27 April 2010

Forest Gump dan Jibam


Frest Gump sebuah filem yang secara literalnya cuba memaparkan watak Forest Gump sebagai insan autisma. Namun demikian sesudah saya menonton berulang kali dan cuba memahami setiap babak yang ditayangkan itu, saya terkesan bahawa FG bukan semata-mata kisah insan autisma dengan segala feelnya yang serba lambam, lurus dan tampak bodoh. FG cuba memaparkan sebuah satira halus yang menyinggung permasalahan sosial, politik dan budaya moden atau budaya popular.

Saya tidak dapat membayangkan jika FG benar-benar wujud di alam syahadah ini, dan ia benar-benar berlaku apabila FG berlari dan terus berlari sehingga panjang janggutnya dan mempunyai pengikut pula di belakangnya itu, kerana khabarnya lariannya memberikan inspirasi kepada insan lain. Suatu babak, FG berhenti berlari, ketika itu setting di lembah Grand Canyon kalau tidak salah saya, dan semua pengikut yang turut berlari dengannya pun berhenti berlari. Semuanya tertunggu-tunggu apa yang akan diperkatakan oleh FG pada babak yang bersejarah itu. "Saya penat. Saya mahu pulang." Itu sahaja kata-kata FG. Dalam babak yang biasa, bayangkan beberapa rekod dipecahkan dan kita diberi peluang untuk bercakap, maka sudah tentu kata yang kita mahu tuturkan itu adalah bait-bait kata yang bombastik agar dikagumi oleh para pendengarnya.

FG menidakkan jangkaan itu dan sebenarnya perwatakan FG itu bukanlah suatu yang asing kerana trait personaliti FG telah dapat membayangkan aksinya. Contohnya, semasa FG "berlari" dengan tanpa tujuan tertentu, hanya mahu berlari, FG diminta oleh taukey pencop baju untuk memberikannya suatu lakaran atau idea untuk cop bajunya, FG hanya melakarnya iras wajah manusia yang tersenyum sahaja dan diakhabarkan sesudah itu taukey itu berjaya dalam perniagaan bajunya. "Kasut boleh menceritakan kemana kita pergi dan kasut boleh menceritakan siapa kita." Kata-kata FG yang berfalsafah-dalam ertikata afala tatafakkarun. Oleh kerana kaki itu juga dinyatakan diakirat akan boleh bercakap termasuk anggota tubuh kita lain apa yang kita telah lakukan (aksi) dengannya.

Dalam hal ini saya teringat pada novel Jibam oleh Ujang. Novel Jibam menceritakan kana-kanak yang lambam seperti itu. Skop penceritaan Jibam hanya berkitar daerah diri dan masyarakat lokal sekelilingnya. Malahan Jibam ditampilkan sering dianiayai dan melakukan beberapa perkara yang dianggap bodoh. Perwatakan Jibam tidak berkembang sebagaimana watak FG. Perwatakan FG bukan semata-mata suatu salinan insan autisme dengan segala perlakuan atau tingkah laku autismanya, tetapi perwatakan FG berkembang kepada yang lebih luas dan sejagat sifatnya sehingga boleh dijadikan bahan motivasi. Jika Jibam dikejar oleh Tok Ngah Sudin sehingga dikerjakan separuh mati, tetapi FG dikejar oleh kanak-kanak nakal dengan basikal dan FG berjaya melepaskan dirinya. Kaki mekanikal yang membantu otot kakinya melangkah telah relai sewaktu dia dikejar dan FG terus berlari tanpa apa-apa kesan yang membimbangkan."Kadangkala keajaiban boleh berlaku."

FG juga dikejar sewaktu disudah remaja, kali ini dengan kereta, tetapi FG berjaya juga melepasi dirinya daripada kejaran itu. FG juga mempunyai cinta walaupun cintanya itu cinta yang baik dalam ukuran Barat, namun cintanya itu dikakhiri juga dengan perkahwinan dan isterinya mati tidak lama kemudian.

Dalam novel Jibam, Jibam tetap kekal sebagai watak kanak-kanak autisma yang terus dengan tingkahlakunya dan dibuli atau dikejar lalu di 'kasi habis-habis' sehingga separuh mati. Walaupun Tok Ngah Sudin dihukum dengan babak mistikal namun demikian Jibam pada akhir ceritanyaa tetap sebagai wujud sebagai kanak-kanak terencat akal yang berada dalam daerah diri dan masyarakat sekelilingnya. Maknanya tiada perkembangan watak ke arah watak simbolik. FG merupakan watak simbolik yang menjadi kreatif di tangan pengarangnya.

Walaupun demikian tidak dapat dinafikan Jibam merupakan karya kreatif yang berjaya, namun kejayaan Jibam terletak pada aspek pengolahan bahasa yang ringkas, mudah, dan terus kepada inti cerita. Kejayaan Jibam pada akhirnya berjaya memberikan kesan emosi simpatik kepada watak utamanya, Jibam. Manakala kejayaan watak FG terletak pada kesan emosi yang pelbagai hasil daripada perkembangan watak daripada watak salinan kepada watak simbolik.

Perkembangan watak salinan atau watak realiti kepada watak simbolik merupakan beberapa rahsia keunggulan sesebuah teks sastera. Watak simbolik ini jika dapat ditakrifkan ialah, watak yang menjadi alat kepada pengarang untuk menyampaikan apa sahaja mesej dengan cara yang aneh dan pelik kepada audeins. Manakala watak salinan atau watak realiti merupakan watak yang secara terus dapat dikesan trait personalitinya dalam sesebuah cereka dan pengarang terikat betul dengan trait personalitinya. Walaupun FG merupakan watak realiti namun pada perkembangan berikutnya FG menjadi watak simbolik pada pelbagai isu sosial, politik, tanggapan dan retorik.

Saya tidak mendapat kesan simpatik sesudah habis menonton FG tetapi saya mendapat kesan emosi pelbagai yang mengajak saya menjejak semula babak-babak yang telah berlaku dalam kehidupan FG. Sebaliknya Jibam memberikan kesan simpatik kepada saya. Saya juga merasa kesal kenapa Sumam mati dan Tok Ngah Sudin berjaya memukul kanak-kanak lambam seperti Jibam!

Kedua-dua buah karya yang diperbandingkan ini merupakan suatu bacaan resepsi daripada saya selaku audiens. Ia bukan bertujuan untuk menilai karya mana yang lebih baik daripada karya yang lain. Kedua-duanya baik, namun dari segi perkembangan sesebuah karya, FG merupakan hasil karya yang baik, jika dinilai daripada aspek penceritaan (bukan genre, walaupun FG ada dalam bentuk novel sblm ini).

Jadi selaku pengarang hendaklah kita dalam mengarang itu bukan menjadikan watak itu statik sebagai watak realiti sehingga ke garisan penamat cerita tetapi jadikanlah ia sebagai watak simbolik yang memberikan kesan emosi yang pelbagai lalu ditamatkan dengan suatu epilog yang positif.

Kerana karya yang baik pada akhirnya menyumbangkan inspirasi kepada audeinsnya. Kita tunggu Jibam edisi filem yang bakal ditayangkan tidak lama lagi!Sambil-sambil itu bacalah novel Jibam berulang kali dan tontonilah filem FG  supaya lebih mahfum kita akan makna yang terdapat di dalamnya. 

Sastera itu bermula daripada karya bukannya daripada gagasan-gagasan yang bertujuan untuk menempelek orang lain secara mandatori.

20 April 2010

Stream of Consciousness dab Interior Monologue

"Stream of consciouness", merujuk pada sebarang bentuk pendedahan fikiran manusia yang tidak menurut urutan logik, non-gramatikal dan ditumpukan kepada pola-pola pemikiran yang asosiatif, tidak kira sama ada diucapkan atau tidak. Ia adalah proses mental atau cognitif process.

Manakala, "interior monologue" merupakan "soliloquy", yang tidak diucapkan.

Dalam jagat kesusasteraan tanah air, novel Sampah oleh Shahnon Ahmad dapat dijadikan contoh akan kehadiran dua aliran ini. Novel Pararuhi terlalu hebat kerana ia melibatkan kembara Roh namun tetap dalam batas yang ada dalil-dalil syara'.

Aliran ini sebenarnya berbentuk spektakular. Maknanya, aliran ini dapat digunakan dalam acuan sesiapa sahaja. Aliran ini tiada kaitan dengan pengaruh agama dan faham-faham apa pun. Kalau ada yang menyatakan aliran barat ini adalah aliran syaitan untuk memusnahkan Islam saya rasa dia sebenarnya yang diburu bayang-bayang sendiri.

Aliran ini dapat dilihat dalam novel-novel yang sarat dengan faham Islami seperti Mereka Yang Tertewas I dan II. Novel ini wajar sekali dibaca oleh angkatan sarjana Affandi Hassan, Ungku Maimunah dan Zariat Abd Rani. Termasuk sahabat saya yang bakal menjadi sarjana iaitu Mohd Zarif Hassan. Saifulizan Yahya  sudah saya nyatakan bahawa hasil sastera kreatif negara kita sangatlah luas dan banyak. Saifulizan dalam beberapa pertemuan mendepani isu "Gagasan Persuratan Baharu" ini dalam geraknya untuk mencari penyelia disertasinya, (syukur biasiswa daripada DBP itu) yang kini sudah dicamkannya ialah Zariat Abd Rani.

