Sesungguhnya pengalaman bermaulid kubro bersama alim ulamak ahlul bait dan wali-wali Allah merupakan suatu pengalaman kerohanian yang sungguh mulia dan merupakan suatu anugerah yang tidak terbandingkan. Kesannya dapat dirasai dengan hidupnya hati, tumbuh segar dan merimbunnya kasih terhadap Nabi Muhammad SAW sehingga membuak-buakkan kerinduan yang tidak terperi terhadap baginda. Ia suatu yang tidak terungkapkan. Terhalau segala makar, sifat-sifat keji pada diri dan juga lalai. Seiring dengan itu memperpucukkan kecintaan terhadap Allah, kerana tidak lengkap kasih seseorang hamba kepada Tuhan selagi tidak ada kasih terhadap nabi. Kasih terhadap nabi merupakan landasan kasih kepada Allah dan juga kasih Allah kepada hamba. Ia tidak boleh diketepikan sama sekali. Hal ini terkecuali bagi mereka yang gemar bersangka-sangka sahaja mereka mengasihi Allah dan menyintai Allah padahal kecintaan dan kasih itu hanyalah palsu semata-mata. Lebih malang lagi bagi mereka yang bersangka-sangka Allah mengasihani meraka sedangkan mereka tidak dikasihi Allah malah dimurkai oleh Allah. Semua ini dapat diatasi terutamanya sangka-sangka itu dengan jalan mengasihani nabi sehingga kasih akan nabi itu membuak-buak di hati dan melancarkan lidah berselawat ke atas nabi dengan setulus murni seharum kasturi syurgawi. Keikhlasan dan kasih sayang terhadap nabi bukanlah sesuatu yang mudah disebabkan nabi sudah lama wafat dan tidak bersama dengan kita pada umat terkemudian ini. Ia hanya boleh dirasai dengan hati yang suci bagi mereka yang Allah berikan hidayah dan taufik serta inayah untuk mengasihani nabi lewat ucapan selawat menyucikan hatinya dan memancar-mancarkan nurNya sehinggalah limpahan Nur Allah itu membentuk peribadinya sehingga menyerupai akhlak rasulullah pada zahirnya yakni syariatnya. Maknanya kita hanya dapat mencontohi rasulullah setelah hati kita dibersihkan Allah dan diisi dengan Nur Allah dan antara pembuka jalan kepada Nur Allah itu ialah dimasukkan kasih dan cinta serta rindu sebak berombak-ombak memukul dada terhadap rasulullah dengan sebegitu bening, tulus, suci dan kudus sehingga tiada boleh lagi diterangkan bagaimanakah ehwal itu dengan kata-kata lagi. Itulah cinta. Itulah kasih. Itulah sayang. Yang dibawa oleh selautan rahmat segunung maghfirah dan pandangan kelembutan Allah terhadap hambaNya. Mungkin itulah turutan kata-kata dan perkatan yang terdekat untuk menggambarkan hakikat selawat ke atas nabi dalam erti kata sebenar-benarnya zahir dan batin serta awal dan akhir.
Allhumma solli ala saidina muhammad, wa ala alihi wasohbihi wabarik wassalim!
Ya Rasulullah!
Ya Habiballah!
Maka berzikirlah kepada Allah tatkala ini. Nescaya bergemerlapanlah hati. Gilang gemilang. Maka berdoalah di pertengahannya dan dihujungnya. Kerana disitulah doa dimustajabkan Allah.
Allahuakhbar adada khalqih, waridha khalqih, wazinata arsyih, wamidada kalimatih!
Ertinya : Allah Maha Besar sebanyak makhlukNya, keridhaan diriNya, perhiasan arasyNya dan sepenuh-penuh kalimatNya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan