31 Januari 2009

Motivasi Untuk Penulis Skrip

Salah satu kisah bagaimana dengan memberi 100% komitmen akan memberikan anda hasil lumayan yang bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit semata-mata tetapi juga untuk kepuasan diri dan impian anda.

Pada masa sekarang, Sylvester Stallone adalah seorang pelakon Hollywood yang paling popular dan antara aktor yang mendapat bayaran tertinggi iaitu hampir US$20 juta untuk satu filem sahaja!

Pada pendapat anda, adakah beliau dilahirkan dengan anugerah atau memiliki nasib yang baik?
Mari kita sama-sama renungi kisah perjalanan beliau dalam menjadi seorang aktor yang ternama sehingga kini.

Stallone memiliki keluarga yang sangat miskin sehinggakan Stallone dilahirkan oleh ibunya di pintu sekolah. Sejak kecil lagi , Stallone mengalami masalah pada mukanya yang akhirnya menyebabkan bahagian kanan mukanya menjadi cacat. Oleh sebab itu, Stallone terpaksa mengharungi hidupnya dengan pelbagai kekurangan tetapi beliau tetap mempunyai IMPIAN yang BESAR.

Impian beliau ialah untuk menjadi seorang pelakon dan menjadi ikon untuk memberi semangat dan inspirasi melalui filem-filem yang beliau lakonkan.

Langkah beliau bermula pada saat beliau memasuki kelas lakonan dan mula pergi untuk uji bakat. Walaubagaimanapun, dengan cara lakonannya yang kaku pada masa itu telah menyebabkan Stallone tidak diterima untuk menjadi pelakon. Namun, beliau tidak mudah berputus-asa. Beliau mengubah strategi dan mencubanya berkali-kali.

Malangnya, walaupun telah mencuba pelbagai strategi dan mencuba berkali-kali, impian Stallone masih juga tidak menjadi kenyataan. Sehinggakan isteri beliau menyarankan Stallone agar melupakan saja niat “bodoh” beliau untuk itu untuk menjadi pelakon dan pergi mencari kerja seperti orang lain.

Stallone mengalami hidup yang sangat tertekan yang memaksa beliau menjual anjingnya dengan harga $50 dan menggunakan duit itu untuk meneruskan hidup. Itu adalah saat paling menyedihkan dalam hidupnya kerana anjing beliau itulah yang menjadi teman sejatinya selama ini.

Pada satu hari, beliau melihat satu rancangan tinju antara juara tinju dunia, Muhammad Ali dengan Chuck Wepner, seorang peninju underdog yang semua orang fikir Muhammad Ali boleh kalahkan dalam masa tidak sampai pusingan ketiga. Tiada sesiapa pun menyangka keyakinan dan kesungguhan Chuck Wepner pada masa itu. Walaupun sudah melebihi pusingan ke-15, Wepner masih juga tidak mahu menyerah kalah.

Stallone teruja melihat kisah tersebut dan mendapat inspirasi melalui filem yang akan beliau akan tulis. Beliau mula menulis selama 84 jam tanpa henti sehingga skrip pertamanya itu siap. Beliau sangat gembira dengan hasilnya itu dan percaya skrip itu bakal merubah hidupnya. Nama manuskrip itu adalah “Rocky”.

Seperti biasa, tidak semua yang kita lakukan akan berjalan lancar dan sama seperti usaha baru Stallone kali ini. Beliau berusaha menjual skripnya di serata tempat namun tidak ada seorang pun yang meminati skrip beliau. Dan, seperti anda kenal watak ‘Rocky’, Stallone juga tidak mudah putus asa.

Pada suatu hari sebuah syarikat berminat untuk membeli skrip beliau dengan tawaran US$75,000 untuk skrip dan juga hak untuk membuat filem. Tawaran ini pastinya membuatkan Stallone gembira tetapi ingat, IMPIAN Stallone adalah untuk menjadi seorang pelakon bukan penulis!

Jadi, Stallone berbincang semula dengan syarikat tersebut. Beliau menambah syarat, beliau boleh menjual skrip tersebut tetapi watak utama untuk filem ‘Rocky’ mestilah diberikan kepadanya.

Lantas syarikat tersebut tidak bersetuju dan menyatakan beliau hanyalah seorang penulis bukannya pelakon. Stallone masih juga tidak berganjak dengan keputusan beliau dan enggan menjual skripnya jika beliau tidak diambil berlakon untuk filem itu. Syarikat tersebut kemudiannya menambah tawaran untuk skrip Stallone sehingga US$ 255,000 dan US$1 juta, tetapi Stallone masih juga yakin yang watak ‘Rocky’ dalam filem tersebut hanya layak dilakonkan olehnya dan bukan orang lain.

Akhirnya, syarikat tersebut bersetuju tetapi mereka meletakkan syarat filem tersebut hanya dibuat dengan budget kurang dari 1 juta dan Stallone hanya akan mendapat US$35,000 untuk upah penulisan dan lakonannya. Walaubagaimanapun, Stallone masih mendapat peratus keuntungan melalui royalti jika filem tersebut memberi pulangan kepada mereka. Stallone bersetuju dengan syarat tersebut tanpa berfikir panjang lagi.

Perkara pertama yang Stallone lakukan selepas mendapat wangnya adalah membeli semula anjing yang dijualnya dahulu. Beliau berjumpa dengan orang yang membeli anjingnya dan membuat tawaran US$100. Lelaki itu enggan menerima tawaran Stallone dengan alasan beliau tidak berminat dengan tawaran itu. Stallone menambah lagi tawarannya sehingga US$1000 namun lelaki itu masih juga enggan menjual anjing itu. Lelaki itu berkata “ tidak ada satu jumlah wang yang boleh membeli anjing ini daripada saya”.

Mungkin pada ketika ini, ramai yang akan mula berputus asa tetapi bukan Stallone. Beliau percaya dengan komitmen, beliau boleh mendapatkan apa sahaja yang beliau mahu. Akhirnya beliau menawarkan US$15,000 untuk membeli anjingnya. Stallone mendapat anjingnya semula . Beliau juga menambah tawarannya dengan memberi sebahagian watak untuk filemnya kepada lelaki itu.

Apabila filem ‘Rocky’ dilancarkan, jumlah keuntungan melalui filem itu mencecah US$171 million dan telah dinobatkan sebanyak 10 anugerah akademi termasuklah lakonan terbaik dan juga Oscar for Best Picture and Director.

Stallone dengan pantasnya melonjakkan nama sebagai aktor dalam kelasnya tersendiri. Beliau menjadi sangat popular. Hasil daripada kejayaan ini, Stallone mendapat lebih banyak tawaran lakonan antaranya untuk filem First Blood, Rambo dan filem sekuel Rocky.
Stallone percaya, dengan memberi 100% komitmen, pasti ada jalan untuk mendapatkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan