28 September 2010

Sepuluh Latifah - Risalah Aliyah

Sepuluh Latifah - Risalah Aliyah

1. QALB

TITIK kedudukannya pada tubuh badan jasmani adalah pada anggaran dua jari di bawah tetek kiri dan cenderung sedikit ke arah ketiak. Latifah Qalb juga disebut Latifah Adami adalah dari takluk Alam Malakut yakni Alam Para Malaikat dan ianya merupakan pusat ‘Arasy Mu’alla Allah Ta’ala di dalam diri Insan.

Latifah Qalb adalah suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan Allah dengan Latifah Qalb ialah pendengaran dan ianya merupakan Tajalli Sifat Allah As-Sami’ iaitu Yang Maha Mendengar.

Mendengar merupakan suatu sifat utama Para Malaikat kerana mereka dijadikan oleh Allah Ta’ala untuk mendengar segala perintahNya dan taat. Seseorang Salik perlu menggunakan sifat pendengarannya untuk mendengar seruan Agama Islam dan mengamalkan Syari’at Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Para Sahabat Radhiyallahu ‘Anhum memiliki sifat Sami’na Wa Ata’na iaitu mendengar dalam ertikata yang sebenar yang mana apabila mereka mendengar sebarang perintah dari Allah Ta’ala dan RasulNya Sallallahu ‘Alaihi Wasallam mereka akan terus mentaatinya.

Alam Malakut adalah wilayah Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam dan merupakan tingkatan langit pertama di atas ‘Arasy. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam terlimpah pada Latifah Qalb Hadhrat Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan terlimpah kepada sekelian orang yang beriman.

Cahayanya adalah dari langit yang pertama dan warna Nurnya adalah kekuningan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Qalbnya menerusi Tasfiyatul Qalb maka akan terhasillah padanya Kasyful Qulub yakni pandangan mata hatinya celik dan memperolehi Basirah serta Kasyaf iaitu melihat perkara-perkara yang Ghaib menerusi mata hati.

2. RUH

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada anggaran dua jari di bawah tetek kanan. Latifah Ruh juga disebut sebagai Latifah Ibrahimi adalah bertakluk dengan Alam Jabarut yakni Alam Para Roh atau dikenali juga sebagai Alam Arwah.

Sepertimana Latifah Qalb, Latifah Ruh ini juga merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar. Sifat yang dikurniakan dengan Latifah Ruh ialah melihat dan ianya juga merupakan Tajalli dari Sifat Allah Al-Basir Yang Maha Melihat dan As-Syahid Yang Maha Menyaksi. Melihat dan menyaksikan adalah sifat-sifat yang Allah Ta’ala kurniakan kepada Ruh ketika berada di Alam Amar.

Seluruh Para Roh bersaksi bahawa Allah Ta’ala adalah Rabb, Tuhan Yang Maha Pemelihara. Melihat, memerhati dan menyaksi adalah suatu sifat utama bagi Roh. Sifat ini ada pada diri zahir iaitu melihat dengan kedua biji mata zahir dan sifat ini juga ada pada diri batin iaitu menerusi pandangan mata hati iaitu Basirah.

Seseorang Salik perlu melihat tanda-tanda kebesaran Allah Ta’ala dan memerhatikan perjalanan Tariqatnya agar sentiasa selari dengan petunjuk Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, banyak mengucapkan Selawat dan membaca Al-Quran.

Alam Jabarut adalah wilayah Hadhrat Nabi Ibrahim dan Hadhrat Nabi Nuh ‘Alaihimassalam. Latifah Ruh merupakan tingkatan langit kedua di atas ‘Arasy. Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Ibrahim dan Hadhrat Nabi Nuh ‘Alaihimassalam terlimpah pada Latifah Ruh Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Cahayanya adalah dari langit yang kedua dan warnanya adalah kemerahan. Seseorang Salik yang telah sempurna penyucian Latifah Ruhnya akan terhasillah Kasyful Qubur yakni terbukanya pandangan ghaib tentang alam kehidupan sesudah mati di dalam kubur. Dia juga akan dapat berhubungan dengan Ruh-Ruh Para Masyaikh yang telah meninggal dunia dan mengambil limpahan kerohanian dari mereka dengan menziarahi maqam-maqam yang menjadi tempat pengkebumian mereka.

3. SIRR

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tetek kiri dengan anggaran dua jari ke arah tengah dada. Latifah Sirr juga disebut sebagai Latifah Musawi adalah dari taklukan Alam Lahut yakni Alam Bayangan Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar.

Sifat yang Allah Ta’ala kurniakan dengan Latifah Sirr adalah menyentuh. Latifah Sirr adalah suatu alam di mana tersimpannya segala rahsia-rahsia tentang Bayangan Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan seharusnya menjadi rahsia bagi seseorang Salik.

Latifah Sirr merupakan tahap di mana seseorang Salik itu akan mengalami perbualan dengan Hadhrat Zat Yang Maha Suci di dalam hatinya di mana dia akan berinteraksi dengan limpahan cahaya dari Hadhrat Zat dan akan mendengar suara-suara Ketuhanan.

Alam Lahut adalah wilayah Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam yang telah dapat berkata-kata dengan Allah dan telah mendengar suaraNya. Alam Lahut merupakan tingkatan langit yang ketiga di atas ‘Arasy.

Cahaya Nur dan limpahan keberkatan dari Hadhrat Nabi Musa ‘Alaihissalam terlimpah pada Latifah Sirr Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Cahayanya adalah dari langit yang ketiga dan warna Nurnya adalah keputihan.

Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf-Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih seseorang Salik akan mengalami Jazbah pada tahap ini iaitu penarikan dan penyatuan dengan Cahaya Allah Ta’ala. Apabila dia mengalami Jazbah untuk menuju kepada Rahmat Allah maka dia digelar Majzub. Dan menurut beliau, ini merupakan tahap Sukr yakni Ruhaniah seseorang itu akan mabuk dalam melihat kebesaran Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

4. KHAFI

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tetek kanan dengan anggaran dua jari ke arah tengah dada dan Latifah Khafi ini juga disebut sebagai Latifah ‘Isawi adalah bertakluk dengan Alam Bahut yakni Alam Sifat-Sifat Allah Ta’ala.

Ia juga merupakan suatu pusat perhentian di Alam Amar yang berada di atas ‘Arash Mu’alla. Allah Ta’ala mengurniakan sifat menghidu beserta dengan Latifah Khafi dan ianya menampilkan bunyi yang tersembunyi pada Perkataan-Perkataan Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Apabila sesuatu perkataan itu tertulis terdapat bunyi yang dikaitkan dengannya namun bunyi tersebut tidak akan didengari melainkan apabila perkataan itu disebutkan. Maka itulah bunyi adalah tersembunyi dan terkandung didalam huruf-huruf pada perkataan tersebut. Ia hanya menantikan masa untuk terzahir apabila bunyi huruf-huruf perkataan itu disebutkan.

Seseorang Salik akan memperolehi pengetahuan dan ilham dengan sentiasa membaca Al-Quran dan Asma-ul Husna. Salik juga akan menghidu wangi-wangian ketika berada dalam kehadiran Hadhrat Zat. Kerana itulah menjadi Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk memakai wangi-wangian.

Adapun pada tubuh badan Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sentiasa terbit keringat yang harum kerana Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sentiasa berada dalam kehadiran Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala pada setiap masa dan keadaan.

Di Alam Bahut ini terdapatnya rahsia-rahsia yang tersembunyi tentang Sifat-Sifat Allah Ta’ala dan ia merupakan wilayah Hadhrat ‘Isa ‘Alaihissalam. Alam Bahut ini berada pada tingkatan langit yang keempat di atas ‘Arasy dan cahaya Nur serta keberkatan daripada Hadhrat Nabi ‘Isa ‘Alaihissalam yang berada pada langit keempat itu terlimpah pada Latifah Khafi Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan cahaya kehitaman.

Seseorang Salik perlu meninggalkan Sifat Basyariyat iaitu sifat-sifat kemanusiawian. Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sirhindi Rahmatullah ‘alaih bahawa seseorang yang telah mencapai Latifah Khafi, dia akan mengalami Hairat Sughra yakni ketakjuban yang kecil kerana dapat merasai Kehadiran Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

5. AKHFA

TITIK kedudukannya pada tubuh badan adalah pada tengah dada di antara Latifah Sir dan Latifah Khafi dan ianya bertaaluk dengan Alam Hahut yakni Alam Zat Allah Ta’ala. Latifah Akhfa juga disebut sebagai Latifah Muhammadi. Alam Hahut berada pada tingkatan yang kelima di atas ‘Arash pada Alam Amar. Pada Latifah Akhfa tersembunyinya rahsia-rahsia yang lebih dalam tentang Hakikat Zat Ketuhanan Allah Ta’ala. Alam ini adalah suatu alam yang sunyi di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Seseorang Salik akan merasai kehadiran Hadhrat Zat ketika melakukan sunyi diri dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kerana itulah Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam sering bersunyi diri dengan melakukan Khalwat Saghirah di Gua Hira’.

Alam Hahut merupakan wilayah Hadhrat Baginda Nabi Besar Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan berada pada tingkatan langit yang kelima di atas ‘Arasy. Cahaya Nur serta limpahan keberkatan dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam di Alam Hahut itu terlimpah pada Latifah Akhfanya dengan cahaya kehijauan.

Menurut Para Masyaikh Naqshbandiyah, hati Ruhaniah seseorang itu adalah biasan dari hati Ruhaniah Hadhrat Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang disebut Haqiqat Muhammadiyah.

Hati Ruhaniah ini menampilkan Bahrul Qudrah yakni Lautan Kekuasaan Allah Ta’ala yang merupakan sumber kejadian awal sekelian makhluk. Barangsiapa yang dapat mencapai ilmu pengetahuan tentang hati, akan mampu mencapai kefahaman tentang kebenaran Haqiqat Kenabian, Nur Muhammad dan Haqiqat Muhammadiyah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Limpahan cahaya Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berada di dalam lautan kekuasaan Bahrul Qudrah itu.

Setiap alam yang berada di Alam Amar merupakan suatu alam yang lengkap dengan membawa ciri-ciri yang tertentu. Ada sebilangan Masyaikh yang mengaitkan latifah-latifah Alam Amar ini dengan bunyi dan sunyi yang mana mereka menyatakan bahawa Latifah Qalb, Ruh, Sir dan Khafi adalah berada pada tingkatan zikir bunyi manakala Latifah Akhfa pula berada pada tingkatan zikir sunyi.

Sunyi bererti menjauhkan diri dari sebarang bentuk bunyi yang bersifat zahir kemudian menjadikan hatinya sentiasa bersunyian dengan Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Akhfa merupakan maqam Fana sehingga seseorang Salik itu mencapai erti sunyi yang hakiki di mana bunyi sekelian makhluk juga telah terlenyap.

Apabila telah terlenyapnya segala bunyi yang tinggal hanyalah sunyi dan sunyi merupakan suatu bunyi yang tidak diketahui. Lenyapnya bunyi makhluk tidak bermakna lenyapnya bunyi dari Hadhrat Zat Yang Maha Suci bahkan akan tetap terus kedengaran bunyi-bunyian yang bertasbih memuji kesucian ZatNya. Kesemua bunyi-bunyi ini adalah bersumber dari Hadhrat Zat Yang Maha Suci dan mengambil tempat di dalam lautan kekuasaan Bahrul QudrahNya.

Ada Para Masyaikh yang menyatakan bahawa,

“Sunyi adalah bunyi dari Hadhrat Zat.”

Apabila seseorang Salik maju atas jalan Tariqat sehingga dia mencapai Fana, Murshid akan melimpahkan ilmu yang berkaitan dengan alam-alam di Alam Amar tersebut ke dalam hati Muridnya.

Antara maksud yang utama adalah untuk sampai ke pusat perhentian Alam Hahut di Latifah Akhfa ini kerana ianya merupakan tempat persinggahan terakhir bagi Alam Amar dan merupakan tempat yang tertinggi bagi lautan kekuasaan Allah Ta’ala di mana Allah Ta’ala mula-mula menjadikan Nur Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Kelima-lima maqam bagi Lataif yang berada di dalam dada tersebut merupakan pusat perhentian dan ianya bagi menyatakan suatu perjalanan menuju kepada penyatuan dengan Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala menerusi cahaya Kenabian Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam kerana Hadhrat Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah satu-satunya manusia yang telah benar-benar mencapai Hadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Kemuliaan ini Allah Subhanahu Wa Ta’ala kurniakan ketika peristiwa Mi’raj iaitu perjalanan menaiki tingkatan-tingkatan langit menuju Kehadhrat Zat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

6. NAFS

KEDUDUKANNYA ialah pada otak dan titiknya ada di bahagian dahi di antara dua kening. Taaluknya adalah dengan Alam Khalaq yakni alam ciptaan yang berada di bawah ‘Arash. Ia adalah tempat penzahiran ‘Aqal manusia yang bersifat halus pada otak yang berada di dalam tempurung kepala.

Perkataan Nafs lazimnya merujuk kepada diri seseorang atau jiwa pada tahap yang rendah atau keakuan diri seseorang. Sifat semulajadinya terdiri dari sifat-sifat kemanusiawian dan kehaiwanan. Perkataan Nafs juga merujuk kepada perkataan Nafas yang bererti pernafasan dan perkara ini merupakan suatu intipati dalam perkerjaan zikir kerana ia merupakan sumber tenaga dan menjadi asas sebilangan besar Tariqat.

Sebilangan Para Sufi berpendapat perkataan Nafs ini merujuk kepada peringkat kejiwaan yang merangkumi seluruh minda, emosi dan keinginan dalam diri seseorang.

Menurut Hadhrat Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rahmatullah ‘alaih, Nafs ada dua pengertian:

1. Nafs Syaik - Iaitu zat dan hakikat bagi sesuatu benda.

2. Nafs Natiqah - Suatu kehalusan dalam Ruhaniah manusia yang disebut Jiwa dan ianya bercahaya serta dikurniakan sifat keakuan. Dengan cahayanya tubuh badan menjadi tempat yang terdedah kepada berbagai jenis kejahatan dan kebaikan.

Mengenali Nafs dengan segala sifatnya adalah sukar kerana ia bersifat seperti seekor sumpah-sumpah yang boleh bertukar rupa pada sebilangan keadaan dengan warna yang berbeza.

Mencapai Ma’rifat tentang Nafs dengan segenap ilmu pengetahuan mengenai sekelian sifatnya adalah di luar kemampuan sebarang makhluk. Adalah sukar untuk mencapai Ma’rifat tentang Nafs sepertimana sukarnya mencapai Ma’rifat tentang Tuhan.

Nafs diciptakan dengan unsur keakuan diri dan ia mudah dipengaruhi Syaitan kerana adanya persamaan sifat angkuh dan bongkak dalam diri Syaitan dengan sifat keakuan yang ada pada Nafs.

Tujuan Syaitan menghasut Nafs melakukan kejahatan adalah untuk mengotorkan Qalb kerana apabila Nafs seseorang itu dikotori, Qalbnya juga akan turut dikotori. Hubungan Nafs dengan Qalb adalah dengan kelajuan cahaya dan kedua-duanya ibarat cermin yang memantulkan cahaya masing-masing antara satu sama lain.

Latifah Nafs adalah tempat perjalanan Ruhaniah melalui tingkatan nafsu-nafsu. Ada sebilangan Masyaikh yang meletakkan tiga tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah dan Mutmainnah. Ada sebilangan Masyaikh yang meletakkan lima tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah, Mutmainnah, Radhiyah dan Mardhiyah. Ada juga Para Masyaikh yang menetapkan tujuh tingkatan nafsu iaitu Nafsu Ammarah, Lawwamah, Mulhammah, Mutmainnah, Radhiyah, Mardhiyah dan Kamiliyah. Penyucian Latifah Nafs ini dinamakan sebagai Tazkiyatun Nafs di mana Para Masyaikh meletakkan berbagai ujian bagi menguji tahap nafsu Para Murid.

Ujian-ujian tersebut berupa Mujahadah Nafs bagi menundukkan kakuan diri dan keinginan hawa nafsu. Sebagaimana yang dinyatakan bahawa terdapat tujuh tingkatan Nafs yang perlu dilalui oleh setiap Salik seperti berikut:

1. Nafsu Ammarah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap kehaiwanan iaitu pada kedudukan yang rendah, tidak mengenali hakikat diri dan tidak mengenal hakikat Tuhan, boleh menjadi lebih buas dari binatang dan sentiasa mengingkari perintah-perintah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tahap nafsu ini berada pada tingkatan yang rendah dan perlu disucikan dengan Taubat dan Istighfar untuk menuju pada tingkatan yang lebih tinggi supaya dimuliakan oleh para Malaikat. Apabila nafsu Ammarah ini dapat dikuasai sepenuhnya, peribadi manusia itu akan menjadi lebih baik dari para Malaikat setelah dia menjalani latihan penyucian diri di bawah asuhan seorang Murshid yang sempurna. Nafsu Ammarah sentiasa mengajak diri mengingkari Allah dan Rasul, menurut ajakan Syaitan, bergelumang dengan dosa-dosa besar dan maksiyat, bertabiat dan bertingkah laku buruk, bernafsu seperti haiwan yang buas. Sentiasa memuaskan kehendak hawa nafsu dan bersikap mementingkan diri sendiri.

2. Nafsu Lawammah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap mula menyedari keingkaran dan sifat buruk yang ada pada dirinya dan berasa menyesal apabila melakukan perbuatan yang buruk dan tidak baik. Dia mula untuk berasa bersalah kerana menurut keakuan dirinya semata-mata dan lebih mementingkan diri sendiri. Dia akan melakukan Taubat dan Istighfar tetapi akan kembali kepada perlakuan dosa dan maksiyat kepada Allah dan Rasul. Kesedarannya baru terbit tetapi tidak kukuh. Dia perlu menjalani latihan untuk menerbitkan rasa kesedaran dan insaf pada setiap masa serta menyerahkan dirinya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana jika tidak, dia akan kembali terjerumus kedalam kancah keburukan.

3. Nafsu Mulhammah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berada pada tahap yang lebih kerap menyesali dirinya kerana mengingkari hukum dan perintah Allah dan Rasul, kesedaran untuk insaf semakin bertambah tetapi masih belum mampu meninggalkan perbuatan dosa dan maksiyat. Dia belum menyerahkan dirinya bulat-bulat kepada Allah kerana keakuan dirinya belum Fana atau dimatikan. Walaubagaimanapun keinginan untuk kembali sepenuhnya kepada Allah terasa amat dekat. Dia akan diilhamkan dengan amalan kebaikan yang dapat mendekatan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dengan latihan kerohanian dan asuhan Murshid dia akan berjaya mematikan keakuannya. Kerana itu amat penting bagi Murid untuk mendapat bimbingan Murshid kerana seseorang itu tidak akan mampu mencapai penyucian Nafsu Mulhammah ini dengan bersendirian melainkan melalui seorang Murshid secara zahir dan batin. Dia perlu berzikir dengan kalimah Ismu Zat iaitu Allah Allah sebanyak-banyaknya di dalam hati sehingga terbit ketenangan.

4. Nafsu Mutmainnah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu berjaya mencapai Fana. Dia berjaya mematikan keakuan dirinya dan menyerahkan dirinya kepada Allah subhanahu wa Ta’ala. Apabila keakuan dimatikan maka akan lahirlah bayi maknawi dari diri insan. Insan bersifat pelupa dan apabila keakuan insan itu dimatikan maka akan lahirlah daripada dirinya, dirinya yang sebenar yang diertikan oleh Hadhrat Syeikh Abdul Qadir Jailani sebagai Tiflul Ma’ani. Pada tahap ini keimana seseorang itu menjadi semakin teguh dan kukuh. Dia perlu mendawamkan zikir kalimah Ismu Zat pada setiap latifah sehingga sempurna Sepuluh Lataif dan kekal dalam Syuhud. Ruhnya berjaya mencapai ketenangan pada Nafsu Mutmainnah dengan berkat limpahan dan asuhan Murshid.

5. Nafsu Radhiyah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah diserahkan sepenuhnya kepada Allah dan dia redha dengan apa jua yang datang dari Allah. Tidak mementingkan apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku. Dia menumpukan kesedarannya pada Kehadiran Zat Yang Suci pada setiap masa. Dia hanya menjadikan Allah sebagai maksud dan sentiasa menuntut keredhaan Allah. Dia sentiasa merasakan dirinya lemah di hadapan Allah dan sentiasa bergantung penuh kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dia mengetepikan segala kepentingan Dunia dan akhirat demi Allah Ta’ala semata-mata.

6. Nafsu Mardhiyah - Pada tingkatan ini keakuan seseorang itu telah tenggelam dalam lautan Syuhud. Dia menyaksikan Kebesaran Allah dengan cahaya Musyahadah dan mencapai ‘Irfan. Dia berenang di lautan Makrifat mengenali hakikat diri dan hakikat Tuhannya. Ruhnya telah aman damai di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan jiwanya menjadi lembut terhadap sesama makhluk dan zahirlah akhlak yang baik serta mulia dari dirinya.

7. Nafsu Kamiliyah - Pada tingkatan ini keakuan diri seseorang itu telah mencapai penyucian yang sempurna dan berjaya menjadi insan yang sempurna dengan menuruti segala Sunnah Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang mana merupakan insan yang paling sempurna. Zahir mereka bersama manusia di dalam khalayak ramai dan menghadiri majlis mereka namun batin mereka sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga memerhatikan limpahan faidhz dari Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Zikir mereka pada tingkatan ini adalah sentiasa bermuraqabah. Penyerahan mereka sempurna dan Allah menzahirkan Tanda-Tanda KekuasaanNya menerusi hamba tersebut. Dia menyerah kepada segala ketentuan Taqdir dan melaksanakan kewajibannya sebagai hamba dengan sebaik-baiknya. Ini merupakan tingkatan para Nabi dan Rasul ‘Alaimussolatu Wassalam dan inilah merupakan tingkatan para Sahabat Ridhwanullah ‘Alaihim Ajma’in dan tingkatan sekelian Wali Qutub.

Hadhrat Syeikh Shahabuddin As-Suhrawardi Rahmatullah ‘alaih telah menyatakan bahawa terdapat sepuluh sifat buruk yang ada pada Nafs seperti berikut:

1. Hawa

2. Nifaq

3. Riya

4. Mengaku Tuhan

5. Bangga Diri

6. Tamak

7. Haloba

8. Banyak Ketawa

9. Malas

10. Lalai

Sepuluh sifat buruk Nafs ini adalah berasal dari unsur-unsur seperti panas, sejuk, lembab dan kering. Dari sepuluh sifat yang buruk ini terbit berbagai lagi sifat-sifat yang buruk seperti hasad dengki, iri hati, bersangka buruk, putus asa dan sebagainya.

Ada sebilangan Masyaikh yang menganggap Nafs dan Qalb adalah sama kerana pada penghujungnya mereka mendapati Nafs Mutmainnah adalah jiwa yang tenang serta menganggap jiwa letaknya pada hati. Mereka menganggap tiada perbezaan antara kedua-duanya.

Sebenarnya Qalb dan Nafs adalah dua perkara yang berbeza tetapi memiliki tanggungjawab yang sama iaitu untuk disucikan dari segala sesuatu selain Allah dan menumpukan ingatan terhadapNya serta menggunakan kemampuan Qalb dan Nafs untuk Ma’rifat Allah Ta’ala seterusnya sentiasa menghadapkannya kepada Wajah Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Kedua-duanya merupakan dua pusat perhentian utama yang mewakili Alam Amar dan Alam Khalaq. Qalb adalah pusat perhentian bagi Alam Amar dan Nafs adalah pusat perhentian bagi Alam Khalaq.

Seseorang Salik yang telah sempurna menempuh Alam Amar bermakna dia telah berjaya menempuh Daerah Wilayah Sughra yakni daerah kewalian kecil dan merupakan Alam Bayangan Sifat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Menurut Hadhrat Imam Rabbani Mujaddid Alf Tsani Syeikh Ahmad Faruqi Sarhindi Rahmatullah ‘alaih, apabila seseorang Salik telah sempurna menempuh Daerah Wilayah Sughra maka bermulalah Fana yang sebenarnya dan Salik akan terus menuju kepada Daerah Wilayah Kubra yakni daerah kewalian yang besar.

Daerah Wilayah Kubra ini berada dalam Bayangan Hadhrat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam iaitu dalam menuruti Sunnah Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Ianya merupakan daerah kewalian Para Nabi dan terdapat tiga setengah daerah di dalamnya iaitu Daerah Ula, Daerah Tsaniah, Daerah Tsalisah dan setengah Daerah Qaus.

Setelah Salik sempurna menjelajah daerah-daerah ini pada Latifah Nafsnya dia akan meneruskan perjalanan Ruhaniahnya merentasi Daerah ‘Ulya iaitu daerah Para Malaikat yang tinggi kedudukannya di sisi Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Seterusnya Salik hendaklah menyucikan Latifah Qalibiyahnya iaitu anasir yang empat terdiri dari Tanah, Air, Api dan Angin. Pada tingkatan ini seseorang Salik tidak lagi memerlukan sebarang asbab luaran untuk mencapai KehadiranZat Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

7. ANGIN

KEDUDUKANNYA adalah pada seluruh jasad tubuh badan manusia. Angin sifatnya halus dan tidak kelihatan. Angin yang besar dapat mengubah keadaan sesuatu tempat dan ia boleh bergerak ke mana-mana. Unsur Angin terdapat pada diri manusia secara zahirnya dapat kita perhatikan menerusi pernafasan keluar dan masuknya udara melalui hidung dan mulut. Udara Oksigen yang dihirup masuk ke dalam paru-paru akan diagih-agihkan ke setiap bahagian tubuh badan.

Angin juga dapat kita rasakan melalui dubur ketika telah sempurnanya penghadaman. Sifat Angin pada manusia adalah halus kerana ia menampilkan keinginan hawa nafsu yang tidak terbatas dan kecenderungannya menuruti hawa nafsu. Adakalanya ia dizahirkan menerusi kesedihan dan dukacita dan adakalanya terzahir menerusi keinginannya untuk berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat sepertimana angin yang bertiup dari suatu tempat ke suatu tempat.

8. API

KEDUDUKANNYA adalah pada seluruh jasad tubuh badan. Api merupakan suatu unsur yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala gunakan untuk menjadikan Syaitan dan Syaitan adalah dari golongan Jin dan mereka adalah dari Api. Unsur Api juga Allah Subhanahu Wa Ta’ala kurniakan kepada manusia dan ini dapat di lihat pada ciri-ciri zahirnya iaitu pembakaran makanan di dalam perut bagi menghasilkan penghadaman, panas badan dan demam.

Unsur Api yang Allah Subhanahu Wa Ta’ala kurniakan adalah bersifat halus dan ada terkandung sifat-sifat kesyaitanan dan Jin dalam diri manusia seperti kemarahan, bangga diri, bongkak dan takabbur.

9. AIR

KEDUDUKANNYA adalah pada seluruh jasad tubuh badan. Jasad sekelian manusia adalah dari Air dan ciri-ciri air itu ada pada manusia seperti air mata, air liur, air hingus, air peluh, air mani, air najis dan darah. Air sifatnya mengalir dan begitulah sifatnya dalam masyarakat, bergerak ke sana dan ke mari seperti air. Ada sifat air yang jernih dan ada yang sifatnya seperti susu.

Manusia juga mudah menuruti hawa nafsu yang jahat dan ada yang boleh menerima perubahan dan mengubah masyarakat. Ia juga bersifat pelupa dan cenderung kepada tidur.

10. TANAH

KEDUDUKANNYA adalah pada seluruh jasad tubuh badan. Jasad jasmani Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam telah dijadikan oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala daripada tanah. Begitulah juga kepada sekelian anak cucu Hadhrat Nabi Adam ‘Alaihissalam kesemuanya kembali dikebumikan ke dalam tanah. Adapun sifat-sifat Tanah itu ada dalam diri manusia seperti kerendahan hati dan merendahkan diri, kehormatan, ringkas dan mudah terbentuk.

Terdapat berbaga jenis sifat tanah iaitu ada yang subur apabila menerima air hujan serta menumbuhkan rumput, ada tanah yang keras dan menakungkan air untuk manafaat makhluk yang lain dan ada jenis tanah yang keras tidak menakungkan air serta tidak menumbuhkan rumput.

Begitulah diibaratkan kepada orang yang menerima limpahan ilmu dari Hadhrat Baginda Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, ada yang mendapat manafaat darinya dan ada yang memanafaatkannya kepada orang lain dan ada yang tidak memanafaatkannya untuk dirinya mahupun kepada orang lain.

Sifat Tanah adalah mudah dibentukkan kepada sebarang bentuk, bijaksana, berperingkat, kejahilan, kejahatan, kegelapan dan kelemahan.



20 September 2010

Kenapa Masjid Kosong?

Hendaklah kamu sekelian menyedari bahawa keberadaan kamu di dunia ini sebagai tetamu jemputan sahaja. Dan jadikanlah masjid-masjid itu sebagai rumah kamu (melaziminya dengannya). Dan hendaklah kamu latih atau biasakan hati kamu dengan berzikir dan berfikir secara lembut dan tenang. Dan hendaklah kamu banyak berfikir dan menangis di atas kesalahan kamu dan jangan terkeliru dengan hawa nafsu. Bermakna kamu mengadakan rumahtangga yang mana lebih dari hajat dam kamu himpunharta lebih daripada perlu dan kamu berangan-angan barang yang tidak akan kamu mendapatkannya. (riwayat Abu Nu'aim, daripada Al-Hakim bin 'Umair)

+++

Saya tertarik dengan hadis ini yang mengandungi bebarapa perkara. Namun yang paling menarik hati saya ialah berkenaan menjadikan masjid sebagai rumah.  Banyak orang kita merungut mengapa masjid-masjid kosong daripada jemaah. Malah dikatakan lebih banyak tiang daripada orang. Ada juga lebih banyak botol air daripada jemaah. Banyak antara kita cenderung untuk mengatakan kekosongan masjid disebabkan oleh orang Islam sendiri yang sudah melupakan agamanya dan juga menjauhi sunnah baginda nabi.

Namun demikian mengapa kita tidak mengkaji dengan lebih dalam kenapa masjid kosong?Ada yang mengkaji sedikit, mengatakan puncanya ialah program masjid yang tidak menarik perhatian khususnya anak-anak muda untuk datang ke masjid.

Maka dicadangkan program masjid seperti bermain futsal, bola sepak, dan berbagai acara lagi untuk menarik perhatian generasi muda datang ke masjid. Namun apakah itu mencapai matlamat akhirnya iaitu membawa generasi muda beriktikaf di masjid? Atau datang sekadar bermain kemudian pulang separuhnya. Yang separuh lagi bertahan untuk solat jemaah bila tiba jemaah tetapi bingkas bangun apabila selesai solat jemaah tanpa mahu berzikir sekejap dan berdoa bersama imam. Sebenarnya kajian yang masih belum dibuat atau ditonjolkan walaupun mungkin ada di mana-mana ialah:

APAKAH MASJID ITU SENDIRI BERFUNGSI SECARA PENUH SEBAGAI RUMAH ALLAH YANG DI DALAMNYA DIIMARAHKAN DENGAN MAJLIS ILMU YANG SEBENAR-BENARNYA?

Apa yang saya lihat dan tinjau, kebanyakan masjid mempunyai program majlis ilmu sebagai taman syurga yang ditakrifkan sebagai kuliah subuh atau maghrib ataupun majlis pengajian agama secara berkitab khusus diikuti syarah kitab.

Bagi yang kategori kuliah agama, ustaz yang dijemput bertindak sebagai penceramah tanpa terikat dengan kitab. Berlandaskan sebuah dua hadis atau ayat Al Quran, penceramah 'mensyarahkan' sendiri hadis dan ayat berdasarkan pemikirannya sendiri. Walaupun kita tidak menolak ijtihad mereka, namun demikian persoalannya apakah mereka iaitu penceramah ini sudha mencukupi sayarat untuk menjadi seorang ulamak berisi yang tangguh mensyarahkan ayat dan hadis dnegan mata hati yang suci dan terang?

Apa yang saya teliti, penceramah hanya menggunakan logik akal apabila menghuraikan malah tak sedikit gagal menghuraikan sesuatu topik agama yang diberikan sendiri olehnya di permulaan kuliah dengan melalut-lalut menceritakan perkara tiada berkaitan, kononnya mahu berjenaka, atau mahu bersantai sehinggakan apa yang diucapkannya adalah sesuatu perkataan yang tidak molek disebut di rumah-rumah Allah. Ada juga yang agaknya sudah kehabisan 'ilmu' boleh sahaja berpanjang lebar mengatakan dirinya tidak layak bercakap, tidak tahu banyak sangat berbanding hadirin dimana perbuatan menfakirkan diri tersebut bukan sahaja tidak kena tempat malah tidak kena situasi dan caranya.

Penulis kitab agama menfakirkan dirinya, merendahkan dirinya hasil daripada kewarakan yang tumbuh daripada mujahadah dan muraqabah yang praktikal daripada tuan guru tersebut dan hasil penulisan kitabnya itu hebat, padat ilmu dan tangguh serta berwibawa bukannya penfakiran diri itu lahir daripada 'penyedap telinga' sahaja bagi melindungi diri daripada dikomenter oleh jemaah yang kritis apabila 'bercakap sahaja tanpa ilmu atau tidak bersedia sebelum mahu bercakap atau memang jahil dalam ilmu agama'.

Perbuatan begini sebenarnya bukan sahaja merendahkan moral penceramah malah merendahkan ketinggian agama Islam. Bayangkan ada musuh Islam si munafik menyelinap dalam masjid danmahu mendengar apa sahaja yang mahu dituturkan oleh penceramah maka tentu dia ketawa besar sahaja melihatkan kekartunan sifat penceramah yang terang-terang membuka pekung kejahilan di dadanya tetapi mahu juga terus bercakap dan pihak masjid masih juga mahu menjemputnya atas penilaian penceramah bersekolah agama, pakai jubah, serban dan nampak alim ulamak tetapi kosong haprak.

Saya mengatakan begini sebab saya menyaksikan sendiri di beberapa buah masjid. Ini baharu sahaja menyentuh tentang kuliah agama tanpa berkitab secara tetap mingguan atau bulanan. Yang berkitab pun sama juga. Ada yang sudah bagus ustaz bawa kitab hebat-hebat di tangan dan buka dan baca kepada jemaah kemudian bila tiba mahu mensyarahkannya, ustaz ini bukan sahaja malas merujuyk syarah yang sedia ada (walaupun boleh ijtihad sendiri tetapi fikirlah kalau layak tak mengapa kalau tidak apa lagi dikata kalau yang dikata merendahkan ketinggian agama Islam) malah menghuraikannya sendiri berjela-jela masuk pulak bab politik partisan dan kutukan sana sini dengan carutan dan makian.

Ada sekali di sebuah masjid bulan ramadhan saya tengok sahaja fiil jemaah yang padat dengan pelajar dan pekerja yang datang mahu terawih. Sudah biasa terawih dengan imam hafiz baca surah daripada Al Quran. Namun apabila selang empat rakaat diadakan kuliah ramadhan mungkin namanya, dibuat sehingga 1 jam lebih!

Bayangkan bila sahaja sudah tamat kuliah tersebut jam sudah menunjukkan angka 10 lebih. Lagi empat rakaat dengan bacaan surah daripada Al Quran. Saya sudah jangkakan sesuatu akan berlaku pada masjid yang penuh dengan jemaah ini. Jangkaan saya tepat apabila masuk sahaja hari kelapan tak sampai hari terakhir ramadhan pun, jemaah susut sampai yang ada adalah jemaah asal masjid sebelum ramdan satu habis kuatpun 3 saf.

Kemudian penceramah dalam kuliah ramadhan berikutnya pun hentamlah habis-habisan katanya,

'tengok golongan munafik sebagaimana orang yang datang jemaah terawih dua tiga hari lepas ramai kemudian sekarang tidak ada sebab tidak mahu dengar kuliah agama. Inilah golongan munafik..bla- bla..'

Saya masa tu mengeleng sahaja dengar. Sudahlah bersangka buruk. Malah boleh jadi menfitnah pula. Menggelarkan pula saudara dengan gelaran buruk. Haprak sungguh penceramah itu. Perkara ini bukan sahaja berlaku di masjid malah di surau.

Saya pernah datang ke surau di bandar KL, dia bawa kitab sudah besar danhebat serta gah judul malah penulisnya. Namun apabila sekadar membaca satu dua baris dalam kitab yang selebihnya merapu meraban dengan berjenaka lucah dengan jemaah bagai ketagih mahu membuatkan orang ketawa, semasa habis kuliah sesudah solat isyak masuk sahaja dalam lif saya bertanyakan ustaz itu bila hendak tiba membincangkan topik seterusnya sebagaimana tertera dalam kitab agama yang dipegangnya itu, dia tergamam dan tersekat-sekat mengatakan minggu hadapan.

Kawan saya yang ada ketika itu marahkan saya kerana kurang ajar dengan ustaz. Sedangkan saya ini siapa hendak menegurnya. Ini juga satu masalah. Masalah hormat tidak bertempat. Islam tidak ajar hormat orang berdasarkan gelaran dan fizikal.

Berbalik kepada punca masjid kosong, begitulah saya menarik satu helai rambut daripada sekian banyak gumpalan rambut yang lain dalam tepung yang putih bersih. Jangan ditanya mengapa orang tidak datang ke masjid sebab sudah ada jawapannya. Jawapannya bukan semata-mata tiadanya program sukan di masjid bagi menarik generasi muda.

Tetapi juga tiadanya penataran atau Kawalan Kualiti terhadap program sedia ada di masjid. Itu tidak lagi sentuh tentang imam solat cepat sebelum habis makmun habiskan fatihah dia sudah rukuk ikut suka hati dia sahaja, dan tentang amalan zikir jemaah yang sengaja di pendek-pendekkan semata-mata hendak buat kuliah, cthnya memendekkan zikir yang sudah disunnahkan nabi dengan bilangan tertentu dengan bilangan pak imam sendiri semata-mata nak cepat.

Walau nampak kecil ia memberi impak sebenarnya dari segi mengikut sunnah nabi dan juga kesannya ke atas jemaah yang kritis. Ada juga meninggalkan bacaan ayatul kursi yang disabdakan nabi akan kelebihannya membaca selepas solat fardhu atau meninggalkan sunnah dalam berzikir yang berlaku di masjid.

Kita jangan bercakap ini soal sunnat boleh ditinggalkan. Itu ayat umum.

Ini saya memberikan ayat yang khusus atau hujah yang khusus iaitu bilangan yang ditentukan sendiri bukan lagi mengikuti sebagaimana di sunnahkan.

Itu belum sentuh lagi soal masjid ditutup awal, ditutup lampu kipas dikunci grillkan. Walaupun betul banyak pencuri namun apakah tiada jalan lain untuk menjadikan masjid sentiasa cerah dan terbuka sepanjang masa kerana tidak sepatutnya ditutup khususnya apabila ada orang mahu singgah di masjid solat isyak tetapi masa itu sudah pukul 10 malam tetapi mendapati pintu besi sudah menahannya.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah Ayat 114 bermaksud: "Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalang daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebut / mengingati nama Allah di dalamnya, dan dia berusaha pula untuk meruntuhkan masjid-masjid itu? Orang-orang yang demikian, tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan secara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat besar."


Apakah sengkek sangat atau malas sangat berfikir sampai tidak terfikir mahu mengupah pengawal atau kaedah lain agar keselamatan terjaga tanpa membuatkan sesiapapun jua tidka dapat beribadat di masjid atau Rumah Allah?

 Itu tidak sentuh lagi soal barang hilang di masjid ada di hujung kepala sendiri barang boleh hilang sebaik sahaja bingkas daripada sujud. Dan tertera kenyataan daripada AJK masjid jaga hak milik sendiri kehilangan tanggungjawab sendiri. Tidakkah ini cara yang lepas tangan paling mudah dan cara paling malas yang pernah dilakukan umat Islam bagi menjaga rumah Allah yakni masjid?

Cuba pencuri mahu mencuri sesuatu dalam kuil. Pencuri pun fikir lapan puluh kali terutama kuil besar dan pada waktu sekarang ini. Cuba pencuri itu Melayu yang pernah mencuri di masjid?

Fikir-fikirkanlah kenapa masjid kosong bukan sekadar tiada acara sukan tetapi tiadanya penelitian terhadap perkara-perkara kecil tetapi besar kesannya dalam menarik jemaah ke masjid. APATAH LAGI MAHU MENJADIKAN MASJID SEBAGAI RUMAH! (Jangan salah faham bukan maksud saya menjadikannya ia sebagai tempat tinggal..boleh fikir sendiri berdasarkan tulisan saya).

Allah berfirman dalam Surah At-Taubah Ayat ke-18.

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.



16 September 2010

Dicinta dan Menyintai

"Wahai orang beriman, barangsiapa yang ragu-ragu terhadap agama Allah, maka nanti Allah akan mendatangkan satu golongan yang dicintai Allah dan mereka sangat menyintai Allah."-Al Quran-

Al-Faridh bersyair:

"Sekelian pengawalmu melengahkanMu
kecuali aku dan beberapa orang pengawal
berkumpul para Asyiq di bawah benderaku
dan hamba-hamba di bawah benderaMu"

Rabiatul Adawiyah berkata:

"Cinta itu ada dua
cinta rindu dan cinta kepadaMu belaka
cinta pertama dan membimbangkan daku belaka
Adapun cinta kepadaMu maka ia
bertemu denganMu ntanpa tirai apa-apa
tak ada segala puji dan puja
kecuali hanya untukmu sahaja"

11 September 2010

Tanpa Minyak, Pijatan dan Kesakitan

Bagi merawat penyakit berkaitan urat saraf, otot dan tulang biasanya kaedah mengurut digunakan. Namun demikian adakalanya saya tidak menggunakan kaedah mengurut. Saya hanya menempelkan telapak tangan ke tempat yang sakit/lenguh/kebas dan dalam jangkamasa 20 minit kesakitan itu pun hilang. Pulang ke kampung saya menggunakan kaedah tersebut pada Tok saya. Ia berjaya malahan, Pak saudara saya yang mahir mengurut dalam urutan melayu, China dan Jepun pun terkebil-kebil apabila melihat hanya menempel sahaja, tanpa 'buat apa-apa' saya dengan izin Allah dapat menolong menghilangkan kekebasan/sakit pada peha, betis dan pelipat Tok saya yang mengjangkau usia 80-an. Tok saya mengatakan mulanya dia tidak merasakan apa-apa. Apabila beberapa minit Tok merasai suatu hawa dan getaran elektrik rendah terhasil dari telapak tangan menjalar ke tempat sakitnya. Saya tidak melakukan pernafasan tenaga dalam atau pernafasan tiga segi. Latihan itu bukannya semasa merawat tetapi diluar rawatan. Begitu juga amalan hikmah yang lain. Begitulah secebis pengalaman saya, yang sangat sederhana, tanpa minyak urut tanpa pijatan dan merasai sakit begitu masalah sakit urat yang menahun dan sering dapaty dikurangkan dan disembuhkan dengan izin Allah ta'ala.Pada masa yang sama saya asyik teringat bebarapa pesakit saraf yang saya ikhtiarkan, kadangkala menitis juga air mata ini apabila mengenangkan semua penyakit dan dugaan itu datang daripada Allah bersama hikmah dan kiffarah hambaNya yang berjalan begitu halus dan tersembunyi tetapi nyata bagi yang diperjelaskan olehNya...

07 September 2010

Membersihkan Diri Daripada Energi Negatif

Makna membersihkan diri memberikan dua maksud:
-membersihkan diri daripada hadas besar dan hadas kecil
-membersihkan hati

Maksud bagi membersihkan diri daripada energi negatif tergabung dalam dua pengertian sekaligus malah lebih mendalam lagi menuju kepada rohaniah.

Jika berwuduk alatnya ialah air. Pembersihan hati pula memerlukan zikir yang diawali dengan istighfar.

Energi Negatif

Energi bermaksud tenaga dan perbahasannya sangat meluas dalam bidang pengajian ilmu metafizik. Bagi memudahkan pemahaman energi negatif ialah segala unsur kotor sama ada najis yang dapat dilihat dengan mata kasar dan juga yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar hanya dapat dilihat melalui mata hati.

Dalam pengajian ilmu metafizik, energi negatif merangkumi unsur gangguan makhluk halus, mainan sihir, emosi yang negatif, keadaan mental yang bercelaru dan tabiat diri yang negatif seperti malas, bersangka buruk, hasad, fasad, meninggalkan solat, menonton bahan pornografi, pemarah, pembangkang, bengkeng dll.

Saya mempunyai beberapa pengalaman melakukan proses pembersihan energi negatif terhadap beberapa orang hamba Allah. Yang pertama ialah 4 tahun lepas, sewaktu saya masih belajar di universiti. Saya melakukan pembersihan dirinya dan dalam hitungan minit dengan izin Allah, energi negatif tersebut keluar daripada tubuh melalui kepalanya dalam bentuk asap hitam nipis. Kawan saya itu menuntut ilmu dari sebuah pusat pengajian metafizik terkenal suatu ketika dahulu dan kini merudum sehingga laman websitenya sudah 'ghaib'.

Dalam silibus pengajian ilmu kebatinan tersebut terdapat beberapa ayat dan jampi mantera yang tidak difahami maksudnya dan menyeru selain daripada Allah.

Walaupumn jampi mantera dan jampi termasuk dalam kategori ilmu metafizik, ia tidak termasuk dalam metafizik Islam. Maksudnya ilmu metafizik yang selari dan bersumberkan daripada agama Islam atau ajaran tasawuf itu sendiri sebagaimana yang disentuh oleh Prof Muhammad Naquib Alatas dalam karya-karyanya melalui percontohan terhadap karya mistik dan metafizik Hamzah Fansuri.

Cuma bidang Hamzah Fansuri menjurus kepada penulisan metafizik berlandaskan pengajian ilmu hakikat dan sirr dan pengalaman menjalaninya. Sementelahan yang saya maksudkan dalam entri ini ialah ilmu metafizik dalam cabang ilmu perubatan yang tiada kurang penting kedudukannya dalam agama Islam.

Demam dan Terbaring

Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang sahabat yang telah menerima ijazah ilmu daripada pelbagai orang namun TIADA satu amalan pun yang lekat atau tetap diamalkannya. Saya menerangkan kepadanya bahawa setiap ilmu ada hakikatnya. Bagi mendapat hakikat sesuatu ilmu haruslah beramal dan melalaui pengalaman pengamalan ilmu tersebut. Ini bukan bermaksud dalam konteks ilmu perbomohan.

Terdapat Ustaz Muda yang bertindak sebagai Tuhan dan Pemilik Agama apabila sewenang-wenangnya mengatakan "kita mengaku kewujudan aura namun apabila ia berlebih-lebih kepada perihal ajaib maka ia nyata ditolak oleh Islam." Soalnya ialah siapa Tuhan?Apakah dia adalah Tuhan bagi menentukan sesuatu perkara tersebut ditolak atau diterima Islam?

Sungguh aneh sikap tersebut bagi seorang mukmin kerana mukmin sejati sifatnya mengaji dan mengkaji serta bersuri kepada yang ahli bukannya semberono pukul lambak lalu menghukum dalam beberapa baris ayat yang kononnya ilmiah dan bersifat membela agama Islam itu.

Bagi mendapatkan sesuatu ilmu, maka dekatinya terlebih dahulu dan sabar untuk memahaminya serta selalu 'pulangkan' kepada Allah akan sesuatu yang diluar akal fikiran atau diluar kotak pengetahuannya sendiri.

Berbalik kepada pengalaman saya, melakukan ikhtiar pembersihan energi negatif terhadap sahabat saya itu, saya tidak melalukan apa-apa sentuhan pun. Dia hanya datang dan berbual dengan saya. Sambil berbual saya niatkan sahaja, dan memang reaksi daripada itu dia merasai suatu arus elektrik mengalir halus dalam tubuhnya dan menangkap kepala.

Kepala bukan sekadar menyimpan otak tetapi pusat kawalan pemikiran saraf dan minda manusia. Ia bagaikan dinamo yang menghasilkan jutaan kilowat tenaga elektrik yang mempunyai pertalian dengan roh manusia pula. Perbualan kami berkisar sewaktu tiga hari sebelumnya di mana saya telah melakukan ikhtiar pemberishan jalur dan nadi tenaga pada tubuhnya. kali pertama sewaktu hampir berbuka puasa.

Saya ambil kesempatan pada waktu tersebut kerana ia waktu mustajab doa. Silalah rujuk hadis nabi berkenaan. Dan pada waktu saya sedang mencari 'baju raya' di pasaraya Sogo. Saya tidka gemar sangar mahu keluar ke tempat begitu tetapi kerana diajak menemani saya gagahkan diri juga pergi. Apabila berada di sana bukan sahaja di SOGO malah di jalan-jalan sekitarnya disesaki dengan gerai ddan limpahan umat Muhammad SAW mencari keperluan berhari raya. Sementera menunggu barang dibayar dikaunter saya tafakur sejenak dan membuka dan membersihkan lagi jalur dan nadi tenaga pada sahabat saya itu secara jarak jauh. Untuk makluman saya bukanlah terpaksa beraksi atau bergerak semacam bomoh dan orang kesurupan. Cukup sekadar niat dan doa kepada Allah dengan bebekalkan keyakinan yang Allah campakkan ke hati saya.

Keyakinan bukan bisa dipelajari dan dilakoni melainkan ia suatu pemberian Allah yang mana tahap keyakinan itu terbahagi kepada empat dan pecahannya pula menjangkau seratus tingkat. :)

Hasil daripada 2 x proses pembersihan tersebut, sahabat saya mengalami reaksi pembersihan dan penyembuhan luar biasa. Dia terlantar, demam, muntah lebih 10x dan terpaksa melalukan zikir sebagaimana saya ajar secara berbaring sahaja. Saya tersenyum sahaja dan mengucapkan syukur kepada Allah.

Apabila dia bertemu saya, saya menerangkan serba ringkas mengapa berlaku demikian. Apabila berdepan dengan saya, saya ikhtiar lagi dan saya buat lagi sehingga skait kepala dan berat pada tubuh hilang sebaliknya diganti dengan rasa segar dan sihat cerah bijik mata kata orang Kedah:). Syukur alhamdulillah.

Walaupun selepas dia pulang sehari kemudian dia merasai hendak 'sakit' semula, dia berzikir dan berdia sebagaimana saya ajar dan Alhamdulillah Allah kabulkan berkat bulan mulia ini dan ia surut semula. Sebenarnya proses pembersihan yang say lakukan ke atasnya belum sempurna.

Oleh kerana dia sendiri belajar dengan berbagai orang yang tiada diketahui yang diterima itu ilmu haq atau ilmu bathil. Yang pasti banyaknya kepada bathil dna bathil itu tidak perlu banyak pun. Macam tahi cica masuk dalam sekawah gulai. takkanlah kita yang nampak tahi cicak seketul masuk dalam sekawah gulai sanggaup makan juga gulai tersebut smabil terbayangkan sifat najis tersebut?Tentu tidak sanggup.

Sepanjang proses pembersihan hanya zikir dan bacaan ayat Al Quran sebagai pemompa energi positif murni yang bersumberkan semata-mata daripada keyakinan yang haq diakses dan dialiri ke tubuh pesakit. jangan fikir ini ajaib dan ini jin setan. Jangan cepat menuduh. Cuba tilik itu nafsu ammarah kamu yang berkata atau roh yang menerima hiadayah Allah yang berkata?Kamu melihat dengan firasat hati orang beriman atau firasat manusia yang masih terkelubung dengan nafsu ammarah?

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir Batin.

:Bagi yang memerlukan boleh menghubungi no telefon saya. Insya Allah setakat mana yang mampu saya membantu sesama insan. Ikhlaskan diri untu mengatasi masalah yang dihadapi jangan mengharapkan perawat SEMATA-MATA perlu ikhlas sehingga ikhlas ditafsirkan TIDAK BOLEH MENENTUKAN UPAH PERKHIDMATAN/MAHAR. Hendak menjemput Ustaz beri ceramah agama pun kena bagi duit upah, hendak belajar agama di mesir pun pakai duit berpuluh ribu. Apatah lagi mengubat sakit yang mana sihat itu lebih bernilai daripada jutaan wang ringgit dan harta benda.

Fikir-fikirkan dan selamat beramal!:)