Saya tidak pesimis dalam hal ini kerana akhirnya pelajarnya menentukan hala tuju kajian ilmiahnya. Saifulizan sekurang-kurangnya bermula dari kefahaman yang jelas akan sifat sastera yang pelbagai itu, dan Saifulizan memasuki dunia akademik sastera ini dengan persediaan mental dan qalbu yang sudah memahami bahawa "terdapat karya sastera semasa dan mutakhir ini yang Islami dan tidak langsung bertentangan dengan ajaran Islam."

Namun demikian dalam perjalanan ini, ke destinasi yang sama, walau lorong berbeza, Zarif bertolak daripada rasa pesimis yang amat mencengkam sanubarinya. Saya fikir dia terkeliru antara pertembungan pemikiran falsafah dengan kesusasteraan. Ya, saya seperti membuka gelanggang dengan lebih luas pagarnya untuk dimasuki dengan berbagai-bagai hujah dan premis.

Justeru saya menfokuskan bahawa, yang kita tekankan di sini ialah sifat sastera itu kerana ia dicipta oleh manusia yang pelbagai bangsa dan budaya serta agama jadi logiklah hasil sastera itu berbagai dan variasi pula.

Dalam konteks sastera Malaysia, pengarang kita sememangnya yang Melayu muslim, yang mutakhir ini tiada suatupun membuat anjuran kearah kejahatan. Ada unsur kejahatan dalam karya sastera Melayu seperti novel porno tetapi harus diingat sarjana kita yang terdidik di Barat dan tidak membaca falsafah Alatas pun menolak novel porno sebegini. Novel porno dalam maksudnya novel yang mendeskripsikan perihal hubungan penetral. Soal naik nafsu berahi atau tidak itu subjektif sifatnya, kerana kita mungkin naik berahi juga kalau kita memandai-mandai bermain dengan imiginasi sendiri tatkala membaca sepotong ayat Al Quran, "mereka mendatangi daripada belakang..."Jadi adakah salah AQ?Ini premis yang rinci jgn bukakan dengan generalisasi yang bukan-bukan.

Selain daripada contoh novel MYT terdapat juga kumpulan cerpen yang kuat daya Islaminnya seperti Suatu Subuh Yang Bening.  Saya teringat cerpen-cerpen yang memerihalkan tentang alam barzakh ini yang menang hadiah sastera darul takzim yang saya lupa judulnya. Malahan novel Perjalanan Ke Akhirat juga merupakan salah satu contoh daripada sekian banyak novel Melayu yang bukan membawa Alatas, tetapi pemikiran keagamaan dalamnya begitu hebat dan mengalahkan SOC itu sendiri. ia adalah multi supersedar yang diboosterkan dengan amalan yang merupakan respon tindak balas terhadap wirkung pembacaan.

Biarpun novel Salam Maria ditolak, namun kenapa dengan mengambil contoh satu dua novel Melayu lalu di SIMPULKAN BAHAWA SASTERA MELAYU SEMASA DAN MUTAKHIR INI SEMUANYA DEVIAN DAN DAJJAL.

Saya tidak setuju kerana generalisasi ini menampakkan kehaprakan pemikiran. Gagasan Persuratan Baharu didirikan diatas tungku novel-novel yang dianggap najis dan jahat ini. Kenapa GPB tidak menghuraikan secara TUNTAS KARYA-KARYA SUFI DUNIA DAN ALAM MELAYU yang dijadikan hujah untuk menegakkan sastera yang benar kononnya. GPB ditegakkan atas dasar memijak dua tiga buah novel Melayu lalu membuat proklomasi bahawa sastera Melayu ini SEMUANYA HAPRAK tak sama karya persuratan dahulu.

Karya persuratan dirujuk karya-karya kitab Islam Melayu tradisi atau kitab kuning. Saya telah mengatakan kitab kuning lebih baik daripada 10 buah buku ulasan atau kritik falsafah (kalau dalam tardisi sufi pembicaraan najis seperti bermain dengan najis itu sendiri yang mengotorkan tangan dan hati si pemainnya) malangnya saya dikritik pula dengan kata asas agama tidak mencukupi mendepani isma Barat yang dikatakan macam Sang Bota mahu memijak Islam. Apa difahami asas yang dimaksudkan itu atau sekadar faham asas Islam itu merujuk berwuduk atau mandi hadas besar?

Nampaknya ujikaji saya agak berjaya. Oleh kerana berpegang kepada karya persuratan apabila diajukan "karya persuratan Melayu tradisi" itu  terkapai-kapai tak terbaca apatah lagi tak terbincang pun. Siapalah hendak membaca Kitab Hikam Tokku Pulau Manis ataupun setidak-tidaknya Tsmarat al Muhimmah dikalangan penyanjung GPB itu.

Itulah yang anehnya. Kalau GPB TIDAK menyatakan karya Sastera semasa ini seperti mana saya masukkan di atas, yang sebenarnya banyak lagi, teater fitrah, karya puisi Islami, dan drama-drama Islami bagaimana dalam hasil kajiannya hendak mengatakan SEMUA HASIL SASTERA MELAYU MUTAKHIR adalah bangang dan tertolak lawan Islam atau agungkan pelacur.

Simpang kiri, saya membaca Salina tidak pula mahu menerima bujukan Salina di lorong Chow Kit Road malah terketar--ketar lutut saya dikejar mereka yang sebahagiannya maknyah2!.

Saya tidak pula jadi Abdul Fakar menyimpan perempuan pemuas nafsu.

Malahan dalam kajian GPB, tiada pun perincian dibuat pada bab-bab menyatakan BAGAIMANA MASJID DIJADIKANN TEMPAT PERLINDUNGAN dan SHELTER DIBINA DI KAWASAN MASJID dan MASJID MENJADI POPULAR SEWAKTU PERANG.

Tinggalkan Soal Salina yang sudah dijadikan salah satu kaki tungku berdirinya Gagasan Persuratan Baharu. Saya sebutkan dengan terang kini, mengapa GPB tidak mengambil contoh novel Melayu lain dalam kajiannya terhadap sastera Melayu?Apakah ADIL ATAU ZALIM KITA MENJATUHKAN KUTUKAN BAHAWA SEMUA SALAH KERANA SALAH SATU DIANGGAP SALAH?

Ini putaran ganas kejahilan, atau meminjam istilah Syed Hussein Alatas, pandirisma sebenarnya. Kejakian ini boleh timbul banyak sebab antaranya sebab kecewa amat sangat dengan beberapa peristiwa yang tidak memihak karya atau diri sendiri. Sejarah tidak pernah menipu dan berbohong.

Perangai jaki ini sebenarnya ada dikalangan yang berkaitan bukan sebelah pihak sahaja. Entahlah dendam kesumat atau apa. Saya generasi baharu saya malas hendak fikir soal jaki menjaki ini lantaklah, generasi terdahulu berjaki sesama sendiri, saya rela jadi Jaki Jipang sahaja.

Bagi penyanjung GPB saya juga sebenarnya mengkritik pun teori Barat dan sastera serta faham2 barat namun saya melihat kita perlu menjadi pengkaji yang profesional dan berwatak ilmuwan yang penyabar dan sejati. Bukannya ikut-ikutan terhadap generasi terdahulu yang terperangkap dalam putaran ganas jaki menjaki (baca kedengkian dendam kesumat kata mengata puak berpuak).

Kalau kita hendak buat suatu tanggapan bahawa SASTERA MELAYU SEKARANG HAPRAK MACAM TAHI maka kita kena buktikan hujah itu benar. Hah, saya tahu ada yang sudah menyambutnya dengan bersungguh hati. Saya tidak tahu apakah dia akan dapat buktikan atau gunakan metod "mencari kesalahan orang lain dan membesar-besarkannya jadikan ia ribut Greng atau puting beliung."

Metod kajian tiada masalah gunakanlah walaupun Alatas sekalipun, Namun bagaimana saya cakap mula tadi bahawa sesebuah pendapat tidak didirikan diatas memijak sesuatu yang jahat untuk menonjolkan diri sendiri itu baik, tetapi pendapat itu didirikan diatas contoh diri sendiri yang dapat ditauladankan dan bersikap hikmah mendepani kejahatan.

Dalam konteks sastera, pengkaji yang cinta Islam berjuang fisabilillah ini gopoh haruslah dijauhi. Tenang dan hikmah mengkaji. Saya syorkan ambillah teks sastera yang tinggi nilai Islaminya seperti puisi-puisi mutakhir Suhaimi Hj Muhammad malahan dalam kumpulan puisi Nyanyian Undan ada puisi yang sangat hebat akan renungan metafiziknya yang berkaitan dengan alam sekitar dan alam wujud. Karya itu sudahpun melepasi tahap "kemunafikan sastera Islam" menuju sastera Islami yang mukhlis kudus. Banyak lagi kumpulan puisi As Suhaimi ini yang kalau dikaji kalau bukan dari GPB pun sudah amat kuat dirinya sebagai sebuah karya yang menemukan Hakikat Kebenaran Sejati.

Ayuh, sahabat saya sekelian, bermula daripada sekarang. Sarjana bukan penghasil tetapi pengkaji yang meletakkan asas kekuatan bidang yang ditekuni bukan sekadar pengkritik yang tidak memberikan contoh karya yang baik untuk ditauladankan.

Kita buang Salina atau Salam Maria, ini karya As-Suhaimi sedia untuk dikaji dan diletakkan ditempat sewajarnya.

Tak perlu saya bagi contoh yang lain kerana khabarnya bakal atau sarjana ulung ialah mereka yang rajin menerokai dan membaca. Jangan pula hendak jadi sarjana sastera tetapi tidak rajin membaca karya kreatif, hampehkan karya yang hampeh, tinggikan karya yang tinggi, kenapa tidak, apa alasan lagi?Mahu terus gunakan Salina lagi, sesudah hujah ini saya hanya mahu ketawa besar-besar sahaja kepada yang masih menggunakan Salina sebagai hujah membuat pengitlakan terburu-buru bahawa sastera tanah air macam hampeh dan tiada berguna.

Ayuh GPB bangkit daripada berdiri diatas kaki tungku Salina bangkitlah dengan hiasan jubah putih karya-karya Islami yang putih. Barulah wajar dan adil.

(Memori:Teringat Timbang Terima dan Meditasi kumpulan puisi oleh Kemala.(namun istilah meditasi saya tidak setuju!)

19 April 2010

Suatu Hikmah

Biarpun kita mempunyai banyak takrif ilmuwan namun secara asasnya kita semua, manusia ini adalah ilmuwan. Kita berupaya berikhtiar mengubah nasib kita sendiri. Ikhtiar mesti dihubungkan dengan ilmu kerana tanpa ilmu kita tidak akan mampu berikhtiar malah menjadi manusia yang putus asa sentiasa. Menjadi manusia yang baik kadangkala tiada kaitan dengan agama dan Tuhan. Kenyataan selapisnya pastilah nampak kasar. Persoalanya kenapa kita sentiasa mahu melihat pada selapisnya sahaja?Inilah yang patut difikirkan dengan sesungguh hati.

Jangan ditafsirkan ilmuwan hanya merujuk orang tertenntu sahaja. Ilmuwan dalam Al Quran ialah mereka yang memandang alam ini, alam sekitar dan sekelian alam wujud ini seraya berfikir akan keagungan Allah lantas berkata, "Tiadalah engkau jadikan semua ini dengan sia-sia."  Tentulah kontradik dengan premis mula-mula tadi yang nampak kasar. Persoalannya kenapa mahu melihat selapis makna semata?

Soal kita tahu apa itu ilmu, faham apa itu makna (ma'na ada sistem ejaan lama, maka gunakanlah sistem ejaan baharu yang telah disepakati jumhur ulamak bahasa akan sistemnya)faham entah apa-apa lagi maka dapatkah kita akan faham yang sebenar faham?


Faham isma2 dan faham Islam itu sendiri bukan tanda faham sebenar faham akan hakikat segala kejadian dan af 'al Allah dalam alam wujud ini. Andai kita merasai kita faham sebenar faham sebelum kita difahamkan dengan faham sebenar faham maka jadilah kita manusia yang tidak faham-faham akan tanda-tandaNya.

Sementelahan ayat ini juga tandaNya. Bahasa juga tandaNya. Blog, tulisan, buah fikiran, idea dan semua yang kita cerap dgn kekuatan pancaindera lahir dan pancaindera batin itu semua tanda-tandaNya. Mengappa kita angkuh sangat dengan faham sesuatu itu diatas kertas kkita cepat sahaja sangka-sangka kita sudah faham semuanya dan segalanya.

Faham sebenar faham ini semua manusia boleh mencapainya dengan syarat beramal dengan apa yang dimanahkan kepadanya. Amanah ini suatu perkara mustahak dalam mencapai faham sebenar faham kerana kegagalan memperolehi amanah ini menyebabkan amalan kita tidak akan membuka pintu faham sebebar faham.

Dahulu, seringkali saya berkata kepada M bahawa, ""Engkau sudah menjumpai pintu tetapi mengapa engkau tidak pandai membukanya?" Dia tersengih sahaja. Malahan M bukan hendak buka pintu itu malahan M berlegar-legar memerhatikan dan asyik mengamati sesuatu yang bukan tujuannya. Justeru inilah faham yang belum sempurna lagi.

Isyarat Allah ta'ala ialah, sebaik-baik hamba ialah hamba yang bertaubat. Mustahil tiada manusia berdosa. Manusia ada dosa-dosanya dan sebaik-baik manusia berdosa ialah yang bertaubat. Maka taubat itulah kuncinya. Taubat itu kunci amalan. Amalan itu adalah amanah. Amanah itu diambil daripada yang berHAQ, Bukannya siapa-siapa.

Faham sebenar faham itu menjamin akan ketidaksasulan dalam mendepani faham-faham songsang manusia derhaka. Faham-faham ini diwujudkan Allah dalam kerangka "Mereka merancang, maka Aku JUGA merancang." Faham-faham yang kita tentang hebat ini, adalah faham-faham yag Allah sendiri nyatakan, "Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakinya." Ditakdirkan Allah nasib kita sejakk azali dimana destini kita. Maka janganlah kita ini jadi seperti yang diberitahu Tuhan, "Kamu hanya memberi peringatan. Kamu tidak ditugaskan menjadi penjaga mereka drp kesalahan dan dosa-dosa. Setiap dosa dan kesalahan diitanggung oleh si pendosa dan tiada yag menanggng dosa rang lain."

Masalahnya kita dihabiskan masa untuk menjadi manusia beriman yang melanggar seruan Tuhan. Akibat pelanggaran itu maka akan timbullah ruang-ruang uthopia yang membengkak dalam kepala maka berdegar2lah kita dalam berucap menegakkan al haq. Walhal, "Al haq itu hanya pada sisi Kami." Akibat melanggar itu juga kita menjadi manusia yang pesimis kepada alam ini dan memusuhi musuh Allah dengan cara yang bukan yang Allah tunjuki, kata Allah,, "Jika engkau kasih cinta akan daku maka ikutilah Daku nescaya engkau mendapati Allah itu maha kasih lagi maha ampun."

Perlawanan kita terhadap musuh sepertimana, manusia yang mempertahankan maruah dirinya. Islam suruh kita jaga maruah tetapi yang dimaksudkan ini dalam situasi  Islam ditekan maka kita janganlah jadi manusia beriman yang tertekan.

Tertekan sehingga jika ada saudara kita lain sedikit dengan kita (kecuali lari banyak spt soal akidah dan soal dahan-dahan utama ASWJ)maka kita meloncat berdebat. Sikap suka berdebat untuk meninggikan maruah diri atau Islam itu kononnya ialah topeng syaitan semata, kerana sikap itu menghala kepada ghulu.

Kasih manusia berdosa. Pandang mereka dengan kasih. Kasih mereka yang berdosa.Adakah kenyataann dan faham ahlullah ini dapat difahami?

Hendaklah kita sentiasa memohon ampun kehadrat Allah dan sentiasa muhasabah. Muhasabah ini penting sebagai muraqabah. Musyahadah itu makamnya ahlullah dan makrifah itu milik mereka sahaja maka kalau ada yang sangka-sangka sudah memiliki pengetahuan ahlullah maka nyatalah syaitan suaranya dan kakitangannya. Nauzubillah.

Setiap kita sesat melainkan yang ditunjukiNnya.

18 April 2010

Selamat Menduduki Peperiksaan

Kepada pelajar Falsafah, Logik dan Etika Melayu, saya mengucapkan selamat menduduki peperiksaan pada esok pagi, 19 April 2010.  Saya mendoakan kalian dapat menjawab soalan dengan tenang. Anggaplah jawapan yang anda akan beri itu merupakan suatu pandangan khusus anda sendiiri. Anda merujuk pandangan tokoh namun akhirnya anda perlu kemuakakn pandangan anda sendiri. Misalnya dengan perkataan ini, "Pada pendapat saya...Pada pandangan saya...Namun demikian saya berpandangan...Pada fikiran saya...Ingatlah, semua sekali jawapan anda itu boleh saja daripada rumusan pandangan Barat lalu ditapis dengan agama Islam dalam konteks Melayu yang hypothethical. Wajarlah anda menduduki peperiksaan ini dengan berlapang dada, ghairah dan penuh dengan semangat yang positif, jauhilah kemalasan dan sifat negatif atau mundur sebelum berjuang. Ingatlah setiap titis dakwat anda tidak sia-sia kerana semuanya itu akan memberikan kesan yang besar dan unggul dalam perjalanan anda mendapat ijazah. Tradisi pengijazahan berkait rapat dengan adab dalam Islam. Bermakna ikatan antara guru dan murid itu amatlah tinggi sekali dan mulia dari kacamata Islam. Anda harus yakin dan terus mara esok dan hari seterusnya. Cuma saya risau anda menggunakan kependekan atau bahasa rojak sahaja sewaktu menjawab kerana ia boleh menjejaskan markah anda dengan teruk. Jadi jaga bahasa kerana bahasa menunjukkan siapa diri anda. Sama ada anda seorang yang bagaimana dapat ditafsirkan menerusi tulisan anda. Saya mungkin berada di sana bergantung kepada keadaan. Apapun doa saya sentiasa mengirini anda sekelian. Insya Allah.

16 April 2010

Catatan Unik Barangkali Sedikit Absurd Bagi Yang...(I)

Walaupun saya menulis catitan ini di rumah, namun saya menulis catitan ini hasil daripada beberapa babak kehidupan yang luas dan serba unik ini.

Keunikan babak dalam hidup ini mungkin boleh dianggap absurd namun bukanlah wujud dalam bentuk yang penuh.

Kadangkala hidup ini bila direnungkan banyak sekali keunikan dan parodinya. Inversi dan konvensi saling berganti arah, namun dalam konvensi pasti ada inversi dan pasti ada keunikan.

Andai saya curahkan apa yang saya dapatkan daripada renungan dan taakulan saya pastilah ini akan mendedahkan apa yang saya sedang lakukan.

Sedikit sebanyak pembaca akan tahu perspektif dan persepsi saya-saya kadangkala memandang babak-babak kehidupan dari sudut yang normal dan realiti yang membosankan. Rutin harian termasuk rutin kerja dan rutin rasmi amatlah tidak menyenangkan saya.

Namun demikian tidak bermakna saya menjadi manusia bebas norma dan nilai serta ajaran Tuhan. Saya tetap berusaha meletakkan diri saya dan jasad saya pada tempat yang tepat dan benar.

Namun renungan dan taakulan menjangkau lebih daripada itu. Saya beri contoh sedikit. Misalkan kita di sebuah Fun Fair yang meriah. Semua pengunjung datang untuk berkongsi kemeriahan dan kegembiraan. Kemeriahan itu terhasil daripada kebisingan suuara manusia, suara mesin dan suara-suara alatan. Warna warni pakaian, rupa, kostum menjadi terlalu indah disuluh neon-neon yang menerangi kegelapan malam. Malahan sudut-sudut samar itu banyak sekali aktiviti berlaku. Misalnya ada kereta telah dipecahkan tingkapnya. Ada kereta dikopak pintunya. Tanpa alarm berbunyi sebagaimana diharapkan.

Dalam suasana meriah dan bising itu ada pula kita melihat seseorang yang tidak mengangkat wajahnya sebagaimana orang lain yang memuluas leher ke sana ke sini menikmati kemeriahab yang terbentang. Seseorang itu biarlah kita namakannya Q.

Q berjalan sendirian, tiada berteman atau berpacaran dengan sesiapapun. Q memakai baju bewarna kelabu. Kainnya kusam. Tiiada akseseori pada tubuhnya melainkan sebuah arloji di tangan kirinya. Di tangan kanannya ada sebuah buku catitan. Erat dalam genggamannya. Q menelusuri Fun Fair yang meriah dan bising itu tanpa merasai apa-apa perasaan meriah dan gembira. Kebisingan dan kemeriahan sekitarnya tidak menganggu sesiapapun. Q bagai membawa fikirannya sendiri yang memberat di kepalanya hingga menekan pangkal tengkuknya.

Q berjalan dan terus berjalan. Sehinggalah kita yang sedang melihatnya ini seraya menegurnya:

"Mengapa encik berjalan sambil menundukkan wajah?"
"Kerana bumi ini bulat."jjawab Q. Kita merasa pelik, mengerutkan dahi yang menbuatkan muka jadi hudoh itu tetapi suara-suara hati mula bercapahan bagai caj-caj elektrik pada bumi yang digesel oleh awan mendung.
"Maksud saya mengapa encik bermuran durja?Adakah kemeriahan ini tidak memadai untuk membuatkan encik merasa gembira?"
"Tidak."
"Jadi kemeriahan yang bagaimana yang encik perlukan?"
"Tidak...saya berada dalam suasana yang sunyi dan sepi, Hening dan halus."
"Oh begitukah...atau encik mahu menaiki Roller Coster dengan saya?"
"Tidak...sayalah yang paling bising dan meriah. Manakala orang disekeliling saya adalah manusia-manusia sunyi dan sepi. Bosan dengan hidup.Saya...saya tidak begitu."
Kita pun mati bicara, bukannya mati akal. Mati akal ialah menjadi gila ataupun mati jasadiah. Q menghilangkan dirinya di antara ribuan pengunjung yang seolah-olah tidak pernah perasan akan kewujudannya.
+++
Q benar-benar wujud. Ini salah satu protaip keunikan manusia. Yang barangkali bagi membaca dan memahami absurd akan mengakuinya absurd. Orang Terasing, albert camus?Oh tidak. Ini bukanlah kematian yang tidak membri peringatan. Tidak semestinya TIADA BERPERASAAN yang terzahir pada luar itu sama dengan yang di dalam itu. Di dalam mana?ENTAHLAH, kerana sedalam-dalam hati sudah dapat diteroka meskipun secubit cinta, Atau berahi?
+++
Sejenis lagi prototaip keunikan manusia ialah R. R seorang tua yang kesunyian yang diukur pada  zahirnya-tiada sahabat dan mengasingkan diri pula.

R memasuki sebuah masjid dan iktikaf. Di sana R solat jemaah dan sesudahnya R bingkas keluar masjid menatap langit. Tidka lama kemudian, pembesar suara mula membesarkan suara ustaz-ustaz untuk memberi ceramah agama atau kuliah agama atau kuliah magrib. Risalah jadual pengajian(sbgmana tercatit pd risalah) kuliah maghrib(sebagaiman diucapkan oleh sesetengah ustza dlm kata alu-aluannya), kuliah agama (sebagaimana yang tercatit pafa tabung-tabung derma masjid yang beredar dikalangan jemaah)dipegang R. R membalik-balikkan risalah itu dengan cepat. Seolah-olah mencari sesuatu pada sekeping risalah jadual pengajian yang berselerak di atas tray risalah khas.

Agaknya R mahu mencari ruang kosong, kerana ditangan R sudah ada pena yang bersedia untuk dicecahkan ke permukaan kertas. Apabila R telah menemui ruang kosong itu, R mula mahu menulis. Suara ustaz dicorong terus membesar dan memasuki fasa bercerita. Sekali itu, terdengar suara ketawa jemaah menyambut cerita-cerita jenaka ustaz. Ikut sama mencuri masuki melalui corong pembesar suara masjid. Dan kubah-kubah ini tetapp agam dan diam juga. Kuah masjid ini bagai perhatikan sahaja R yang terkial-kial mahu menulis tetapi mata penanya pula enggan meneteskan dakwatnya. Justeru tiada dakwat pada kertas ntuk membentuk kata da ayat. Yang ada hanya kesan lorekan. Itupun R cuba berpuas hati dan terus menulis. Namun apabila R berhenti menulis, R cuba membacanya kembali, R kecewa, lorekan tanpa dakwat samalah macam angin lalu sahaja. R merengus.  Lantas risalah itu dipereyoknya dalam genggaman tangan tuanya. R memandang tangannya tuanya yang sedang menggenggam itu, tergigil oleh kerana lusuhnya urat-urat tangannya. R langsung melemparkan gumpalan kertas itu keluar masjid, dann gumpalan itu jatuh ke lopak air. Dan dihujung kaki kita tulah gumpalan kertas itu. Gumpalan itu terkembang perlahan lahan apabila diserap oleh air. Kita melihat R masuk ke dalam masjid. Pena dimasukkan ke dalam beg galas yang dibawanya. R memilih salah satu tiang masjid untuk 'mendarat' dan bersandar. Pendek kata R terkeluar daripada kumpulan jemaah, R berasakan dia patut berada di situ dan tiada salahnya kerana pertama dia mungkin akan menganggu jemaah lain yang menumpu pada ustaza yang kini nada cakapnya sudah berubah ke rentak lainnya-suatu semangat entahkan apa. R dapat melihat juga wajah ustaz itu yang sebahagiannya terlindung dek batang tubuh jemaah-jemah yang jauh didepan R. R mendebengkan telinganya-cuba mengejar butir kata ustaz itu. R gagal. R rasa termengah-mengah untuk mengejar. R terlelap dan dalam lelapannya entah sempat mimpi menyisip visual, R berlari anak membelah rimba belantara yang suram dan bising dalam sunyi. R tersandung dan terjerembab dan tiba-tiba,bagai pengarah yang mengarahkan sebuah cereka di tv, sebatang pohon sekah dan tumbang menimpa tubuh tuanya. R tidak sempat melarikan diri, R macam watak fikseyn sahaja, menerahkan nasibnya ditangan pegarang, untuk membuat apa yang disukainya. R sesak nafas dan gelap pandangan.


"Pakcik bangun, ini masjid, dan sekarang ada..."kita menegurnya, andaikanlah dalam ritma konvensi bercerita.
"Ya, ya, aku di masjid, dan sekarang aku mahu dengar radio."
"Pakcik mahu dengar radio?"kita pelik. Mustahil juga ada yang rasa unik.
"Sebelum inipun begitu. Radio. ada berita sekarang waktu-waktu perdana. "
"pakcik tak boleh, "Andaikan kita menyanggah dalam nada konvensi.
R langsung tidak mempedulikan kita. R pasnag radio dan mencari frekuensi yang menghasilkan bunyi hujan lebat seketika sebelum suara pembaca berita jelas pada pendengaranny dan kita. Dan kita tersedar bahawa kita bukanlah bercakap dengannyua.Malahan kita duduk jauh dengannya. Dalam sepuluh depa. Kita hanya nampak sebahagian tubuh R menyandar dengan diatas ribanya ada radio yang dijagainya betul-betulk agar 'suara hujan' tidak menenggelamkan suara pembaca radio.

Uniknya, hanya kita ambil kisah tentang R. Kita mahu tegurnya. Kita mahu larangnya. Tetapi jemaah lain, khusyuk mendengar ustza bercakap, buat tidka endah langsung akan semua yang kita endahkah. Dan kita pun andai dalam konvensi bercerita pasti akan mahu tahu kenapa dan kenapa R begitu. Namun kita tidak boleh kerana catitan ini suatu yang unik dan mungkin juga absurd bagi sesetengah orang yang membaca tentangnya dan faham tentangnya. Bukan saya. Saya hanya tahu sedikit daripada Albert Camus.
+++
Bersambung dalam catitan seterusnya..tentang selamat ditinjau dari aspek keunikan barangkali sedikit keabsurdan.