Aku sedang membuat kajian tentang sejarah Johor Lama terutama berkaitan dengan Sultan Mahmud III dan Engku Puteri Raja Hamidah. Ini adalah projek penulisan terbaharu aku untuk Sayembara Menulis Novel Sejarah Yayasan Warisan Johor. Syukur adanya kawan aku yang sedang sambung Master 'meminjamkan' kad matriknya untuk meminjam buku-buku yang mahal dan amat sukar diperolehi di pasaran sekarang. Antaranya Silsilah Melayu Bugis, Tuhfat Al Nafis versi panjang, Peringatan Sejarah Johor (bahasa Melayu dan Belanda bercampur) dan buku-buku lain yang beredisi mewah terbitan khas. Aku buat semua ini kerana minat dan cita-cita aku untuk melunaskan janjiku menulis karya yang baik dan dibaca oleh setiap lapisan masyarakat. Menulis novel sejarah teruatama watak dan peristiwa sejarah yang belum dinovelkan atau dinaratifkan oleh orang lain merupakan suatu cabaran besar. Terutama dalam peristiwa yang kabur pengarang perlu melakukan penjelasan dengan mewujudkan peristiwa dan watak rekaan. Sejarah tidak semuanya lengkap menerangkan peristiwa dan watak sejarah. Jadi pendekatan tertentu wajib diambil pengarang seperti mewujudkan watak sampingan sebagai watak rekaan untuk mewujudkan perstiwa rekaan tetapi masih dalam iklim fakta dan sejarah yang benar. Kedua memerlukan panafsiran semula kerana sejarah biasanya kaku dan bias. Novel atau karya kreatif mesti hidup dan ada jiwa dengan wataknya hidup dan cergas beraksi dan berdialog. Justeru pemaparan batiniah watak melalui monolog dan deskritif pengarang terhadap watak sejarah seperti pemikiran, tanggapan dan emosinya mesti diwujudkan selagi ia tidak berlanggar dengan fakta dan sejarah yang sedia ada. Ketiga pengarang juga mesti melengkapkannya dengan latar sejarah dengan propsnya mestilah daripada sejarah sezaman bagi menghidupkan karya. Insya Allah dalam proses. Cerpen-cerpen sejarah terpaksa diperlahankan penulisannya ditambah pula bermula 2 Mei ini sesudah taklimat penulisan novel remaja PTS maka fasa penulisan projek Usahawan Cilik bakal bermula. Insya Allah. Justeru keutamaan diberikan kepada projek ini tanpa mengenepikan projek novel dan projek cerpen sejarah. Selain meneruskan pelajaran bahasa Inggerisku sebagai persedian mengambil ILETS. (Aku tidak kisah dengan surat daripada KPT yang belum diterima tetapi aku agak risau dengan penguasaan bahasa Inggerisku yang agak lemah, tetapi tidaklah terlalu bodoh untuk aku belajar bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik!)
*Semalam dan hari ini aku bertapa di perpusatakaan utama dengan buku yang dipinjam dan difotostat.
*Esok mula menyusun bahan yang diperolehi dan merangka jadual kerja agar lebih bersistematik. Semakin nyata kepada aku bahawa kerja penulisan ini adalah menjadi kerja yang amat profesional apabila ia membabitkan mata pencarian dan masa depan.
*Lusa barulah ke perpustakaan semula untuk meminjam buku (pusingan ke-3) terutama buku berkaitan sejarah johor yang khusus. Yang 1 dan 2 lebih kepada karya sastera sejarah. Kali ini karya sejarah negeri dan tokoh. Justeru kita ada dua kumpulan rujukan teks sebagai bahan perbandingan. Selain rujukan sumber lisan. Ini aku belum pastikan lagi kerana ia membabitkan mobiliti ke Johor dan bertemu orang-orang tua. Jadi diperlukan rancangan yang agak rapi, duit yang mencukupi dan masa yang tidak dapat dijangkakan.
*Ya Allah, mudahkanlah kerja-kerja penulisanku demi anak bangsa dan negaraku kerana mencari keredaaanMu Ya Allah.Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan