07 Mei 2008

Zaman Selepas Rasulullah

Golongan sahabat merupakan golongan sufi. Mereka bersama Rasulullah bangun berjuang menentang kekufuran dan kemunafikan. Mereka tidak segan menyatakan pendirian bersama Rasulullah. Merekalah petunjuk sepanjang zaman menerangi alam yang gelap, mewarnai kehidupan manusia menyusun susur atur masyarakat, menjiwai kemurnian yang luhur dan prinsip yang tegar.

Setelah zaman sahabat, munculnya zaman para tabien yang memunculkan ramai golongan yang mempunyai sifat dan personaliti anggun yang mencirikan kehidupan Rasulullah SAW. Saidina Ali yang namanya begitu dominan dalam silsilah tareqat, bukan sahaja tokoh kezuhudan dan hikmah, malah beliau juga adalah negarawan ulung dan pemerintah dan syahid kerana keadilannya.

Surat beliau kepada sahabatnya, Malik Asytar merupakan kod etika bertulis untuk panduan pemimpin negara. Dia adalah wujud yang merealisasikan ‘rahban fi al-lail wa fursan fi an-nahar” Begitu juga Khalifah Umar Abdul Aziz yang menjadi pemerintah yang mengekalkan kezuhudan walaupun sekelilingnya penuh kekayaan dan kemewahan.

Sehingga terdapat kisah yang memperakui bahawa pada waktu tersebut tidak ada seorang pun rakyatnya yang layak menerima zakat lantaran kekayaan dan kemewahan umat. Sungguhpun demikian, style dan cara hidup pemimpin Khalifah Umar Abdul Aziz tidak pernah disebut sebagai pemboros, pengaut kemewahan negara, tidak pernah dicatatkan tentang ketamakan harta, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan harta rakyat dan seumpamanya.

Zaman Moden Penyakit hubbun dunya dan hubbul jaah telah menjadi satu macam penyakit yang disukai, diburui tanpa menghiraukan dosa dan pahala. Keegoan dalam diri manusia untuk menerima kebenaran juga merupakan penyakit hati yang melanda masyarakat pada hari ini. Kebejatan sosial, politik dan ekonomi yang melanda kita pada hari ini kadang-kala memberikan kita satu konklusi bahawa lantaran pengabaian terhadap usaha menyucikan jiwa, usaha mengislahkan diri, manusia terkapai dalam medan kehidupan malah seringkali lemas mencari petunjuk kebenaran lantas tersadai di pinggir khayalan.

Apakah ciri-ciri kesufian yang memancarkan jiwa zuhud, qanaah, kesederhanaan, redha, mahabbah, syukur dan sebagainya itu hanya relevan dengan zaman silam yang hanya layak untuk dipaparkan dalam sejarah semata-mata? Apakah dengan realiti kita pada hari amat sukar rasanya untuk sekurangnya kita mencontohi mereka dalam kehidupan kita?

Apakah zaman sekarang tidak relevan untuk membicarakan sufi dan kepentingan tentangnya sedangkan kesufian inilah yang memberikan kegemilangan dan kecemerlangan kepada tamadun umat Islam malah melahirkan jiwa kental, jiwa berani, teguh dan sabar menghadapi penderitaan dan cabaran malah berasa teguh dalam menyelusuri peredaran zaman menongkah arus cabaran.

Apakah zaman kini yang disebut zaman moden amat janggal untuk kita bicarakan kesufian lantaran canggihnya teknologi yang kita miliki, majunya kehidupan duniawi yang kita huni ini. Tetapi dalam masa yang sama umat manusia pada hari ini sedang terkepung dalam bahaya Jahiliyyah abad baru.

Budaya cintakan kebendaan sudah menjadi paparan kehidupan manusia, saban waktu malah setiap detik kita didendangkan dengan alunan pembangunan kebendaan yang tidak segan silu memaparkan personaliti-personaliti mazmumah. Bahkan lebih parah mereka bukan sahaja berbangga dengan corak kehidupan yang ‘maju’ ini malah menuding telunjuk menyatakan pihak lain sebagai penghalang kemajuan, kolot dan pemecah belah umat.

Al-hasilnya dapat dilihat, kemajuan IT, pembangunan kebendaan telah dijadikan alat untuk membina kekayaan secara individu. Yang miskin dan lemah terus terancam. Kemurnian akhlak, keluhuran budi dan tingkahlaku telah dipinggir dan dipisahkan dalam agenda pembangunan.

Tokoh revolusi dan sufi, Abu Dzar Al-Ghifari ketika berteriak di hadapan mahligai mewah Muawiyah, beliau berkata: “Jika istana ini kamu bina dengan hartamu sendiri, kamu berlebih-lebihan. Sekiranya engkau dirikan istana ini dengan harta rakyat sesungguhnya kamu telah khianat.”

Runtuhya institusi politik yang berorientasikan ism-ism hubbun dunya dan hubbul jaah telah dapat kita saksikan kini. Percakaran dan perpecahan sesama mereka menjadi isu yang tidak sudah-sudah penghujungnya.

Sifat mazmumah yang tertanam dalam hati masyarakat bukan lagi perkara baru yang didedahkan. Sifat hasad dengki, tamak, pentingkan diri sendiri adalah paparan cerita yang saban hari menjadi penyakit hati dalam masyarakat. Lantaran itu seluruh masyarakat dan negara bergelut dengan masalah yang tidak-tidak sudah-sudah jalan penyelesaiannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan