Sesuatu yang menyentuh hati aku ialah melihat gejala kerosakan akhlak yang kian membarah dalam masyarakat Melayu kita masa kini. Sehari aku menyelesaikannya. Terasa puas di hati. Berikut ialah Petikan Cerpen Abang yang kukirim ke majalah Tunas Cipta.
..................
Ayah dan mak sudah tiada lagi di mata abang. Abang tidak lagi memandang wajah mak dan ayah sewaktu bercakap sebaliknya wajah abang sangat ceria bila bersama kawan-kawannya di luar rumah. Tidak lama kemudian abang diberhentikan sekolah. Ayah hanya mengeluh panjang. Suara ayah sudah serak. Mak hanya tertunduk hampa. Menangis apabila sendirian. Selepas itu abang semakin ligat di luar. Entah ke mana. Celik mata saja abang sudah hilang. Selalu tidak pulang ke rumah. Apatah lagi apabila ayah melarang mak membuka pintu ketika abang pulang waktu dinihari. Tidurlah abang di luar rumah.
Hari itu Azira sungguh terkejut apabila menyedari separuh daripada wang dalam tabungnya sudah hilang. Azira tanya abang baik-baik. Mati-mati abang menyatakan dia tidak mengambilnya. Kemudian abang pun keluar daripada rumah. Malam itu juga ayah tunggu abang pulang. Sampai ayah tertidur di depan televisyen. Bila abang pulang ayah buka pintu. Sebaik sahaja abang masuk ke dalam rumah ayah goncang bahu abang. Ayah tampar muka abang. Abang tersandar ke dinding rumah. Abang seperti orang mabuk dan berkhayal. Bercakap entah apa-apa. Abang mengaku dia yang mengambil duit ayah dan duit Azira. Mak menangis memeluk Azira. Ayah mati akal. Lantas ditolaknya abang keluar rumah. Tidurlah abang di luar rumah lagi. Masa terus berlalu. Ayah dan mak tidak berdaya lagi mengawal abang melakukan apa sahaja yang dikehendakinya walau ia membinasakan diri abang sendiri...............
Tiada ulasan:
Catat Ulasan