29 Disember 2008

Sekuntum Melayu di Taman Ibunda

Oleh Muhammad Ali Atan

KALI ini Dia datang dengan menyuguhkan Hikayat Abdullah Munsyi, Revolusi Mental dan Mitos Melayu Malas terdampar di depan mataku, tetapi buku Mitos Peribumi Malas lebih menarik minatku.
+ Secara jujurnya aku lebih suka berpegang pada buku tulisan Syed Hussein Al-Attas ini daripada buku-buku lain yang kau bawa kepadaku.

- Aku tidak berapa menyetujui buku itu. Ia seolah-olah membela Melayu yang pemalas.+ Kau sudah membacanya?

- Kutemuinya setelah kutelaah habis-habisan buku-buku ini dan kufikir untuk lebih adil, kubawakan juga buku ini kepadamu.

+ Aku tahu kau seorang Melayu yang rasional dan bijak. Tapi jika kau hendak berpegang kepada Revolusi Mental, pada ketika ini aku sesungguhnya akan menolak.Dia hanya tersenyum mendengar kataku. Lantas diambilnya Revolusi Mental dan menyelak-nyelaknya. Kutahu sebentar lagi perdebatan akan bersemarak.

- Pada halaman 69 dapat kau baca pandangan dunia Melayu melalui peribahasanya. Tentang nasib - ‘rezeki secupak tidak boleh jadi segantang’ dan ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’; tentang kekayaan - ‘orang kaya jangan di angan, orang miskin jangan dihina’; tentang usaha - ‘hangat-hangat tahi ayam’; tentang dunia- ‘dunia ini pinjam-pinjaman ke akhirat juga sudahnya’; tentang berjimat - ‘biar papa asal bergaya’; tentang masa - ‘janji Melayu’; semuanya menggambarkan citra Melayu yang negatif.

+ Kau perlu tahu penulis Revolusi Mental dipengaruhi oleh pemikiran kapitalisme kolonial. Adakah kau suka diperas ugut bekerja untuk memberi keuntungan kepada si penjajah tanah airmu?

- Sudah tentu tidak. Tapi aku bukanlah menyentuh hal itu. Jangan melarikan diri daripada masalah sikap Melayu yang kuajukan sebelum ini.

+ Sesungguhnya aku sependapat dengan Syed Hussein Al-Attas bahawa Revolusi Mental mengeksploitasi sejumlah peribahasa untuk menggambarkan sikap keseluruhan bangsa Melayu. Kesalahan besar Revolusi Mental ialah penulis tidak menggolongkan pepatah tersebut mengikut jenis-jenisnya. Walaupun samar tapi dengan kebijaksanaan, kita dapat melihat jenis pepatah berunsur nasihat yang merupakan anjuran sesuatu yang baik dan harus dilaksanakan, larangan atau gambaran. Pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’ berupa suatu larangan, bukan suatu yang dianjurkan. Mengatakan pepatah ‘rezeki secupak tidak boleh jadi segantang’ menggambarkan sikap Melayu yang fatalis yakni berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa berusaha adalah tafsiran nihil dan pincang. Orang Melayu bukan fatalis, tetapi mereka mempunyai kehendak yang merdeka. Mereka percaya tindakan manusia akan mempengaruhi nasib manusia. Nah! Ada pepatah Melayu yang membuktikan nilai usaha dan tindakan manusia. ‘Tanam lalang tidak akan tumbuh padi; ‘malu berdayung perahu hanyut’ dan ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’ Takdir bagi masyarakat Melayu adalah ketentuan Tuhan sejak azali lagi.

- Hujahmu seperti kubu yang akan melindungi orang yang benar dan orang yang bersalah sekali gus. Tidakkah kau berasa bersalah melindungi orang yang bersalah?

+ Seperti kau juga. Hujahmu akan menjadi hujah oportunis yang mahu menangguk di air keruh semata-mata.

- Abdullah Munsyi telah menyebut Melayu itu pemalas, pengotor ...

+ Sudahlah! Aku sudah membaca Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan itu. Pandangannya tercipta daripada pemerhatian yang terhad. Tidak mewakili yang terbanyak. Lagipun dia bekerja di bawah kolonial Inggeris yang menjajah Tanah Melayu ketika itu.

- Nyahkan dia bekerja dengan sesiapa.

+ Itulah yang kau silap. Di mata kolonial Melayu pemalas kerana keengganannya membanting tulang untuk mereka. Hei! hati-hati sedikit dengan hujahmu.

- Sabar sahabat. Bukankah kau juga yang mengatakan Melayu itu seorang yang rasional.

+ Tapi bukan rasionalisme. Mempercayai setiap sesuatu berasal daripada satu punca dan berakhir bergerak atas landasan logik adalah pemikirannya yang sebenar. Bukan rasionalis Barat yang menolak kewujudan Tuhan dan alam ghaib.Jeda. Detik ke detik kegelapan malam bertambah likat. Namun mataku seterang matahari. Hati dan mindaku adalah paduan yang berhujah dengan emosi yang rasional. Ah! Sudahlah mengkritik Melayu. Empat ratus tahun lebih terjajah bukanlah suatu masa yang singkat, hingga minda Melayu disetkan oleh penjajah dengan premis hendak membuat sebatang jarum pun tidak mampu, inikan pula memerintah sebuah negara!

Hebatnya retorik penjajah mengecilkan jiwa Melayu. Kini tanah air ini telah merdeka. Untuk mengubah minda yang terjajah memerlukan kebijaksanaan yang amat padu dan dalam. Usaha yang bukan separuh jalan. Amat zalim melemparkan celaan berterusan tanpa memberikan masa untuk tumbuh semula.

- Mengetepikan Revolusi Mental adalah mengetepikan keintelektualan bangsamu sendiri.Aku merengus keras. Kucapai jua Revolusi Mental yang terkapar di atas meja sedari tadi. Sesekali aku tidak mengetepikannya. Malahan buku ini telah lama kubaca dahulu. Kukagumi misinya. Tapi kubenci sesetengah politikus yang mengkritik Melayu dengan lantang, begitu begini. Sudah cukup beramanahkah mereka menyampaikan segala hak kepada yang berhak untuk diterima oleh sekalian rakyat jelata atau....

- Bahagian III mengajak Melayu mengubah sikap; berfikiran kritis, bersikap realistik, bersikap positif, berkesungguhan, takdir dan berusaha, percayakan diri sendiri, memberi dan menerima, waktu dan tugas dan disiplin sebagai punca kekuatan. Inilah antara saranan yang masih belum diamalkan oleh bangsa Melayu.

+ Hei! Kau tahukah betapa kelirunya Revolusi Mental dalam hal-hal tertentu?- Bagiku kau yang keliru dan beremosional.

+ Heh, bagiku emosi yang rasional tidak menjadi salahnya sahabat. Kaulihat penulis Revolusi Mental dengan mudah sahaja menyimpulkan Melayu pada zaman dahulu, tidak mengenal ‘disiplin’. Buktinya tidak ada kata untuk ‘disiplin’. Nihilnya pandangan yang disokong oleh bukti senipis sehelai kertas. Ada kata ‘patuh’ untuk menunjukkan disiplin orang Melayu. Hei, tidak akan berdirinya kerajaan di Tanah Melayu itu tanpa sebuah organisasi politik dan tentera yang ‘berdisiplin’. Seperti kata Syed Hussein Al-Attas betapa menakjubkan Revolusi Mental mengabaikan seluruh faktor ini dalam kajiannya tentang displin Melayu.

- Kau bersikap terlalu defensif sehingga sukar untuk aku berkata-kata lagi.

+ Kau pula bersikap terlalu ofensif seolah-olah tiada baiknya umat Melayu yang dijadikan oleh Tuhan di atas muka bumi-Nya ini.Dia terdiam. Antara waktu yang bergerak aku kehilangannya berhari-hari. Kehilangan itu adalah suatu yang kuharapkan mengundang ketenteraman di hatiku. Masa-masaku digunakan untuk pelajaranku. Kembaraku dari rak ke rak buku di khutubkhanah menemukan aku dengan variasi buku pelbagai bidang yang sangat menguja daya intelekku. Keagungan bangsa Melayu yang terakam lewat sejarah dan hikayat-hikayat begitu menakjubkan. Bertambah-tambahlah lagi kekagumanku terhadap bangsa Melayu.

Kehebatannya meliputi tamadun zahir, tamadun minda dan tamadun rohani.Sehingga suatu hari kulihat kawan-kawanku berborak dan ketawa dengan senang hati. Gelak tawa dan bual itu mencubit sukmaku, terutama apabila salah seorang daripada kawanku mengajak aku melepak dengan mereka, walhal waktu kuliah yang seterusnya akan bermula lima minit lagi. Aku menyertai mereka juga walau hatiku berat.

Ah! Tiba-tiba pula kuterlihat Dia di suatu sudut memandangku dengan sinis. Mujur Dia tidak bersuara sepatahpun kala itu. Dari situ pandanganku tersambar pula pada suatu babak. Peniaga yang meminta wang kecil daripada pelanggannya. Apabila pelanggannya menggeleng, merungutlah dia tidak tentu biji butirnya. Peniaga itu menyuruh pelanggannya membayar pada keesokan harinya sahaja, sambil memperingatkannya untuk membawa wang kecil pada masa depan.

Aku merengus hampa. Aku terpandangnya sekali lagi. Menggeleng kepala dia memandangku. Semuanya itu cepat mengundang babak demi babak yang sangat kubenci untuk mengingatinya. Tentang kawan-kawan yang meminta tugasanku untuk dimodifikasi pada hari-hari akhir penyerahan tugasan. Tentang perang mulutku di sebuah pejabat awam kerana karenah birokrasinya. Tentang keborosan generasi muda yang obses dengan gaya. Tentang cinta yang ditafsirkan dengan sewenang-wenangnya sehingga lahir anak tanpa bapa. Tentang pemikiran cendekiawan yang seperti pucuk dipulas ribut, akar terpongkah habis. Tentang, tentang, tentang....

Ah!!! Semuanya bergumul pada saat-saat aku memerlukan sedikit nafas untuk bertenang dan tidur nyenyak pada malam hari. Dan waktu-waktu beginilah Dia datang kepadaku. - Apakah yang membuatkan kau berasa gelisah?

+Er... mengapa terjadi begitu....

- Mahu kautolak lagi hujahku tadi wahai sahabat?

+ Hujah apa? Membela Revolusi Mental itu. Setiap pandangan yang salah tentang Melayu itu selamanya kutentang.

- Bagaimana pula dengan ‘realiti’?

+ Apa maksud kau?

- Inilah realitinya. Hujahmu itu adalah tentang sesuatu yang sangat ideal. Pendirianmu adalah pendirian yang ideal, tetapi pandanganku adalah pandangan yang berdasarkan realiti yang berlaku.

Lidahku terkunci. Kufahami apa yang dikatakan sebagai realiti dan ideal itu. Kutahu yang kupertahankan adalah identiti peribadi Melayu yang ideal. Dengan keperibadian inilah berdirinya tamadun yang gemilang ditandai Kesultanan Melayu Melaka dan dituruti kerajaan Melayu lainnya. Dengan meninggalkan keperibadian ideal inilah, segala-galanya kian luntur dan hilang. Lebih teruk lagi apabila kolonial bertapak meranapkan lagi keperibadian Melayu yang ideal.

+ Maaf sahabat. Walaupun kusedari hal itu, aku memutuskan mencela terus-terusan bangsaku ini tidak lagi dapat kuterima melainkan dengan tindakan untuk merekontruksinya semula.

- Aku juga memohon maaf kepadamu kerana kini telah kita sedari hakikat yang sebenarnya.

+ Kau tidak tahu hakikat pendirianku. Ia adalah rahsia hatiku.

- Rahsiamu bukanlah rahsia padaku kerana kita mempunyai dua pandangan yang berbeza, tapi lahir daripada satu jiwa yang sama.Selesai kata-katanya itu, Dia ghaib daripada pandanganku. Aku tidak tahu ke manakah dia pergi. Dia tidak muncul-muncul lagi untuk berdebat denganku. Yang pasti kurasakan, jiwaku tenang dan penuh bijaksana. Pandangannya kutimbang, lalu kuimbang dengan pandanganku. Ia adalah bentuk-bentuk pemikiran yang tidak boleh dipisahkan. Pincanglah neraca keadilan dan meletuslah pertelingkahan demi pertelingkahan yang merugikan Melayu itu, jika ia dipisahkan. Bila ada kawanku seorang Melayu mahu mengkritik Melayu, segera kukatakan padanya.

+ Fahamilah dahulu Melayu yang ideal, sebelum mengkritik. Fahamilah realiti yang berlaku. Cantumkanlah ia untuk mencari penyelesaian, bukannya sekadar berkata-kata yang menjatuhkan maruah Melayu!

Dan kurasakan aku umpama sekuntum Melayu yang berkembang mekar di taman ibunda. Mataharinya adalah semangatku. Cahaya yang tak kunjung padam menyirami tanah air dan langit leluhurku!

Biodata Penulis: Muhammad Ali Atan, pendatang baru dunia penulisan kreatif tanah air. Penuntut Tahun 3, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya ini pernah menerima bimbingan penulisan kreatif, teori dan amali daripada beberapa penulis tersohor Malaysia.

Jalan Menuju Allah-TAUBAT-

Dalam kitab Sairus Salikin nukilan Syeikh Abdul Samad Al-Palimbani diterangkan beberapa hal yang perlu dilakukan dan dihayati seseorang untuk menuju kepada Allah. Antaranya ialah:

1.TAUBAT-'...permulaan jalan bagi salik...yang menyampaikan kepada makrifah Allah."

Penerangan: taubat itu mempunyai pendahuluannya iaitu:

  • Pertama, selalu ingat "bahawa maksiat yg membawa kepada dosa itu sangat keji dan jahat kpd Allah dan manusia."
  • Kedua, harus diingat kelemahan diri untuk "menanggung siksa Allah ta'ala terhadap orang yang melakukan maksiat itu"
  • Ketiga, harus diingat kelemahan diri untuk "menanggung siksa yang sangat berat di akhirat" nanti.

Syeikh menerangkan lagi taubat itu ada tahap-tahapnya:

  • Pertama, taubat orang awam
  • Kedua taubat orang khawash-orang2 yang khusus
  • Ketiga taubat orang yang khawasul-khawash-orang2 yang lebih khusus lagi.

Maksud taubat orang yang awam ialah taubat daripada 'maksiat yang zahir," spt berzina, membunuh, mencuri dll.

Orang khawash pula taubat dari "maksiat yang batin,: spt riak, ujub, takabbur, hasad dll.

Orang khawasul-khawash pula ialah taubat dari "segala yang terkhatir (terlintas) di dalam hatinya selain drp Allah krn ibadah mereka itu sentiasa hadir dalam hati kpd Allah dan kekal pada tiap2 masa dengan zikrulah dan didalam mereka itu dan syuhud akan Allah ta'ala(memandang dalam hati).

Justeru peringkat ketiga ini bukan lagi "permulaan jalan bagi salik," krn mengekali Allah malah memandang dgn hatiNya stp waktu ini adalah orang yang sudah smapai ke puncak makrifah yang hendak dicapai oleh salik yang telah menempuh jalan yang panjang.

Maqam taubat mencerminkan tahap permulaan salik, yang meliputi taubat orang2 awam dan taubat orang2 khawash yang masih bergelut dengan nafs ammarah dan membebaskan maksiat lahir dan batin. Namun maksiat yang batin itu terhapus seluruhnya bagi salik yang berada di maqam zuhud nanti.

Syeikh menerangkan dosa2 batin itu tersimpan dalam 10 perkara:

  • Amat gemar membanyakkan makan.
  • Amat gemar berkata2 barang tiada berfaedah spt umpat, mengeji, mencela.
  • Amat suka marahnya, kuat marahnya
  • Amat dengki dan hasad kpd hamba Allah yang lain
  • Kikir dan kasih akan harta.
  • Kasih akan kemegahan dan kebesaran dunia.
  • Kasih akan dunia dan isinya.
  • Membesarkan dirinya sendiri dan menghina manusia lainnya.
  • Suka hairan (ujub) akan dirinya sebab suka melihat kebajikan yang telah dilakukannya.
  • Riak yakni ibadah bukan kerana Allah.

Kesepuluh dosa batin ini menurut Syeikh adalah "setengah drp dosa yang besar dalam hati."

Selain itu Syeikh menyebutkan 4 jenis dosa besar batin iaitu:

  • Menyekutukan Allah
  • Mengekalkan berbuat maksiat.
  • Berputus asa drp rahmat Allah.
  • Tiada takut akan siksa Allah dan tiada takut akan neraka.

Dengan demikian taubat ialah kebangkitan jiwa manusia, melahirkan kesedaran akan segala kekurangan diri dan kebulatan tekad yang disertai amal perbuatan untuk memperbaiki diri.

Namun demikian taubat yang disentuh dalam Sairus Salikin adalah taubat orang sufi, kerana tenaga penggeraknya. Demikianlah menurut keterangan di atas cinta kpd Allah yg telah dirasakan dalam kadar tertentu ketika seseorang mula mengenal dirinya.

bersambung...

7 Wali Melayu

1. AS SAYID HABIB NUH

2.TUKKU PALOH

3.TUAN TULIS

4.SYEIKH MUHAMMAD SAID AL LINGGI

5.SYEIKH MUHAMMAD NOR AL KHOLIDI

6.TUK KENALI

7.TUAN HUSSEIN KEDAH AL BANJARI

Nilai Sebenar Bahasa Melayu

Oleh Profesor Dr Muhammad Haji Salleh
(Sasterawan Negara)
Sudah beberapa kali saya, sebagai Sasterawan Negara, dan juga sebagai penulis puisi dan kritikan dalam bahasa Inggeris, diminta untuk menyatakan pandangan tentang penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains. Izinkan kami menyampaikan beberapa pandangan yang telah saya hablurkan selama berpuluh tahun membawa ke dua-dua bahasa ini ke dalam jiwa dan kehidupan saya.

Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maka kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita untuk menjadi bahasa besar dan serba-boleh.
Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramal bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab kitalah dewasa ini untuk memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia.

Di sebaliknya kajian ini juga mendapat bahawa bahasa Inggeris tidak akan lagi menjadi bahasa pertama di dunia, malah hanya mendapat tempat bahasa ketiga, iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.

Berikut ialah di antara hujah mengapa bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains di sekolah dan universiti;

1.Tujuan pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah mengajar yang lebih baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya kita merujuk kepada pengalaman negara Belanda maka kita akan temui contoh bagaimana bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan pada peringkat sekolah menengah.
Tetapi oleh kerana cara pengajaran yang baik dan berkesan, maka selepas sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dalam bahasa-bahasa ini dengan baik - lebih baik daripada pelajar Malaysia bercakap bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau 13 tahun). Kita juga mungkin perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari Denmark, Sweden dan Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri tetapi dapat menggunakan bahasa antarabangsa lainnya dengan baik. Jadi contoh kita seharusnya bukan Singapura, tetapi Scandinavia, Belanda dan Belgium mahupun Switzerland.

2. Seperti sering diulang penghujah Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang dari negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak daripadanya daripada negara bukan berbahasa Inggeris - seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland dan India / Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.

3. Beberapa masalah negara kita bukan berpuncakkan penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada budaya kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa di sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbiran serta ekonomi dan ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi serta ilmu.

4. Sekiranya kita tidak kembalikan bahasa Melayu kepada semua bidang ilmu maka kita, terutama kerajaan BN, akan dituduh sejarah sebagai pemusnah bahasa Melayu, sebuah bahasa yang lama dulu menjadi lingua franca daerah Asia tenggara dan untuk beberapa dekad lepas kemerdekaan bangkit dan kuat semula, hinggalah diturunkan darjatnya kerana arahan supaya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting, kerana bidang-bidang terpilih diajar dalam bahasa ini.

5. Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini maka dengan sendirinya kita telah menciptakan dua jenis warganegara Malaysia - yang pertama; menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial - iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.

6. Saya menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemas kini. Saya tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajar. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia kita perlu mempunyai sebuah bahasa persatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.

Dalam bandingan dengan warganegara Thailand atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya, ialah bahawa sastera dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.

Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di semua negara Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di Malaysia anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang Tuah atau Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia, nilai-nilainya dan juga jati dirinya.

7. Sekarang ini bahasa Melayu sedang melemah di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media masa dan kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang untuk hidup dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar , dengan sendirinya bahasa Inggeris akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih dari pengguna dan peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa itu. Sementara itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang dari bangsa Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.

Banyak lagi hujah yang dapat saya tuliskan. Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, saya rasa mencukupi untuk kesempatan ini. Saya amat berharap bahawa bahasa kebangsaan kita akan kembali diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya, seperti selayaknya sebuah bahasa besar dan tua.

Sesuatu bangsa yang tidak menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa lain yang menghormati bahasanya sendiri.

27 Disember 2008

Godam: Perihal Gapena, PPSMI, bahasa, bangsa Melayu

Oleh Salbiah Ani

DUA perasaan menguasai fikiran dengan tujuh keputusan hasil daripada berakhirnya Persidangan Meja Bulat, Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) iaitu pertama secara peribadi penulis sedih kerana tiada kata muktamad mengenainya dan lebih tampil sebagai keputusan cacamarba. Dapat diduga cadangan agar PPSMI diteruskan tentunya datang daripada kelompok yang tidak melihat kepentingan bahasa Melayu tampil sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai bidang dan gagal menerobosi aspek budaya mahupun jati diri yang bersekali dengan bahasa itu. Kelompok ini tentunya tidak kisah hatta jika bahasa Melayu punah seperti dibimbangi pejuang bahasa Melayu yang menolak PPSMI kerana ia dilihat sebagai wadah rasmi pembunuh bahasa rasmi Malaysia secara bersistematik dalam jangka panjang.

Mereka juga sanggup melihat majoriti pelajar Melayu bukan dari kelompok menengah atas yang majoriti jumlahnya di negara ini, kecundang dalam kedua-dua subjek berkenaan, hatta meskipun hanya pada peringkat UPSR kerana gagal memahami konsep dan formula berpunca daripada masalah penguasaan bahasa. Kedua penulis gembira apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang membisu sejak 2003 berhubung isu ini, akhirnya bersuara selepas arah perjuangannya dipersoalkan dalam Godam bertarikh 11 Disember lalu, dengan memberi kenyataan kepada akhbar pesaing pada 13 Disember dan terkini pada 22 Disember, dalam Berita Harian. Bisik nakal seorang teman berhubung perkara ini kepada penulis, “Salbiah tahniah berjaya menyedar pemimpin tertinggi Gapena bangun daripada tidur yang lena. Pemimpinnya baru kebah daripada sakit gigi dan sebab itu kini bersuara. Kita tunggu dan lihat apa kesudahan daripada kenyataannya.”

Hendaknya Gapena bersungguh dalam mengotakan janji untuk menentang PPSMI habis-habisan dan akan menyaman kerajaan sekiranya PPSMI diteruskan, meskipun penulis mempersoalkan mengapa ia hanya disuarakan selepas enam tahun pelaksanaan dasar terbabit, pandangan serupa dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Sudah pasti penulis dan semua persatuan penulis peringkat negeri yang bernaung di bawah Gapena tidak mahu ia sekadar kenyataan media selepas arah perjuangan gabungan terbabit dipersoalkan kerana kami semua mahu melihat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu berhasil.

Mantan Pengarah Urusan, Malaysian Airline System, Tan Sri Dr Abdul Aziz, sebelum ini ada menulis rencana yang memaklumkan pelaksanaan PPSMI bertentangan dengan Seksyen 17 (1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan Artikel 152 (1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan. Seorang lagi teman yang diajukan bagaimana cara untuk memastikan penolakan PPSMI mencapai matlamat memberi cadangan berikut, “Gapena perlu mengumpulkan semua Melayu yang tidak bersetuju dengan PPSMI untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran bagi menunjukkan kesungguhan mereka.

“Jika ini juga gagal memberi kesan terbaik maka Gapena dan kerabatnya perlu menimbangkan ‘Teori 20 Tahun’ iaitu 1946, 1969, 1987 dan 2008 yang sarat dengan pelbagai peristiwa tepu pengajaran, sebagai jalan terakhir menyedarkan pihak berkenaan betapa PPSMI pembunuh bahasa Melayu.

“Tetapi persoalannya, mampukah Gapena menggerakkan usaha massa sedemikian demi memastikan matlamat perjuangan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya mencapai matlamat kerana setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan apakah orang kuat dalam gabungan itu bersedia menjadi korban?” soal teman ini kepada penulis.

Ada benarnya juga cadangan teman ini memandangkan jika tindakan undang-undang yang digunakan ia mengambil proses berbelas tahun dan bila keputusan dicapai berkemungkinan sekali bahasa Melayu sudah pun pupus dalam sistem pendidikan Malaysia. Dari satu segi pula, pelaksanaan PPSMI selama ini juga mempamerkan betapa Malaysia bersikap bermuka-muka dalam hal bahasa Melayu dan tidak bersyukur dengan kedudukan yang sudah dicapainya selama ini melalui penawaran kursus khas bahasa Melayu di universiti luar negara seperti di China (satu), Jepun (satu) dan Korea (tiga).

Penulis diberitahu, kursus khas bahasa Melayu ditawarkan sekurang-kurangnya di lima universiti di Thailand dan di semua kolej Islam negara itu dan apakah senario terbaru, Program Sarjana Muda Sastera (Bahasa Melayu dan Kesusasteraan) di Universiti SIM, Singapura, tidak membuka akal budi pemimpin negara ini? Bahasa Indonesia yang sudah lama menikmati ‘pengiktirafan’ ini kerana diaspora di kalangan sarjana bahasa dan sastera mereka di samping faktor sejarah negara itu, terus memperkukuhkan kedudukan, tetapi Malaysia nampaknya memandang sepi kepada kejayaannya sendiri!

26 Disember 2008

Pantun Budi dan Adab

Orang-orang Melayu kaya dengan budi dan beradab mulia. Orang Melayu yang berbudi pekerti dan beradab tidak akan berkata kotor...seperti ketur..misalnya menggelarkan seseorang dgn gelaran anak haram, sundal ataupun memaki hamun. Orang Melayu yang beradab juga tidak akan suka bergunjing atau mengajak orang bergunjing. Namun banyak orang Melayu kita yang sudah luntur jati diri Melayunya tidak segan silu untuk mengharam jadahkan orang lain dan gelaran2 lain yang tidak senonoh.

Sikap begini bukan sahaja tidak memaparkan sifat budi dan adab yang tinggi tetapi juga bertentangan dengan agama Islam yang menekankan 'menjaga lidah'. Adalah suatu yang aneh apabila seseorang yang mengakui dia pandai agama dan seorang pejuang agama membanteras perkara yang dilarang agama boleh 'bermulut umpama ketur'.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Orang begini biasanya hanya menegakkan ego bukannya kebenaran. Begitulah budi dan adab tergambar indah dalam pantun dibawah:

Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Limau manis dimakan manis,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis manis dipandang manis,
Manis sekali hati budinya.

Di sana padi di sini padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
Baru sempurna bernama orang.

Awal pertama orang berbangsa,
Kedua banyak ribu dan laksa;
Ketiga majlis bermanis muka,
Keempat banyak berbudi bahasa.

Abang

Sesuatu yang menyentuh hati aku ialah melihat gejala kerosakan akhlak yang kian membarah dalam masyarakat Melayu kita masa kini. Sehari aku menyelesaikannya. Terasa puas di hati. Berikut ialah Petikan Cerpen Abang yang kukirim ke majalah Tunas Cipta.
..................
Ayah dan mak sudah tiada lagi di mata abang. Abang tidak lagi memandang wajah mak dan ayah sewaktu bercakap sebaliknya wajah abang sangat ceria bila bersama kawan-kawannya di luar rumah. Tidak lama kemudian abang diberhentikan sekolah. Ayah hanya mengeluh panjang. Suara ayah sudah serak. Mak hanya tertunduk hampa. Menangis apabila sendirian. Selepas itu abang semakin ligat di luar. Entah ke mana. Celik mata saja abang sudah hilang. Selalu tidak pulang ke rumah. Apatah lagi apabila ayah melarang mak membuka pintu ketika abang pulang waktu dinihari. Tidurlah abang di luar rumah.
Hari itu Azira sungguh terkejut apabila menyedari separuh daripada wang dalam tabungnya sudah hilang. Azira tanya abang baik-baik. Mati-mati abang menyatakan dia tidak mengambilnya. Kemudian abang pun keluar daripada rumah. Malam itu juga ayah tunggu abang pulang. Sampai ayah tertidur di depan televisyen. Bila abang pulang ayah buka pintu. Sebaik sahaja abang masuk ke dalam rumah ayah goncang bahu abang. Ayah tampar muka abang. Abang tersandar ke dinding rumah. Abang seperti orang mabuk dan berkhayal. Bercakap entah apa-apa. Abang mengaku dia yang mengambil duit ayah dan duit Azira. Mak menangis memeluk Azira. Ayah mati akal. Lantas ditolaknya abang keluar rumah. Tidurlah abang di luar rumah lagi. Masa terus berlalu. Ayah dan mak tidak berdaya lagi mengawal abang melakukan apa sahaja yang dikehendakinya walau ia membinasakan diri abang sendiri...............

14 Disember 2008

Cerpen:Kupu-kupu Ditembusi Peluru

CERPEN

Kupu-kupu Ditembusi Peluru
Oleh Muhammad Ali Atan


SEBELUM kejadian tanah runtuh itu berlaku, telah muncul seekor kupu-kupu. Terpaku Penduduk Taman Perumahan A menyaksikan kupu-kupu itu. Tujuh warna bersinar cemerlang disepuh mentari khatulistiwa pada sepasang kepaknya. Kupu-kupu itu memahami manusia memuji keindahannya tetapi manusia yang tidak memahami tutur bicaranya.
Kupu-kupu itu berkata “Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!” Penat kupu-kupu itu mengepak dan hinggap di sana sini. Tutur katanya langsung tidak dipedulikan malah ada yang cuba menangkapnya dengan mengumpan udang mentah di atas batu. Namun kupu-kupu itu tahu muslihat itu. “Siapa yang memburu akan diburu!” Tutur kupu-kupu itu sekuat-kuatnya kepada manusia yang mahu menangkapnya itu. Namun manusia tetap buat tidak tahu. Lalu dengan kecewa terbanglah kupu-kupu meninggalkan Taman Perumahan A menuju ke hutan yang menjadi habitat kupu-kupu sedari dulu.
Tetapi akal kupu-kupu menegah-padah kalau ditunggu-tuggu. Para pemburu sudahpun bersarang di hulu. Menebarkan pelan-pelan baharu. Mahu menjadikan hutan simpan sebagai hutan batu. Manusia, di manakah kau letakkan akalmu?Apakah matamu buta melihat wujudnya Taman Perumahan A di situ? Taman Perumahan yang bakal dibaham tanah bila tubuh bukit ditarah. Memang dasar pemburu! Siapa yang memburu akan diburu. Mengertikah manusia kata-kataku?
Titis-titis hujan tiba-tiba meluru ke bumi dengan laju. Hujan di kota sekeras batu. Kepak kupu-kupu itu tidak tertahan lagi ditimpa titis-titis sekeras batu itu. Tetapi titis hujan tidaklah sampai sekejam peluru. Cuma lenjun kepak kupu-kupu. Mengepak-ngepak masuk di bawah anjung sebuah rumah agam berderet neon biru lalu hinggap di jaring besi di muka pintu. Ah! Ada sedikit ruang terbuka antara celahan pintu. Lantas kupu-kupu menyelit masuk dan terpampang di mata bulatnya pemandangan baharu. Kepala rusa tergantung di dinding kaku. Kulit Raja Rimba terkangkang meniarap di atas lantai di tengah ruang tamu. Kupu-kupu terus kaku. Pilu dan gentar menderu di kalbu. Ah! Kupu-kupu itu telah tersalah masuk ke rumah pemburu!
Tiba-tiba kupu-kupu itu diserkup jaring berpetak seribu. Kepak yang basah dan tenaga yang lemah lebih baik jangan terburu. “Kalau ditegarkan juga pasti hancur lebur kepakku! Aku harus tenang mencuri kesempatan untuk lepas bebas seperti dahulu,” bisik kupu-kupu. “Aneh. Kau terlalu jinak!” kata budak yang menangkapnya lalu menjadikan sebuah balang kaca sebagai habitat baharu kupu-kupu.
“Arif mari makan!” panggil ibu. Budak lelaki itu bingkas dengan mengendong balang kaca berisi kupu-kupu.
“Mama sudah kata jangan kurung lagi kupu-kupu.” Kata ibu sambil melihat-lihat kupu-kupu dalam balang kaca itu. Betapa cantiknya kepak kupu-kupu. Berkilau-kilauan disepuh cahaya lampu. Biarpun basah kuyup kecantikan kupu-kupu itu tetap satu. Tidak pernah ibu lihat kupu-kupu secantik itu. Sama ada koleksi kupu-kupu awet suaminya ataupun kupu-kupu yang ditangkap oleh anaknya.
“Sungguh cantik kupu-kupu ini tetapi mengapa wajahnya pilu?” tutur ibu. Bunyi enjin kereta di luar rumah meluru ke telinga ibu. Segera disuruh anaknya menyorokkan kupu-kupu. Arif mengeleng mendakap erat balang berisi kupu-kupunya itu.
Enjin sudah mati dan pintu berderik.
“Syy, dengar sini sayang. Bapamu sudah pulang dan dia pantang melihat kupu-kupu apatah lagi yang cantik. Nanti akan dibunuhnya kupu-kupu itu!”Arif menurut kata ibu akhirnya. Kemudian terdengar suara ayah memanggil-manggil ibu dari ruang tamu.
“Arif makan dahulu ya.” ujar ibu dalam kegentaran kalbu.
“Ibu.”Arif bersuara pilu. Ibu jawab dengan senyum seperti mentari dilindungi awan kelabu.
Arif menuju ke meja dan sepinggan nasi tersedia dari tangan ibu. Arif menjeling ke arah pasu yang melindungkan balang berisi kupu-kupu. Baharu tiga suap nasi masuk ke mulut mungilnya jeritan ibu menyentak kalbu. Suara bapa tinggi dan terburu. Sesudahnya, suara ibu seperti kaca terhempas ke batu.
Arif mengertap mulutnya sambil memejam mata serapat mahu. Bila aku sudah besar nanti pasti akan kubela ibu! “Nanti kalau Arif dengar ibu dan bapa bersuara tinggi-tinggi cepat-cepat masuk bilik ya.” Terkerlip pesan ibu suatu masa lalu. Arif mengambil balang berisi kupu-kupu dicelah pasu dengan cekat naik ke bilik tanpa memandang ke ruang tamu.
Dalam bilik segala-galanya menjadi sunyi dan balang berisi kupu-kupu diletakkan di Sudut Ilmu. Arif duduk di situ termangu. Sudut Ilmu inilah tempat Arif membuka buku pelajaran di samping mendengar cerita yang dibacakan ibu. Suara ibu merdu. Suara ibu juga pilu. Sebak diaduk seribu perasaan menderu dalam kalbu. Ditenungnya kupu-kupu di dalam balang dengan mata berkaca-kaca dan berwajah merah sendu.
“Air mata terlalu mahal untuk kau buang selalu.” Tutur kupu-kupu itu.
“Kalau ibumu dibuat seperti patung begitu apakah kau tidak berasa pilu?” balas Arif. Ah! Budak ini-mengerti pula kata-kataku, detik kalbu kupu-kupu terharu. Jadi fahamlah manusia keluhanku.
“Bapamu seorang pemburu. Ibuku seekor kupu-kupu sepertiku, tidak pernah kami kenal sendu melainkan bunga bersari madu.”
“Ah! memang bapaku seorang pemburu. Bapaku juga seorang yang tidak pernah mahu menghargai ibu!” jerit Arif dengan geram. Mata bulat hitam kupu-kupu mencerlung Arif dari balik dinding kaca. Tiba-tiba Arif membuka penutup balang. “Kupu-kupu, aku bukanlah pemburu seperti ayahku. Aku tidak mahu menjadi pemburu.” katanya. Kupu-kupu itu pun mengepak terbang ke udara dengan rasa terharu.
“Aku amat simpati dengan nasib ibumu dan dirimu, tetapi aku hanyalah seekor kupu-kupu.” Kata kupu-kupu kepada Arif yang menyelangkup di meja buku. Ada tangisan dan esakan yang menggaru kalbu.
“Oh ya, kau kupu-kupu dari mana? Tidak pernah kutemui kupu-kupu secantikmu.” Tanya Arif seolah-olah mahu lari dari kisah hidup yang pilu. Lalu berceritalah kupu-kupu itu. Aku dari belantara yang menjadi taman dan penghidupanku. Saban pagi aku terbang dan hinggap pada bunga menghisap nektar, kemudian terbang lagi dengan kaki dan toraks melekat serbuk debunga lalu hinggap pada bunga lainya sambil menyanyikan lagu. Ah! dunia kupu-kupu memang indah. Menerusi mata bulat kecil ini aku melihat sinar ultraviolet menjadi helai-helai benang sutera berguyuran dari langit biru.
“Oh sungguh indah kehidupanmu, tiba-tiba aku mahu jadi kupu-kupu!”ujar Arif teruja..
“Itu semua dahulu kini...” kata kupu-kupu itu tersekat pilu dan Arif segera mendekatkan wajahnya kepada kupu-kupu.
“Ayuh sambunglah kata-katamu wahai kupu-kupu.”desak Arif terburu.
“Manusia telah meragut segala keindahan dan kedamaian hidup kupu-kupu. Manusia bukan sahaja memusnahkan flora yang menjadi habitat kami malah memburu, membunuh, mengawet, mempamer sekaligus menjual mayat kupu-kupu yang keras tanpa rasa malu. Tidak malukah manusia memburu kupu-kupu yang hanya memiliki sepasang kepak dan sekujur tubuh yang lemah? Ah, manusia memang tidak pernah mahu mengerti tentang keindahan lalu memburu semuanya hanya kerana nafsu.”
Kupu-kupu itu mengeluh dan kalbunya diterpa ombak sendu menderu-deru. Namun mata bulat hitamnya tetap indah, tidak pernah kenal sendu untuk menitiskan air mata pilu.
“Maafkan aku kupu-kupu, kerana ayahku juga seorang pemburu kupu-kupu.”ujar Arif dengan simpati memenuhi kalbu.
“Seorang anak tidak akan menanggung beban dosa bapanya.” Kupu-kupu memujuk Arif yang dilanda sedih dan rasa bersalah metah.
“Maafkan aku lagi kupu-kupu, ayahku juga seorang pemusnah habitatmu.” Ujar Arif dengan wajah sayu. Mata bulat hitam kupu-kupu mencerlung ke wajah Arif - budak yang begitu jujur bertutur - membuatkan kupu-kupu begitu terharu.
“Bapamu memang benar-benar seorang pemburu sedangkan aku hanya seekor kupu-kupu!” Sunyi mengambil tempat dan budak itu mengongoi disaksikan oleh mata bulat hitam kupu-kupu itu. “Oh, seperti dunia kupu-kupu dunia manusia juga telah hilang keindahan dan menjadi teramat sendu.”detak kalbu kupu-kupu amat terharu.
Tiba-tiba pintu bilik Arif ditolak kuat dari luar dan terpacak di muka pintu seorang pemburu. “Lari kupu-kupu!”jerit Arif beraduk gentar seperti menyaksikan seribu garuda menjadikan langit kelabu. Kupu-kupu itu terus mengepak ke udara tetapi langkah seorang pemburu nyata terlalu tangkas bagi seekor kupu-kupu. Dengan jaring petak seribu kupu-kupu itu terjerembab ke lantai bilik dan mata bulat hitamnya dipenuhi wajah seorang pemburu. Betapa kupu-kupu itu terkesima menyaksikan taring berselengket darah hanyir, bermata buntang merah dan terkerinyih hodoh kepada kupu-kupu itu.
“Oh, sungguh cantik tubuhmu dan harum sungguh baumu.” Kata pemburu itu. Arif cuba menghalang pemburu alias bapanya daripada menangkap kupu-kupu itu. Tetapi gerak seorang pemburu terlalu gagah untuk ditentang gerak seorang budak alias anaknya.
Setelah anaknya diherdik dan ditolak dengan tangan kasar seorang bapa alias pemburu, nasib kupu-kupu itu dihurung awan kelabu. Dibawanya kupu-kupu itu ke bilik khas tempat segala kupu-kupu dikurung, dibunuh dan diawet sebelum dijual kepada penjual. Bumbung bergemeratap bunyinya dihentam hujan sekeras batu. Kilat menyilang menusuk alam dalam zulmat malam dan guruh menjerit hingga menceku kalbu.
“Aku berbangga dapat menemukan kau dari spesis lepidoptera yang hampir pupus itu. Kau juga harus berbangga kerana jatuh ke genggaman seorang pemburu yang siap siaga meladenimu.”
“Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!” tutur kupu-kupu itu biarpun diselubungi gentar dan pilu.
“Apa yang kau cakapkan? Sudah lama tidak kubersihkan telingaku,” senda pemburu itu.
“Siapa yang memburu akan diburu!” balas kupu-kupu setelah segala kekuatan menjadi padu. Sudah lama ingin dituturkan kata-kata itu kepada manusia tetapi kini di hadapannya adalah seorang pemburu yang memahami tutur bicara seekor kupu-kupu. Inilah waktunya. Pemburu itu terus sahaja ketawa dan ketawa. Melawan bunyi guruh dan gemeratap bumbung dihentam titis hujan batu. Benarlah, apabila manusia menjadi pemburu mereka sebenarnya telah bertuhankan nafsu, detak kalbu kupu-kupu.
“Tidurlah baik-baik agar dapat kau nikmati hari esok.” Tutur pemburu itu lalu ke luar dari bilik yang penuh dengan kupu-kupu yang kaku. Ada berbagai-bagai spesis kupu-kupu yang telah diawet dan inilah kali pertama sejak kupu-kupu itu lahir ke dunia daripada kepompong dia melihat pemandangan yang begitu menyentuh kalbu. Apa yang indahnya apabila kupu-kupu dibunuh sebegitu? Tiba-tiba pertama kali juga air mata menitis dari birai mata seekor kupu-kupu. Tentu kedukaan itu sudah bertambah senak di kalbu. Manusia memang pemusnah keindahan. Manusia memang pemburu kejam. Malam kian dingin lalu lenalah kupu-kupu itu menunggu nasib yang tidak menentu.
Pagi esoknya pemburu itu menggalas senapang patah di bahu kanannya dan tangan kirinya mengendong balang kaca berisi kupu-kupu. Jeepnya menyelusup denai hutan dan terlihatlah dalam kenangan kupu-kupu itu kehidupan masa lalu. Melalui jalan yang becah segala pemandangan menjadi berubah lantaran flora habis ditarah. Kupu-kupu diterpa pilu. “Sebelum aku dibunuh aku ada hajat kepadamu!”
“Apa yang mahu kau pinta?” balas pemburu itu dalam ketawa sambil membelokkan jeepnya ke deretan rumah besi. Kemudian keluarlah para pemburu lainnya mempamerkan wajah hodoh menikmati keindahan kupu-kupu itu tanpa rasa malu.
“Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!”
“Permintaankah itu?”
“Apabila kalian sebagai manusia menarah flora, membunuh kupu-kupu dan mergastua, Tuhan Maha Berkuasa untuk membalas. Sedangkan manusia yang menempati di kaki bukit itu bukanlah pemburu seperti kalian!”
“Hah, aku tidak memahaminya.”
“Sesiapa yang memburu akan diburu!”
“Kau mahu jadi pujanggakah kupu-kupu?”
“Kalian adalah pemburu sekali gus pemusnah keindahan sedangkan Tuhan Maha Indah. Manusia memusnahkan keindahan dan Tuhan akan membalas dengan bencana. Walaupun semua manusia akan terkena dan kalian mungkin bebas, Tuhan Maha Adil untuk membalas dengan cara-Nya dan pada waktu yang kalian tidak sangka-sangka.”
Para pemburu itu ketawa dan ketawa. Hinggalah pemburu itu membuka penutup balang kaca lalu berkata:
“Inilah pertama kali aku mendengar seekor kupu-kupu yang bijaksana berkata-kata dan sebagai balasannya kau kubebaskan!”
Bukan kepalang gembiranya kupu-kupu itu. Bagai banduan mendapat sepotong langit biru ia menghirup udara bebas semahu-mahu. Sewaktu kupu-kupu itu melingas di udara bebas sebutir peluru menembusi tubuhnya dan segala-galanya seperti lampu yang suisnya dimatikan.
Sepekan peristiwa itu berlalu penduduk Taman Perumahan A menyaksikan kemunculan kupu-kupu bersinar-sinar di langit malam seperti mahu bertutur sesuatu, tetapi tiada seorang pun dapat memahaminya. Tiga hari kemudian, hujan pun jenuh dan tanpa akar mengejapi tanih, air menjadi peluru mendambrak bumi yang gondol lalu menghasut bahan regolit melungsur cerun dan tebing menimpa ke Taman Perumahan A. Sudahnya mayat dua beranak ditemui saling berdakapan dalam suasana yang pilu. Teori bencana pun muncul daripada faktor manusia sehinggalah kepada faktor tanah bersifat granit yang mudah peroi dan menyimpan air sebagai puncanya.
Namun, tiada sesiapa pun tahu perihal seekor kupu-kupu yang ditembusi peluru sepertimana tiada sesiapa pun tahu siapakah pemburu itu!

*Telah terkirim di beberapa majalah dan akhbar sejak kejadian tanah runtuh tahun lepas di KL. Aku kirim lagi ke Berita Harian utk peristiwa tanah runtuh ini. Dan tema hampir serupa juga untuk Mingguan Malaysia dengan Cerpen Hujan, Tanah dan Kalbu. Mungkin minggu depan kedua-duanya naik. Kalau tidak aku akan siarkan disini. Selamat menelaah.

2 Minggu Yang Sibuk

2 minggu lebih bergelut dengan tiga benda.

1.Menyiapkan proposal master
2.Naik turun Akademi Pengajian Melayu bincang pasal proposal
3.Kalut dengan novel dan beberapa cerpen.

1 dan 2 itu aku serahkan sahaja kepada Allah. Kalau dapat SLAB syukur. Memang cita-cita aku membeli buku banyak-banyak dan menulis, berfikir dan menambah ilmu sepanjang masa dan mendidik anak bangsa.

Macammana Projek Novel Wirawan?

Tentang 3, biarlah aku aku buat pelan-pelan. Projek novel superhero tema harimau tu masih lagi berjalan macam kura2. Ditambah aku mendapat satu lagi idea baharu. Tentang lombong bijih dan berlian. Wow. Ini sesuatu yang baharu. Sasaran kajian aku ialah lombong bijih di Sungai Siput di Pahang. Terowong lombong yang terpanjang dan terdalam di dunia ini menjadi sasaran aku untuk mengenali dan empati kehidupan para pelombong dan suasana kerja mereka. Rugi kerana terowong lombong bawah tanah nya tidak dapat dimasuki lagi. Kalau tidak tentu aku dah bertapa di dalamnya.

Draf Novel+skrip Bijih dan Berlian (judul sementara)

Nantikan novel+Skrip bertema perlombongan pertama aku ini. Jalur ceritanya dan ending juga sudah ada dalam kepala dan ditulis. Dari sudut pandangan seorang pelombong Melayu aku nukilkan kehidupan para pelombong bijih di terowong lombong bawah tanah dan juga kepekaan watak memperjuangkan hak pekerja lombong sehingga dia dibiayai oleh pemilik lombong untuk meneroka sebuah terowong lombong tinggalan masa lalu(lebih dahulu drp 1900) yang dikatakan mempunyai berlian tetapi ditutup akibat banyak kematian berlaku yang dikaitkan dgn paranormal dan mistik. Wah! Dalam sejarah tak ade lagi dijumpai lombong berlian di negara Malaysia mempunyai lombong berlian. Dan inilah yang aku nak neonostalgiakan. Maksudnya kita ambil sejarah latarnya kita cipta sesuatu yang baharu. Mana tau kemungkinan itu wujud secara realiti. Siapnya? Insya Allah. Nyawa ada. Tahun depan lah. Aku kena buat rancangan untuk ke Sungai Lembing. Dan mencari responden. Projek besar ni. Kena lah buat kajian sikit. Aku nak dapatkan nyawa era 1900 di lombong.

Cerpen Kupu-kupu Ditembusi Peluru.

Dan untuk cerpen, yap aku telah mengirimkan Kupu2 Ditembusi Peluru ke Berita Harian minggu lepas. Entah bagaimana nasibnya. Tgk sabtu semalam masih tak keluar lagi. Apakah seperti setahun lepas. Tidak dipedulikan editor?Entahlah. Aku akan siarkan di blog ini kerana tak tahan lagi aku simpan semata tanpa sesiapa membacanya.

Hujan, Tanah dan Kalbu.

Aku juga sudah menyiapkan sebuah cerpen terbaharu lagi judulnya Hujan, Tanah dan Kalbu. Ini aku nak hantar kat Kuseman editor sastera Mingguan Malaysia. Ini adalah cerpen pertama aku dalam tempoh setahun setengah setelah Orang-orang Berjuang.

Entah bagaimana nasibnya?Aku sedang memantapkan ia dengan nafas dan darah sufi. Dan memantapkan simbol dan kesatuan ideanya. Ini penting kalau nak jadikan cerpen kita cantik dan kemas. Tak boleh disiarkan lagi di sini.Masih segar dan cantik.

Insya Allah. Salam jumpa lagi!

27 November 2008

Silaturahim dan Persaudaraan

Petang tadi aku meloloskan diri untuk menziarahi Mak Uda sebentar di Bricfields. Setibanya aku di sana, hanya ada Mak Uda dan Mak Usu. Pak Usu tidak ada. Dia berjalan2 dgn sahabat baiknya iaitu Haziman dan Latif ke Times Square bermain Bowling.

Aku sekadar mengukir senyum sahaja. Jam hampir menunjukkan 2 petang. Setelah Mak Uda selesai solat Zuhor kami bertiga makan tengahari sama-sama.

Aku agak segan makan dgn Mak Usu yang sungguh tertib itu. Sesuai dgn dirinya sebagai Hafizah Al Quran. Semuanya dgn limpah kurnia Allah semata-mata apabila seorang mualaf belajar agama lalu menghafaz Al Quran sepenuhnya dalam tempoh 7 tahun.

Mak Uda berkata jam 3 petang ini teksi Abg Anuar tiba di bawah. Teksi Abg Anuar adh teksi 'rasmi' Mak Uda untuk ke tempat kerjanya di Subang setiap hari. Namun hari ini teksi itu ditempah untuk menghantar Mak Uda dan Pak Usu ke Hentian Duta. Pak Usu dan Mak Usu balik semula ke Penang, setelah dua hari di rumah Mak Uda menziarahi Mak Uda di sini.

Aku tidak boleh ikut turut serta menghantar Pak Usu dan Mak Usu ke Hentian Duta. Ini kerana Mak Uda akan terus ke Ampang menziarahi sanak saudara di sana pula. Wah rajin betul Mak Uda menghubungkan silaturrahim. Suami Mak Ngah Zama meninggal dunia seminggu lepas dan mereka mengadakan tahlil malam ini.

Atau aku mahu tidur di Ampang juga. Em...aku menolak dgn baik. Aku baru pulih dari gastrik yang agak teruk menyerangku dua hari lepas. Gastrik yang menyerang itu akibat aku makan malam yang lewat dan mengabaikan pemakanan. Bukanlah nak berpantang sangat tetapi berpada-padalah. Ketika diserang gastrik itulah aku ingat 'dosa-dosa' aku seperti makan lambat tidak tetap waktu, makan sambal pedas dan berminyak, minum minuman berkarbonat dan makan makanan ringan.

Padan muka aku.

Keika jam 3 baharulah Pak Usu balik dr Berjaya Times Square. Tiba di rumah Mak Uda. Minum dan makan sandwich Mak Uda buat tadi sebelum berangkat.

Pulanglah aku ke rumah.

Bila aku fikir2kan kembali dlm saat sepi dan hujan begini serta sendirian begini kita membawa haluan masing-masing.

Setelah bertemu ramai, Mak Uda seorang ke Ampang.

Aku seorang balik ke rumah.

Pak Usu dan Mak Usu menaiki bas menuju ke Penang.

Kawan Mak Uda yang datang tadi pun pulang ke rumahnya.

Ah, aku hampir terlupa, abangku, Mohd Arif akan ke Kelantan Sabtu ini untuk bertugas di sana tetapi masih tidak tahu ditentukan bertugas dijajahan mana.

Begitulah hidup ini. Ada pertemuan dan ada perpisahan. Silaturrahim adh dituntunt dalam agama Islam. Dan beruntunglah sesiapa menjaganya dgn baik. Amin.

23 November 2008

Catatan Hujung Minggu-Kalimah Allah

Petang tadi seorang kenalan menghantar mesej. Mesejnya berbunyi begini:

Subhanallah. Ikan cuci cermin kat kedai kakak ada kalimah Allah kat bahagian tulang tengah bahagian tepi nampak macam ada kalimah gak tapi tak jelas.

Saya bertafakur sejenak dan kemudian saya membalas mesejnya:

Dia kasi ingatla suruh banyakkan zikir Allah. Membuktikan juga secara simbolik zikir Allah menyucikan hati.

Tidak lama kemudian kenalan saya itu membalas lagi:

Nak cuba snap ngan digi cam bahagian sisi kalimah agak panjang mungkin la ila ha illallah tapi nampak macam ada Ha Mim.

Saya tersenyum sendiri dan kemudian membalas:

Zikir je la Allah.

Ops!Mesej tidak boleh dihantar!..kerana baki kredit saya telahpun habis. Sebenarnya fenomena kalimah ALLAH pada flora dan fauna ini bukanlah sesuatu yang asing. Selain membuktikan kekuasaan ALLAH, ia juga membawa mesej dan peringatan kepada umat Muhammad akhir zaman yang lalai dan alpa ni supaya berzikir kepada ALLAH.

Renungkanlah...

Flora dan fauna pun mengingati ALLAH dengan caranya tersendiri yang pada mulanya kita pun tidak tahu bagaimana cara ingatan mereka kepada ALLAH. Sehinggalah suatu masa ALLAH berkenan untuk menzahirkan pada mata kasar kita TANDA mereka selalu mengingati ALLAH sudah tentu Allah amat kasihkan kita dan juga kelebihan kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW.

Jikalau umat terdahulu engkar sahaja tertimpalah laknat dan bala dari langit. Namun kita ALLAH masih memberikan kita peluang lagi untuk kembali kepadaNya.

Dan kepada kenalan saya itu nasihat saya banyakkan mengingati ALLAH dengan berzikir. Zikir ada banyak. Dan kalimah zikir yang paling afdhal ialah kalimah la ila hailallah. Itulah kalimah tauhid awal Islam. Dan kalimah itulah juga kalimah yang memperbaharui iman kita.

Namun dalam hadis jumlah zikir kalimah la ila haillallah adalah 100x sahaja. Jadi apa yang tersirat dengan kalimah ALLAH pada flora dan fauna?Umumnya sama sahaja.

Namun secara khususnya ingatan itu lebih kepada zikir ALLAH yakni kalimah ALLAH kerana itulah kalimah yang ALLAH memerintahkan kepada kita untuk menzikirinya seperti mana maksud Al-Quran "ingatilah ALLAH dengan suatu ingatan yang sebanyak-banyaknya..sambil duduk berbaring berdiri...ingatlah ALLAH nescaya ALlah akan ingat kamu..."

Inilah kalimah yang perlu diperbanyakkan untuk kita menzikirinya. Kalimah tauhid itu sekadar 100 x sahaja sehari dan ingatan yang sebanyak-banyak yang diperintahkan ALLAH ialah dengan menzikirikalimah Allah-yakni itulah zikir hati, zikir yang asli hidup dalam hati para rasul, nabi dan para wali serta orang-orang mukmin dan mukminat.

Setelah kita beriman-tiada Tuhan melainkan ALLAH-maka perbaharulah iman kita dengan menzikiri kalimah la ila haillallah sebanyak 100x sehari seperti yang disuruh nabi. Kemudian sesudah itu zikirlah dengan zikir Allah dnegan zikir yang sebanyak-banyaknya.

Itulah mesej utamanya kerana yang kita tuju yang kita ingat itu AKHIRNYA ialah ALLAH sahaja. Nafi itu pada peringkat awal Islam dan memperbaharui iman sahaja. Kalimah ALLAH itu adalah kalimah ingat sebanyak-banyaknya.

Keranda 152

Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya parlimen

Sepuluh tahun nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah
Sebelum lidahmu jadi bisu.

Usman Awang

1967

Melayu beradat, pohon beringin dan kiambang

Oleh MOHD. ARIF ATAN

Akal budi, jati diri, prinsip dan pegangan hidup masyarakat Melayu hari ini sebenarnya berdepan dengan pelbagai cabaran. Bagaimana keadaan Melayu untuk tempoh 100 tahun akan datang jika baharu setengah abad merdeka pun orang Melayu sudah alah dengan cabaran lalu terpasung akal budinya oleh penjajahan, hegemoni atau dominasi kuasa dan budaya luar?

Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan yang memberi takrifan Melayu sebagai “seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap Melayu, mengamalkan adat Melayu…” tidak bermakna jika kita gagal menangani impak budaya yang muncul daripada cabaran dari luar yang ditandai melalui fenomena dunia tanpa sempadan atau globalisasi serta cabaran dari dalam diri Melayu sendiri yang bersifat tidak ambil peduli.

Menyedari hakikat itu, orang Melayu perlu menyelongkar kembali khazanah warisan adat resam pusaka lalu dan menghidupkan kembali tradisi Melayu silam dalam segenap lapangan kehidupan kita hari ini.

Usah salah faham tentang adat. Seruan kembali kepada adat bukanlah menyuruh orang Melayu menjadi mundur. Jangan pula ada yang menganggap adat itu lapuk dan usang sehingga mesti ditinggalkan.

Ini kerana adat bukan seperti adat bersanding atau adat berinai yang diketahui umum semata-mata.

Itu semua terangkum dalam adat istiadat. Selain itu, terdapat dua aspek adat lagi iaitu “adat yang sebenarnya adat” melibatkan hukum tabii yang dicipta oleh Tuhan serta “adat yang diadatkan” berkaitan dengan peraturan hidup yang diwujudkan oleh generasi sebelum ini seperti Adat Perpatih dan Adat Temenggung. (Norazit Selat, 2001)

“Kebebalan” orang Melayu hari ini dengan tidak mampu membezakan yang mana baik dan yang mana buruk untuk kepentingan bangsanya sendiri baik dari peringkat pemimpin, golongan menengah sehingga masyarakat marhaen Melayu hari ini berpunca daripada gagalnya kita memahami makna dan menjiwai falsafah atau mesej tersirat di sebalik pelbagai bentuk bagasi kebudayaan atau adat resam dan budaya warisan nenek moyang kita.

Orang Melayu hari ini semakin celaru pemikiran, percakapan dan tindakannya lantaran kita tidak lagi menjadi bangsa yang berakal budi, budiman dan baik budi pekerti berlunaskan adat Melayu kita sendiri.

Akibat tidak mempedulikan adat, ada yang mahu menjadi seperti umang-umang dengan mahu meniru atau menciplak budaya bangsa lain sebagai “pakaian” dan “makanan” bagi dirinya.

Walaupun kulitnya masih sawo watang dan berhidung pesek ada yang bersikap dan berpandangan lebih Arab dari pada orang Arab. Akibatnya, segala bentuk adat, citra seni dan budaya bangsanya dianggap haram di sisi agama Islam.

Sementara itu, sebelah pihak mahu menjadi bangsa Inggeris sehinggakan begitu taksub dengan “ajaran sesat” bahawa pengajaran dan pelaksanaan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bermula tahun 2003 lalu adalah satu-satunya tindakan terbaik untuk memajukan bangsa Melayu akan datang.

Bakinya pula hanyut mengikut arus sama sekali tidak membantu membina rasa bangga menjadi bangsa Melayu dengan terjebak dalam pelbagai bentuk kelalaian dan penyimpangan sosial dari membuang masa, malas membaca dan berfikir, berhibur dan bersuka ria tanpa batasan serta terjebak dalam bermacam jenis jenayah.

Apa akan jadi pada bangsa Melayu nanti jika penekanan untuk kembali kepada akar jati diri bangsa masih tidak dipeduli?

Menyedari hakikat itulah, pemikiran dan akal budi orang Melayu hari ini perlu kukuh seteguh akar pohon beringin.

Tegap berdirinya orang Melayu bersaing dengan bangsa lain sama ada di dalam mahupun di luar negara adalah berkait rapat dengan sejauh mana kita menjiwai kembali pandangan semesta (world-view) nenek moyang kita dahulu terhadap alam semulajadi.

Ini kerana pengalaman bangsa Melayu banyak dibentuk dan dipengaruhi secara langsung dan tidak langsung oleh alam semulajadi. Liuk-lintuk atau tegapnya tumbuhan hijau serta gerak lincah haiwan di sekeliling hidup orang Melayu itulah yang banyak mencorak akal budi murni bangsa Melayu.

Sebagai contoh, imej pohon beringin yang sinonim dengan permainan wayang kulit ialah lambang betapa pentingnya pohon beringin diangkat kembali sebagai ‘pohon kebangsaan’ orang Melayu. Pohon yang memiliki batang yang kukuh, akar berjuntaian serta tumbuh rimbun dan rendang itu menjadi pelindung daripada panahan terik cahaya matahari dan rintik hujan. Di situlah juga habitat pelbagai spesis mergastua.

Jika dibelah buah beringin pula akan kelihatan ribuan butir biji-biji halus seperti butiran pasir halus di pantai. Gahnya pohon beringin terserlah apabila asalnya hanya bercambah daripada butiran yang begitu halus tetapi berupaya hidup tegap ‘bernafas’ untuk ratusan tahun usianya.

Betapa hebat dan pentingnya pohon beringin dalam akal budi orang Melayu dapat kita selami dari babak filem Bawang Putih Bawang Merah (1959) ketika Bawang Merah lakonan seniwati Latifah Omar berbuai di rimbunan pohon beringin sambil menyanyikan duka lara hidupnya diseksa.

Sifat pohon beringin sebagai pelindung juga ada dihuraikan oleh Sasterawan Negara, Usman Awang dalam puisinya Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya (1979). Antara petikan puisi berseni penuh makna itu ialah:

“ratusan tahun usianya berdiri
menadah matahari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka, di sini keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda guraunya
anak-anak bermain di keteduhan perdunya.”

Daripada sifat alami pohon beringin itulah, setiap orang Melayu hari ini perlu mencontohi nilai murni dan falsafah di sebalik rimbun dan tegapnya pohon itu dengan menjadi orang yang beradat.

Sebaliknya, Melayu yang tidak tahu adat atau tidak beradat adalah orang yang tiada tertib dan tidak berhemah tinggi.

Orang Melayu yang beradat ialah Melayu yang bertimbang rasa, berbudi bahasa, berbudi pekerti dan memiliki budi bicara.

Selain itu, mereka yang bersopan santun, menghormati orang lain, bermaruah, merendah diri, bertanggungjawab serta mengutamakan kepentingan bersama atau semangat kekitaan (esprit de corp) melalui amalan muafakat dan kerjasama jauh mengatasi kepentingan diri semata-mata adalah sifat murni lagi terpuji orang Melayu yang beradat.

Dalam persekitaran atau milieu baru ini, orang Melayu mesti menerima dan mengamalkan adat nenek moyangnya sebagai perkara fundamental dalam memastikan kelangsungan bangsa Melayu di dunia ini seperti yang sering ‘dilaungkan’ oleh pahlawan Melayu Hang Tuah.

Perkembangan revolusi teknologi dan peningkatan taraf hidup masyarakat Melayu kini bukan penghalang kepada usaha untuk melihat orang Melayu menjadi lebih beradat dan memiliki daya fikir yang tinggi.

Sebaliknya, kedua-dua faktor itu adalah pemangkin untuk kita mengamalkan seterusnya mewariskan adat nenek moyang kita kepada generasi Melayu akan datang.

Potensi yang ada dalam akal budi Melayu hanya dapat dikembangkan sekiranya orang Melayu kembali kepada akar budaya tradisinya yang sarat dengan nilai-nilai murni. Nilai budaya ekspresif Melayu perlu diterapkan dalam masyarakat Melayu kini sebelum orang Melayu terutama dari kalangan generasi mudanya hanyut dalam nilai budaya asing sama ada dari Barat mahupun dari budaya kaum Cina dan India di negara ini.

Cabaran luar dengan memanfaatkan unsur positif globalisasi perlu dijadikan pemangkin untuk mengetengahkan adat resam, nilai dan cara hidup kita sama ada kepada orang bukan Melayu di negara ini juga kepada seluruh warga dunia.

Jika bukan kita orang Melayu dan jika bukan bermula hari ini untuk Melayu kembali berpegang pada adat resam dan budayanya, jadilah bangsa Melayu kelak sebuah bangsa tidak beradat, lupa diri, goyah dan punah dek kelalaian kita hari ini tidak peduli untuk menyanjung tinggi dan mangamalkan adat resam nenek moyang kita lagi.

Kesimpulannya, orang Melayu mesti menjadi pohon beringin yang tegap dan kuat akarnya menjadi pasak bumi bukannya pohon kiambang yang hanyut dibawa arus dek tidak jejak akarnya ke bumi.

***

PPSMI tak capai matlamat 'sesat' & aniaya anak bangsa!

Oleh MOHD. ARIF ATAN

Di sebalik meraikan kejayaan 9.2 peratus daripada 518,616 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini yang memperoleh gred A untuk semua mata pelajaran, usahlah dilupakan nasib dan masa depan kegagalan 30,049 murid yang mendapat gred D dan E untuk semua mata pelajaran. Jumlah sebesar itu boleh memuatkan 25 buah sekolah jika sebuah sekolah menampung 1,200 murid.

Lebih memeranjatkan, angka 30,049 itu adalah peningkatan “tidak sihat” sebanyak 44 peratus berbanding UPSR tahun lalu yang mencatatkan seramai 20,856 calon tidak menguasai tahap minimum untuk semua subjek. Jika diperincikan lagi, jumlah “murid kurang upaya” bagi tahun 2007 itu pula meningkat 4.5 peratus daripada tahun 2006. Ini bermakna bermula dari tahun 2006 sehingga tahun ini jumlah mereka yang gagal meningkat secara mendadak.

Apa makna semuanya ini? Selama enam tahun di bangku sekolah sebahagian daripada mereka masih gagal menguasai aspek literasi yang berkait rapat dengan kemahiran kognitif dalam membaca, menulis dan aritmetik. Bagaimana dengan gahnya pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), masih terdapat puluhan ribu murid “merangkak” membaca, menulis mahupun mengira? Jumlah seramai itu belum termasuk lagi mereka yang memperoleh gred C iaitu gred atas pagar atau sekadar nasib.

Tidakkah kelompok murid ini akan berdepan dengan tekanan yang lebih dahsyat apabila menjejakkan kaki ke sekolah menengah nanti sehingga terdorong terjerumus kepada pelbagai bentuk pelanggaran disiplin di sekolah? Sekiranya membaca pun tidak mampu tentulah mustahil untuk mereka mampu menguasai ilmu berkaitan sains dan matematik di peringkat sekolah menengah. Itu belum ditinjau daripada melebarnya jurang pencapaian antara murid kawasan luar bandar dan bandar.

Umum tahu, kadar keciciran pelajar adalah lebih tinggi di kawasan luar bandar. Bagaimana pula perincian pencapaian calon-calon Melayu dan Bumiputera yang sebahagian besarnya di bangku sekolah kebangsaan? Ini kerana murid-murid di sekolah jenis kebangsaan Cina dikira sebagai “bertuah” apabila berpeluang belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Mandarin selain bahasa Inggeris. Kembali kepada "matlamat" PPSMI, adakah sejumlah 518,616 calon UPSR tahun ini sudah fasih berbahasa Inggeris memandangkan mereka merupakan kelompok pertama melalui dasar itu sejak dari Tahun 1?

Jika benar PPSMI adalah usaha yang terbaik dan benar untuk memastikan pelajar kita menguasai bahasa Inggeris sepatutnya selepas enam tahun belajar semua calon terbabit tiada masalah dalam berkomunikasi dalam bahasa itu. Malah, mereka juga semestinya tiada masalah menjawab 100 peratus kertas Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Namun, mengapakah hanya 31 peratus dan 47 peratus calon sahaja yang menjawab soalan Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris?

Banyak kajian linguistik dan pendidikan membuktikan pengajaran menggunakan bahasa ibunda dan dalam konteks negara ini semestinya dalam bahasa kebangsaan ternyata lebih berkesan daripada menggunakan bahasa asing. J.W. Wood (2002) misalnya berpendapat menggunakan bahasa kedua dalam pengajaran akan mengambil masa yang lama dan ini menjadi penghalang utama kepada pelajar untuk menguasai ilmu. Menyedari hakikat tersebut, keputusan UPSR tahun ini perlu dikaji daripada pelbagai segi agar masa depan modal insan puluhan ribu anak-anak Malaysia tidak sia-sia begitu sahaja. Kembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan!

21 November 2008

Antara Nasriah dan Aku

Ehem...bukan begitu sebenarnya..tetapi begini...Nasriah adalah seorang bakal pengamal undang-undang kelahiran universiti islam antarabangsa...dan Aku adalah seorang graduan pengajian Melayu yang kadangkala aku pun sukar untuk memahami diri sendiri..paranoid? maaf aku tidak mahu berfikir aku menelesuri jalan sebagai pengarang besar..ahhh!!apakah pengarang besar itu banyak karyanya menjadi mahakarya?Hemingway lebih terkenal dgn The Old Man and Sea berbanding berbelas novel dan kumpulan cerpennya....Aku? Ahh tidak dikenal melainkan sebagai seorang hamba Allah yang biasa juga....Nasriah??Dikenal sebagai penulis muda yang prolifik...ini bukan cemburu tetapi sejenis perasaan yang asing yang sukar diterjemahkan...


Nasriah bukan sahaja bakal seorang pengamal undang-undang yang aku fikir mempunyai masa depan yang amat gemilang di hari muka....malah seorang pujangga juga, penulis dan pemikir....entah..aku tidak akan mengenali gadis yang tinggi dan comel lote ini ini jika tidak aku memaksakan diriku untuk menyertai Bengkel Cerpen DBP 2006...di situ juga aku mengenali lagi beberapa nama penulis muda seperti ws rendra, zamri mohadamad, hamzah dan beberapa orang lagi....

Sebenarnya permulaan aku tidaklah sebaik Nasriah...Nasriah bermula dgn baik dan dia mendapat tempat di majalah dan akhbar...mungkin ketika karyanya dibaca di majalah..aku masih mengelamun lagi atau terus mengutuk setiap apa yang tertulis diatas kertas kosong diatas mejaku....

Dan jumlah cerpen Nasriah yang telah terbit melebihi 4 buah...yakni sudah mengalahkan aku....kalau tidak Shamsudin Othman..penyair seniour yang kian matang dan masak dgn pemikiran-pemikiran itu...kalau tidak zaharah nawawi penulis senoiur yang amat prolifik dan tidak penah lelah mendidik penulis baharu itu..tentulah aku tidak menulis apatah lagi tersiar karya-karyaku di media arus perdana....tapi itu dahulu...setahun lalu cerpen yang terakhirku terbit...aku sibuk dgn kerja asasi.....dan ini membuatkan aku tidak punyai masa untuk menulis....

Kadangkala Nasriah....kita ini terpaksa berjuang menulis dan menulis..otak kita dalam bidang kreatif ini jangan berhenti menggerakkannya walau sesaat..kerana untuk menghidupkannya setelah ia koma adalah amat payah sekali....

Dan aku kini terperangkap dalam sebuah jerangkap..bukan liang lahad..tetapi semacam lubang yang lubang itu mempunyai banyak cermin..setiap kali aku membuka mataku...aku melihat wajahku sendiri terpampang di cermin dan setiap kalilah aku merasai aku mengenal diriku..padahal tidak..tidak sepenuhnya aku kenali diriku.....
Nasriah....aku cuba keluar drp lubang ini...ini jerangkap...inilah yang membuatkan penulis koma bertahun-tahun..mandul tidak berkarya apa-apa....dalam koma itu anehnya dia masih boleh memberikan jawapan...

Mengapa kau tak menulis wahai penulis?

Mengapa kau tak berkarya wahai pengkarya?

Jawabnya:Aku sibuk.

Hahahaha. Perangkap bodoh dan lucu ini..ia menyebabkan penulis dan pengkarya koma..namun boleh pula memberikan jawapan pendek bila ditanyakan soalan begitu...mungkin kerana soalan itu amat kuat ding dungnya...menyebabkan dia menjawab walau tanpa kesedaran....atau aku mempertimbangkan pandangan ini:Kebanyakan penulis dan pengkarya itu tinggi EGOnya...ya benarlah Nasriah..semoga Nasriah tidak terperangkap seperti aku.....jangan berhenti berfikir dan berkarya....kalau tidak mahu koma seperti aku....

Nasriah...mungkin juga suatu halusinasi.. begini..suatu tangan yang diharapkan...dapat menarik drp jerangkap ini...em...mungkin ini penyelesaiannya...kerana tangan-tangan yang ada sekarang tidaklah dapat membantuku sepicing pun...dan sebenarnya benarlah kota ini terlalu kejam dan buta dengan seni seniman dan sasterawan....mereka ini tiada tempat di sini..kononyalah....atau aku hanya berhalusinasi tidak kunjung habisnya lagi..di malam-malam sunyi begini....

Nasriah....belajar tidak pernah tamat dengan peperiksaan...karya tidak pernah luput daripada sejarah....manusia penulis tidak pernah mati biarpun jasadnya telah hancur....pengarang hidup abadi dalam karyanya....itulah mungkin keistimewaan orang-orang seperti kita ini....mungkin hanya generasi yang ke seratus pada masa depan akan menghargai apa yang terakam dan tertulis dalam sebuah karya..

Antara aku dan Nasriah....Aku seorang yang koma....Nasriah seorang sedang memgimbangi dirinya...dan aku mengingatkan Nasriah...jgn disangka lopak2 yang indah ini ialah syurga..inilah jerangkap berbahaya...teruskan berjalan....dunia bukan syurga penulis..dunia ialah tempat kerja penulis....akhiratlah syurga kita..tempat rehat kita abadi selamanya....moga-moga...amin.

*Pada perenggan akhir ini aku lebih menasihati diri sendiri!




19 November 2008

Ciri Orang Melayu Menurut Adat Perpatih

1. Beragama. Melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya.

Kalau alim hendakkan doanya

2. Berilmu. Ia bermaksud mesti berakal atau dengan kata lain boleh membezakan antara baik dan buruk, yang mana puji dan keji, yang mana mulia dan hina. Ilmu-ilmu lain itu adalah bonus atau fardhu kifayah.

3. Berada. Cukup harta untuk menyara diri dan keluarga. Juga supaya dapat membantu orang yang miskin.

Kalau kaya hendakkan emasnya

Seseorang yang beragama, berilmu dan berada di sebut bagai:

nilai tali berpilin tiga-bermaksud apabila tiga utas tali dipintal menjadi satu maka akan lebih kukuh dan mantap lagi.

atau

tungku tiga sejerangan-kita tidak boleh menenggekkan periuk di atas tungku yang kurang dari dua jumlahnya, akibatnya periuk tidak stabil dan akan terbalik.

Jelasnya ketiga-tiga nilai ini melengkapkan manusia Melayu seperti kata perbilangan:

Tak beremas putus tali
Tak berakal tenggelam bumi

4. Amanah.

Kok gadang jangan melanda
Kok cerdik jangan menipu

5. Berani.

Melawan guru dengan kajinya
Melawan buapak dengan adatnya

dan

Alang tukang terbuang kayu
Alang cerdik binasa adat
Alang alim rosak ugama
Alang sefaham kacau negeri

6. Bermaruah atau harga diri atau menjaga status

Yang buta menghembus lesung
Yang patah menunggu jemuran
Yang pekak melepas bedil
Yang kurap mengandar buluh
Yang berani dibuat kepala lawan
Yang cerdik teman berunding
Yang alim hendakkan doanya
Yang kaya hendakkan emasnya

7. Sabar.

Tidak ada keruh yang tak jernih
Tidak ada kusut yang tak selesai
Kusut benang cari ujung dan pangkalnya
Kusut rambut ambil minyak dan sikat
Sesat di hujung jalan
Balik ke pangkal jalan

8. Tanggungjawab.

Kok malu membangkitkan
Haus memberi air
Litak memberi nasi
Hilang mencari
Sakit mengubat
Mati menanam

dan

Berat sama dijinjing
Ringan sama dijunjung
Sama sakit sama senang
Ke bukit sama didaki
Ke lurah sama dituruni

8. Persefahaman.

Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat
Faham sesuai benar seekor
Bulat segolek pipih selayang
Rundingan jangan selisih
Muafakat jangan bercanggah
Tuah pada sekata
Berani pada seia

9. Timbang rasa.

Yang elok dek awak itu
Setuju dek orang hendaknya
Sakit dek awak sakit dek orang
Lemak dek awak lemak dek orang

10. Berkongsi.

Jika mendapat sama berlaba
Kehilangan sama berugi
Hati gajah sama dilapah
hati kuman sama dicecah

11. Perpaduan.

Seikat seperti sirih
Serumpun seperti serai
Melompat sama apatah
Menyerudup sama bongkok
Jalan sedundun
Selenggang seayun.

12. Taat dan patuh.

Di mana bumi dipijak
Di situ langit dijunjung
Masuk kandang kerbau menguak
Masuk kandang kambing mengembek

13. Kesetiaan.

Adat bersaudara saudara pertahankan
Adat berkampung kampung pertahankan
Adat bersuku suku pertahankan
Adat bernegeri negeri pertahankan

17 November 2008

Bahasa Melayu Adh Bahasa Dunia Timur

Bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa lingua franca khususnya sebagai bahasa perdagangan dan diplomatik.

Demikian banyak warkahd an surat perjanjian yang tertulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi sama ada antara kerajaan Melayu dengan kerajaan bukan Melayu di Alam Melayu atau antara kerajaan di Alam Melayu dengan kerajaan atau pihak lain di luar Alam Melayu, misalnya dengan Kerajaan China dan kuasa-kuasa Barat. Warkah dan perjanjian tersebut banyak tersimpan di perpustakaan negara asing seperti di Paris, London dan Leiden yang menjadi rujukan ilmiah sarjana asing dan setempat.

Amat mengkagumkan apabila dua orang Belanda iaitu Van Linschotten dan Francis Valentijn melakukan pemerhatian terhadap keunggulan bahasa Melayu sebagai bahasa tamadun tinggi suatu ketika dahulu.

Van Linschotten menyatakan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja amat megah dan harum namanya di merata dunia tetapi dianggap sebagai BAHASA YANG PALING DIHORMATI ANTARA BANGSA-BANGSA DI SEBELAH TIMUR DAN BELIAU MELIHAT BAHAWA SESEORANG YANG TIDAK TAHU ATAU TIDAK FASIH BERBAHASA MELAYU DI KEPULAUAN MELAYU DAPATLAH DI BANDINGKAN DENGAN ORANG YANG TIDAK TAHU DENGAN BAHASA PERANCHIS DI NEGERI BELANDA PADA ZAMAN ITU.

Francis Valentijn yang banyak sekali menulis hal ehwal tentang Kepulauan Melayu pada awal abad ke-18 mencatat kenyataan berikut pada bukunya:

BAHASA MEREKA, IAITU BAHASA MELAYU BUKAN SAHAJA DI TUTURKAN DI DAERAH PINGGIR LAUT, TETAPI JUGA DI TUTURKAN DAN DIGUNAKAN DI SELURUH KEPULAUAN MELAYU DAN SEGALA DI NEGERI-NEGERI SEBELAH TIMUR, SEBAGAI SUATU BAHASA YANG DIFAHAMI DI MANA-MANA SAHAJA OLEH SETIAP ORANG, DAN KEDUDUKAN BAHASA MELAYU ITU TIDAK UBAH SEPERTI KEDUDUKAN BAHASA PERANCHIS ATAU BAHASA LATIN DI EROPAH , ATAU SEBAGAI BAHASA LINGUA FRANCA DI ITALI DAN LEVANT. SUNGGUH LUAS TERSEBARNYA BAHASA MELAYU INI SEHINGGA KALAU KITA MEMAHAMINYA TIDAKLAH MUNGKIN KITA AKAN KEHILANGAN JEJAK , KERANA BAHASA ITU BUKAN SAHAJA DIFAHAMI DI PARSI BAHKAN TERLEBIH JAUH DARI NEGERI ITU, DAN DI SEBELAH TIMURNYA HINGGA KEPULAUAN FILIPINA.

Demikianlah betepa hebatnya bahasa Melayu kita suatu ketika dahulu. Bahasa Melayu sejak 700 ratus tahun lampau telah menjadi usnur penting dalam pembinaan tamadun bangsa bagi seluruh umat di Alam Melayu. Bahasa Melayu digunakan dengan meluas bukan sahaja oleh orang Melayu bahkan oleh bangsa-bangsa lain di seluruh dunia. Tarafnya tidak semata-mata dianggap bahasa setempat malah bahasa negara dan bahasa ntarabangsa kerana bahasa Melayu digunakan oleh pelbagai bangsa dari luar Alam Melayu termasuk dari Eropah.

Kemerosotan bahasa Melayu seiring merosotnya tamadun Melau terutama apabila Alam Melayu dijajah oleh kuasa asing. Namun setelah merdeka kita orang-orang Melayu telah berjaya memegang kerajaan dan memerintah dengan bebas dan makmur, usaha telah dibuat untuk membangunkan semula bahasa Melayu kita ini. Usaha-usaha itu nampaknya berjalan lancar pada awalnya melalui perlaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan, Kebudayaan Kebangsaan namun Kabinet era Mahathir tiba-tiba mencantas pertumbuhan dan usaha bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa ilmu .

Inilah bahananya, apabila orang politik membuat keputusan tentang pembinaan generasi dan tamadun bangsa mereka berfikir melulu dan secara singkat. Tunggulah saat dan ketikanya bahasa Melayu hanya layak jadi bahasa pasar, bahasa carutan, bahasa makian, bahasa pelacuran, bahasa perlecehan, bahasa rendah dan hina apabila usaha untuk membina bahasa seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan dicantas dan dirobek semahu-mahunya.

Bahasa Perundangan

Bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa perundangan. Dalam khazanah kesusteraan tradisional Melayu, terdapat sejumlah naskah Melayu yang menerangkan tentang undang-undang. Tentu sekali undang-undang dalam naskah tersebut amat berbeza sekali dengan undang-undang common law yang digunapakai di negara Malaysia sekarang.

Dalam naskah tersebut diterangkan kuasa raja dan pembesar serta undang-undang berkaitan pentadbiran negara, undang-undang jenayah yang bercampur aduk dengan undang-undang tempatan(adat), Hinddu dan Islam, undang-undang awam termasuk dalamnya undang-undang tentang perkahwinan dan pewarisan dan adat istiadat yang biasanya diamalkan oleh raja dan pembesar.

Secara umumnya naskah undang-undang Melayu ini meliputi dua golongan iaitu undang-undang Adat Temenggung dan Undang-undang Adat Perpatih.

Dalam kumpulan undang-undang Temenggung, Hukum Kanun Melaka merupakan naskah undang-undang Melayu Melaka yang menjadi induk kepada kewujudan undang-undang Pahang dan Undang-undang Kedah.

Pada zaman terkemudian wujud pula naskah Thammarat Al-Mulhimmah yang mana undang-undang jinayat islam mendominasi.

Dalam undang-undang Adat Perpatih pula terdapat naskah Undang-undang Sungai Ujung, Undang-undang Adat dari Rembau, Undang-undang Sembilan Puluh Sembilan Negeri Perak, Undang-undang Minangkabau.

Taj al-Salatin dan Bustan al-Salatin merupakan karya ketatanegaraan yang berkait rapat dengan masyarakat Melayu.

Di Alam Melayu bahasanya Melayu
Di gubal undang-undang Melayu
Di Alam Melayu bahasanya Melayu
Di gubah peraturan masyarakat Melayu.

*Di lain waktu aku akan menerangkan dengan terperinci kandungan undang-undangMelayu ini dan membandingkannya dengan undang-undang common law warisan British yang Malaysia amalkan kini.

Bahasa Ilmu

Bahasa Melayu sudah lama menjadi bahasa ilmu. Catatan pengembara I-Cing yang singgah dan bermastautin selama 6 bulan di ibu negeri Sriwijaya di Sumatera menunjukkan bahawa pada sekitar abad ke-7 telah ada pusat pengajian agama Buddha di Sumatera dengan menggunakan bahasa Melayu.

Sesudah Islam menyinari Alam Melayu, bahasa dan persuratan melayu menjadi demikian kayanya dengan fungsi bahasa Melayu mengungkapkan ilmu-ilmu agama, ilmu kalam dan fiqah, muamalat, munkahat, jinayat, sirah, qiraat dan tasawuf. Manuskrip tertua bertarikh 1590 yang telah dikaji oleh Prof Syed Naquib Al-Attas iaitu terjemahan Aqaid Al-Nasafi oleh ulamak Melayu (mungkin Nuruddin Al-Raniri) ialah kitab yang membicarakan soal akidah atau tauhid. Selain itu, bahasa dan persuratan Melayu menjadi kaya dengan ilmu dan maklumat dalam pelbagai bidang lain. Sehingga kini, kita mewarisi ribuan karya yang mengungkapkan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran daripada tradisi ilmu hinggalah pembuatan persenjataan, perubatan dan pembinaan.

Karya-karya demikian ditulis dalam bahasa Melayu menjadi bukti wujudnya pemikir, ilmuwan, pujangga, pengarang, tukang kayu, tukang besi dan pembuat bahtera yang memerlukan seni ukuran dan pengetahuan alam tabi'i yang sangat menakjubkan.

Dalam bahasa dan persuratan nama-nama seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Syamsudin Al Sumatrani, Abdul Rauf Singkel, Abdus Samad al-Falimbani, Syeikh Daud Al-Fatani, Syed Muhammad Arsyad al-Banjari, Tun Seri Lanang, Raja Ali Haji, Abdullah Munsyi dan banyak lagi telah diktiraf oleh seluruh peneliti dan orientalis seluruh dunia sebagai pendukung tamadun Melayu dalam bidang bahasa dan persuratan.

Demikian pula munculnya tokoh-tokoh dan karya-karya dalam pelbagai bidang menjadi bukti berdiri teguhnya pusat-pusat peradaban Melayu seperti Pasai, Melaka, Acheh, Patani, Banjarmasin, Palembang, Riau-Johor dan beberapa lagi. Prof A. Teeuw, sarjana Belanda mengakui bahasa Melayu tinggi sudah wujud ketika zaman perkembangan Tamadun Melayu-Islam lagi.

Pejuang Bahasa 'Tua' lwn Kera-kera Kerajaan

Bahasa kita sudah lama kalah, dikalahkan oleh orang-orang Melayu sendiri khususnya pembuat dasar yakni kerajaan. Pejuang bahasa dari pelbagai latar dan pendidikan telah cuba memenangkannya semula dengan pelbagai simposium, beratus kertas kerja, beratus artikel rencana, syarahan dan buku-buku diterbitkan bagi membuktikan kedirian bahasa kita.

Dan ia hampir berjaya setelah kerajaan mahu mengkajinya semula selepas pilihanraya mac lalu. Namun pejuang bahasa telah tersalah catur. Mereka tersalah bidik. Pejuang bahasa yang berunding dengan kerajaan telah menggunakan hujah dan alasan yang lemah dalam memenangkan kembali bahasa kita.

Akibatnya apa yang berlaku?Orang-orang politik menggunakan keputusan UPSR sebagai penentunya kedudukan bahasa kita. Ketika pejuang-pejuang bahasa mengeluh dan sudah nampak pertanda kekalahan bahasa kita di meja runding maka saya sudah lama mengatakan bahasa kita sudah lama kalah oleh pejuang-pejuang bahasa yang tua dan lembab serta lemah menggunakan hujah dan alasan.

Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara kita sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan antaranya sebagai bahasa ilmu. Keputusan Kabinet era Mahathir menukar bahasa pengantar sains dan matematik daripada bahasa kebangsaan kepada bahasa penjajah telah menyebabkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu telah dicantas sama sekali. Usaha kita untuk membangunkan bahasa kita sebagai bahasa ilmu sudah dicantas. Tunas-tunasnya telah di siram dengan racun dengan kejamnya.

Kita harus sedar bahawa bahasa keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu tidak perlu dipertikaikan lagi. Tiada suatu tamadun di dunia ini membangun dengan bahasa asing. Penciptaan dan inovasi sains dan teknologi berlaku dalam bahasa ibunda penciptanya sendiri bukan bahasa asing atau bahasa kedua pencipta. Pencipta berfikir dalam bahasanya. Setiap bangsa yang berjaya mengutamakan bahasanya. Bahasanya dibangunkan dengan ilmu dan penciptaan.

Fanatik dan semangat cintakan bahasa ini adalah amat penting kerana ia berhubung rapat dengan kecintaan terhadap bangsa dan negara. Bahasa kita sebenarnya masih dalam pembinaan secara bertahap-tahap untuk menjadi bahasa ilmu bahasa dalam sains dan teknologi dan ia pasti berjaya sebagaimana bangsa Inggeris menceduk ilmu-ilmu dari tamadun arab lalu menterjemahkan dan mengolahnya semula dalam bahasa inggeris.

Jadi apakah kita tidak boleh menterjemahkan dan mengolahkan kembali segala ilmu sains dan teknologi dengan bahasa kita untuk membina negara dan bangsa kita? Bahasa Melayu adalah asas kepada kewujudan tamadun bangsa Malaysia.

INILAH HAKIKAT PERJUANGAN YANG MESTI DIPERJUANGKAN OLEH PEJUANG BAHASA YANG BERHADAPAN DENGAN ORANG-ORANG POLITIK DI MEJA RUNDINGAN. HUJAH INI AMAT TEPAT DAN TIDAK AKAN DIGANGGU DENGAN ALASAN ATAU SEBAB LAIN.

MALANGNYA PEJUANG BAHASA 'TUA' (TERDAPAT PEJUANG BAHASA YANG BERUNDING DENGAN KERAJAAN SEHINGGA BERJAYA MENDESAK KERAJAAN MEMBUAT SEMAKAN SEMULA PPSMI SELEPAS PILIHANRAYA TELAH BERUMUR DAN MEREKA INI PENDUKUNG SETIA PARTI KERAJAAN) YANG BERUNDING DENGAN KERA-KERA KERAJAAN TELAH MENGGUNAKAN HUJAH YANG LEMAH IAITU 'PENGGUNAAN BAHASA INGGERIS DALAM SAINS DAN MATEMATIK TELAH MENYEBABKAN RAMAI PELAJAR-PELAJAR MELAYU KETINGGALAN DALAM MATAPELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK'.

HUJAH INI WALAUPUN DARI SATU SISI BETUL TETAPI PEJUANG BAHASA 'TUA' TERSEBUT HARUS BERINGAT, KALIAN BERHADAPAN DENGAN OKNUM POLITIK YANG PANDAI PUTAR BELIT LANTAS MENJADIKAN KEPUTUSAN UPSR SEBAGAI DASAR UTAMA PENILAIAN TERHADAP PELAKSANAAN BAHASA INGGERIS DALAM SAINS DAN MATEMATIK.

JADI USAHA KITA USAHA SEMUA PEJUANG BAHASA(MERANGKUMI SEMUA LAPISAN UMUR DAN LATAR BELAKANG SEHINGGA KEPADA MASYARAKAT BAHASA) TELAH HANCUR BERKECAI KERANA HUJAH YANG LEMAH INI.

PEJUANG BAHASA 'TUA' HARUSLAH INSAF KESILAPAN MEREKA DAN HARUSLAH LEBIH BIJAK DI MASA DEPAN UNTUK BERDEPAN DENGAN KERA-KERA KERAJAAN INI DI MEJA RUNDING. KITA HARAP SELEPAS INI PEJUANG-PEJUANG BAHASA 'TUA' MENDEGAR SUARA PEJUANG-PEJUANG BAHASA 'MUDA' YANG MANA STRATEGI BERHUJAH, BERANI DAN CEKAL MESTI DI PRAKTISKAN. JGN KITA PATAH SEMANGAT ANGGAPLAH KEKALAHAN KALI INI MEMATANGKAN KITA PEJUANG BAHASA DALAM BERDEPAN DENGAN KERA-KERA KERAJAAN YANG HANYA SEDIKIT CERDIK INI. KITA YANG CERDIK INI JANGNLAH JADI KERA YANG SEDIKIT CERDIK DAN JANGAN TERTIPU DENGAN KERA YANG MEMAKAI KOT DAN MENJADI MENTERI DAN DUDUK DALAM KABINET INI. JANGAN SESEKALI TUNDUK KEPADA SEDIKIT KECERDIKAN MEREKA MEMANIPULASIKAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN MURID SEKOLAH DALAM MEMBINA TAMADUN BANGSA DAN NEGARA!

KITA SUDAH TAHU PENGHUJUNGNYA SAINS DAN MATEMATIK TETAP AKAN DILAKSANAKAN DALAM BAHASA INGGERIS KERANA KEPUTUSAN UPSR PELAJAR MELAYU KHUSUSNYA DIGAMBARKAN MEDIA AMAT BAIK. DAN IMPIAN UNTUK MEMBINA BANGSA MALAYSIA DENGAN BAHASA KEBANGSAAN AKAN JADI CACA MARBA DAN BAHASA MELAYU AKAN JADI BAHASA PELECEHAN DAN BASAHAN SEMATA-MATA.

