29 Disember 2008
Sekuntum Melayu di Taman Ibunda
KALI ini Dia datang dengan menyuguhkan Hikayat Abdullah Munsyi, Revolusi Mental dan Mitos Melayu Malas terdampar di depan mataku, tetapi buku Mitos Peribumi Malas lebih menarik minatku.
+ Secara jujurnya aku lebih suka berpegang pada buku tulisan Syed Hussein Al-Attas ini daripada buku-buku lain yang kau bawa kepadaku.
- Aku tidak berapa menyetujui buku itu. Ia seolah-olah membela Melayu yang pemalas.+ Kau sudah membacanya?
- Kutemuinya setelah kutelaah habis-habisan buku-buku ini dan kufikir untuk lebih adil, kubawakan juga buku ini kepadamu.
+ Aku tahu kau seorang Melayu yang rasional dan bijak. Tapi jika kau hendak berpegang kepada Revolusi Mental, pada ketika ini aku sesungguhnya akan menolak.Dia hanya tersenyum mendengar kataku. Lantas diambilnya Revolusi Mental dan menyelak-nyelaknya. Kutahu sebentar lagi perdebatan akan bersemarak.
- Pada halaman 69 dapat kau baca pandangan dunia Melayu melalui peribahasanya. Tentang nasib - ‘rezeki secupak tidak boleh jadi segantang’ dan ‘untung sabut timbul, untung batu tenggelam’; tentang kekayaan - ‘orang kaya jangan di angan, orang miskin jangan dihina’; tentang usaha - ‘hangat-hangat tahi ayam’; tentang dunia- ‘dunia ini pinjam-pinjaman ke akhirat juga sudahnya’; tentang berjimat - ‘biar papa asal bergaya’; tentang masa - ‘janji Melayu’; semuanya menggambarkan citra Melayu yang negatif.
+ Kau perlu tahu penulis Revolusi Mental dipengaruhi oleh pemikiran kapitalisme kolonial. Adakah kau suka diperas ugut bekerja untuk memberi keuntungan kepada si penjajah tanah airmu?
- Sudah tentu tidak. Tapi aku bukanlah menyentuh hal itu. Jangan melarikan diri daripada masalah sikap Melayu yang kuajukan sebelum ini.
+ Sesungguhnya aku sependapat dengan Syed Hussein Al-Attas bahawa Revolusi Mental mengeksploitasi sejumlah peribahasa untuk menggambarkan sikap keseluruhan bangsa Melayu. Kesalahan besar Revolusi Mental ialah penulis tidak menggolongkan pepatah tersebut mengikut jenis-jenisnya. Walaupun samar tapi dengan kebijaksanaan, kita dapat melihat jenis pepatah berunsur nasihat yang merupakan anjuran sesuatu yang baik dan harus dilaksanakan, larangan atau gambaran. Pepatah ‘hangat-hangat tahi ayam’ berupa suatu larangan, bukan suatu yang dianjurkan. Mengatakan pepatah ‘rezeki secupak tidak boleh jadi segantang’ menggambarkan sikap Melayu yang fatalis yakni berserah bulat-bulat kepada takdir tanpa berusaha adalah tafsiran nihil dan pincang. Orang Melayu bukan fatalis, tetapi mereka mempunyai kehendak yang merdeka. Mereka percaya tindakan manusia akan mempengaruhi nasib manusia. Nah! Ada pepatah Melayu yang membuktikan nilai usaha dan tindakan manusia. ‘Tanam lalang tidak akan tumbuh padi; ‘malu berdayung perahu hanyut’ dan ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.’ Takdir bagi masyarakat Melayu adalah ketentuan Tuhan sejak azali lagi.
- Hujahmu seperti kubu yang akan melindungi orang yang benar dan orang yang bersalah sekali gus. Tidakkah kau berasa bersalah melindungi orang yang bersalah?
+ Seperti kau juga. Hujahmu akan menjadi hujah oportunis yang mahu menangguk di air keruh semata-mata.
- Abdullah Munsyi telah menyebut Melayu itu pemalas, pengotor ...
+ Sudahlah! Aku sudah membaca Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan itu. Pandangannya tercipta daripada pemerhatian yang terhad. Tidak mewakili yang terbanyak. Lagipun dia bekerja di bawah kolonial Inggeris yang menjajah Tanah Melayu ketika itu.
- Nyahkan dia bekerja dengan sesiapa.
+ Itulah yang kau silap. Di mata kolonial Melayu pemalas kerana keengganannya membanting tulang untuk mereka. Hei! hati-hati sedikit dengan hujahmu.
- Sabar sahabat. Bukankah kau juga yang mengatakan Melayu itu seorang yang rasional.
+ Tapi bukan rasionalisme. Mempercayai setiap sesuatu berasal daripada satu punca dan berakhir bergerak atas landasan logik adalah pemikirannya yang sebenar. Bukan rasionalis Barat yang menolak kewujudan Tuhan dan alam ghaib.Jeda. Detik ke detik kegelapan malam bertambah likat. Namun mataku seterang matahari. Hati dan mindaku adalah paduan yang berhujah dengan emosi yang rasional. Ah! Sudahlah mengkritik Melayu. Empat ratus tahun lebih terjajah bukanlah suatu masa yang singkat, hingga minda Melayu disetkan oleh penjajah dengan premis hendak membuat sebatang jarum pun tidak mampu, inikan pula memerintah sebuah negara!
Hebatnya retorik penjajah mengecilkan jiwa Melayu. Kini tanah air ini telah merdeka. Untuk mengubah minda yang terjajah memerlukan kebijaksanaan yang amat padu dan dalam. Usaha yang bukan separuh jalan. Amat zalim melemparkan celaan berterusan tanpa memberikan masa untuk tumbuh semula.
- Mengetepikan Revolusi Mental adalah mengetepikan keintelektualan bangsamu sendiri.Aku merengus keras. Kucapai jua Revolusi Mental yang terkapar di atas meja sedari tadi. Sesekali aku tidak mengetepikannya. Malahan buku ini telah lama kubaca dahulu. Kukagumi misinya. Tapi kubenci sesetengah politikus yang mengkritik Melayu dengan lantang, begitu begini. Sudah cukup beramanahkah mereka menyampaikan segala hak kepada yang berhak untuk diterima oleh sekalian rakyat jelata atau....
- Bahagian III mengajak Melayu mengubah sikap; berfikiran kritis, bersikap realistik, bersikap positif, berkesungguhan, takdir dan berusaha, percayakan diri sendiri, memberi dan menerima, waktu dan tugas dan disiplin sebagai punca kekuatan. Inilah antara saranan yang masih belum diamalkan oleh bangsa Melayu.
+ Hei! Kau tahukah betapa kelirunya Revolusi Mental dalam hal-hal tertentu?- Bagiku kau yang keliru dan beremosional.
+ Heh, bagiku emosi yang rasional tidak menjadi salahnya sahabat. Kaulihat penulis Revolusi Mental dengan mudah sahaja menyimpulkan Melayu pada zaman dahulu, tidak mengenal ‘disiplin’. Buktinya tidak ada kata untuk ‘disiplin’. Nihilnya pandangan yang disokong oleh bukti senipis sehelai kertas. Ada kata ‘patuh’ untuk menunjukkan disiplin orang Melayu. Hei, tidak akan berdirinya kerajaan di Tanah Melayu itu tanpa sebuah organisasi politik dan tentera yang ‘berdisiplin’. Seperti kata Syed Hussein Al-Attas betapa menakjubkan Revolusi Mental mengabaikan seluruh faktor ini dalam kajiannya tentang displin Melayu.
- Kau bersikap terlalu defensif sehingga sukar untuk aku berkata-kata lagi.
+ Kau pula bersikap terlalu ofensif seolah-olah tiada baiknya umat Melayu yang dijadikan oleh Tuhan di atas muka bumi-Nya ini.Dia terdiam. Antara waktu yang bergerak aku kehilangannya berhari-hari. Kehilangan itu adalah suatu yang kuharapkan mengundang ketenteraman di hatiku. Masa-masaku digunakan untuk pelajaranku. Kembaraku dari rak ke rak buku di khutubkhanah menemukan aku dengan variasi buku pelbagai bidang yang sangat menguja daya intelekku. Keagungan bangsa Melayu yang terakam lewat sejarah dan hikayat-hikayat begitu menakjubkan. Bertambah-tambahlah lagi kekagumanku terhadap bangsa Melayu.
Kehebatannya meliputi tamadun zahir, tamadun minda dan tamadun rohani.Sehingga suatu hari kulihat kawan-kawanku berborak dan ketawa dengan senang hati. Gelak tawa dan bual itu mencubit sukmaku, terutama apabila salah seorang daripada kawanku mengajak aku melepak dengan mereka, walhal waktu kuliah yang seterusnya akan bermula lima minit lagi. Aku menyertai mereka juga walau hatiku berat.
Ah! Tiba-tiba pula kuterlihat Dia di suatu sudut memandangku dengan sinis. Mujur Dia tidak bersuara sepatahpun kala itu. Dari situ pandanganku tersambar pula pada suatu babak. Peniaga yang meminta wang kecil daripada pelanggannya. Apabila pelanggannya menggeleng, merungutlah dia tidak tentu biji butirnya. Peniaga itu menyuruh pelanggannya membayar pada keesokan harinya sahaja, sambil memperingatkannya untuk membawa wang kecil pada masa depan.
Aku merengus hampa. Aku terpandangnya sekali lagi. Menggeleng kepala dia memandangku. Semuanya itu cepat mengundang babak demi babak yang sangat kubenci untuk mengingatinya. Tentang kawan-kawan yang meminta tugasanku untuk dimodifikasi pada hari-hari akhir penyerahan tugasan. Tentang perang mulutku di sebuah pejabat awam kerana karenah birokrasinya. Tentang keborosan generasi muda yang obses dengan gaya. Tentang cinta yang ditafsirkan dengan sewenang-wenangnya sehingga lahir anak tanpa bapa. Tentang pemikiran cendekiawan yang seperti pucuk dipulas ribut, akar terpongkah habis. Tentang, tentang, tentang....
Ah!!! Semuanya bergumul pada saat-saat aku memerlukan sedikit nafas untuk bertenang dan tidur nyenyak pada malam hari. Dan waktu-waktu beginilah Dia datang kepadaku. - Apakah yang membuatkan kau berasa gelisah?
+Er... mengapa terjadi begitu....
- Mahu kautolak lagi hujahku tadi wahai sahabat?
+ Hujah apa? Membela Revolusi Mental itu. Setiap pandangan yang salah tentang Melayu itu selamanya kutentang.
- Bagaimana pula dengan ‘realiti’?
+ Apa maksud kau?
- Inilah realitinya. Hujahmu itu adalah tentang sesuatu yang sangat ideal. Pendirianmu adalah pendirian yang ideal, tetapi pandanganku adalah pandangan yang berdasarkan realiti yang berlaku.
Lidahku terkunci. Kufahami apa yang dikatakan sebagai realiti dan ideal itu. Kutahu yang kupertahankan adalah identiti peribadi Melayu yang ideal. Dengan keperibadian inilah berdirinya tamadun yang gemilang ditandai Kesultanan Melayu Melaka dan dituruti kerajaan Melayu lainnya. Dengan meninggalkan keperibadian ideal inilah, segala-galanya kian luntur dan hilang. Lebih teruk lagi apabila kolonial bertapak meranapkan lagi keperibadian Melayu yang ideal.
+ Maaf sahabat. Walaupun kusedari hal itu, aku memutuskan mencela terus-terusan bangsaku ini tidak lagi dapat kuterima melainkan dengan tindakan untuk merekontruksinya semula.
- Aku juga memohon maaf kepadamu kerana kini telah kita sedari hakikat yang sebenarnya.
+ Kau tidak tahu hakikat pendirianku. Ia adalah rahsia hatiku.
- Rahsiamu bukanlah rahsia padaku kerana kita mempunyai dua pandangan yang berbeza, tapi lahir daripada satu jiwa yang sama.Selesai kata-katanya itu, Dia ghaib daripada pandanganku. Aku tidak tahu ke manakah dia pergi. Dia tidak muncul-muncul lagi untuk berdebat denganku. Yang pasti kurasakan, jiwaku tenang dan penuh bijaksana. Pandangannya kutimbang, lalu kuimbang dengan pandanganku. Ia adalah bentuk-bentuk pemikiran yang tidak boleh dipisahkan. Pincanglah neraca keadilan dan meletuslah pertelingkahan demi pertelingkahan yang merugikan Melayu itu, jika ia dipisahkan. Bila ada kawanku seorang Melayu mahu mengkritik Melayu, segera kukatakan padanya.
