22 November 2009

Allah Pelindung Orang Beriman

Allah pelindung orang beriman
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI (Siri Ke-61)
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Adalah peperangan Uhud mempunyai banyak pengajaran dan memberi kesan mendalam ke dalam hati golongan yang beriman. Begitu juga menjadi pembeza dengan golongan yang syak wasangka.
Justeru, al-Quran menjadikan ini sebagai pengajaran untuk memberi peringatan kepada mujahidin apa yang sepatutnya dilakukan dalam semua situasi dan peperangan.
Begitu juga mengingatkan mereka bahawa kejayaan dalam amalan apa jua bentuk pun hendaklah diasaskan dengan penyusunan dan disiplin serta pembahagian tugas mengikut kepakaran masing-masing yang sudah pasti menatijahkan keputusan yang baik.
Ayat ke-149
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengingatkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar tidak mentaati orang-orang kafir dan orang-orang munafik, kerana ketaatan kepada mereka akan menyebabkan kebinasaan di dunia dan akhirat.
Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Jika kamu mentaati orang-orang kafir, nescaya mereka mengembalikanmu ke belakang (kepada kekafiran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
ii. Al-Qurtubi berkata: Apabila Allah SWT memerintahkan supaya mengikut sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan Ansar terhadap Nabi-nabi, maka diberi peringatan supaya tidak menghormati golongan yang kafir iaitu musyrikin Arab seperti Abu Sufyan dan sahabat-sahabatnya ketika itu.
iii. Al-Maraghi berkata: Jika kamu mentaati golongan yang mengingkari kenabian Muhammad SAW, dan menerima pendapat mereka serta meminta nasihat daripada mereka lantaran kamu menganggap mereka sebagai penasihat kamu, nescaya kamu akan dilabelkan sebagai orang murtad setelah beriman kepada Allah SWT dan ayat-ayat-Nya.
Bahkan kamu akan dikembalikan kepada agama asal, sehingga kamu mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kerugian di dunia ialah kamu berada di bawah kekuasaan mereka, dihina dalam lingkungan mereka, dan kamu tidak akan memperoleh sebarang kebahagiaan dan kekuasaan di bumi seperti yang dijanjikan Allah kepada golongan yang beriman dengan keamanan yang sejati.
iv. Hamka berkata: Ayat ini adalah teguran kepada yang lemah atau tergoncang perasaan melihat pihak Islam telah terdesak.
Adapun dalam pimpinan tertinggi, Nabi SAW dengan sahabat-sahabat yang lain termasuk Abu Bakar, Umar, Ali, Saad bin Ubadah, Abu Ubaidah dan lain-lain sekali-kali tidak mengaku tunduk kepada musuh. Bahkan ada lagi beberapa orang perempuan yang ikut berperang dengan penuh semangat.
v. Quraish Shihab berkata: Ayat ini memperingatkan mereka agar jangan mengikut orang-orang kafir, kerana hal tersebut akan mengakibatkan kegagalan.
Jika kamu menunduk dan taat serta meminta perlindungan kepada orang-orang kafir termasuk orang munafik baik yang memerangi kamu di Uhud ataupun selain mereka, baik saat atau beberapa saat ketika malapetaka Uhud menimpa kamu mahupun selepas itu, jangan kamu tunduk kepada mereka dan menerima saranan daripada mereka yang bertentangan dengan tuntutan Alah SWT dan Nabi SAW.
vi. Al-Sonhaji berkata: Yang dimaksudkan orang-orang kafir dalam ayat ini ialah mengikut sesetengah ulama seperti Abu Sufyan yang terkenal sebagai ketua pembuat fitnah.
Menurut sesetengah ulama yang lain ialah orang Yahudi dan Nasrani dan ada pula yang mengatakan iaitu Abdullah bin Ubai bersama sahabat-sahabatnya dari golongan orang-orang munafik yang terkenal sebagai penghasut orang-orang mukmin yang lemah imannya.
Ayat ke-150
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dialah sebaik-baik penolong.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata: Janganlah kamu bandingkan kekuasaan Abu Sufian dengan pengikutnya dan kekuasaan Abdullah Ibn Ubai dengan kelompoknya.
Janganlah kamu terpedaya oleh kesesatan mereka. Mereka tidak akan sanggup menolong kamu. Hanya Allah SWT yang berkuasa menolong kamu melalui bimbingan-Nya yang telah dijanjikan kepada kamu.
ii. Hamka berkata: Setelah selesai peperangan, maka bergelimpanganlah mayat para syuhada. Abu Sufyan berdiri di puncak sebuah bukit dan bersorak memanggil nama-nama pahlawan Islam yang disangka telah tewas.