JUSTERU, PEJUANG BAHASA SEDARLAH KALIAN. GUNAKAN HUJAH BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU MEMBINA BANGSA MALAYSIA SEBAGAI HUJAH UTAMA KITA(SPT YANG SAYA PADA PERENGGAN SEBELUMNYA) JGN JADIKAN ATAU JANGAN KITA PEJUANG-PEJUANG BAHASA MENERIMA PENILAIAN DIBUAT ATAS KEPUTUSAN PEPERIKSAAN BUDAK SEKOLAH. KEPUTUSAN PEPERIKSAAN MURID SEKOLAH TIDAK MENGGAMBARKAN KETAMDUNAN BANGSA KITA SERATUS TAHUN KE HADAPAN. IA BERSIFAT JANGKA PENDEK. WAHAI PEJUANG BAHASA KALIAN BERHADAPAN DENGAN KERA-KERA KERAJAAN YANG PANDAI BERKATA-KATA DAN BERTINDAK. JUSTERU GUNAKAN ALASAN DAN HUJAH YANG TEPAT DAN BIJAK AGAR DENGAN SEKALI HUJAH KERA-KERA INI TIDAK LAGI BERANI MELOMPAT DAN MEMPERMAINKAN AMANAH BANGSA!

16 November 2008

Cuti 7 Hari

Pada 13 haribulan aku pergi ke Klinik Am, PPUM. Oleh kerana aku datang awal, maka aku dapat no yang lebih awal. Sebelum berjumpa doktor, darahku diambil jururawat untuk diperiksa di makmal. Sedang menunggu giliran itu aku berbual2 dgn seorang mamat yang juga demam sepertiku. Air mukanya tampak keruh. Dia disyakki denggi dan jumlah pletletnnya jatuh saban hari. Aku pun ceritalah apa yang aku lakukan bila aku terkena denggi dahulu antaranya minum 100 Plus dan makan.

Tidak lama kemudian, no giliran aku naik di skrin. Aku segera melangkah masuk ke bilik no 9. Seorang doktor lelaki berbangsa Sikh menjemputku duduk dan dia menanyakan aku sakit apa. Demam. Jawabku spontan. Doktor angguk. Kemudian dia meneliti hasil pemeriksaan darah ku di komputer. "Chicken pox"kata doktor ringkas.

Aku merengus perlahan. Sememangnya aku tidak pernah terkena demam campak. Inilah pertama kali. Doktor bertanyakan aku lagi sejumlah soalan demi soalan sehinggalah dia memberikan cuti sakit mulai hari ini selama 7 hari.

Aku pulang dengan tenang. Malam itu baharulah aku sedar jumlah gelembung-gelembung berisi cecair hanyir di tubuhku tumbuh berkali ganda. Tubuhku mula miang dan mukaku juga tidak lepas ditumbuhinya.

Demam pula berulang datang. Kebah dan demam. Dan tubuhku sangat lemah dan letih. Aku terjaga jam 5 pagi dalam keadaan mengigil dan terpaksa mengambil paracetamol. Esoknya baharulah aku tahu betapa deritanya penyakit cacat air ini. Gelembung2 ini tumbuh hampir di seluruh tubuhku. Menjelang 3 hari gelembung ini naik sampai ke kaki dan telapak tangan. Kata Tok kalau sudah ada di kaki itu tandanya campak dah keluar habis. Syukurlah.

Namun itu tidak berakhir. Hari Jumaat itu aku rasakan mencapai puncaknya. Selain gatal dan miang, gelembung dan bintik2 cacar ini juga tumbuh di sekitar anggota kelamin dan bukan sekadar gatal dan miang tetapi AMAT MENYAKITKAN!

Ya Allah, tidak pernah aku rasa sesakit ini. Betapa bisanya kau campak!Menjelang tengahari demamku semakin teruk dan cecair dalam gelembung2 itu bagaikan mengelegak dalam kulit di seluruh tubuhku!

Bayangkanlah sampai saat aku menangis kesakitan! Keadaan ku reda hanya ketika maghrib tiba mungkin kerana cuaca malam yang beransur sejuk dan dingin. Malam itu aku dapat tidur dengan nyenyak setelah beberapa hari aku gagal tidur dengan sempurna. Pada hari Sabtu keadaan ku semakin baik walau demam masih ada. Selera makanku pulih dan aku makan habis2san. Makan makanan yang tidak gatallah. Aku beli air kelapa-baru saat ini aku dapat meminumnya-dan nasi dan sup ayam, dan aku makan jam 6 petang. Aku rasa puas dan bersyukur sekali.

Namun menjelang maghrib demam datang lagi-tetapi bukan sejuk tetapi rasa PANAS pula. PANAS sehingga aku meneguk air berulang kali disertai kencing yang berpuluh kali sehinggalah menjelang isyak demam ku sembuh terus sampai hari ini Ahad. Syukur alhamdulillah. Dalam menikmati saat2 penyembuhan ini aku mula berfikir tentang perbuatan ku masa silam. Dan aku masih ingat berapa aku selalu mengejek rakanku sewaktu zaman budak2 dahulu apabila rakan2 ku terkena campak. Aku akan mengusik mereka dan ketawakan bintik2 ruam pada tubuh mereka. Dan hari ini aku menerimanya pula. Bukannya campak biasa tetapi campak besar. Padan muka aku!

12 November 2008

Demam

Sejak hari Ahad lagi-catatan hujung minggu-aku telah diserang demam. Demam kebah demam kebah. Aku masih ingat lagi dua malam lepas aku terjaga jam 4 pagi dan aku mengigil kesejukan. Aku terpaksa ambil paracetamol. Dan hasilnya aku berpeluh lagi dan lagi sehinggakan bajuku dapat diperah. Otot kaki lengan ku terasa ngilu dan lenguh yang luar biasa. Sendi2 ku seperti patah. Timbul pula lepuh pada kulit ku pula hari ini. Dan pagi ini bila aku bangun tidur abdomen ku amat sakit-bukan senak nak buang air besar-tetapi semacam lenguh/ngilu amat sangat. Aku khuatir aku terkena DENGGI lagi seperti tiga tahun lepas dimana aku demam selama 2 minggu lebih dan dimasukkan ke PPUM. Ketika itu aku terpaksa berulang alik selama seminggu ke PPUM utk pemeriksaan darah dan hari ke tujuh aku ditahan di WAD 13 U antara WAD termewah spt hotel 5 bintang dan aku sebaris dengan pesakit krtikal lain spr jantung dan lain2 penyakit maut.

Nampaknya esok aku harus pergi jumpa doktor dan dari tempat aku hospital terdekat hanyalah Pusat Perubatan Universiti Malaya. Aku tak tau sama ada ke bahagian RUKA ataupun ke KLINIK ENT kerana aku gagal menghadiri diri dalam ujian RADIOLOGI (akibat infeksi pada luka di tekak) pada 11.11. lepas kerana demam kuat. Ya Allah ujian engkau ni aku terima dgn redho dan ampunilah segala dosaku dan kurniakanlah daku maghfirah Mu. Amin.
Za'aba berkata dalam majalah Pengasuh hlm 1-2, 17.3.1919:

"Sungguhpun negeri Tanah melayu ini negeri yang sentiasa bertambah-tambah ramai dan bertambah-tambah kaya daripada kemakmuran khazanah buminya, akan tetapi siapakah yang sentiasa yang sentiasa beroleh keuntungan daripada kemakmuran itu? Di manakah bapa-bapa Melayu dan dimanakah anak-anak Melayu? Pada sebutan yang zahir sebenarnya negeri ini negeri Melayu luarnya dan dalamnya kerana telah berkediaman bangsa Melayu itu padanya hampir-hampir 700 tahun. Akan tetapi pada masa sekarang ini sebutan Negeri Melayu itu menepati hakikat maknanya dan daerah-dearah kampung dan ceruk-ceruk negeri yang jauh dari pekan jua. Orang Melayu telah lari ke dalam hutan dan ke tengah-tengah negeri mendiami tiap-taip lepan dan bukit bakau. Orang-orang dari luar telah datang menunggui dan meramaikan tepi-tepi lautnya dan bandar-bandar perniagaannya!Maka di tengah-tengah negeri yang jauh dari suara loceng itulah kamu akan berjumpa dengan kebanyakan Melayu. Ada pun lain daripada itu kamu akan dapati sama ada pada zahirnya atau pada hakikatnya negeri ini ialah negeri orang dari luar, pada pekerjaannya, pada perusahaannya, pada perniagaannya dan pada pemerintahannya."

Ragam Mat Tabligh-Ikut Nafsu Ammarah

Suatu ketika aku di surau kolej kediaman. Sehabis drp solat ada lah mat tabligh ni bangun kasi tazkirah. Aku dah tahu apakah matlamat akhir mat tabligh bila dia bercakap. Keluar dgn kami 3 hari. Begitulah adanya.

Kerana aku sudah tahu matlamat akhir percakapannya begitu maka aku pun tidak mempedulikan dia. Aku bingkas dan mengambil surah Yassin lalu aku duduk di suatu sudut surau. Lantas aku membacanya. Aku tak pedulikan mata kwn2 aku sejemaah yang melihat gelagat aku itu krn bagi aku ini bukan perlakuan salah ini tempat ibadat kita bisa membaca Al quran berzikir dgn masa2 kita sendiri.

Bukannya aku bawa betina ke sini....

Kemudian drp itu mat tabligh itu nyata mencerlung aku tidak suka dgn tingkah laku aku. Atau mat kau terasa telah disindir mat. Aku fikir surah Yassin ini ada kata-kata Allah dan apabila aku tidak mempedulikan kau adalah bukan salah bagi aku kerana aku lebih sedia menghayati kata-kata Allah.

Sewaktu elok damai je membaca Yassin tu, mat tabligh yang jadi jurucakap pun katalah Membaca yassin malam jumaat ni suatu bidaah.. Terganggu jugak usus aku. Aku tau dia sindir aku..kerana keegoannya sbg pendakwah kononnyalah maka dia ambil kesempatan memerli aku....tindakan aku membaca yassin sbg bidaah!

Aku rasa nak lempang sahaja mat tabligh ni atau sekurang2nya aku pulah bertabligh depannya apalah kiranya bidaah perlakuan aku itu jika aku lebih memperhatikan kalamullah berbanding kata engkau Ya hamba ALlah yang diciptakanNya drp titis mani yang hina?

Apakah nafsu ammarahmu sampai kemuncak ke dada mu untuk membolehkan kau menjadi laksana Tuhan menghukum aku sewenang-wenangnya semata-mata aku tidak mengikuti kehendak nya untuk diam dan dengar serta ikut ajakannya keluar 3 hari itu?

Allah, engkau juga ada cara menguji hambaMu dan kufikirkan ini juga untuk menguji mat tabligh itu. Sehabis aku baca Yassin, Isyak pun datang dan setelah isyak mat2 tabligh ni buat halaqah bersama kwn2 aku. Aku pun ikut sekali tanpa memikirkan sendaan mat tabligh yang perasan bagus tu kerana bagi aku mat kau juga hamba Allah yang tidak lepas buat salah. Allah Maha Pengampun.

Kemudian berlakulah perbincangan. Yang seronoknya bila mat tabligh ni cakap satu isu semua kwn aku tak berani nak lawan atau cakap atau kasi pandangan kerana mat tabligh ni boleh patahkan balik atau kasi nasi tambah sampai menampakkan kebagusan dirinya dan kebodohan kwn2 aku itu.

Bila sampai giliran aku, aku tidak kasi peluang lagi teruslah aku berhujah semualah keluar fakta wahyu hadis huraian kaitan dgn isu semasa dan pendekatan dakwah. Aku katakan tepat2 ke muka mat tabligh yang terkedu mendengar setiap patah kata2 aku itu bahawa dakwah itu bukan sahaja keluar 3 hari dakwah bukan juga sekadar dgn halaqah dan juga bertabligh serta bercakap MALAH dakwah juga dengan perbuatan atau dalam Arabnya dakwah bil hal.

Aku pun hujahlah kalau kita nak dakwah jgn pilih bulu jgn sindir org yang kita nak dakwahkan itu jgn hukum org yg kita nak dakwahkan itu. Cakap baik2 tunjukkan akhlak yang murni. Setiap pendakwah mestilah masuk dalam semua jenis orang dan tidak menjauhkan diri mrk drp orang berdosa atau berperlakukan berdosa ini-masuk rapat dan dakwahlah secara halus secara perbuatan.

Selepas aku cakap macam itu, semua mat tabligh diam. Kwn aku pun dok perati je muka selamba aku itu. Dan sewaktu nak balik itulah mat tabligh ni hulurkan tangan dan minta maaf kpd aku dan menyatakan betapa dia mengikut rasa sewaktu menyindir aku tadi.

Rupa-rupanya alasan mat tabligh tu kata bidaah aku baca Yassin ialah sebab malam itu malam Jumaat. Aku senyum sahaja. Aku pun tak ingat malam tu malam jumaat. Dan ini menunjukkan aku bukan buat bidaah sebab aku membaca Yassin bukan kerana malam itu malam ini tetapi kerana kefahaman aku sendiri tentang Al Quran serta kehendak aku sendiri untuk menghayati ayat-ayat Allah.

Apapun mat, semuga kau tetap benar dijalan kau dan mendapat hidayah Allah. Ingatlah kata-kata aku ni mat sebagai pengajaran dan buah bekal. Kerana aku pun mengingati juga apa aku cakap kerana celakalah aku kalau aku pandai cakap tetapi tidak melakukannya.