05 Mac 2009

Bahasa ibunda setaraf anjing kurap

Apabila Wawasan 2020 diumumkan oleh Tun Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri ketika itu, sebaik-baik sahaja Malaysia memasuki awal dekad 1990-an, tidak banyak perbahasan tentang konsep negara bangsa dan kemajuan dalam acuan sendiri dibahaskan. Jikalau pun ada mungkin dari sudut ekonomi dan dagang yang melibatkan mereka yang berkepentingan dalam bidang tersebut dan suara politik sahaja dan tidak banyak perbincangan dilakukan dalam konteks sains sosial.
Secara umumnnya bahasa Melayu memang berkembang pesat sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan serta beberapa fungsi lain sejak kemerdekaan 1957.
Namun demikian Laporan DBP 1997 menyebut:
Sungguhpun begitu, kajian yang dibuat menunjukkan bahawa bahasa kebangsaan belum dapat digunakan dengan meluas atau tidak memainkan peranan yang utama sebagai bahasa komunikasi bagi urusan komersil dan perdagangan dalam negeri, industri, sains dan teknologi serta urusan-urusan dalam negeri yang lain. Tempat bahasa Melayu itu telah diambil oleh bahasa-bahasa asing terutama sekali bahasa Inggeris. Malah kualiti bahasa Melayu merosot terutama apabila bahasa Melayu digunakan secara bercampur aduk dengan bahasa Inggeris.
Pencapaian menurut bidang, secara ringkas dapat disebutkan bahawa pencapaian pelaksanaannya sebagai bahasa negara dengan fungsi rasmi dan fungsi kebangsaannya. Keadaan bahasa melayu masih dalam kerendahan prestasi iaitu:
1.Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
2.Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang berkualiti tinggi dan bercitra Malaysia.
3.Belum tercapai sepenuhnya fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan kerana ada masalah di sektor institusi pendidikan swasta dan ikut menjalar ke institusi pendidikan awam.
3.Belum luas penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan keewangan.
4.Sangat rendah prestasi bahasa Melayu sebagai bahasa penyelidikan, penciptaan dan pembangunan sains dan teknologi.
5.Rendah penggunaan bahasa melayu dalam amalan industri dan bidang profesional.
Kesan daripada ini ialah bahasa Melayu hanya menjadi bahasa bazar yang hanya digunakan untuk membeli kueh mueh dan bahasa rojak. Bahasa Melayu bukan bahasa pembinaan tamadun lagi.
Pakar lingusitik seluruh dunia menyatakan sesuatu bahasa bakal pupus dengan 3 cara iaitu:
1.Kematian bahasa apabila penuturnya mati
2.Kehilangan bahasa apabila hilang kebolehan menggunakannya secara berkesan.
3.Peralihan bahasa apabila bahasa asing menggantikan bahasa ibunda dalam ekonomi, penyampaian dan pembinaan korpus ilmu, perdagangan dan perundangan menyebabkan bahasa ibunda setaraf anjing kurap.
Tanda-tanda kepupusan bahasa Melayu kian terasa saban hari apabila bahasa Melayu sudah terjejas fungsi rasmi dan fungsi bahasa kebangsaannya apabila sebahagian besar kehidupan rakyat bertukar kepada bahasa Inggeris. Ditambah dengan sikap orang Melayu yang tidak ambil kisah tentang bahasa ibunda sendiri kerana berfikiran seperti PANDIR iaitu hanya mementingkan keputusan A dalam matapelajaran serta sikap mempermain-mainkan bahasa kebangsaan menambah burukkan lagi ketenatan bahasa Melayu. Sikap ini lahir daripada pemikiran PANDIR orang-orang Melayu yang berfikiran cetek dan tidak mengenali tamadun bangsanya sendiri dalam erti kata sebenarnya-serta malas pula untuk membaca karya-karya intelektual hasilan cendikiawan pujangga Melayu. Carikkan kain kapan sediakan keranda dan luaskan lubang lahad untuk kita kebumikan bahasa sendiri.

1 ulasan:

  1. Sekadar 'tetap mempertahankan bahasa Melayu'. Dan inu tidak bermakna nak mendaulat dan memartabatkan bahasa Melayu, bahasa rasmi, bahasa kebangsaan negara Malaysia.

    BalasPadam