Dipanggilnya Abu Bakar, kemudian Umar. Jika tidak menjawab, tentu pengikutnya gembira kerana mereka menyangka Abu Bakar dan Umar telah mati. Tetapi Umar al-Khattab tidak tahan mendengarnya, lalu disahutinya: "Kami semuanya masih hidup".
Akhirnya Sufyan membanggakan lambang perjuangannya: "Kami mempunyai Uzza dan tidak ada Uzza padamu". Mendengar itu, Rasulullah SAW menyuruh Umar menyahut: "Pelindung kami adalah Allah dan tidak ada pelindung bagi kamu".
Abu Sufyan terdiam sebab Uzza itu hanyalah berhala yang mereka lindungi, sebab itulah mereka banggakan. Sedangkan mereka memerangi Allah SWT kerana mempertahankan Uzza. Penangkisan Umar atas sorak Abu Sufyan inilah dikuatkan oleh ayat ini.
iii. Quraish Shihab berkata: Ayat ini menunjukkan bahawa boleh jadi ada penolong selain-Nya, tetapi sesiapa pun mereka, tidak memiliki kemampuan dari dirinya sendiri. Kemampuan memberi bantuan hanyalah datang daripada Allah SWT.
Bahkan jika penolong itu adalah orang-orang kafir, akan mengakibatkan kerugian dan kekecewaan di masa akan datang.
iv. Al-Sonhaji berkata: Jangan kamu fikir orang-orang seperti Abu Sufyan dengan kumpulannya dan Abdullah bin Ubai dengan sahabat-sahabatnya yang menggoda kamu itu dapat memberikan pimpinan. Tidak akan dapat mereka menolongmu.
Hanya Allah SWT jua yang menolong kamu dengan pimpinan-Nya dan pemeliharaan-Nya dan Dialah sebaik-baik Penolong.
Ayat ke-151
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Qurtubi berkata: Perkataan sultan memberi maksud hujah, bukti dan penerangan. Justeru, dikatakan kepada pemerintah itu sultan kerana ia menjadi hujah Allah di muka bumi. Antara maksud sultan di mana ia diberi cahaya dengannya dalam menegakkan kebenaran dan membasmi kebatilan.
ii. Al-Maraghi berkata: Kandungan ayat ini membatalkan amalan syirik, kesannya yang amat jelik terhadap jiwa.
Perbuatan syirik akan menyebabkan seseorang itu mempunyai jiwa yang pengecut kerana kepercayaan terhadap beberapa makhluk yang mempunyai kuasa ghaib, dan berada di sebalik perjalanan peraturan ilahi dan hukum sebab akibat.
Ringkasnya, watak orang musyrik apabila berhadapan dengan kamu wahai orang yang beriman, hati mereka akan cepat gundah, penuh dengan perasaan takut terhadap kamu.
Oleh yang demikian, kamu janganlah berasa takut kepada mereka. Jangan sesekali mempedulikan mereka dan menjadi teman mereka.
iii. Hamka berkata: Meskipun mereka telah berhasil dapat menewaskan 70 orang yang beriman, antaranya pahlawan yang gagah berani kebanggaan Islam iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib, namun kemenangan itu tidaklah menambahkan keberanian mereka, tetapi mereka kian merasa takut.
Apatah lagi apabila diseru oleh Umar dengan suruhan Rasulullah SAW perkataan, "bahawa pelindung kami adalah Allah. Sedangkan kamu tidak mempunyai sebarang pelindung". Hal ini meninggalkan kesan kengerian di hati mereka.
iv. Quraish Shihab berkata: Ayat ini menjelaskan salah satu bentuk pertolongan dan perlindungan Allah SWT.
Ayat ini memberi maksud akan dicampakkan dengan keras sehingga menggoncang hati orang-orang kafir yang tidak takut kepada Allah SWT dan melanggar perintah serta mengabaikan larangan-Nya.
Selain itu akan rasa takut untuk menyerang kaum muslimin, antara lain disebabkan mereka menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Bahkan banyak sekali keterangan membuktikan keesaan-Nya.
v. Al-Sonhaji berkata: Sebenarnya rasa takut yang menyelubungi hati orang-orang yang kufur (kafir) itu adalah disebabkan mereka menyekutukan Allah dengan sesuatu.
Mereka tiada mendapat apa-apa hujah atau bukti yang diturutkan oleh Allah kepada mereka iaitu hujah yang mempunyai daya kekuatan untuk menolak perkara-perkara yang batil dan salah. Disebabkan tidak adanya hujah-hujah dan bukti inilah hati mereka sentiasa diselubungi rasa khuatir dan ketakutan.
Berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan betapa orang Islam mesti menolak bentuk kekufuran dan meletakkan tawakal kepada Allah SWT. Semoga Allah selamatkan kita daripada gaung api neraka. Amin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan