10 Jun 2008

Contohi Peniaga LUAR!!!

KENAIKAN harga petrol sebanyak 78 sen seliter dan harga diesel sebanyak RM1 seliter amat tidak dijangkakan.Di muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 4 Jun 2008 terpampang bahawa minyak hanya akan dinaikkan pada bulan Ogos 2008, maka berita pengumuman kenaikan harga minyak pada lewat petang hari yang sama sungguh di luar jangkaan.Umumnya tidak boleh dinafikan harga pasaran minyak dunia naik mendadak. Nasihat Perdana Menteri agar rakyat mengubah cara hidup itu baik dan benar. Kita harus mengasimilasikan kehidupan agar terbiasa dengan ketiadaan elektrik dan gas. Penduduk yang tidak langsung merasai kesan adalah penduduk kampung di pedalaman. Mereka ini hanya menggunakan air perigi dan air sungai, hidup berbekalkan api pelita, bergerak menggunakan basikal dan berkomunikasi hanya dengan jiran-jiran terdekat. Kini penduduk bandar perlu berbelanja hanya perlu. Selain dengan kenaikan harga minyak pada hari ini, kerajaan akan menaikkan tarif elektrik pula pada 1 Julai. Pada beberapa bulan yang lepas, harga makanan ruji rakyat Malaysia iaitu beras telah dinaikkan. Semuanya telah meningkat dan peningkatan harga-harga barang komoditi lain dijangka turut meningkat.Beruntung di Malaysia, kerajaan tidak berhadapan dengan kerenah rakyat yang memeningkan. Di serata dunia, di Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Britain, Eropah, Indonesia dan lain-lain, rakyatnya melakukan mogok dan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak. Walaupun kita mengetahui tiada hasil akan perilaku sebegitu, namun ia akan memberi satu tekanan kepada kerajaan agar sentiasa memikirkan nasib rakyat kebanyakan.Tetapi di Malaysia, rakyat menyambut kenaikan harga minyak dengan beratur panjang di stesen-stesen minyak untuk memenuhi tangki-tangki kenderaan mereka. Kayalah pengusaha stesen minyak kelmarin. Dan hari ini semakin kayalah mereka.Dahulu, kerajaan sering kali membandingkan harga minyak tempatan dengan negara-negara jiran. Bahawa harga minyak tempatan jauh lebih murah dari harga minyak di negara-negara lain. Walaupun harga barang-barang mentah mereka lebih mahal namun harga barang siap (finished good) mereka jauh lebih murah dari Malaysia.Contohnya di Indonesia, memang benar harga petrol, gas dan tepung mereka lebih mahal dari Malaysia namun kebijaksanaan kerajaan mereka menyebabkan harga barang-barang diproses atau barang-barang siap mereka jauh lebih murah dari Malaysia seperti kereta, ubat gigi, makanan dalam tin, berus gigi, sabun mandi, meja, kerusi dan komputer.Ini menunjukkan walaupun harga petrol mereka mahal, tetapi ia diimbal balik dengan murahnya harga-harga barangan gunaan pengguna.Walhal di Malaysia, barangan siap sungguh mahal sekali, dicampur dengan kenaikan harga petrol kali ini dan kenaikan tarif elektrik pada Julai nanti, kehidupan di negara ini adalah mungkin di luar kemampuan rakyat jelata.Kerajaan diharap dapat prihatin dengan situasi yang menimpa rakyat kebanyakan. Majoriti rakyat Malaysia adalah bukan terdiri daripada jutawan, Datuk, Tan Sri, ahli-ahli korporat, putera-putera raja yang mungkin alah biasa tegal biasa dengan kenaikan 78 sen harga minyak. Majoriti rakyat Malaysia terdiri daripada mereka yang terpaksa mempunyai dua atau tiga kerja untuk menampung sara hidup keluarga mereka. Dengan kenaikan harga barang-barang mentah, diharap kerajaan berusaha menurunkan harga barang-barang siap agar dapat meringankan beban rakyat jelata.Semoga kerajaan tidak pula menggunakan ustaz-ustaz dan ulama-ulama untuk menerapkan pemikiran rakyat bahawa kita harus sentiasa bersyukur dan berserah dengan ketentuan Ilahi. Semoga agama jangan lagi digunakan untuk menyelamatkan diri sendiri.MOHAMAD RADZWILL ABDULLAHBandar Sri PermaisuriKuala Lumpur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan