Oleh Salbiah Ani
DUA perasaan menguasai fikiran dengan tujuh keputusan hasil daripada berakhirnya Persidangan Meja Bulat, Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) iaitu pertama secara peribadi penulis sedih kerana tiada kata muktamad mengenainya dan lebih tampil sebagai keputusan cacamarba. Dapat diduga cadangan agar PPSMI diteruskan tentunya datang daripada kelompok yang tidak melihat kepentingan bahasa Melayu tampil sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai bidang dan gagal menerobosi aspek budaya mahupun jati diri yang bersekali dengan bahasa itu. Kelompok ini tentunya tidak kisah hatta jika bahasa Melayu punah seperti dibimbangi pejuang bahasa Melayu yang menolak PPSMI kerana ia dilihat sebagai wadah rasmi pembunuh bahasa rasmi Malaysia secara bersistematik dalam jangka panjang.
Mereka juga sanggup melihat majoriti pelajar Melayu bukan dari kelompok menengah atas yang majoriti jumlahnya di negara ini, kecundang dalam kedua-dua subjek berkenaan, hatta meskipun hanya pada peringkat UPSR kerana gagal memahami konsep dan formula berpunca daripada masalah penguasaan bahasa. Kedua penulis gembira apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang membisu sejak 2003 berhubung isu ini, akhirnya bersuara selepas arah perjuangannya dipersoalkan dalam Godam bertarikh 11 Disember lalu, dengan memberi kenyataan kepada akhbar pesaing pada 13 Disember dan terkini pada 22 Disember, dalam Berita Harian. Bisik nakal seorang teman berhubung perkara ini kepada penulis, “Salbiah tahniah berjaya menyedar pemimpin tertinggi Gapena bangun daripada tidur yang lena. Pemimpinnya baru kebah daripada sakit gigi dan sebab itu kini bersuara. Kita tunggu dan lihat apa kesudahan daripada kenyataannya.”
Hendaknya Gapena bersungguh dalam mengotakan janji untuk menentang PPSMI habis-habisan dan akan menyaman kerajaan sekiranya PPSMI diteruskan, meskipun penulis mempersoalkan mengapa ia hanya disuarakan selepas enam tahun pelaksanaan dasar terbabit, pandangan serupa dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Sudah pasti penulis dan semua persatuan penulis peringkat negeri yang bernaung di bawah Gapena tidak mahu ia sekadar kenyataan media selepas arah perjuangan gabungan terbabit dipersoalkan kerana kami semua mahu melihat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu berhasil.
Mantan Pengarah Urusan, Malaysian Airline System, Tan Sri Dr Abdul Aziz, sebelum ini ada menulis rencana yang memaklumkan pelaksanaan PPSMI bertentangan dengan Seksyen 17 (1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan Artikel 152 (1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan. Seorang lagi teman yang diajukan bagaimana cara untuk memastikan penolakan PPSMI mencapai matlamat memberi cadangan berikut, “Gapena perlu mengumpulkan semua Melayu yang tidak bersetuju dengan PPSMI untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran bagi menunjukkan kesungguhan mereka.
“Jika ini juga gagal memberi kesan terbaik maka Gapena dan kerabatnya perlu menimbangkan ‘Teori 20 Tahun’ iaitu 1946, 1969, 1987 dan 2008 yang sarat dengan pelbagai peristiwa tepu pengajaran, sebagai jalan terakhir menyedarkan pihak berkenaan betapa PPSMI pembunuh bahasa Melayu.
“Tetapi persoalannya, mampukah Gapena menggerakkan usaha massa sedemikian demi memastikan matlamat perjuangan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya mencapai matlamat kerana setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan apakah orang kuat dalam gabungan itu bersedia menjadi korban?” soal teman ini kepada penulis.
Ada benarnya juga cadangan teman ini memandangkan jika tindakan undang-undang yang digunakan ia mengambil proses berbelas tahun dan bila keputusan dicapai berkemungkinan sekali bahasa Melayu sudah pun pupus dalam sistem pendidikan Malaysia. Dari satu segi pula, pelaksanaan PPSMI selama ini juga mempamerkan betapa Malaysia bersikap bermuka-muka dalam hal bahasa Melayu dan tidak bersyukur dengan kedudukan yang sudah dicapainya selama ini melalui penawaran kursus khas bahasa Melayu di universiti luar negara seperti di China (satu), Jepun (satu) dan Korea (tiga).
Penulis diberitahu, kursus khas bahasa Melayu ditawarkan sekurang-kurangnya di lima universiti di Thailand dan di semua kolej Islam negara itu dan apakah senario terbaru, Program Sarjana Muda Sastera (Bahasa Melayu dan Kesusasteraan) di Universiti SIM, Singapura, tidak membuka akal budi pemimpin negara ini? Bahasa Indonesia yang sudah lama menikmati ‘pengiktirafan’ ini kerana diaspora di kalangan sarjana bahasa dan sastera mereka di samping faktor sejarah negara itu, terus memperkukuhkan kedudukan, tetapi Malaysia nampaknya memandang sepi kepada kejayaannya sendiri!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan