Tiada apa yang harus dikesali. Semuanya sama sahaja. Mana-mana pun tidak menjanjikan. Semuanya terbuka hanya atas dasar peluang dan ruang. Peluang dan ruanglah yang perlu dicari sang penulis. Dulu, aku fikirkan 'lembah' yang baru aku jejaki ini semudah apa yang aku fikirkan. Namun ia sama sahaja dengan 'lembah' terdahulu yang aku singgah. Malah dalam beberapa segi. 'lembah' ini ternyata lebih sempit dan kelam. Aku hanya berpandukan dengan kawanan kelip-kelip dan sebatang lilin. Cahaya dari tubuh kelip-kelip hanyalah samar-samar dalam kegelapan sebuah 'lembah'. Manakala cahaya dari sebatang lilin menebar sekitar diriku. Tidak aku ketahui apa yang ada jauh sedikit di depanku. Apabila aku melaluinya, barulah aku ketahui betapa begitulah jalan bengkang bengkok dan lopak jalan sempit 'lembah' ini. Kini aku berangkat meninggalkan 'lembah' ini. Aku bukanlah tidka mahu kembali lagi. Sudah kulakarkan sedikit sebanyak pengalamanku selok belok jalan di 'lembah' ini. Melepasi sahaja 'lembah' itu, aku melihat ada jalan-jalan lain menuju ke lembah-lembah lain. Sedang termangu berfikir itu. seekor merpati menyampaikan surat kecil yang diikatkan di kakinya. Bulat mata sang merpati cerdik memandangku agar mengambil surat tersebut. Terkesima aku apabila membacakan isi kandungan surat tersebut. Aku mendapat peluang dan ruang di sebuah 'lembah' yang sebelum ini aku bergelumang dalamnya sampai 3 tahun. Aku pun mencari jalan pulang menuju ke lembah asal aku mendapatkan sesuatu dahulu. Kini aku telah tiba di 'lembah' terdahulu. Aku berdiri di ngarainya. Mataku menyeluruhi seluruh lembah itu. Sayup-sayap aku melihat memori lalu di lembah ini. Dan paling kuingati ada sebuah taman di lembah ini yang amat indah yang menjadi tempat aku mencurahkan segala-galanya. Aku kembali menatap surat kecil yang dibawakan sang merpati. Peluang dan ruang itu sungguh menggembirakan aku. Tempatnya ialah sebuah istana indah bersebelahan taman indah. Di istana itu selain aku dipertanggungjawabkan sebagai tukang kata dan fikir yang dibiayai sepenuhnya, aku juga bebas untuk bersiar-siar di taman indah memetik buah dan merenungfikir di tebing wadi yang mendamaikan. Sambil menukangi prosa. Nampaknya aku kembali lagi. Ke lembah ini walau dengan peluang dan ruang berbeza. Ia tetap sama. Kerana akulah yang memberikan roh kepada kata-kata. Semangat dan citanya. Akulah yang menciptakannya.Tuhan, berkatilah dan tunjukilah daku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan