CERPEN
Kupu-kupu Ditembusi Peluru
Oleh Muhammad Ali Atan
SEBELUM kejadian tanah runtuh itu berlaku, telah muncul seekor kupu-kupu. Terpaku Penduduk Taman Perumahan A menyaksikan kupu-kupu itu. Tujuh warna bersinar cemerlang disepuh mentari khatulistiwa pada sepasang kepaknya. Kupu-kupu itu memahami manusia memuji keindahannya tetapi manusia yang tidak memahami tutur bicaranya.
Kupu-kupu itu berkata “Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!” Penat kupu-kupu itu mengepak dan hinggap di sana sini. Tutur katanya langsung tidak dipedulikan malah ada yang cuba menangkapnya dengan mengumpan udang mentah di atas batu. Namun kupu-kupu itu tahu muslihat itu. “Siapa yang memburu akan diburu!” Tutur kupu-kupu itu sekuat-kuatnya kepada manusia yang mahu menangkapnya itu. Namun manusia tetap buat tidak tahu. Lalu dengan kecewa terbanglah kupu-kupu meninggalkan Taman Perumahan A menuju ke hutan yang menjadi habitat kupu-kupu sedari dulu.
Tetapi akal kupu-kupu menegah-padah kalau ditunggu-tuggu. Para pemburu sudahpun bersarang di hulu. Menebarkan pelan-pelan baharu. Mahu menjadikan hutan simpan sebagai hutan batu. Manusia, di manakah kau letakkan akalmu?Apakah matamu buta melihat wujudnya Taman Perumahan A di situ? Taman Perumahan yang bakal dibaham tanah bila tubuh bukit ditarah. Memang dasar pemburu! Siapa yang memburu akan diburu. Mengertikah manusia kata-kataku?
Titis-titis hujan tiba-tiba meluru ke bumi dengan laju. Hujan di kota sekeras batu. Kepak kupu-kupu itu tidak tertahan lagi ditimpa titis-titis sekeras batu itu. Tetapi titis hujan tidaklah sampai sekejam peluru. Cuma lenjun kepak kupu-kupu. Mengepak-ngepak masuk di bawah anjung sebuah rumah agam berderet neon biru lalu hinggap di jaring besi di muka pintu. Ah! Ada sedikit ruang terbuka antara celahan pintu. Lantas kupu-kupu menyelit masuk dan terpampang di mata bulatnya pemandangan baharu. Kepala rusa tergantung di dinding kaku. Kulit Raja Rimba terkangkang meniarap di atas lantai di tengah ruang tamu. Kupu-kupu terus kaku. Pilu dan gentar menderu di kalbu. Ah! Kupu-kupu itu telah tersalah masuk ke rumah pemburu!
Tiba-tiba kupu-kupu itu diserkup jaring berpetak seribu. Kepak yang basah dan tenaga yang lemah lebih baik jangan terburu. “Kalau ditegarkan juga pasti hancur lebur kepakku! Aku harus tenang mencuri kesempatan untuk lepas bebas seperti dahulu,” bisik kupu-kupu. “Aneh. Kau terlalu jinak!” kata budak yang menangkapnya lalu menjadikan sebuah balang kaca sebagai habitat baharu kupu-kupu.
“Arif mari makan!” panggil ibu. Budak lelaki itu bingkas dengan mengendong balang kaca berisi kupu-kupu.
“Mama sudah kata jangan kurung lagi kupu-kupu.” Kata ibu sambil melihat-lihat kupu-kupu dalam balang kaca itu. Betapa cantiknya kepak kupu-kupu. Berkilau-kilauan disepuh cahaya lampu. Biarpun basah kuyup kecantikan kupu-kupu itu tetap satu. Tidak pernah ibu lihat kupu-kupu secantik itu. Sama ada koleksi kupu-kupu awet suaminya ataupun kupu-kupu yang ditangkap oleh anaknya.
“Sungguh cantik kupu-kupu ini tetapi mengapa wajahnya pilu?” tutur ibu. Bunyi enjin kereta di luar rumah meluru ke telinga ibu. Segera disuruh anaknya menyorokkan kupu-kupu. Arif mengeleng mendakap erat balang berisi kupu-kupunya itu.
Enjin sudah mati dan pintu berderik.
“Syy, dengar sini sayang. Bapamu sudah pulang dan dia pantang melihat kupu-kupu apatah lagi yang cantik. Nanti akan dibunuhnya kupu-kupu itu!”Arif menurut kata ibu akhirnya. Kemudian terdengar suara ayah memanggil-manggil ibu dari ruang tamu.
“Arif makan dahulu ya.” ujar ibu dalam kegentaran kalbu.
“Ibu.”Arif bersuara pilu. Ibu jawab dengan senyum seperti mentari dilindungi awan kelabu.
Arif menuju ke meja dan sepinggan nasi tersedia dari tangan ibu. Arif menjeling ke arah pasu yang melindungkan balang berisi kupu-kupu. Baharu tiga suap nasi masuk ke mulut mungilnya jeritan ibu menyentak kalbu. Suara bapa tinggi dan terburu. Sesudahnya, suara ibu seperti kaca terhempas ke batu.
Arif mengertap mulutnya sambil memejam mata serapat mahu. Bila aku sudah besar nanti pasti akan kubela ibu! “Nanti kalau Arif dengar ibu dan bapa bersuara tinggi-tinggi cepat-cepat masuk bilik ya.” Terkerlip pesan ibu suatu masa lalu. Arif mengambil balang berisi kupu-kupu dicelah pasu dengan cekat naik ke bilik tanpa memandang ke ruang tamu.
Dalam bilik segala-galanya menjadi sunyi dan balang berisi kupu-kupu diletakkan di Sudut Ilmu. Arif duduk di situ termangu. Sudut Ilmu inilah tempat Arif membuka buku pelajaran di samping mendengar cerita yang dibacakan ibu. Suara ibu merdu. Suara ibu juga pilu. Sebak diaduk seribu perasaan menderu dalam kalbu. Ditenungnya kupu-kupu di dalam balang dengan mata berkaca-kaca dan berwajah merah sendu.
“Air mata terlalu mahal untuk kau buang selalu.” Tutur kupu-kupu itu.
“Kalau ibumu dibuat seperti patung begitu apakah kau tidak berasa pilu?” balas Arif. Ah! Budak ini-mengerti pula kata-kataku, detik kalbu kupu-kupu terharu. Jadi fahamlah manusia keluhanku.
“Bapamu seorang pemburu. Ibuku seekor kupu-kupu sepertiku, tidak pernah kami kenal sendu melainkan bunga bersari madu.”
“Ah! memang bapaku seorang pemburu. Bapaku juga seorang yang tidak pernah mahu menghargai ibu!” jerit Arif dengan geram. Mata bulat hitam kupu-kupu mencerlung Arif dari balik dinding kaca. Tiba-tiba Arif membuka penutup balang. “Kupu-kupu, aku bukanlah pemburu seperti ayahku. Aku tidak mahu menjadi pemburu.” katanya. Kupu-kupu itu pun mengepak terbang ke udara dengan rasa terharu.
“Aku amat simpati dengan nasib ibumu dan dirimu, tetapi aku hanyalah seekor kupu-kupu.” Kata kupu-kupu kepada Arif yang menyelangkup di meja buku. Ada tangisan dan esakan yang menggaru kalbu.
“Oh ya, kau kupu-kupu dari mana? Tidak pernah kutemui kupu-kupu secantikmu.” Tanya Arif seolah-olah mahu lari dari kisah hidup yang pilu. Lalu berceritalah kupu-kupu itu. Aku dari belantara yang menjadi taman dan penghidupanku. Saban pagi aku terbang dan hinggap pada bunga menghisap nektar, kemudian terbang lagi dengan kaki dan toraks melekat serbuk debunga lalu hinggap pada bunga lainya sambil menyanyikan lagu. Ah! dunia kupu-kupu memang indah. Menerusi mata bulat kecil ini aku melihat sinar ultraviolet menjadi helai-helai benang sutera berguyuran dari langit biru.
“Oh sungguh indah kehidupanmu, tiba-tiba aku mahu jadi kupu-kupu!”ujar Arif teruja..
“Itu semua dahulu kini...” kata kupu-kupu itu tersekat pilu dan Arif segera mendekatkan wajahnya kepada kupu-kupu.
“Ayuh sambunglah kata-katamu wahai kupu-kupu.”desak Arif terburu.
“Manusia telah meragut segala keindahan dan kedamaian hidup kupu-kupu. Manusia bukan sahaja memusnahkan flora yang menjadi habitat kami malah memburu, membunuh, mengawet, mempamer sekaligus menjual mayat kupu-kupu yang keras tanpa rasa malu. Tidak malukah manusia memburu kupu-kupu yang hanya memiliki sepasang kepak dan sekujur tubuh yang lemah? Ah, manusia memang tidak pernah mahu mengerti tentang keindahan lalu memburu semuanya hanya kerana nafsu.”
Kupu-kupu itu mengeluh dan kalbunya diterpa ombak sendu menderu-deru. Namun mata bulat hitamnya tetap indah, tidak pernah kenal sendu untuk menitiskan air mata pilu.
“Maafkan aku kupu-kupu, kerana ayahku juga seorang pemburu kupu-kupu.”ujar Arif dengan simpati memenuhi kalbu.
“Seorang anak tidak akan menanggung beban dosa bapanya.” Kupu-kupu memujuk Arif yang dilanda sedih dan rasa bersalah metah.
“Maafkan aku lagi kupu-kupu, ayahku juga seorang pemusnah habitatmu.” Ujar Arif dengan wajah sayu. Mata bulat hitam kupu-kupu mencerlung ke wajah Arif - budak yang begitu jujur bertutur - membuatkan kupu-kupu begitu terharu.
“Bapamu memang benar-benar seorang pemburu sedangkan aku hanya seekor kupu-kupu!” Sunyi mengambil tempat dan budak itu mengongoi disaksikan oleh mata bulat hitam kupu-kupu itu. “Oh, seperti dunia kupu-kupu dunia manusia juga telah hilang keindahan dan menjadi teramat sendu.”detak kalbu kupu-kupu amat terharu.
Tiba-tiba pintu bilik Arif ditolak kuat dari luar dan terpacak di muka pintu seorang pemburu. “Lari kupu-kupu!”jerit Arif beraduk gentar seperti menyaksikan seribu garuda menjadikan langit kelabu. Kupu-kupu itu terus mengepak ke udara tetapi langkah seorang pemburu nyata terlalu tangkas bagi seekor kupu-kupu. Dengan jaring petak seribu kupu-kupu itu terjerembab ke lantai bilik dan mata bulat hitamnya dipenuhi wajah seorang pemburu. Betapa kupu-kupu itu terkesima menyaksikan taring berselengket darah hanyir, bermata buntang merah dan terkerinyih hodoh kepada kupu-kupu itu.
“Oh, sungguh cantik tubuhmu dan harum sungguh baumu.” Kata pemburu itu. Arif cuba menghalang pemburu alias bapanya daripada menangkap kupu-kupu itu. Tetapi gerak seorang pemburu terlalu gagah untuk ditentang gerak seorang budak alias anaknya.
Setelah anaknya diherdik dan ditolak dengan tangan kasar seorang bapa alias pemburu, nasib kupu-kupu itu dihurung awan kelabu. Dibawanya kupu-kupu itu ke bilik khas tempat segala kupu-kupu dikurung, dibunuh dan diawet sebelum dijual kepada penjual. Bumbung bergemeratap bunyinya dihentam hujan sekeras batu. Kilat menyilang menusuk alam dalam zulmat malam dan guruh menjerit hingga menceku kalbu.
“Aku berbangga dapat menemukan kau dari spesis lepidoptera yang hampir pupus itu. Kau juga harus berbangga kerana jatuh ke genggaman seorang pemburu yang siap siaga meladenimu.”
“Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!” tutur kupu-kupu itu biarpun diselubungi gentar dan pilu.
“Apa yang kau cakapkan? Sudah lama tidak kubersihkan telingaku,” senda pemburu itu.
“Siapa yang memburu akan diburu!” balas kupu-kupu setelah segala kekuatan menjadi padu. Sudah lama ingin dituturkan kata-kata itu kepada manusia tetapi kini di hadapannya adalah seorang pemburu yang memahami tutur bicara seekor kupu-kupu. Inilah waktunya. Pemburu itu terus sahaja ketawa dan ketawa. Melawan bunyi guruh dan gemeratap bumbung dihentam titis hujan batu. Benarlah, apabila manusia menjadi pemburu mereka sebenarnya telah bertuhankan nafsu, detak kalbu kupu-kupu.
“Tidurlah baik-baik agar dapat kau nikmati hari esok.” Tutur pemburu itu lalu ke luar dari bilik yang penuh dengan kupu-kupu yang kaku. Ada berbagai-bagai spesis kupu-kupu yang telah diawet dan inilah kali pertama sejak kupu-kupu itu lahir ke dunia daripada kepompong dia melihat pemandangan yang begitu menyentuh kalbu. Apa yang indahnya apabila kupu-kupu dibunuh sebegitu? Tiba-tiba pertama kali juga air mata menitis dari birai mata seekor kupu-kupu. Tentu kedukaan itu sudah bertambah senak di kalbu. Manusia memang pemusnah keindahan. Manusia memang pemburu kejam. Malam kian dingin lalu lenalah kupu-kupu itu menunggu nasib yang tidak menentu.
Pagi esoknya pemburu itu menggalas senapang patah di bahu kanannya dan tangan kirinya mengendong balang kaca berisi kupu-kupu. Jeepnya menyelusup denai hutan dan terlihatlah dalam kenangan kupu-kupu itu kehidupan masa lalu. Melalui jalan yang becah segala pemandangan menjadi berubah lantaran flora habis ditarah. Kupu-kupu diterpa pilu. “Sebelum aku dibunuh aku ada hajat kepadamu!”
“Apa yang mahu kau pinta?” balas pemburu itu dalam ketawa sambil membelokkan jeepnya ke deretan rumah besi. Kemudian keluarlah para pemburu lainnya mempamerkan wajah hodoh menikmati keindahan kupu-kupu itu tanpa rasa malu.
“Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!”
“Permintaankah itu?”
“Apabila kalian sebagai manusia menarah flora, membunuh kupu-kupu dan mergastua, Tuhan Maha Berkuasa untuk membalas. Sedangkan manusia yang menempati di kaki bukit itu bukanlah pemburu seperti kalian!”
“Hah, aku tidak memahaminya.”
“Sesiapa yang memburu akan diburu!”
“Kau mahu jadi pujanggakah kupu-kupu?”
“Kalian adalah pemburu sekali gus pemusnah keindahan sedangkan Tuhan Maha Indah. Manusia memusnahkan keindahan dan Tuhan akan membalas dengan bencana. Walaupun semua manusia akan terkena dan kalian mungkin bebas, Tuhan Maha Adil untuk membalas dengan cara-Nya dan pada waktu yang kalian tidak sangka-sangka.”
Para pemburu itu ketawa dan ketawa. Hinggalah pemburu itu membuka penutup balang kaca lalu berkata:
“Inilah pertama kali aku mendengar seekor kupu-kupu yang bijaksana berkata-kata dan sebagai balasannya kau kubebaskan!”
Bukan kepalang gembiranya kupu-kupu itu. Bagai banduan mendapat sepotong langit biru ia menghirup udara bebas semahu-mahu. Sewaktu kupu-kupu itu melingas di udara bebas sebutir peluru menembusi tubuhnya dan segala-galanya seperti lampu yang suisnya dimatikan.
Sepekan peristiwa itu berlalu penduduk Taman Perumahan A menyaksikan kemunculan kupu-kupu bersinar-sinar di langit malam seperti mahu bertutur sesuatu, tetapi tiada seorang pun dapat memahaminya. Tiga hari kemudian, hujan pun jenuh dan tanpa akar mengejapi tanih, air menjadi peluru mendambrak bumi yang gondol lalu menghasut bahan regolit melungsur cerun dan tebing menimpa ke Taman Perumahan A. Sudahnya mayat dua beranak ditemui saling berdakapan dalam suasana yang pilu. Teori bencana pun muncul daripada faktor manusia sehinggalah kepada faktor tanah bersifat granit yang mudah peroi dan menyimpan air sebagai puncanya.
Namun, tiada sesiapa pun tahu perihal seekor kupu-kupu yang ditembusi peluru sepertimana tiada sesiapa pun tahu siapakah pemburu itu!

*Telah terkirim di beberapa majalah dan akhbar sejak kejadian tanah runtuh tahun lepas di KL. Aku kirim lagi ke Berita Harian utk peristiwa tanah runtuh ini. Dan tema hampir serupa juga untuk Mingguan Malaysia dengan Cerpen Hujan, Tanah dan Kalbu. Mungkin minggu depan kedua-duanya naik. Kalau tidak aku akan siarkan disini. Selamat menelaah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan