07 Mei 2008

Kegersangan Dunia Moden

Ketika modenisasi datang ada beberapa reaksi kaum muslimin. Pertama kagum dengan modenisasi sehingga mereka mellihat kembali kesesuaian Islam dalam dunia sekarang. Lalu timbullah gejala sekularisme yang memisahkan agama dan politik kerana mereka merasakan hukum Islam sudah tidak relevan. Kelompok kedua ialah mereka yang menjauh diri daripada apa saja yang bernama kemodenan. Segala bentuk pemodenan dianggap Barat dan jahat. Akhirnya mereka sendiri terperosok dan terpisah daripada masyarakat. Hasilnya mereka bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah kontemporari bahkan mereka juga gagal memahami kenyataan hidup.

Kelompok ketiga ialah mereka yang bereaksi dengan penuh kritis dan meneliti modenisasi dari segala aspeknya-positif dan negatif. Misalnya, kita mahu ulama-ulama yang dibesarkan di bawah bimbingan pondok dan asuhan hauzah mampu membuat kritikan terhadap sistem dan fahaman sekularisme, nasionalisme, kapitalisme dan bermacam isme lagi. Murtadha Muthahhari misalnya sangat pakar dalam menganalisis akar-akar pemikiran marxisme. Orang-orang moden, terutama Barat dan para pendokongnya, dalam dunia moden kecewa terhadap modenisasi kerana kegersangan rasional yang dibawanya.

Maka masyarakat mula menginginkan sesuatu yang tidak logik, tidak rasional. Sehingga lahirlah apa yang disebut post-modernisme. Di dalam filem lazimnya, logika banyak dilempar jauh kerana mereka sudah jemu dengan logik, kecewa dengan rasionalisme dalam kehidupan. Lalu mereka mula memasuki hal-hal yang mistikal, yang di luar rasional. Maka di sinilah peranan para sufi dan tasawwuf itu perlu memainkan peranan bagi mengisi kekosongan masyarakat moden kini.

Ibnu Arabi atau Syed Hussein Nasr misalnya, selain berpegang kepada rasional yang kuat, juga berpaut kepada dimensi mistikal-tasawwuf. Sekali lagi tasawwuf harus memberi kekuatan terhadap kerinduan-kerinduan yang digersangkan oleh rasionalisme moden. Tragedi ‘Sauk’ adalah contoh bagaimana masyarakat yang terdiri daripada profesional, ahli korporat dan lain-lain mengidap ‘kerinduan’ mistikal ini.

Jika kita soroti kedatangan dan perkembangan Islam di Malaysia khususnya Kelantan, Islam muncul kepada kita dengan wajah yang menyenangkan masyarakat pada waktu itu. Majlis tahlil, sambutan Maulid Nabi, ziarah kubur dan sebagainya begitu cocok dengan mereka. Dan tradisi ini terus berkembang dan sentiasa dipelihara oleh para tok lebai, tok ayah, para ulama silam dan diwarisi oleh generasi berpendidikan agama hari ini. Kesannya Islam terus mendapat sambutan dan terbukti pemupukan bi’ah Islamiyyah lebih ketara di Kelantan. Dan inilah juga faktor mereka terus ingin mengekalkan kepimpinan ulama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan