Oleh Muhammad Ali Atan
KALI ini Dia datang dengan menyuguhkan Hikayat Abdullah Munsyi, Revolusi Mental dan Mitos Melayu Malas terdampar di depan mataku, tetapi buku Mitos Peribumi Malas lebih menarik minatku.
+ Secara jujurnya aku lebih suka berpegang pada buku tulisan Syed Hussein Al-Attas ini daripada buku-buku lain yang kau bawa kepadaku.
- Aku tidak berapa menyetujui buku itu. Ia seolah-olah membela Melayu yang pemalas.+ Kau sudah membacanya?
- Kutemuinya setelah kutelaah habis-habisan buku-buku ini dan kufikir untuk lebih adil, kubawakan juga buku ini kepadamu.
+ Aku tahu kau seorang Melayu yang rasional dan bijak. Tapi jika kau hendak berpegang kepada Revolusi Mental, pada ketika ini aku sesungguhnya akan menolak.Dia hanya tersenyum mendengar kataku. Lantas diambilnya Revolusi Mental dan menyelak-nyelaknya. Kutahu sebentar lagi perdebatan akan bersemarak.
- Pada halaman 69 dapat kau baca pandangan dunia Melayu melalui peribahasanya. Tentang nasib - ‘rezeki secupak tidak boleh jadi segantang’ dan ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’; tentang kekayaan - ‘orang kaya jangan di angan, orang miskin jangan dihina’; tentang usaha - ‘hangat-hangat tahi ayam’; tentang dunia- ‘dunia ini pinjam-pinjaman ke akhirat juga sudahnya’; tentang berjimat - ‘biar papa asal bergaya’; tentang masa - ‘janji Melayu’; semuanya menggambarkan citra Melayu yang negatif.
+ Kau perlu tahu penulis Revolusi Mental dipengaruhi oleh pemikiran kapitalisme kolonial. Adakah kau suka diperas ugut bekerja untuk memberi keuntungan kepada si penjajah tanah airmu?
- Sudah tentu tidak. Tapi aku bukanlah menyentuh hal itu. Jangan melarikan diri daripada masalah sikap Melayu yang kuajukan sebelum ini.
+ Sesungguhnya aku sependapat dengan Syed Hussein Al-Attas bahawa Revolusi Mental mengeksploitasi sejumlah peribahasa untuk menggambarkan sikap keseluruhan bangsa Melayu. Kesalahan besar Revolusi Mental ialah penulis tidak menggolongkan pepatah tersebut mengikut jenis-jenisnya. Walaupun samar tapi dengan kebijaksanaan, kita dapat melihat jenis pepatah berunsur nasihat yang merupakan anjuran sesuatu yang baik dan harus dilaksanakan, larangan atau gambaran. Pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’ berupa suatu larangan, bukan suatu yang dianjurkan. Mengatakan pepatah ‘rezeki secupak tidak boleh jadi segantang’ menggambarkan sikap Melayu yang fatalis yakni berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa berusaha adalah tafsiran nihil dan pincang. Orang Melayu bukan fatalis, tetapi mereka mempunyai kehendak yang merdeka. Mereka percaya tindakan manusia akan mempengaruhi nasib manusia. Nah! Ada pepatah Melayu yang membuktikan nilai usaha dan tindakan manusia. ‘Tanam lalang tidak akan tumbuh padi; ‘malu berdayung perahu hanyut’ dan ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’ Takdir bagi masyarakat Melayu adalah ketentuan Tuhan sejak azali lagi.
- Hujahmu seperti kubu yang akan melindungi orang yang benar dan orang yang bersalah sekali gus. Tidakkah kau berasa bersalah melindungi orang yang bersalah?
+ Seperti kau juga. Hujahmu akan menjadi hujah oportunis yang mahu menangguk di air keruh semata-mata.
- Abdullah Munsyi telah menyebut Melayu itu pemalas, pengotor ...
+ Sudahlah! Aku sudah membaca Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan itu. Pandangannya tercipta daripada pemerhatian yang terhad. Tidak mewakili yang terbanyak. Lagipun dia bekerja di bawah kolonial Inggeris yang menjajah Tanah Melayu ketika itu.
- Nyahkan dia bekerja dengan sesiapa.
+ Itulah yang kau silap. Di mata kolonial Melayu pemalas kerana keengganannya membanting tulang untuk mereka. Hei! hati-hati sedikit dengan hujahmu.
- Sabar sahabat. Bukankah kau juga yang mengatakan Melayu itu seorang yang rasional.
+ Tapi bukan rasionalisme. Mempercayai setiap sesuatu berasal daripada satu punca dan berakhir bergerak atas landasan logik adalah pemikirannya yang sebenar. Bukan rasionalis Barat yang menolak kewujudan Tuhan dan alam ghaib.Jeda. Detik ke detik kegelapan malam bertambah likat. Namun mataku seterang matahari. Hati dan mindaku adalah paduan yang berhujah dengan emosi yang rasional. Ah! Sudahlah mengkritik Melayu. Empat ratus tahun lebih terjajah bukanlah suatu masa yang singkat, hingga minda Melayu disetkan oleh penjajah dengan premis hendak membuat sebatang jarum pun tidak mampu, inikan pula memerintah sebuah negara!
Hebatnya retorik penjajah mengecilkan jiwa Melayu. Kini tanah air ini telah merdeka. Untuk mengubah minda yang terjajah memerlukan kebijaksanaan yang amat padu dan dalam. Usaha yang bukan separuh jalan. Amat zalim melemparkan celaan berterusan tanpa memberikan masa untuk tumbuh semula.
- Mengetepikan Revolusi Mental adalah mengetepikan keintelektualan bangsamu sendiri.Aku merengus keras. Kucapai jua Revolusi Mental yang terkapar di atas meja sedari tadi. Sesekali aku tidak mengetepikannya. Malahan buku ini telah lama kubaca dahulu. Kukagumi misinya. Tapi kubenci sesetengah politikus yang mengkritik Melayu dengan lantang, begitu begini. Sudah cukup beramanahkah mereka menyampaikan segala hak kepada yang berhak untuk diterima oleh sekalian rakyat jelata atau....
- Bahagian III mengajak Melayu mengubah sikap; berfikiran kritis, bersikap realistik, bersikap positif, berkesungguhan, takdir dan berusaha, percayakan diri sendiri, memberi dan menerima, waktu dan tugas dan disiplin sebagai punca kekuatan. Inilah antara saranan yang masih belum diamalkan oleh bangsa Melayu.
+ Hei! Kau tahukah betapa kelirunya Revolusi Mental dalam hal-hal tertentu?- Bagiku kau yang keliru dan beremosional.
+ Heh, bagiku emosi yang rasional tidak menjadi salahnya sahabat. Kaulihat penulis Revolusi Mental dengan mudah sahaja menyimpulkan Melayu pada zaman dahulu, tidak mengenal ‘disiplin’. Buktinya tidak ada kata untuk ‘disiplin’. Nihilnya pandangan yang disokong oleh bukti senipis sehelai kertas. Ada kata ‘patuh’ untuk menunjukkan disiplin orang Melayu. Hei, tidak akan berdirinya kerajaan di Tanah Melayu itu tanpa sebuah organisasi politik dan tentera yang ‘berdisiplin’. Seperti kata Syed Hussein Al-Attas betapa menakjubkan Revolusi Mental mengabaikan seluruh faktor ini dalam kajiannya tentang displin Melayu.
- Kau bersikap terlalu defensif sehingga sukar untuk aku berkata-kata lagi.
+ Kau pula bersikap terlalu ofensif seolah-olah tiada baiknya umat Melayu yang dijadikan oleh Tuhan di atas muka bumi-Nya ini.Dia terdiam. Antara waktu yang bergerak aku kehilangannya berhari-hari. Kehilangan itu adalah suatu yang kuharapkan mengundang ketenteraman di hatiku. Masa-masaku digunakan untuk pelajaranku. Kembaraku dari rak ke rak buku di khutubkhanah menemukan aku dengan variasi buku pelbagai bidang yang sangat menguja daya intelekku. Keagungan bangsa Melayu yang terakam lewat sejarah dan hikayat-hikayat begitu menakjubkan. Bertambah-tambahlah lagi kekagumanku terhadap bangsa Melayu.
Kehebatannya meliputi tamadun zahir, tamadun minda dan tamadun rohani.Sehingga suatu hari kulihat kawan-kawanku berborak dan ketawa dengan senang hati. Gelak tawa dan bual itu mencubit sukmaku, terutama apabila salah seorang daripada kawanku mengajak aku melepak dengan mereka, walhal waktu kuliah yang seterusnya akan bermula lima minit lagi. Aku menyertai mereka juga walau hatiku berat.
Ah! Tiba-tiba pula kuterlihat Dia di suatu sudut memandangku dengan sinis. Mujur Dia tidak bersuara sepatahpun kala itu. Dari situ pandanganku tersambar pula pada suatu babak. Peniaga yang meminta wang kecil daripada pelanggannya. Apabila pelanggannya menggeleng, merungutlah dia tidak tentu biji butirnya. Peniaga itu menyuruh pelanggannya membayar pada keesokan harinya sahaja, sambil memperingatkannya untuk membawa wang kecil pada masa depan.
Aku merengus hampa. Aku terpandangnya sekali lagi. Menggeleng kepala dia memandangku. Semuanya itu cepat mengundang babak demi babak yang sangat kubenci untuk mengingatinya. Tentang kawan-kawan yang meminta tugasanku untuk dimodifikasi pada hari-hari akhir penyerahan tugasan. Tentang perang mulutku di sebuah pejabat awam kerana karenah birokrasinya. Tentang keborosan generasi muda yang obses dengan gaya. Tentang cinta yang ditafsirkan dengan sewenang-wenangnya sehingga lahir anak tanpa bapa. Tentang pemikiran cendekiawan yang seperti pucuk dipulas ribut, akar terpongkah habis. Tentang, tentang, tentang....
Ah!!! Semuanya bergumul pada saat-saat aku memerlukan sedikit nafas untuk bertenang dan tidur nyenyak pada malam hari. Dan waktu-waktu beginilah Dia datang kepadaku. - Apakah yang membuatkan kau berasa gelisah?
+Er... mengapa terjadi begitu....
- Mahu kautolak lagi hujahku tadi wahai sahabat?
+ Hujah apa? Membela Revolusi Mental itu. Setiap pandangan yang salah tentang Melayu itu selamanya kutentang.
- Bagaimana pula dengan ‘realiti’?
+ Apa maksud kau?
- Inilah realitinya. Hujahmu itu adalah tentang sesuatu yang sangat ideal. Pendirianmu adalah pendirian yang ideal, tetapi pandanganku adalah pandangan yang berdasarkan realiti yang berlaku.
Lidahku terkunci. Kufahami apa yang dikatakan sebagai realiti dan ideal itu. Kutahu yang kupertahankan adalah identiti peribadi Melayu yang ideal. Dengan keperibadian inilah berdirinya tamadun yang gemilang ditandai Kesultanan Melayu Melaka dan dituruti kerajaan Melayu lainnya. Dengan meninggalkan keperibadian ideal inilah, segala-galanya kian luntur dan hilang. Lebih teruk lagi apabila kolonial bertapak meranapkan lagi keperibadian Melayu yang ideal.
+ Maaf sahabat. Walaupun kusedari hal itu, aku memutuskan mencela terus-terusan bangsaku ini tidak lagi dapat kuterima melainkan dengan tindakan untuk merekontruksinya semula.
- Aku juga memohon maaf kepadamu kerana kini telah kita sedari hakikat yang sebenarnya.
+ Kau tidak tahu hakikat pendirianku. Ia adalah rahsia hatiku.
- Rahsiamu bukanlah rahsia padaku kerana kita mempunyai dua pandangan yang berbeza, tapi lahir daripada satu jiwa yang sama.Selesai kata-katanya itu, Dia ghaib daripada pandanganku. Aku tidak tahu ke manakah dia pergi. Dia tidak muncul-muncul lagi untuk berdebat denganku. Yang pasti kurasakan, jiwaku tenang dan penuh bijaksana. Pandangannya kutimbang, lalu kuimbang dengan pandanganku. Ia adalah bentuk-bentuk pemikiran yang tidak boleh dipisahkan. Pincanglah neraca keadilan dan meletuslah pertelingkahan demi pertelingkahan yang merugikan Melayu itu, jika ia dipisahkan. Bila ada kawanku seorang Melayu mahu mengkritik Melayu, segera kukatakan padanya.
+ Fahamilah dahulu Melayu yang ideal, sebelum mengkritik. Fahamilah realiti yang berlaku. Cantumkanlah ia untuk mencari penyelesaian, bukannya sekadar berkata-kata yang menjatuhkan maruah Melayu!
Dan kurasakan aku umpama sekuntum Melayu yang berkembang mekar di taman ibunda. Mataharinya adalah semangatku. Cahaya yang tak kunjung padam menyirami tanah air dan langit leluhurku!
Biodata Penulis: Muhammad Ali Atan, pendatang baru dunia penulisan kreatif tanah air. Penuntut Tahun 3, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya ini pernah menerima bimbingan penulisan kreatif, teori dan amali daripada beberapa penulis tersohor Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan