Salam sejahtera. Ilmu perubatan secara tidur dengan kembaraan roh bukanlah perkara baharu sebenarnya. Tetapi kalau kita nak katakan siapakah yang menguasai tekniknya dan hikmahnya tak ramai kita boleh tunjuk. Tok Awang Ngah antara yang paling berjaya sebenarnya dalam pengamalan ilmu sebegini. Tok Awang Ngah bukan sahaja berjaya semasa tidur malah berjaya dengan hanya melalui tafakur sahaja. Inilah rahsia tafakur yang barangkali tidak diketahui secara mendalam oleh kita walhal tafakur itu sendiri adalah sangat dianjurkan dalam agama kita. Saya sendiri sudah beberapa kali secara tidur merawat beberapa pesakit, sama ada saya kenal atau tidak. Mimpi itu bukannya mimpi merepek tetapi lengkap hujung pangkalnya dan saya tahu dengan terang sekali bagaimana saya merawat pesakit dalam mimpi saya. Pos sebelum ini menyatakan penguasaan ilmu roh atau kenal diri oleh Tok Awang Ngah memang itulah jawapan terhadap kemampuan yang dimilikinya selama ini. Ada dikalangan kita hendak ilmu macam TAN tetapi tidak mengusul diri maka bagaimana nak tahu ilmu yang sejak azali ada pada kita ini? Kita kenal diri kita setakat jasad, anggota badan dan akal fikiran sahaja tak lebih daripada itu. Walhal diri kita sempurna zahir dan batin. Renung-renungkanlah. Sebab itu dalam satu buku TAN yang terawal Jilid 4 (ada dalam kereta saya, lupa pula nak membawanya naik ke atas) ada menceritakan bagaimana TAN menidurkan orang lain dan membawa roh orang itu menembusi alam ghaib. Inilah persoalan yang mungkin membingitkan jika sampai terbaca oleh golongan yang hanya berhenti pada cerapan pancaindera dan nalar logika. Tetapi di sana ilmu roh atau kenal diri bukanlah ilmu batin yang berada di luar daripada Islam. Tetapi ia berada dalam wilayah kesyumulan agama Islam itu sendiri. Orang sekarang kenal Islam pada nama dan masjid. Lagi banyak masjid maka Islamlah kita walhal banyak atau sedikit masjid bukanlah perkiraan besar melainkan keutuhan iman dan penyertaan anak kariah memakmurkan masjid itulah yang patut dijadikan keutamaan. TAN akan terus menjadi lagenda dalam cerita seram negara kita dan saya syorkan cerita TAN ini dibukukan dalam koleksi yang lebih baik kulit buku dan kualiti kertasnya. Dijilid tebal. Sebenarnya di sana masih banyak lagi orang kita yang tahu ilmu yang diluar arus perdana ini. Bukan menjadi suatu keanehan pun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan