"Ambil kain mayat (batik) dan kain kapan dalam almari ini...,"kata Tok membuatkan aku terkedu.
********
Baru-baru ini aku balik kampung. Melepaskan rindu dan menatap wajah bayi Pak Usu yang diberi nama Nadaratul Wajihah yang berusia 10 hari. Kulitnya putih mengikut kulit ibu dan bapanya. Matanya sepet mengikut mata ibunya yang berbangsa Cina. Tali pusatnya masih belum gugur membuatkan Wajihah menangis tiap kali dititikkan iodin oleh Mak Ngah. Mak Usu tidak boleh banyak bergerak sangat apatah lagi duduk kerana kesan pembedahan masih muda. Tok dan Mak Ngahlah yang memujuk Wajihah bila Wajihah menangis. Dek kerana cuaca yang panas di kampung, kulit Wajihah meruam merah. Namun 'kuningnya' sudah berkurangan dan menghilang. Aku dapat melihat wajah Tok yang ceria dan gembira menatap Wajihah. Seorang lagi cucunya lahir ke dunia. Dapat dilihat oleh Tok ketika usianya menginjak 74 tahun tatkala sudah 6 tahun Tok Wan meninggalkan dunia yang fana ini. Dan tiap kali Tok memujuk Wajihah seringkali berhenti menangis. Apakan tidak. Ini adalah cucu Tok yang ke 15 termasuk aku. Arif benar Tok tentang menjaga budak. Walaupun demikian Tok sedikit hairan melihat tali pusat Wajihah masih belum gugur. Wajihah asyik tidur dan menangis selak bila terjaga. Matanya terkatup rapat seolah-olah tidak mahu menatap wajah dunia yang kini menjadi tempat tinggal baharu untuknya. Aku mencari jawapan dalam kesamaran sebelum petunjuk yang jelas dan pasti kuperolehi. Aku menerima ilham. Perlu diazankan sekali lagi. Pak Usu kurang yakin kepada saranan aku. Lantas meminggirkannya. Malam ke 12 aku bermimpi aku mendapatkan Wajihah yang sedang menangis lants aku azan ketelinga kanannya dengan suara yang merendah. Wajihah terus terdiam. Pagi itu aku mendapatkan Wajihah dan membisikkan kalimah azan ke telinganya. Sesekali tubuh Wajihah bergerak-gerak namun kelihatan wajahnya amat damai sekali menerima kalimah Allah dan Muhammad. Aku membacakan Al Fatihah dan beberapa ayat lazim yang lain. Tidak lupa selawat, zikir dan doa-doa mohon kebajikan kepada Wajihah. Dilahirkan pada hari Isnin ketika azan Isyak berkumandang. Dari perut ibu yang hafizah. Aku merasai secara naluriku bahawa Wajihah bukanlah gadis dan wanita murahan. Tetapi mutiara dalam limpahan selut dosa yang mengotori penghujung zaman dan usia dunia. Menjelang petang, tali pusat Wajihah gugur. 'Kuning' pada tubuhnya semakin kurang dan menghilang. Alhamdulillah. Wajihah, adalah nama bagi roh yang dititipkan Allah ke dalam jasad. Apabila tali pusat diputuskan maka putuslah hubungan ROH itu tadi dengan Allah secara langsung. Maka terperangkaplah ROH itu dalam jasad di alam fizikal yakni alam dunia/alam benda. 'Wajihah' tidak yakin untuk ke dunia ini. 'Wajihah' menangis kerana dunia ini tempat berkumpul segala noda dan dosa. Pertumpahan darah dan pengkhianatan. 'Wajihah' tidak mahu berputus hubungan langsung dengan Allah yang menciptakanNya terlebih dahulu daripada jasad. Namun ketentuan Allah mendahului. Wajihah pun menangis. Selain dikerumuni syaitan dan nafsu yang diapitkan sekali dalam satu jasad yang sama. Wajihah mula merasakan kehidupannya di alam dunia tidak sama lagi dengan kehidupannya di alam roh yang istimewa dan suci serta sentiasa menyaksikan Allah ta'ala. Itulah takdir Allah yang dengan kehendak Allah juga segala-galanya terjadi. Azan itu mengisi kalimah pemula dalam minda dan hati Wajihah. Namun jika yang mengazankannya tidak cukup mantap maka kurang berkesanlah-kesan kalimah yang diperdengarkan kepada hatinya. Kerana sebelum kalimah itu hendak sampai di hati, ia akan melalui rongga, telinga, saraf, otak sebelum sampai ke hati nurani.
*****************
Ketika mahu pulang dan bersalaman dengan Tok, Tok memeluk aku agak lama. Aku diterjah rasa pelik dan hairan. Tidak pernah Tok memeluk aku sejak aku dewasa. Pelukannya hari itu aku terima sebagai ungkapan kasih sayang Tok kepada aku. Namun aku tetap hairan dan tertanya-tanya. Apabila kami yakni aku dan mak uda (kami pulang ke kampung dan pulang ke KL semula bersama)berbual-bual setelah habis makan malam itu setelah tiba di Bricfields (Mak Uda tinggal di situ), aku membuka cerita. Mak Uda tersentak dan Mak Uda pun terbukalah cerita juga tanpa dapat merahsiakannya lagi.
Kata Tok..."Kalau ada orang dalam rumah ini yang mati...ambillah kain mayat (batik lepas) dan kain kapan dalam almari ini..."
Sewaktu Tok sakit teruk dahulu, aku berdoa kepada Allah agar Allah memanjangkan usia Tok agar Tok dapat menyaksikan aku tamat belajar di universiti dan menggenggam ijazah membuktikan kejayaan aku kepadanya.
Dan Allah telah mengkabulkannya. Malah Allah juga memberikan lebih daripada apa yang aku tidak minta. Bukan bermakna aku mahu Tok hidup setakat aku habis belajar sahaja. Bukan itu maksud aku. Maksud aku biar Tok dapat melihat kejayaan seorang cucunya yang telah dijagainya dan diteladaninya sejak aku berusia 6 bulan lagi sampai berjaya di puncak menara gading.
Allah memberikan lebih kepada aku. Ahamdulillah. Sekarang aku berharap pula agar Allah memanjangkan usia Tok sehingga Tok dapat melihat aku ke jinjing pelamin. Apakah aku sudah melampau kepada Allah ataupun apa?
Ya Allah, aku hanyalah hambaMu yang hina dina tiada apa-apa ini maka aku hanyalah berserah kepadamu seluruh jiwa ragaku. Aku tidak tahu doaku mungkin ada yang melebihi apa yang sepatutnya yang wajar ku pinta kerana itulah Engkau tidak menghadkan apa sahaja permohonan hambaMu terhadap Mu Ya Allah. Panjangkanlah usia dan kekalkan kesihatan Tok sehingga dia dapat melihat aku ke jinjing pelamin. Kerana Ya Allah, aku tidak dapat membalas sedikit pun jasanya memeliharanya dengan baik sejak kecil melainkan membuatkannnya gembira dan bahagia dengan kejayaan hidupku. Ya Allah Ya Awwal wal Akhir Ya Zahiru wal Bathinu.
Ya Allah ya rabbana
Istajib doa ana.
Wassallallah huala saidina Muhammad, wa ala alihi wasohbini wassalim.