+ Fahamilah dahulu Melayu yang ideal, sebelum mengkritik. Fahamilah realiti yang berlaku. Cantumkanlah ia untuk mencari penyelesaian, bukannya sekadar berkata-kata yang menjatuhkan maruah Melayu!
Dan kurasakan aku umpama sekuntum Melayu yang berkembang mekar di taman ibunda. Mataharinya adalah semangatku. Cahaya yang tak kunjung padam menyirami tanah air dan langit leluhurku!
Biodata Penulis: Muhammad Ali Atan, pendatang baru dunia penulisan kreatif tanah air. Penuntut Tahun 3, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya ini pernah menerima bimbingan penulisan kreatif, teori dan amali daripada beberapa penulis tersohor Malaysia.
Jalan Menuju Allah-TAUBAT-
1.TAUBAT-'...permulaan jalan bagi salik...yang menyampaikan kepada makrifah Allah."
Penerangan: taubat itu mempunyai pendahuluannya iaitu:
- Pertama, selalu ingat "bahawa maksiat yg membawa kepada dosa itu sangat keji dan jahat kpd Allah dan manusia."
- Kedua, harus diingat kelemahan diri untuk "menanggung siksa Allah ta'ala terhadap orang yang melakukan maksiat itu"
- Ketiga, harus diingat kelemahan diri untuk "menanggung siksa yang sangat berat di akhirat" nanti.
Syeikh menerangkan lagi taubat itu ada tahap-tahapnya:
- Pertama, taubat orang awam
- Kedua taubat orang khawash-orang2 yang khusus
- Ketiga taubat orang yang khawasul-khawash-orang2 yang lebih khusus lagi.
Maksud taubat orang yang awam ialah taubat daripada 'maksiat yang zahir," spt berzina, membunuh, mencuri dll.
Orang khawash pula taubat dari "maksiat yang batin,: spt riak, ujub, takabbur, hasad dll.
Orang khawasul-khawash pula ialah taubat dari "segala yang terkhatir (terlintas) di dalam hatinya selain drp Allah krn ibadah mereka itu sentiasa hadir dalam hati kpd Allah dan kekal pada tiap2 masa dengan zikrulah dan didalam mereka itu dan syuhud akan Allah ta'ala(memandang dalam hati).
Justeru peringkat ketiga ini bukan lagi "permulaan jalan bagi salik," krn mengekali Allah malah memandang dgn hatiNya stp waktu ini adalah orang yang sudah smapai ke puncak makrifah yang hendak dicapai oleh salik yang telah menempuh jalan yang panjang.
Maqam taubat mencerminkan tahap permulaan salik, yang meliputi taubat orang2 awam dan taubat orang2 khawash yang masih bergelut dengan nafs ammarah dan membebaskan maksiat lahir dan batin. Namun maksiat yang batin itu terhapus seluruhnya bagi salik yang berada di maqam zuhud nanti.
Syeikh menerangkan dosa2 batin itu tersimpan dalam 10 perkara:
- Amat gemar membanyakkan makan.
- Amat gemar berkata2 barang tiada berfaedah spt umpat, mengeji, mencela.
- Amat suka marahnya, kuat marahnya
- Amat dengki dan hasad kpd hamba Allah yang lain
- Kikir dan kasih akan harta.
- Kasih akan kemegahan dan kebesaran dunia.
- Kasih akan dunia dan isinya.
- Membesarkan dirinya sendiri dan menghina manusia lainnya.
- Suka hairan (ujub) akan dirinya sebab suka melihat kebajikan yang telah dilakukannya.
- Riak yakni ibadah bukan kerana Allah.
Kesepuluh dosa batin ini menurut Syeikh adalah "setengah drp dosa yang besar dalam hati."
Selain itu Syeikh menyebutkan 4 jenis dosa besar batin iaitu:
- Menyekutukan Allah
- Mengekalkan berbuat maksiat.
- Berputus asa drp rahmat Allah.
- Tiada takut akan siksa Allah dan tiada takut akan neraka.
Dengan demikian taubat ialah kebangkitan jiwa manusia, melahirkan kesedaran akan segala kekurangan diri dan kebulatan tekad yang disertai amal perbuatan untuk memperbaiki diri.
Namun demikian taubat yang disentuh dalam Sairus Salikin adalah taubat orang sufi, kerana tenaga penggeraknya. Demikianlah menurut keterangan di atas cinta kpd Allah yg telah dirasakan dalam kadar tertentu ketika seseorang mula mengenal dirinya.
bersambung...
7 Wali Melayu
2.TUKKU PALOH
3.TUAN TULIS
4.SYEIKH MUHAMMAD SAID AL LINGGI
5.SYEIKH MUHAMMAD NOR AL KHOLIDI
6.TUK KENALI
7.TUAN HUSSEIN KEDAH AL BANJARI
Nilai Sebenar Bahasa Melayu
Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maka kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita untuk menjadi bahasa besar dan serba-boleh.
Di sebaliknya kajian ini juga mendapat bahawa bahasa Inggeris tidak akan lagi menjadi bahasa pertama di dunia, malah hanya mendapat tempat bahasa ketiga, iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.
Berikut ialah di antara hujah mengapa bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains di sekolah dan universiti;
1.Tujuan pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah mengajar yang lebih baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya kita merujuk kepada pengalaman negara Belanda maka kita akan temui contoh bagaimana bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan pada peringkat sekolah menengah.
Tetapi oleh kerana cara pengajaran yang baik dan berkesan, maka selepas sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dalam bahasa-bahasa ini dengan baik - lebih baik daripada pelajar Malaysia bercakap bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau 13 tahun). Kita juga mungkin perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari Denmark, Sweden dan Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri tetapi dapat menggunakan bahasa antarabangsa lainnya dengan baik. Jadi contoh kita seharusnya bukan Singapura, tetapi Scandinavia, Belanda dan Belgium mahupun Switzerland.
2. Seperti sering diulang penghujah Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang dari negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak daripadanya daripada negara bukan berbahasa Inggeris - seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland dan India / Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.
3. Beberapa masalah negara kita bukan berpuncakkan penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada budaya kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa di sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbiran serta ekonomi dan ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi serta ilmu.
4. Sekiranya kita tidak kembalikan bahasa Melayu kepada semua bidang ilmu maka kita, terutama kerajaan BN, akan dituduh sejarah sebagai pemusnah bahasa Melayu, sebuah bahasa yang lama dulu menjadi lingua franca daerah Asia tenggara dan untuk beberapa dekad lepas kemerdekaan bangkit dan kuat semula, hinggalah diturunkan darjatnya kerana arahan supaya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting, kerana bidang-bidang terpilih diajar dalam bahasa ini.
5. Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini maka dengan sendirinya kita telah menciptakan dua jenis warganegara Malaysia - yang pertama; menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial - iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.
6. Saya menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemas kini. Saya tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajar. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia kita perlu mempunyai sebuah bahasa persatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.
Dalam bandingan dengan warganegara Thailand atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya, ialah bahawa sastera dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.
Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di semua negara Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di Malaysia anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang Tuah atau Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia, nilai-nilainya dan juga jati dirinya.
7. Sekarang ini bahasa Melayu sedang melemah di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media masa dan kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang untuk hidup dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar , dengan sendirinya bahasa Inggeris akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih dari pengguna dan peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa itu. Sementara itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang dari bangsa Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.
Banyak lagi hujah yang dapat saya tuliskan. Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, saya rasa mencukupi untuk kesempatan ini. Saya amat berharap bahawa bahasa kebangsaan kita akan kembali diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya, seperti selayaknya sebuah bahasa besar dan tua.
Sesuatu bangsa yang tidak menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa lain yang menghormati bahasanya sendiri.
27 Disember 2008
Godam: Perihal Gapena, PPSMI, bahasa, bangsa Melayu
DUA perasaan menguasai fikiran dengan tujuh keputusan hasil daripada berakhirnya Persidangan Meja Bulat, Pengajaran dan Pembelajaran Sains Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) iaitu pertama secara peribadi penulis sedih kerana tiada kata muktamad mengenainya dan lebih tampil sebagai keputusan cacamarba. Dapat diduga cadangan agar PPSMI diteruskan tentunya datang daripada kelompok yang tidak melihat kepentingan bahasa Melayu tampil sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai bidang dan gagal menerobosi aspek budaya mahupun jati diri yang bersekali dengan bahasa itu. Kelompok ini tentunya tidak kisah hatta jika bahasa Melayu punah seperti dibimbangi pejuang bahasa Melayu yang menolak PPSMI kerana ia dilihat sebagai wadah rasmi pembunuh bahasa rasmi Malaysia secara bersistematik dalam jangka panjang.
Mereka juga sanggup melihat majoriti pelajar Melayu bukan dari kelompok menengah atas yang majoriti jumlahnya di negara ini, kecundang dalam kedua-dua subjek berkenaan, hatta meskipun hanya pada peringkat UPSR kerana gagal memahami konsep dan formula berpunca daripada masalah penguasaan bahasa. Kedua penulis gembira apabila Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) yang membisu sejak 2003 berhubung isu ini, akhirnya bersuara selepas arah perjuangannya dipersoalkan dalam Godam bertarikh 11 Disember lalu, dengan memberi kenyataan kepada akhbar pesaing pada 13 Disember dan terkini pada 22 Disember, dalam Berita Harian. Bisik nakal seorang teman berhubung perkara ini kepada penulis, “Salbiah tahniah berjaya menyedar pemimpin tertinggi Gapena bangun daripada tidur yang lena. Pemimpinnya baru kebah daripada sakit gigi dan sebab itu kini bersuara. Kita tunggu dan lihat apa kesudahan daripada kenyataannya.”
Hendaknya Gapena bersungguh dalam mengotakan janji untuk menentang PPSMI habis-habisan dan akan menyaman kerajaan sekiranya PPSMI diteruskan, meskipun penulis mempersoalkan mengapa ia hanya disuarakan selepas enam tahun pelaksanaan dasar terbabit, pandangan serupa dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Sudah pasti penulis dan semua persatuan penulis peringkat negeri yang bernaung di bawah Gapena tidak mahu ia sekadar kenyataan media selepas arah perjuangan gabungan terbabit dipersoalkan kerana kami semua mahu melihat perjuangan memartabatkan bahasa Melayu berhasil.
Mantan Pengarah Urusan, Malaysian Airline System, Tan Sri Dr Abdul Aziz, sebelum ini ada menulis rencana yang memaklumkan pelaksanaan PPSMI bertentangan dengan Seksyen 17 (1) Akta 550 Akta Pendidikan 1996 dan bercanggah dengan Artikel 152 (1) dan 152(6) Perlembagaan Persekutuan. Seorang lagi teman yang diajukan bagaimana cara untuk memastikan penolakan PPSMI mencapai matlamat memberi cadangan berikut, “Gapena perlu mengumpulkan semua Melayu yang tidak bersetuju dengan PPSMI untuk mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran bagi menunjukkan kesungguhan mereka.
“Jika ini juga gagal memberi kesan terbaik maka Gapena dan kerabatnya perlu menimbangkan ‘Teori 20 Tahun’ iaitu 1946, 1969, 1987 dan 2008 yang sarat dengan pelbagai peristiwa tepu pengajaran, sebagai jalan terakhir menyedarkan pihak berkenaan betapa PPSMI pembunuh bahasa Melayu.
“Tetapi persoalannya, mampukah Gapena menggerakkan usaha massa sedemikian demi memastikan matlamat perjuangan meletakkan bahasa Melayu di tempatnya mencapai matlamat kerana setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan apakah orang kuat dalam gabungan itu bersedia menjadi korban?” soal teman ini kepada penulis.
Ada benarnya juga cadangan teman ini memandangkan jika tindakan undang-undang yang digunakan ia mengambil proses berbelas tahun dan bila keputusan dicapai berkemungkinan sekali bahasa Melayu sudah pun pupus dalam sistem pendidikan Malaysia. Dari satu segi pula, pelaksanaan PPSMI selama ini juga mempamerkan betapa Malaysia bersikap bermuka-muka dalam hal bahasa Melayu dan tidak bersyukur dengan kedudukan yang sudah dicapainya selama ini melalui penawaran kursus khas bahasa Melayu di universiti luar negara seperti di China (satu), Jepun (satu) dan Korea (tiga).
Penulis diberitahu, kursus khas bahasa Melayu ditawarkan sekurang-kurangnya di lima universiti di Thailand dan di semua kolej Islam negara itu dan apakah senario terbaru, Program Sarjana Muda Sastera (Bahasa Melayu dan Kesusasteraan) di Universiti SIM, Singapura, tidak membuka akal budi pemimpin negara ini? Bahasa Indonesia yang sudah lama menikmati ‘pengiktirafan’ ini kerana diaspora di kalangan sarjana bahasa dan sastera mereka di samping faktor sejarah negara itu, terus memperkukuhkan kedudukan, tetapi Malaysia nampaknya memandang sepi kepada kejayaannya sendiri!
26 Disember 2008
Pantun Budi dan Adab
Sikap begini bukan sahaja tidak memaparkan sifat budi dan adab yang tinggi tetapi juga bertentangan dengan agama Islam yang menekankan 'menjaga lidah'. Adalah suatu yang aneh apabila seseorang yang mengakui dia pandai agama dan seorang pejuang agama membanteras perkara yang dilarang agama boleh 'bermulut umpama ketur'.
Matlamat tidak menghalalkan cara. Orang begini biasanya hanya menegakkan ego bukannya kebenaran. Begitulah budi dan adab tergambar indah dalam pantun dibawah:
Tegak rumah kerana sendi,
Runtuh sendi rumah binasa;
Tegak bangsa kerana budi,
Runtuh budi hilanglah bangsa.
Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Limau manis dimakan manis,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis manis dipandang manis,
Manis sekali hati budinya.
Di sana padi di sini padi,
Baru bernama sawah dan bendang;
Di sana budi di sini budi,
Baru sempurna bernama orang.
Awal pertama orang berbangsa,
Kedua banyak ribu dan laksa;
Ketiga majlis bermanis muka,
Keempat banyak berbudi bahasa.
Abang
..................
Ayah dan mak sudah tiada lagi di mata abang. Abang tidak lagi memandang wajah mak dan ayah sewaktu bercakap sebaliknya wajah abang sangat ceria bila bersama kawan-kawannya di luar rumah. Tidak lama kemudian abang diberhentikan sekolah. Ayah hanya mengeluh panjang. Suara ayah sudah serak. Mak hanya tertunduk hampa. Menangis apabila sendirian. Selepas itu abang semakin ligat di luar. Entah ke mana. Celik mata saja abang sudah hilang. Selalu tidak pulang ke rumah. Apatah lagi apabila ayah melarang mak membuka pintu ketika abang pulang waktu dinihari. Tidurlah abang di luar rumah.
Hari itu Azira sungguh terkejut apabila menyedari separuh daripada wang dalam tabungnya sudah hilang. Azira tanya abang baik-baik. Mati-mati abang menyatakan dia tidak mengambilnya. Kemudian abang pun keluar daripada rumah. Malam itu juga ayah tunggu abang pulang. Sampai ayah tertidur di depan televisyen. Bila abang pulang ayah buka pintu. Sebaik sahaja abang masuk ke dalam rumah ayah goncang bahu abang. Ayah tampar muka abang. Abang tersandar ke dinding rumah. Abang seperti orang mabuk dan berkhayal. Bercakap entah apa-apa. Abang mengaku dia yang mengambil duit ayah dan duit Azira. Mak menangis memeluk Azira. Ayah mati akal. Lantas ditolaknya abang keluar rumah. Tidurlah abang di luar rumah lagi. Masa terus berlalu. Ayah dan mak tidak berdaya lagi mengawal abang melakukan apa sahaja yang dikehendakinya walau ia membinasakan diri abang sendiri...............
14 Disember 2008
Cerpen:Kupu-kupu Ditembusi Peluru
Kupu-kupu Ditembusi Peluru
Oleh Muhammad Ali Atan
SEBELUM kejadian tanah runtuh itu berlaku, telah muncul seekor kupu-kupu. Terpaku Penduduk Taman Perumahan A menyaksikan kupu-kupu itu. Tujuh warna bersinar cemerlang disepuh mentari khatulistiwa pada sepasang kepaknya. Kupu-kupu itu memahami manusia memuji keindahannya tetapi manusia yang tidak memahami tutur bicaranya.
Kupu-kupu itu berkata “Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!” Penat kupu-kupu itu mengepak dan hinggap di sana sini. Tutur katanya langsung tidak dipedulikan malah ada yang cuba menangkapnya dengan mengumpan udang mentah di atas batu. Namun kupu-kupu itu tahu muslihat itu. “Siapa yang memburu akan diburu!” Tutur kupu-kupu itu sekuat-kuatnya kepada manusia yang mahu menangkapnya itu. Namun manusia tetap buat tidak tahu. Lalu dengan kecewa terbanglah kupu-kupu meninggalkan Taman Perumahan A menuju ke hutan yang menjadi habitat kupu-kupu sedari dulu.
Tetapi akal kupu-kupu menegah-padah kalau ditunggu-tuggu. Para pemburu sudahpun bersarang di hulu. Menebarkan pelan-pelan baharu. Mahu menjadikan hutan simpan sebagai hutan batu. Manusia, di manakah kau letakkan akalmu?Apakah matamu buta melihat wujudnya Taman Perumahan A di situ? Taman Perumahan yang bakal dibaham tanah bila tubuh bukit ditarah. Memang dasar pemburu! Siapa yang memburu akan diburu. Mengertikah manusia kata-kataku?
Titis-titis hujan tiba-tiba meluru ke bumi dengan laju. Hujan di kota sekeras batu. Kepak kupu-kupu itu tidak tertahan lagi ditimpa titis-titis sekeras batu itu. Tetapi titis hujan tidaklah sampai sekejam peluru. Cuma lenjun kepak kupu-kupu. Mengepak-ngepak masuk di bawah anjung sebuah rumah agam berderet neon biru lalu hinggap di jaring besi di muka pintu. Ah! Ada sedikit ruang terbuka antara celahan pintu. Lantas kupu-kupu menyelit masuk dan terpampang di mata bulatnya pemandangan baharu. Kepala rusa tergantung di dinding kaku. Kulit Raja Rimba terkangkang meniarap di atas lantai di tengah ruang tamu. Kupu-kupu terus kaku. Pilu dan gentar menderu di kalbu. Ah! Kupu-kupu itu telah tersalah masuk ke rumah pemburu!
Tiba-tiba kupu-kupu itu diserkup jaring berpetak seribu. Kepak yang basah dan tenaga yang lemah lebih baik jangan terburu. “Kalau ditegarkan juga pasti hancur lebur kepakku! Aku harus tenang mencuri kesempatan untuk lepas bebas seperti dahulu,” bisik kupu-kupu. “Aneh. Kau terlalu jinak!” kata budak yang menangkapnya lalu menjadikan sebuah balang kaca sebagai habitat baharu kupu-kupu.
“Arif mari makan!” panggil ibu. Budak lelaki itu bingkas dengan mengendong balang kaca berisi kupu-kupu.
“Mama sudah kata jangan kurung lagi kupu-kupu.” Kata ibu sambil melihat-lihat kupu-kupu dalam balang kaca itu. Betapa cantiknya kepak kupu-kupu. Berkilau-kilauan disepuh cahaya lampu. Biarpun basah kuyup kecantikan kupu-kupu itu tetap satu. Tidak pernah ibu lihat kupu-kupu secantik itu. Sama ada koleksi kupu-kupu awet suaminya ataupun kupu-kupu yang ditangkap oleh anaknya.
“Sungguh cantik kupu-kupu ini tetapi mengapa wajahnya pilu?” tutur ibu. Bunyi enjin kereta di luar rumah meluru ke telinga ibu. Segera disuruh anaknya menyorokkan kupu-kupu. Arif mengeleng mendakap erat balang berisi kupu-kupunya itu.
Enjin sudah mati dan pintu berderik.
“Syy, dengar sini sayang. Bapamu sudah pulang dan dia pantang melihat kupu-kupu apatah lagi yang cantik. Nanti akan dibunuhnya kupu-kupu itu!”Arif menurut kata ibu akhirnya. Kemudian terdengar suara ayah memanggil-manggil ibu dari ruang tamu.
“Arif makan dahulu ya.” ujar ibu dalam kegentaran kalbu.
“Ibu.”Arif bersuara pilu. Ibu jawab dengan senyum seperti mentari dilindungi awan kelabu.
Arif menuju ke meja dan sepinggan nasi tersedia dari tangan ibu. Arif menjeling ke arah pasu yang melindungkan balang berisi kupu-kupu. Baharu tiga suap nasi masuk ke mulut mungilnya jeritan ibu menyentak kalbu. Suara bapa tinggi dan terburu. Sesudahnya, suara ibu seperti kaca terhempas ke batu.
Arif mengertap mulutnya sambil memejam mata serapat mahu. Bila aku sudah besar nanti pasti akan kubela ibu! “Nanti kalau Arif dengar ibu dan bapa bersuara tinggi-tinggi cepat-cepat masuk bilik ya.” Terkerlip pesan ibu suatu masa lalu. Arif mengambil balang berisi kupu-kupu dicelah pasu dengan cekat naik ke bilik tanpa memandang ke ruang tamu.
Dalam bilik segala-galanya menjadi sunyi dan balang berisi kupu-kupu diletakkan di Sudut Ilmu. Arif duduk di situ termangu. Sudut Ilmu inilah tempat Arif membuka buku pelajaran di samping mendengar cerita yang dibacakan ibu. Suara ibu merdu. Suara ibu juga pilu. Sebak diaduk seribu perasaan menderu dalam kalbu. Ditenungnya kupu-kupu di dalam balang dengan mata berkaca-kaca dan berwajah merah sendu.
“Air mata terlalu mahal untuk kau buang selalu.” Tutur kupu-kupu itu.
“Kalau ibumu dibuat seperti patung begitu apakah kau tidak berasa pilu?” balas Arif. Ah! Budak ini-mengerti pula kata-kataku, detik kalbu kupu-kupu terharu. Jadi fahamlah manusia keluhanku.
“Bapamu seorang pemburu. Ibuku seekor kupu-kupu sepertiku, tidak pernah kami kenal sendu melainkan bunga bersari madu.”
“Ah! memang bapaku seorang pemburu. Bapaku juga seorang yang tidak pernah mahu menghargai ibu!” jerit Arif dengan geram. Mata bulat hitam kupu-kupu mencerlung Arif dari balik dinding kaca. Tiba-tiba Arif membuka penutup balang. “Kupu-kupu, aku bukanlah pemburu seperti ayahku. Aku tidak mahu menjadi pemburu.” katanya. Kupu-kupu itu pun mengepak terbang ke udara dengan rasa terharu.
“Aku amat simpati dengan nasib ibumu dan dirimu, tetapi aku hanyalah seekor kupu-kupu.” Kata kupu-kupu kepada Arif yang menyelangkup di meja buku. Ada tangisan dan esakan yang menggaru kalbu.
“Oh ya, kau kupu-kupu dari mana? Tidak pernah kutemui kupu-kupu secantikmu.” Tanya Arif seolah-olah mahu lari dari kisah hidup yang pilu. Lalu berceritalah kupu-kupu itu. Aku dari belantara yang menjadi taman dan penghidupanku. Saban pagi aku terbang dan hinggap pada bunga menghisap nektar, kemudian terbang lagi dengan kaki dan toraks melekat serbuk debunga lalu hinggap pada bunga lainya sambil menyanyikan lagu. Ah! dunia kupu-kupu memang indah. Menerusi mata bulat kecil ini aku melihat sinar ultraviolet menjadi helai-helai benang sutera berguyuran dari langit biru.
“Oh sungguh indah kehidupanmu, tiba-tiba aku mahu jadi kupu-kupu!”ujar Arif teruja..
“Itu semua dahulu kini...” kata kupu-kupu itu tersekat pilu dan Arif segera mendekatkan wajahnya kepada kupu-kupu.
“Ayuh sambunglah kata-katamu wahai kupu-kupu.”desak Arif terburu.
“Manusia telah meragut segala keindahan dan kedamaian hidup kupu-kupu. Manusia bukan sahaja memusnahkan flora yang menjadi habitat kami malah memburu, membunuh, mengawet, mempamer sekaligus menjual mayat kupu-kupu yang keras tanpa rasa malu. Tidak malukah manusia memburu kupu-kupu yang hanya memiliki sepasang kepak dan sekujur tubuh yang lemah? Ah, manusia memang tidak pernah mahu mengerti tentang keindahan lalu memburu semuanya hanya kerana nafsu.”
Kupu-kupu itu mengeluh dan kalbunya diterpa ombak sendu menderu-deru. Namun mata bulat hitamnya tetap indah, tidak pernah kenal sendu untuk menitiskan air mata pilu.
“Maafkan aku kupu-kupu, kerana ayahku juga seorang pemburu kupu-kupu.”ujar Arif dengan simpati memenuhi kalbu.
“Seorang anak tidak akan menanggung beban dosa bapanya.” Kupu-kupu memujuk Arif yang dilanda sedih dan rasa bersalah metah.
“Maafkan aku lagi kupu-kupu, ayahku juga seorang pemusnah habitatmu.” Ujar Arif dengan wajah sayu. Mata bulat hitam kupu-kupu mencerlung ke wajah Arif - budak yang begitu jujur bertutur - membuatkan kupu-kupu begitu terharu.
“Bapamu memang benar-benar seorang pemburu sedangkan aku hanya seekor kupu-kupu!” Sunyi mengambil tempat dan budak itu mengongoi disaksikan oleh mata bulat hitam kupu-kupu itu. “Oh, seperti dunia kupu-kupu dunia manusia juga telah hilang keindahan dan menjadi teramat sendu.”detak kalbu kupu-kupu amat terharu.
Tiba-tiba pintu bilik Arif ditolak kuat dari luar dan terpacak di muka pintu seorang pemburu. “Lari kupu-kupu!”jerit Arif beraduk gentar seperti menyaksikan seribu garuda menjadikan langit kelabu. Kupu-kupu itu terus mengepak ke udara tetapi langkah seorang pemburu nyata terlalu tangkas bagi seekor kupu-kupu. Dengan jaring petak seribu kupu-kupu itu terjerembab ke lantai bilik dan mata bulat hitamnya dipenuhi wajah seorang pemburu. Betapa kupu-kupu itu terkesima menyaksikan taring berselengket darah hanyir, bermata buntang merah dan terkerinyih hodoh kepada kupu-kupu itu.
“Oh, sungguh cantik tubuhmu dan harum sungguh baumu.” Kata pemburu itu. Arif cuba menghalang pemburu alias bapanya daripada menangkap kupu-kupu itu. Tetapi gerak seorang pemburu terlalu gagah untuk ditentang gerak seorang budak alias anaknya.
Setelah anaknya diherdik dan ditolak dengan tangan kasar seorang bapa alias pemburu, nasib kupu-kupu itu dihurung awan kelabu. Dibawanya kupu-kupu itu ke bilik khas tempat segala kupu-kupu dikurung, dibunuh dan diawet sebelum dijual kepada penjual. Bumbung bergemeratap bunyinya dihentam hujan sekeras batu. Kilat menyilang menusuk alam dalam zulmat malam dan guruh menjerit hingga menceku kalbu.
“Aku berbangga dapat menemukan kau dari spesis lepidoptera yang hampir pupus itu. Kau juga harus berbangga kerana jatuh ke genggaman seorang pemburu yang siap siaga meladenimu.”
“Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!” tutur kupu-kupu itu biarpun diselubungi gentar dan pilu.
“Apa yang kau cakapkan? Sudah lama tidak kubersihkan telingaku,” senda pemburu itu.
“Siapa yang memburu akan diburu!” balas kupu-kupu setelah segala kekuatan menjadi padu. Sudah lama ingin dituturkan kata-kata itu kepada manusia tetapi kini di hadapannya adalah seorang pemburu yang memahami tutur bicara seekor kupu-kupu. Inilah waktunya. Pemburu itu terus sahaja ketawa dan ketawa. Melawan bunyi guruh dan gemeratap bumbung dihentam titis hujan batu. Benarlah, apabila manusia menjadi pemburu mereka sebenarnya telah bertuhankan nafsu, detak kalbu kupu-kupu.
“Tidurlah baik-baik agar dapat kau nikmati hari esok.” Tutur pemburu itu lalu ke luar dari bilik yang penuh dengan kupu-kupu yang kaku. Ada berbagai-bagai spesis kupu-kupu yang telah diawet dan inilah kali pertama sejak kupu-kupu itu lahir ke dunia daripada kepompong dia melihat pemandangan yang begitu menyentuh kalbu. Apa yang indahnya apabila kupu-kupu dibunuh sebegitu? Tiba-tiba pertama kali juga air mata menitis dari birai mata seekor kupu-kupu. Tentu kedukaan itu sudah bertambah senak di kalbu. Manusia memang pemusnah keindahan. Manusia memang pemburu kejam. Malam kian dingin lalu lenalah kupu-kupu itu menunggu nasib yang tidak menentu.
Pagi esoknya pemburu itu menggalas senapang patah di bahu kanannya dan tangan kirinya mengendong balang kaca berisi kupu-kupu. Jeepnya menyelusup denai hutan dan terlihatlah dalam kenangan kupu-kupu itu kehidupan masa lalu. Melalui jalan yang becah segala pemandangan menjadi berubah lantaran flora habis ditarah. Kupu-kupu diterpa pilu. “Sebelum aku dibunuh aku ada hajat kepadamu!”
“Apa yang mahu kau pinta?” balas pemburu itu dalam ketawa sambil membelokkan jeepnya ke deretan rumah besi. Kemudian keluarlah para pemburu lainnya mempamerkan wajah hodoh menikmati keindahan kupu-kupu itu tanpa rasa malu.
“Apabila keindahan mati bencana pun akan datang menderu!”
“Permintaankah itu?”
“Apabila kalian sebagai manusia menarah flora, membunuh kupu-kupu dan mergastua, Tuhan Maha Berkuasa untuk membalas. Sedangkan manusia yang menempati di kaki bukit itu bukanlah pemburu seperti kalian!”
“Hah, aku tidak memahaminya.”
“Sesiapa yang memburu akan diburu!”
“Kau mahu jadi pujanggakah kupu-kupu?”
“Kalian adalah pemburu sekali gus pemusnah keindahan sedangkan Tuhan Maha Indah. Manusia memusnahkan keindahan dan Tuhan akan membalas dengan bencana. Walaupun semua manusia akan terkena dan kalian mungkin bebas, Tuhan Maha Adil untuk membalas dengan cara-Nya dan pada waktu yang kalian tidak sangka-sangka.”
Para pemburu itu ketawa dan ketawa. Hinggalah pemburu itu membuka penutup balang kaca lalu berkata:
“Inilah pertama kali aku mendengar seekor kupu-kupu yang bijaksana berkata-kata dan sebagai balasannya kau kubebaskan!”
Bukan kepalang gembiranya kupu-kupu itu. Bagai banduan mendapat sepotong langit biru ia menghirup udara bebas semahu-mahu. Sewaktu kupu-kupu itu melingas di udara bebas sebutir peluru menembusi tubuhnya dan segala-galanya seperti lampu yang suisnya dimatikan.
Sepekan peristiwa itu berlalu penduduk Taman Perumahan A menyaksikan kemunculan kupu-kupu bersinar-sinar di langit malam seperti mahu bertutur sesuatu, tetapi tiada seorang pun dapat memahaminya. Tiga hari kemudian, hujan pun jenuh dan tanpa akar mengejapi tanih, air menjadi peluru mendambrak bumi yang gondol lalu menghasut bahan regolit melungsur cerun dan tebing menimpa ke Taman Perumahan A. Sudahnya mayat dua beranak ditemui saling berdakapan dalam suasana yang pilu. Teori bencana pun muncul daripada faktor manusia sehinggalah kepada faktor tanah bersifat granit yang mudah peroi dan menyimpan air sebagai puncanya.
Namun, tiada sesiapa pun tahu perihal seekor kupu-kupu yang ditembusi peluru sepertimana tiada sesiapa pun tahu siapakah pemburu itu!
*Telah terkirim di beberapa majalah dan akhbar sejak kejadian tanah runtuh tahun lepas di KL. Aku kirim lagi ke Berita Harian utk peristiwa tanah runtuh ini. Dan tema hampir serupa juga untuk Mingguan Malaysia dengan Cerpen Hujan, Tanah dan Kalbu. Mungkin minggu depan kedua-duanya naik. Kalau tidak aku akan siarkan disini. Selamat menelaah.
2 Minggu Yang Sibuk
1.Menyiapkan proposal master
2.Naik turun Akademi Pengajian Melayu bincang pasal proposal
3.Kalut dengan novel dan beberapa cerpen.
1 dan 2 itu aku serahkan sahaja kepada Allah. Kalau dapat SLAB syukur. Memang cita-cita aku membeli buku banyak-banyak dan menulis, berfikir dan menambah ilmu sepanjang masa dan mendidik anak bangsa.
Macammana Projek Novel Wirawan?
Tentang 3, biarlah aku aku buat pelan-pelan. Projek novel superhero tema harimau tu masih lagi berjalan macam kura2. Ditambah aku mendapat satu lagi idea baharu. Tentang lombong bijih dan berlian. Wow. Ini sesuatu yang baharu. Sasaran kajian aku ialah lombong bijih di Sungai Siput di Pahang. Terowong lombong yang terpanjang dan terdalam di dunia ini menjadi sasaran aku untuk mengenali dan empati kehidupan para pelombong dan suasana kerja mereka. Rugi kerana terowong lombong bawah tanah nya tidak dapat dimasuki lagi. Kalau tidak tentu aku dah bertapa di dalamnya.
Draf Novel+skrip Bijih dan Berlian (judul sementara)
Nantikan novel+Skrip bertema perlombongan pertama aku ini. Jalur ceritanya dan ending juga sudah ada dalam kepala dan ditulis. Dari sudut pandangan seorang pelombong Melayu aku nukilkan kehidupan para pelombong bijih di terowong lombong bawah tanah dan juga kepekaan watak memperjuangkan hak pekerja lombong sehingga dia dibiayai oleh pemilik lombong untuk meneroka sebuah terowong lombong tinggalan masa lalu(lebih dahulu drp 1900) yang dikatakan mempunyai berlian tetapi ditutup akibat banyak kematian berlaku yang dikaitkan dgn paranormal dan mistik. Wah! Dalam sejarah tak ade lagi dijumpai lombong berlian di negara Malaysia mempunyai lombong berlian. Dan inilah yang aku nak neonostalgiakan. Maksudnya kita ambil sejarah latarnya kita cipta sesuatu yang baharu. Mana tau kemungkinan itu wujud secara realiti. Siapnya? Insya Allah. Nyawa ada. Tahun depan lah. Aku kena buat rancangan untuk ke Sungai Lembing. Dan mencari responden. Projek besar ni. Kena lah buat kajian sikit. Aku nak dapatkan nyawa era 1900 di lombong.
Cerpen Kupu-kupu Ditembusi Peluru.
Dan untuk cerpen, yap aku telah mengirimkan Kupu2 Ditembusi Peluru ke Berita Harian minggu lepas. Entah bagaimana nasibnya. Tgk sabtu semalam masih tak keluar lagi. Apakah seperti setahun lepas. Tidak dipedulikan editor?Entahlah. Aku akan siarkan di blog ini kerana tak tahan lagi aku simpan semata tanpa sesiapa membacanya.
Hujan, Tanah dan Kalbu.
Aku juga sudah menyiapkan sebuah cerpen terbaharu lagi judulnya Hujan, Tanah dan Kalbu. Ini aku nak hantar kat Kuseman editor sastera Mingguan Malaysia. Ini adalah cerpen pertama aku dalam tempoh setahun setengah setelah Orang-orang Berjuang.
Entah bagaimana nasibnya?Aku sedang memantapkan ia dengan nafas dan darah sufi. Dan memantapkan simbol dan kesatuan ideanya. Ini penting kalau nak jadikan cerpen kita cantik dan kemas. Tak boleh disiarkan lagi di sini.Masih segar dan cantik.
Insya Allah. Salam jumpa lagi!