Mencapai Kesempurnaan Tradisi
Melalui Gerakan Tradisionalisme
Melalui Gerakan Tradisionalisme
Oleh
S.M Zakir
MAKNA umum bagi Tradisi adalah pertama, elemen-elemen budaya (budi dan akal) atau sistem nilai yang bersambungan turun temurun dan generasi ke generasi; kedua, model atau kerangka pemikiran yang diabsahkan dan diikuti berkesinambungan dari satu generasi ke satu generasi, adat atau kebiasaan; ketiga, tubuh daripada peraturan dan ajaran agama; dan keempat, peraturan atau satu set perlakuan yang mulia yang diambil hasil daripada perjalanan pengalaman atau masa. Sementara budaya adalah bentuk sistem nilai yang dipegang oleh sesuatu masyarakat.
Tradisionalisme ialah pertama, perpautan kepada tradisi terutamanya penghormatan yang tinggi dan ketat terhadap tradisi agama; dan kedua, satu sistem falsafah yang memegang bahawa semua ilmu pengetahuan adalah berasal usul daripada pendedahan dan pembukaan ilmu di alam ketuhanan yang asli dan mutlak yang disampaikan atau dipindahkan (transmisi) oleh atau dengan perantaraan tradisi.
Tradisionalisme secara dasarnya bergerak di atas bentuk pemikiran vertikal. Pemikiran vertikal melihat bahawa seluruh kejadian adalah penurunan atau pelimpahan daripada kuasa yang tertinggi dan mutlak iaitu alam ketuhanan (metakosmik) kepada alam raya (makro kosmik) dan manusia (mikro kosmik). Dengan itu, kebenaran dan ilmu pengetahuan secara automatik bergerak sejajar mengikut vertikal ini.
Alam ketuhanan melimpahkan ilmunya melalui wahyu atau "Idea Utama". Kemudian ia menurun kepada alam raya yang merupakan kesatuan penyatuan yang berfungsi sebagai sebuah ikonografi yang melahirkan tanda-tanda atau metafora yang menyokong dan menjadi perantaraan pemahaman kepada "Idea Utama" tersebut dengan alam yang terakhir iaitu manusia atau mikro kosmik. Sementara hubungan antara "Idea Utama" dengan manusia yang bertindak sebagai penerima adalah hubungan antara bentuk (form) dengan jirim/materi (matter) atau bahan.
Bentuk ini akan mengacu jirim (memberi acuan kepada jirim) dan jirim, iaitu manusia memainkan peranan dalam menggilap, memakmur dan memanjangkan bentuk-bentuk pernyataan yang disampaikan dalam "Idea Utama" atau Wahyu.
Adalah jelas bahawa kebenaran di dalam tradisionalisme adalah satu iaitu kebenaran Wahyu dan kebenaran yang mengacu kepada sokongan terhadap kebenaran Wahyu. Namun jalan menuju kebenaran itu adalah banyak. Mengikut seorang tokoh sufi, jalan menuju kebenaran itu sama banyaknya dengan jumlah makhluk Allah s.w.t.
Adalah jelas bahawa kebenaran di dalam tradisionalisme adalah satu iaitu kebenaran Wahyu dan kebenaran yang mengacu kepada sokongan terhadap kebenaran Wahyu. Namun jalan menuju kebenaran itu adalah banyak. Mengikut seorang tokoh sufi, jalan menuju kebenaran itu sama banyaknya dengan jumlah makhluk Allah s.w.t.
Matlamat akhir tradisionalisme adalah menyatukan kesemua yang wujud dalam satu kesatuan yang asas. Kesatuan yang asas adalah kesatuan yang berpaksi kepada kebenaran Wahyu. Pernyataan ini bertepatan dengan ajaran agama dan falsafah simbol bahawa bumi adalah bayangan langit.
Satu pernyataan dalam falsafah Pythagoras (yang banyak dirujuk oleh ahli-ahli sains kosmologi Islam) ialah: "para hakim (ilmuwan) mengasaskan satu keharmonian dalam membina analogi di antara bumi dengan langit, yang berakal fikiran dan yang berperasaan, di antara jauhar yang satu dan yang terpisah dan lain-lain hinggakan apa yang berlaku atau apa yang terdapat pada satu bahagian di alam sejagat atau apa saja perubahan yang berlaku dalam satu komponen primodial adalah bayangan terus daripada apa yang berlaku pada komponen lainnya" (Pengenalan Doktrin Kosmologi Islam, Seyyed Hossein Nasr, DBP: 1993. hlm. xxix).
Kesatuan yang asas ini, seperti yang diterangkan sebelumnya adalah bertunjangkan "Idea Utama" yang bertindak sebagai bentuk yang mengacu jirim atau bahan. Di sini bentuk mengemukakan dirinya kepada bahan untuk digilap, di makmur dan dipanjangkan pernyataannya. Jirim atau bahan secara khusus merupakan sifat-sifat bangsa, psikologi dan bentuk serta sifat bahasa manusia di dalam masyarakat. Tradisionalisme membawa manifestasi bagi penggilapan, pemakmuran dan perpanjangan bentuk atau "Idea Utama" tersebut. Lantaran itu tradisionalisme memegang kukuh asas dan dasar vertikal dalam membina kerangka-kerangka pemikiran, pemahaman dan pentafsirannya.
Konsep Sastera Dalam Tradisionalisme
Konsep Sastera Dalam Tradisionalisme
Sastera adalah elemen yang menduduki hierarki tertinggi dalam entiti budaya. Lantaran itu sastera bertindak sebagai kalbu dalam tubuh se sebuah budaya tersebut. Sebagai sebuah kalbu, tradisionalisme menolak bentuk-bentuk pemikiran kritis dalam kesusasteraan. Pemikiran kritis selalunya bertunjangkan induksi yang mengutamakan pemikiran logik, empirikal dan rasio-fizik dan yang paling teras, skeptisme. Pemikiran kritis jelas merupakan satu bentuk pemikiran yang horizontal sifatnya. Ia melihat kewujudan dari satu skop yang sempit dan mempertahankan skop pandangan yang diperoleh ini dengan menimbulkan keraguan demi keraguan terhadap pemikiran kritis yang lain. Pemikiran kritis diperbaharui setiap masa apabila muncul pemikiran kritis baru yang dapat meragukan pemikiran kritis yang terdahulu. Skeptisme adalah elemen penting dalam sebarang bentuk pemikiran kritis. Ia dipergunakan secara projektif sama ada dalam hujah konstruktif mahupun dalam hujah dekonstruktif.
Tradisionalisme meletakkan akal dalam beberapa fakulti seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali dalam pentafsirannya terhadap surah An-Nun. Jiwa manusia menurut Imam Al-Ghazali mempunyai lima fakulti atau deria.
Pertama, deria rasa yang mengambil maklumat melalui indera rasa.
Kedua, deria khayal yang mengambil maklumat yang dibawa oleh indera rasa dan memberikan kepada deria akal bila diperlukan.
Ketiga, deria akal yang mengambil idea-idea yang mengatasi bidang rasa dan khayalan, idea-idea ini bersifat semesta dan disimbolkan oleh hal yang tertentu yang diketahui oleh indera-indera.
Keempat, deria pembeza yang mengambil darinya ilmu yang abstrak.
Kelima, deria mukasyafah anbiya’, yang dipunyai oleh para nabi yang darinya syariah diwujudkan dan alam lain bersama-sama dengan sains alam tinggi dan rendah, dan juga ilmu teologi yang tidak dapat dicakupi oleh deria akal dan deria pembeza (Al-Ghazali dan Konsep Al-Nun, Azian Khalili Shamsuddin. DBP: 1991).
Dengan itu akal mempunyai perpautan yang jelas dengan "Idea Utama" atau Wahyu dan melalui gerakan pemikiran vertikal akal menerima kebenaran yang mutlak ini tanpa sebarang keraguan dan tanpa merasa perlu untuk mencipta keraguan. Dan pemikiran vertikal atau tradisional ini meletakkan kesusasteraan yang bertunjangkan sebagai kalbu dalam tubuh budaya.
Tradisionalisme membina konsep sasteranya berasaskan tiga bentuk faktor iaitu; falsafah (pemikiran), sejarah (tradisi), dan jati diri/identiti (keyakinan mandiri).
Tradisionalisme membina konsep sasteranya berasaskan tiga bentuk faktor iaitu; falsafah (pemikiran), sejarah (tradisi), dan jati diri/identiti (keyakinan mandiri).
Falsafah merupakan pemikiran-pemikiran yang dibawa dalam se sebuah hasil sastera. Dengan itu tradisionalisme memperlebihkan makna kesusasteraan melebihi apa yang diterapkan dalam disiplin kritis yang menekankan matlamat sastera kepada mesej dan tema. Mesej bermakna pesanan dan tema bermakna tanda atau signifier. Tentunya tradisionalisme tidak menolak bahawa dalam kesusasteraan wujudnya pesanan dan tanda (yang mengklasifikasikan identiti karya seperti karya bertema sosial, ketuhanan dan sebagainya), namun kesusasteraan itu perlu mempunyai matlamat yang lebih besar daripada sekadar memberi rupa dan pesan.
Ia sebaliknya harus mempunyai matlamat yang berbalik kepada tujuan asalnya iaitu menggilap, memakmur dan memanjangkan pernyataan bentuk atau "Idea Utama" tersebut.
Maka itu, kesusasteraan mengikut tradisionalisme mempunyai matlamat yang bertunjangkan kepada falsafah iaitu pemikiran-pemikiran yang harus ada dalam karya sastera bagi membentuk matlamat yang bergerak secara vertikal. Lantaran besarnya elemen falsafah dalam membina matlamat dalam se sebuah karya, tradisionalisme meletakkan bahawa karya sastera itu adalah bentuk-bentuk pengorganisasian idea secara dinamis.
Maka itu, kesusasteraan mengikut tradisionalisme mempunyai matlamat yang bertunjangkan kepada falsafah iaitu pemikiran-pemikiran yang harus ada dalam karya sastera bagi membentuk matlamat yang bergerak secara vertikal. Lantaran besarnya elemen falsafah dalam membina matlamat dalam se sebuah karya, tradisionalisme meletakkan bahawa karya sastera itu adalah bentuk-bentuk pengorganisasian idea secara dinamis.
Secara mudah, kesusasteraan itu adalah se kumpulan idea terorganisasi yang diindahi. Penegasannya, keindahan idea itu pula adalah peyakinan yang dibina melalui bahasa. Pendek kata, bentuk fizikal se sebuah karya sastera seperti plot, latar, watak, struktur, stail dan bentuk itu hanya penyokong yang mekanis sifatnya. Yang memberi hidup atau nafas kepada se sebuah karya sastera itu adalah unsur-unsur organisnya iaitu bahasa dan idea. Bahasa dan idea ini pula menjurus dan mengacu kepada matlamat ideal tradisionalisme iaitu vertikaliti. Dengan wujudnya falsafah, tema dan mesej dalam se sebuah subordinat karya sastera hanya wujud sebagai subordinat di bawah superioriti falsafah.
Kedua, konsep sejarah membawa konotasi tradisi. Di dalam tradisi pemikiran kritis plot, latar dan struktur adalah unsur penting dalam membina jalinan-jalinan peristiwa dalam se sebuah karya sastera. Tradisionalisme walaupun mengakui tentang peranan mekanisme plot, latar dan struktur dalam penjalinan peristiwa tetapi tidak meletakkan mekanisme ini sebagai satu-satunya disiplin dalam pembinaan karya. Se sebuah karya sastera dihidupkan oleh nafas-nafas kesusasteraannya atau organisma kesusasteraan dan bukan mekanis fiziknya.
Organisma ini atau nafas-nafas hidup kesusasteraan yang sebenarnya adalah bahasa. Dan bahasa ini dibentuk oleh satu sistem nilai yang diketahui sebagai tradisi. Sistem nilai ini pula dibina oleh rentetan-rentetan sejarah yang mana bergabung dan membentuk satu sistem nilai. Kewujudan bahasa adalah kewujudan relatif. Maka itu bahasa yang memunculkan tradisi dan memunculkan sejarah sebagai satu sistem nilai merupakan manifestasi kepada hubungan relatif. Konsep sejarah secara kontekstual adalah hubungan relatif yang wujud dalam se sebuah karya sastera. Setiap karya sastera tidak mungkin berdiri sendiri atau berdiri secara mutlak.
Sudah tentu wujud satu hubungan relatif antara karya sastera dengan tradisi. Tradisionalisme menamakan hal ini sebagai konsep sejarah dalam kesusasteraan. Ia berdiri di atas kepentingan yang lebih utama daripada bentuk plot, latar, struktur atau bentuk-bentuk fizikal karya yang lain. Maka itu dalam tradisionalisme pengabaian terhadap plot dan sebagainya bukan dianggap sebagai satu devian tetapi adalah kewajaran kerana plot, lantar dan struktur yang ketat hanya menghilangkan hubungan karya sastera dengan sejarah yang mana berhubungan secara langsung dengan matlamat vertikalnya.
Ketiga, jati diri/identiti (keyakinan mandiri) harus wujud dalam se sebuah karya sastera. Kecenderungan teori-teori kritis mutakhir yang muncul sebagai intertekstual pasca moden yang membingarkan tentang kematian pengarang adalah satu kekotoran dalam dunia kesusasteraan.
Setiap karya adalah peribadi pengarang tersebut. Walau apapun keperibadian karya adalah keperibadian kepengarangan pengarang tersebut. Justeru itu, sebarang bentuk intertekstual yang bersifat melampau adalah pemusnahan keperibadian pengarang. Hal ini secara jelas adalah pencabulan hak insan yang menjadi asas hakimmiyah insani yang duduk sebagai teras bagi dunia manusia (mikro kosmik) dalam vertikaliti tersebut. Dalam pada itu. jati diri ini juga sebagaimana yang difahami secara mudah merupakan keperibadian diri, budaya, tradisi dan pegangan serta akidah yang dianuti.
Setiap karya harus mempunyai keperibadian yang dibina daripada lima elemen ini iaitu, diri, budaya, tradisi, pegangan dan akidah. Setiap karya harus mencermini dan mengangkat peribadi yang relatif dengan persekitarannya. Maka itu, karya yang mempunyai keperibadian yang tinggi adalah karya yang primer sifatnya: tulen, asli, teguh dan eksperimental. Tindakan-tindakan mencari atau membina keperibadian ini walau bagaimanapun harus sejajar dengan matlamat vertikaliti yang dipegang oleh tradisionalisme.
Kesimpulannya, di dalam tradisionalisme se sebuah karya sastera itu di tafsir menurut pentafsiran yang berasaskan gabungan tiga konsep iaitu falsafah (pemikiran) yang dibawa di dalam karya itu, sejarah (perkaitan relatif) yang terdapat dalam karya, dan jati diri (keperibadian) yang dibina dalam karya tersebut. Di dalam falsafah pula, terkandung tema dan mesej. Di dalam sejarah terkandung plot, latar, stail, struktur dan perwatakan. Di dalam jati diri terkandung bahasa, gaya dan bentuk.
Tradisionalisme Sebagai Kemapanan Radikal
Tradisionalisme Sebagai Kemapanan Radikal
Pemikiran tradisional selalu disinonimkan dengan pemikiran yang tertutup, defensif, konservatif dan pasif. Sementara pentafsiran umum yang sejagat mentafsirkan pemikiran tradisional sebagai pemikiran yang bersifat teologikal dan rapat dengan tradisi keagamaan (dalam Islam pemikiran tradisional tertinggi adalah tradisi kesufian). Sementara pemikiran moden adalah pemikiran kritis, skeptis, dinamis dan logikal.
Walau pun definisi tradisional sedemikian rupa, namun tradisionalisme adalah jelas mempunyai kompleksiti dan paradoksikal yang berlainan. Tradisionalisme bersifat untuk mempertahankan kebenaran mutlak (Islam) yang menganggapnya sebagai establishment dan sebarang aliran pemikiran yang menentang mahupun menjauhi atau berkecenderungan mengesampingkan kebenaran mutlak sebagai anti-establishment.
Tradisionalisme, di samping bertindak secara defensif (dalam mempertahankan kebenaran yang tidak diragukan), namun dalam masa yang sama mengunjurkan tindakan-tindakan ofensif yang berpaksikan kemapanan radikal dalam erti kata radikaliti yang bergerak daripada makna ‘tindakan-tindakan daripada subjek yang dirugikan haknya’ kepada ‘tindakan-tindakan pengukuhan secara drastik, tegas dan dinamis’.
Tindakan-tindakan ini membawa kepada usaha-usaha eksperimental dan penyesuaian-penyesuaian baru. Maka dasar gerakan tradisionalisme bagi mencapai matlamat-matlamatnya adalah tindakan-tindakan yang bersifat radikal. Pertahanan adalah serangan dan serangannya adalah pertahanan.
Akhir kata, tradisionalisme berjuang secara tuntas dalam pembangunan entiti budaya. Kerana entiti budaya merupakan barisan paling hadapan atau gerakan paling awal baik dalam usaha se sebuah masyarakat membina se sebuah tamadun mahupun dalam usaha se sebuah masyarakat meruntuhkan tamadun masyarakat yang lain. Dalam setiap penjajahan, penjajahan budaya adalah tangan pertama yang menembusi masuk, kaki yang terakhir melangkah keluar, dan tubuh yang paling lama berdiam.
Maka itu, hanya suatu bentuk tindakan yang radikal sahaja mampu menghadapi kekuatannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan