12 Disember 2012

Filem Life of Pi : Pluralisme di sebalik alegori

Oleh Ali Atan

Filem ini diadaptasi daripada Life of Pi novel Yan Martel pada tahun 2001 memusatkan usaha Piscine Molitor "Pi" Patel sempena nama kolam renang terbersih dan terindah di Perancis untuk mengenali Tuhan. Pi dari Pondicherry sebuah penempatan penjajah Perancis di India. Filem ini bermula dengan pemaparan haiwan zoo dan Martel masa kini ditemu bual pengarang Inggeris yang atheis.

Semasa kanak-kanak Pi ditekankan oleh bapanya sebagai orang India moden, jangan mempercayai tradisi ajaran Hindu. Bapanya menderita polio hingga hilang percaya kepada Tuhan Hindu kemudian menemui ubatnya dalam perubatan Barat.

Pi mempersoalkan 33 juta Tuhan Hindu. Pi ke gereja meneguk Holly Water dan bertemu paderi Inggeris. Kenapa Tuhan mesti membiarkan anaknya menderita dan mati? Hujah Pi kepada pendeta.

Pi menemui agama Islam di masjid ketika umatnya sedang bersolat jemaah. Akhirnya Pi meniru amalan ajaran Hindu, ajaran Kristian dan agama Islam serentak di rumahnya. Bapanya menegaskan Pi wajar berfikiran rasional memilih satu-satu agama dan ajaran. Percaya pada banyak kepercayaan pada satu masa sama sahaja dengan seseorang yang langsung tidak mempunyai pegangan kepercayaan.

Pi mula mempercayai dirinya sendiri dengan menguji naluri harimau bengal di zoo bapanya. Bapanya menunjukkan bagaimana harimau menangkap kambing yang diikat di luar kurungan tanpa mempedulikan siapa pun.

Pi bertemu gadis penari tarian tradisi. Biarkan roh keluar dari jasad menyatakan cinta kepada Tuhan persis pandangan alam tarian sufi dalam dunia Islam. Hakikatnya langsung tidak serupa.

Namun percintaannya tidak kekal apabila Pi dan keluarganya belayar dengan kapal Jepun. Pi mencabar dewa Hindu yang menjaga hujan dan ribut. Kemudian kapal tenggelam dan musnah. Pi terselamat dalam sebuah bot bersama seekor kuda belang, orang utan, dubuk dan harimau bengal.

Jika sebelum ini cerita disampaikan secara komedi ringan. Adegan seterusnya divisualkan secara alegori. Pi secara praktikalnya menjalani ujian mengenali Tuhan. Tidak ditentukan kepercayaan Pi sebenarnya sehingga berlaku beberapa adegan. Pi berjaya menangkap seekor ikan diberikan kepada harimau bengal yang dapat berenang membahamnya jika terlampau lapar sambil Pi meminta maaf daripada Dewa Krishna yang baginya menjelma dalam tubuh si ikan untuk datang membantunya.

Ketika ribut kencang dan kilat sabung-menyabung di langit dan memanah permukaan laut hingga menakutkan harimau, Pi berdiri menyatakan “Segala puji-pujian kepada Tuhan (Allah) seru sekian alam” sama maksud dengan ayat pertama dalam Surah Al-Fatihah.

Jelaslah idea pluralisma yang menyamaratakan agama Islam dengan ajaran kepercayaan lain hingga dalam aspek keTuhanan itu mahu ditonjolkan. Kita dapat berkongsi nilai baik tetapi tetap berbeza kerana Islam menegaskan keEsaan Allah dari segi sifatNya, asmaNya, af’alNya dan ZatNya sebagai tunjang agama Islam.

Meskipun demikian filem ini tidak mempersoalkan pegangan tauhid agama Islam. Simpatik penonton ditarik untuk menerima idea pluralisme yang menolak eksklusiviti beragama. Di sinilah penonton muslim mesti teguh agar tidak termakan umpan alegori yang disaluti visual haiwan laut pada waktu malam yang meniru imej visual filem The Tree of Life yang bersifat eksklusiviti ajaran Kristian itu.

Inspirasi Martel mengalegorikan harimau dengan manusia di atas bot mirip idea novel Max and The Cats karya pengarang Brazil, Moacyr Scliar 's yang diterbitkan pada 1981 merujuk Nazisme. Harimau mewakili Pi sendiri atau Richard Parker wajah kolonialisasi manusia Barat. Resepsi saya, harimau itu merujuk nafsu kebinatangan manusia itu sendiri. Martel merujuk kisah lazim kapal karam di lautan pada abad ke-18 dan 19 apabila kelasinya menjadi kanibal setelah terapung lama dan kebuluran di lautan lepas.

Lautan adalah alegori sufi merujuk rahsia Allah. Bot atau perahu merujuk diri insan. Ketika Pi mandi di kolam di pulau berasid yang dihuni binatang meerkat, sebelum akhirnya Pi terselamat di pantai, ia merujuk penghuni neraka yang telah selesai menjalani hukuman lalu mandi di kolam atau sungai sebelum memasuki syurga Allah. Harimau meninggalkan Pi masuk ke hutan tanpa berpaling dan mengucapkan selamat tinggal. Umpama nafsu kebinatangan yang tertanggal dari diri Pi melahirkan manusia baharu persis hasil penyucian hati dalam sufi. Partel adalah gambaran Martel itu sendiri. Saya yakin Martel mendalami agama Islam hingga ke intinya. Namun jangan kita kelemasan seperti Martel mengenai hakikat keTuhanan yang mahu dikenaliNya. Martel mengakui mencari arah hidupnya dengan menulis karya ini.

Ayuh cendekiawan dan karyawan kita berganding bahu mentranformasikan karya Islamik meneroka aspek ketauhidan ke seni visual. Jangan sekadar melepaskan perasaan tidak berpuas hati sahaja terhadap filem yang dipromosi sebagai spektakular ini apabila ia menggoncang pegangan tauhid penonton kita yang terpengaruh dengan pluralisme tanpa melawannya kembali dengan filem juga!

Mingguan Malaysia 9/12/12 dalam sisipan Pancaindera.



24 September 2012

Belacak

belacak

belacak ber cak cak cak
tubuhnya berlumpur cak cak cak
lubangnya cak cak cak
malunya cak cak cak
ligatnya cak cak cak
belacak ber cak cak cak

21 Julai 2012

Siapa dia Tok Awang Ngah

Salam sejahtera. Saya berhajat untuk bertemu saudara Tanpa Nama yang memberikan komen dalam siri penulisan berkaitan TAN dalam blog ini. Ini komennya :


Tanpa Nama telah meninggalkan ulasan baru pada catatan " Mengenang Tok Awang Ngah dan Ketokohannya 2 " anda: 

Salam Saudara Ali...agak2 kul brp sampai di Sban pd sabtu 2 Jun nie.

TTC 
...
Jika saudara berada di Seremban sila maklumkan terus kepada saya untuk bertemu jika berkesempatan pada setiap masa dan waktu. Saya benar-benar berhajat untuk bertemu murid TAN atau yang pernah berdamping dengannya semasa hidup.

No telefon saya ialah : 0176601490. Mohon sms pun memadai untuk saya hubungi semula.

Ingatlah, bukan yang terdekat tapi yang jauh bukannya yang zahir semata tapi yang tersembunyi dan batin. Semua ini perlu direnungkan dengan akal yang panjang bukannya singkat. Tajam dan mendalam. Saya mohon Tanpa Nama dapat menyatakan kesudiannya, kalau saya ke rumah Tanpa Nama pun tak mengapa asalkan kita dapat bersua untuk berkongsi cerita tentang siapa Tok Awang Ngah ini. Ini sebagai salah satu usaha mengenang jasanya kepada masyarakat memandangkan buku beliau pun mendapat sambutan sejak dahulu hingga kini diulang cetak.

Tentu ada sesuatu yang dapat dikongsi kepada khalayak umum yang semakin jauh dari persona orang seperti TAN ini.

Salam ramadhan.

Al-Fatihah kepada Tok Awang Ngah penulis Siri Berkelahi Dengan Syaitan semoga Allah mengampunkan dosanya, mencucuri rahmatnya, memeliharanya daripada azab siksa, tergolong bersama para solehin dan awliyaknya. Semoga kaum keluarganya dan murid-muridnya yang masih hidup dan meninggal dunia pun mendapat rahmat bahagia hidayat selamat dunia akhirat amin ya rabbal alamin. 

Siapa dia Dr. Bagindo Muchtar (Si Sepuluh)

Salam sejahtera dan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Saya berhajat untuk melakukan review ke atas susuk tubuh dan peribadi yang memakai nama tersebut.Dengar khabarnya murid beliau masih ada di Pulau Pinang. Saya sangat berhajat bertemu salah seorang daripada muridnya. Alhamdulillah mulai bulan pertengahan Julai saya telah ditawarkan sebagai wartawan majalah Mastika. Diberi peluang untuk merobah kandungan Mastika menjadi lebih menarik, informasi dan intelektual. 

Intelektual bukannya dalam bentuk penulisan jurnal. Tetapi dalam bentuk penulisan kreatif ala Mastika yang dibauri misterius dan mistikal. Cuma pengisiannya sahaja berubah dan saya mahu lakukan perubahan.Salah satu 'perubahan kecil' yang saya akan laksanakan, insya Allah ialah memasukkan lebih banyak stori berkaitan  metafizik. Metafizik bukannya melibatkan alam hantu seram dan picisan semata-mata. Tetapi mempunyai sandaran hujah yang kuat yang berhubung kepada jiwa dan ketuhanan. Inilah makanan jiwa yang paling sedap dan enak dan tiada siapa yang dapat merasai kesedapan dan keenakannya selagi belum menikmatinya sendiri.

Justeru untuk tempoh terawal ini, saya ingin mengemukakan Dr. Bagindo Muchtar sebagai tokoh metafizik pertama. Kalau saya dapat interview seorang pun muridnya pun tak apa, tapi kena diizinkan untuk diambil gambarnya untuk paparan. Kalau malu boleh kita selindungkan wajahnya.

Tujuan utamanya ialah untuk menghidupkan dan memberitahu masyarakat keberadaan tokoh metafizik yang dalam siratan sejarah peradaban bangsa bagaikan tenggelam oleh kebohongan apa yang dikatakan sebagai kemajuan dan pembangunan. Nah, inilah kemajuan pertama yang harus dicapai, iaitu JIWA bukannya fizikal yang banyak menipudayakan mata manusia.

Jika ada siapapun kenal, terlibat, tahu, berbaiah dengan ajaran bagindo ini sila email saya atau tulis komen sahaja di ruang ini untuk berhubung. No telefon saya untuk sms dan telefon 0176601490. Ingatlah kita mencari kebenaran dan kesejagatan bukannya tujuannya lainnya.

Al-Fatihah kepada Dr. Bagindo Muchtar phd semoga Allah cucuri rahmatNya dan diletakkan bersama dengan kekasih Allah. semoga kita juga sejalan dengannya! amin. 

Sekalung penghargaan kepada murid beliau yang masih terus menjalankan aktiviti dan legasi beliau. Amat-amatlah besar jasa mereka dan menandakan bahawa ilmu Allah tiadakan pernah padam dan terhapus dek perubahan zaman. Mohon muridnya berhubung dengan saya, mohon sangat-sangat agar kita, atas nama kasih sayang Tuhan ar rahman dan ar rahimnya!

26 Mei 2012

Mengenang Tok Awang Ngah dan Ketokohannya 4

Salam sejahtera. Ilmu perubatan secara tidur dengan kembaraan roh bukanlah perkara baharu sebenarnya. Tetapi kalau kita nak katakan siapakah yang menguasai tekniknya dan hikmahnya tak ramai kita boleh tunjuk. Tok Awang Ngah antara yang paling berjaya sebenarnya dalam pengamalan ilmu sebegini. Tok Awang Ngah bukan sahaja berjaya semasa tidur malah berjaya dengan hanya melalui tafakur sahaja. Inilah rahsia tafakur yang barangkali tidak diketahui secara mendalam oleh kita walhal tafakur itu sendiri adalah sangat dianjurkan dalam agama kita. Saya sendiri sudah beberapa kali secara tidur merawat beberapa pesakit, sama ada saya kenal atau tidak. Mimpi itu bukannya mimpi merepek tetapi lengkap hujung pangkalnya dan saya tahu dengan terang sekali bagaimana saya merawat pesakit dalam mimpi saya. Pos sebelum ini menyatakan penguasaan ilmu roh atau kenal diri oleh Tok Awang Ngah memang itulah jawapan terhadap kemampuan yang dimilikinya selama ini. Ada dikalangan kita hendak ilmu macam TAN tetapi tidak mengusul diri maka bagaimana nak tahu ilmu yang sejak azali ada pada kita ini? Kita kenal diri kita setakat jasad, anggota badan dan akal fikiran sahaja tak lebih daripada itu. Walhal diri kita sempurna zahir dan batin. Renung-renungkanlah. Sebab itu dalam satu buku TAN yang terawal Jilid 4 (ada dalam kereta saya, lupa pula nak membawanya naik ke atas) ada menceritakan bagaimana TAN menidurkan orang lain dan membawa roh orang itu menembusi alam ghaib. Inilah persoalan yang mungkin membingitkan jika sampai terbaca oleh golongan yang hanya berhenti pada cerapan pancaindera dan nalar logika. Tetapi di sana ilmu roh atau kenal diri bukanlah ilmu batin yang berada di luar daripada Islam. Tetapi ia berada dalam wilayah kesyumulan agama Islam itu sendiri. Orang sekarang kenal Islam pada nama dan masjid. Lagi banyak masjid maka Islamlah kita walhal banyak atau sedikit masjid bukanlah perkiraan besar melainkan keutuhan iman dan penyertaan anak kariah memakmurkan masjid itulah yang patut dijadikan keutamaan. TAN akan terus menjadi lagenda dalam cerita seram negara kita dan saya syorkan cerita TAN ini dibukukan dalam koleksi yang lebih baik kulit buku dan kualiti kertasnya. Dijilid tebal. Sebenarnya di sana masih banyak lagi orang kita yang tahu ilmu yang diluar arus perdana ini. Bukan menjadi suatu keanehan pun.

16 Mei 2012

Mengenang Ketokohan Tok Awang Ngah 3

Nampaknya komentar terhadap entri Mengenang Tok Awang Ngah dan Ketokohannya 1 dan Mengenang Tok Awang Ngah dan Ketokohannya 2 mengujakan saya. Walau tanpa nama tapi komen yang dibuat antaranya yang menyatakan sebagai anak kepada TAN dan murid kepada anak murid TAN sangat menarik. Apatah lagi dipetik kata-kata hanya jauhari mengenal manikam dan juga tentang ROH.
            Jadi tidak bersalahan lagi saya ingin menegaskan ilmu tentang roh sememangnya amat sedikit tetapi dalam sedikit itulah ada hakikat kepada penyaksian Allah Yang Maha Esa. Saya berani memperkatakan demikian.
            Masakan tidak kalau bukan kerana bukan kerana Allah yang Maha Esa lagi Berkuasa mencipta pelbagai alam ghaib dan menghembuskan ROH ke jasad Adam! Maaf saya bukan nak berdebat. Kalau setakat berdebat menggunakan pendapat itu masih ditakuk mana. Penyaksian itu di takuk mana. Hah, silalah kaji kalau berani!!!
           Sudah tentu kita biasa mendengar turutan ini, syariat, tarikat, hakikat dan makrifat. Apa yang disentuh tentang alam roh dan kembaraan roh merentasi alam demi alam dan juga pengalaman pengembaraan roh dalam Siri Berkelahi Dengan Syaitan bukannnya syiah. Bukannya ajaran sesat. Saya membaca buku Abdul Fatah Haroun sampai yang terkini tentang akidah dan buku terbitan DBP itu sudah cukup menjelaskan kekeliruan Abdul Fatah Haroun yang memukul lambak dan menghukum sesat.
           Siapa Tok Awang Ngah sebenarnya?
          Syukur masih berpeluang lagi kita menghirup udaraNya. Semoga kita sentiasa mendapat limpahan anugerahNya. Entri kali ini saya ingin berkongsi tentang Tok Awang Ngah. Siapakah Tok Awang Ngah? Beliau ialah Allahyarham penulis dan sasterawan Negeri Sembilan bernama samaran Dharmala NS. Manakala nama sebenarnya ialah Abdul Muluk Daud. Blog ini menyatakan Abdul Muluk Daud atau Dharmala NS ialah Tok Awang Ngah penulis buku seram atau novel seram popular berjudul Siri Berkelahi Dengan Syaitan (SBDS). Sebelum itu saya saya diemailkan oleh anggota keluarga allahyarham Dharmala NS yang menafikan maklumat tersebut selepas saya menulis beberapa entri berkaitan Tok Awang Ngah antaranya boleh rujuk di sini. Blog wanmus dalam rujukan pertama di atas berlapik-lapik apabila menyebutkan bagi menjaga hati anggota keluarga Dharmala NS. Tidak dinyatakan pula kenapa tidak diterangkan lebih mendalam identiti Tok Awang Ngah mengikut penyiasatan wanmus. Dalam sumber ini dinyatakan Tok Awang Ngah ialah Abdul Latip bin Ahmad. Dan sumber tersebut juga tiada rujukan yang kuat bagi membuktikan kebenaran dakwaannya.
          Saya fikir kalau pembaca berminat untuk mencari boleh merujuk kepada anggota keluarga Allahyarham Tan Sri A. Samad Idris kerana beliau juga adalah Mamak Bandaro , mamak kepada Tok Awang Ngah yang mempunyai kebolehan ilmu sama dengan TAN. Orang-orang lama Nasrul Haq juga boleh dirujuk untuk mendapatkan cerita lama. Sebenarnya masih banyak cerita lama 'orang-orang pandai' yang belum kita generasi muda ini ketahui. Manalah tahu dalam cerita mereka ada pengajaran buat kita generasi gajet ini. Apakah kita mahukan generasi yang hanya suka menekan punat, bermain permainan digital, mengadap tv, atau melayari internet dan berhiburan tanpa mengenali susuk peribadi bangsanya sendiri. Berikut sebahagian buku seram atau novel seram TAN yang masih belum terusik oleh pengkaji sastera mana pun. Kita juga pelik dunia sastera kita sangat terkongkong agaknya sarjana sastera kita terlalu malu untuk mengkaji novel seram ini kerana bagi mereka tahyul dan khurafat. Janganlah menuduh sebarangan kalau belum meneliti dan membaca dahulu. Bacalah dahulu baru tahu. Kalau kita boleh menerima Barat sebagai dalil kajian akademik kita kenapa sumber kita sendiri kita pejamkan mata...
          Antara buku, karya, novel seram yang saya miliki , hasil penulisan Tok Awang Ngah. Buku ini mengajar saya sesuatu tentang kebesaran Allah sehinggalah menjadikan hidup yang saya rasakan kini amat bermakna. Alhamdulillah. Hidayah boleh datang dari pelbagai arah dan cara. Adakah kita mahu sedar atau mahu terus suka dibuai dunia yang sementara?Aduhai.  TAN adalah saudara saya, saudara kalian juga, bersama-sama kita mengenangnya. Ilustrasi buku hanya umpan semata tetapi isi kandungnya mendewasakan saya sebagai seorang pembaca. Jika saya meletakkan diri saya sebagai seorang anak muda yang lahir dalam tahun 90-an sehingga kini boleh saya katakan karyanya ini memberikan inspirasi kepada saya dalam banyak hal bahkan tidak salah dikatakan 'menguatkan keyakinan' saya terhadap kekuasaan Allah dan begitu luas dan misteriusnya alam ini.

Marilah menyuluh diri agar segala rahsia terbuka sendiri.