Adat Temenggung. (Norazit Selat, 2001)
“Kebebalan” orang Melayu hari ini dengan tidak mampu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk untuk kepentingan bangsanya sendiri baik dari peringkat pemimpin, golongan menengah sehingga masyarakat marhaen Melayu hari ini berpunca daripada gagalnya kita memahami makna dan menjiwai falsafah atau mesej tersirat di sebalik pelbagai bentuk bagasi kebudayaan atau adat resam dan budaya warisan nenek moyang kita.
Orang Melayu hari ini semakin celaru pemikiran, percakapan dan tindakannya lantaran kita tidak lagi menjadi bangsa yang berakal budi, budiman dan baik budi pekerti berlunaskan adat Melayu kita sendiri.
Akibat tidak mempedulikan adat, ada yang mahu menjadi seperti umang-umang dengan mahu meniru atau menciplak budaya bangsa lain sebagai “pakaian” dan “makanan” bagi dirinya.
Walaupun kulitnya masih sawo watang dan berhidung pesek ada yang bersikap dan berpandangan lebih Arab dari pada orang Arab. Akibatnya, segala bentuk adat, citra seni dan budaya bangsanya dianggap haram di sisi agama Islam.
Sementara itu, sebelah pihak mahu menjadi bangsa Inggeris sehinggakan begitu taksub dengan “ajaran sesat” bahawa pengajaran dan pelaksanaan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bermula tahun 2003 lalu adalah satu-satunya tindakan terbaik untuk memajukan bangsa Melayu akan datang.
Bakinya pula hanyut mengikut arus sama sekali tidak membantu membina rasa bangga menjadi bangsa Melayu dengan terjebak dalam pelbagai bentuk kelalaian dan penyimpangan sosial dari membuang masa, malas membaca dan berfikir, berhibur dan bersuka ria tanpa batasan serta terjebak dalam bermacam jenis jenayah.
Apa akan jadi pada bangsa Melayu nanti jika penekanan untuk kembali kepada akar jati diri bangsa masih tidak dipeduli?
Menyedari hakikat itulah, pemikiran dan akal budi orang Melayu hari ini perlu kukuh seteguh akar pohon beringin.
Tegap berdirinya orang Melayu bersaing dengan bangsa lain sama ada di dalam mahupun di luar negara adalah berkait rapat dengan sejauh mana kita menjiwai kembali pandangan semesta (world-view) nenek moyang kita dahulu terhadap alam semulajadi.
Ini kerana pengalaman bangsa Melayu banyak dibentuk dan dipengaruhi secara langsung dan tidak langsung oleh alam semulajadi. Liuk-lintuk atau tegapnya tumbuhan hijau serta gerak lincah haiwan di sekeliling hidup orang Melayu itulah yang banyak mencorak akal budi murni bangsa Melayu.
Sebagai contoh, imej pohon beringin yang sinonim dengan permainan wayang kulit ialah lambang betapa pentingnya pohon beringin diangkat kembali sebagai ‘pohon kebangsaan’ orang Melayu. Pohon yang memiliki batang yang kukuh, akar berjuntaian serta tumbuh rimbun dan rendang itu menjadi pelindung daripada panahan terik cahaya matahari dan rintik hujan. Di situlah juga habitat pelbagai spesis mergastua.
Jika dibelah buah beringin pula akan kelihatan ribuan butir biji-biji halus seperti butiran pasir halus di pantai. Gahnya pohon beringin terserlah apabila asalnya hanya bercambah daripada butiran yang begitu halus tetapi berupaya hidup tegap ‘bernafas’ untuk ratusan tahun usianya.
Betapa hebat dan pentingnya pohon beringin dalam akal budi orang Melayu dapat kita selami dari babak filem Bawang Putih Bawang Merah (1959) ketika Bawang Merah lakonan seniwati Latifah Omar berbuai di rimbunan pohon beringin sambil menyanyikan duka lara hidupnya diseksa.
Sifat pohon beringin sebagai pelindung juga ada dihuraikan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang dalam puisinya Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya (1979). Antara petikan puisi berseni penuh makna itu ialah:
“ratusan tahun usianya berdiri
menadah matahari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya
anak-anak bermain di keteduhan perdunya.”
Daripada sifat alami pohon beringin itulah, setiap orang Melayu hari ini perlu mencontohi nilai murni dan falsafah di sebalik rimbun dan tegapnya pohon itu dengan menjadi orang yang beradat.
Sebaliknya, Melayu yang tidak tahu adat atau tidak beradat adalah orang yang tiada tertib dan tidak berhemah tinggi.
Orang Melayu yang beradat ialah Melayu yang bertimbang rasa, berbudi bahasa, berbudi pekerti dan memiliki budi bicara.
Selain itu, mereka yang bersopan santun, menghormati orang lain, bermaruah, merendah diri, bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan bersama atau semangat kekitaan (esprit de corp) melalui amalan muafakat dan kerjasama jauh mengatasi kepentingan diri semata-mata adalah sifat murni lagi terpuji orang Melayu yang beradat.
Dalam persekitaran atau milieu baru ini, orang Melayu mesti menerima dan mengamalkan adat nenek moyangnya sebagai perkara fundamental dalam memastikan kelangsungan bangsa Melayu di dunia ini seperti yang sering ‘dilaungkan’ oleh pahlawan Melayu Hang Tuah.
Perkembangan revolusi teknologi dan peningkatan taraf hidup masyarakat Melayu kini bukan penghalang kepada usaha untuk melihat orang Melayu menjadi lebih beradat dan memiliki daya fikir yang tinggi.
Sebaliknya, kedua-dua faktor itu adalah pemangkin untuk kita mengamalkan seterusnya mewariskan adat nenek moyang kita kepada generasi Melayu akan datang.
Potensi yang ada dalam akal budi Melayu hanya dapat dikembangkan sekiranya orang Melayu kembali kepada akar budaya tradisinya yang sarat dengan nilai-nilai murni. Nilai budaya ekspresif Melayu perlu diterapkan dalam masyarakat Melayu kini sebelum orang Melayu terutama dari kalangan generasi mudanya hanyut dalam nilai budaya asing sama ada dari Barat mahupun dari budaya kaum Cina dan India di negara ini.
Cabaran luar dengan memanfaatkan unsur positif globalisasi perlu dijadikan pemangkin untuk mengetengahkan adat resam, nilai dan cara hidup kita sama ada kepada orang bukan Melayu di negara ini juga kepada seluruh warga dunia.
Jika bukan kita orang Melayu dan jika bukan bermula hari ini untuk Melayu kembali berpegang pada adat resam dan budayanya, jadilah bangsa Melayu kelak sebuah bangsa tidak beradat, lupa diri, goyah dan punah dek kelalaian kita hari ini tidak peduli untuk menyanjung tinggi dan mangamalkan adat resam nenek moyang kita lagi.
Kesimpulannya, orang Melayu mesti menjadi pohon beringin yang tegap dan kuat akarnya menjadi pasak bumi bukannya pohon kiambang yang hanyut dibawa arus dek tidak jejak akarnya ke bumi.
***
Tiada ulasan:
Catat Ulasan