01 Julai 2009

Kumpulan Cerpen dan Novel Yang Sedang Saya Baca


Selain daripada puisi-puisi sufi penyair sufi seluruh dunia yg sedang saya baca, saya juga mengamati secara serius Kumpulan Cerpen Luigi Pirandello:Cerita-cerita dari Sisilia yang merupakan Pemenang Hadiah Nobel Sastera 1934. Saya juga tekuni novel hebat dari Nusantara iaitu Ziarah oleh Simatupang(gambar di atas tetapi itu edisi 2007 manakala saya beli edisi 1979) novel Retak oleh M.Balfas dan juga Di Perjalanan oleh Abu Sadiq. Ketiga-tiga novel ini merupakan novel idea-cerita idea-tidak terlalu bercerita semata-mata tetapi ada nilai dan pemikiran yang kadangkala absurd dan abstrak. Bahasanya mudah difahami. Amat bertenaga. Amat cerdas. Saya tertarik pada halaman pertama lagi pada novel Ziarah ini yang menaratifkan:


Juga pagi itu dia bangun dengan rasa hari itu dia bakal bertemu isterinya di salah satu tikungan. entah tikungan mana. Sedang isterinya telah lama mati entah berapa lama.


Lihat begitu bersahajanya ayat di atas tetapi begitu absurd bagi saya. Adakah watak dia bertemu watak isterinya yang telah lama mati di suatu tikungan? Satu hal lagi yang menarik ialah pengabaian aspek tatahabasa iaitu sesudah noktah huruf kecil digunakan bukannya huruf besar. Apakah ia suatu ketidaksengajaan atau penyimpangan yang sengaja dilakukan untuk memberikan kesan kepada pembaca?


Saya pasti akan menghabiskan novel-novel yang unik ini. Mungkin ada yang sudah membacanya apa kata baca sekali lagi kerana biasanya novel-novel yang baik menjanjikan pengalaman pembacaan yang berbeza-beza kedapatan nikmatnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan