23 November 2009

Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu-Manuskrip Melayu Warisan Negara

Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu-Manuskrip Melayu Warisan Negara

Oleh Muhammad Ali Atan

Manuskrip Melayu adalah mutiara yang bergemerlapan di sepanjang pantai peradaban bangsa. Di atas kesedaran itu, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) dan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya (APM), Universiti Malaya dan Persatuan Sejarah Malaysia berpadu tenaga menganjurkan Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu yang berlangsung dari 23 November sehingga 25 November 2000 yang bakal dirasmikan oleh oleh Naib Canselor, Universiti Malaya iaitu YBhg. Datuk Dr. Ghauth Jasmon bertemakan Manuskrip Melayu Warisan Negara.
Matlamat persidangan ini diadakan adalah seperti berikut:
1. Mempertemukan pengkaji-pengkaji manuskrip Melayu dalam persidangan atau seminar.
2. Mengadakan perbincangan dan memperhalusi manuskrip Melayu sebagai sumber ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.
3. Mengenalpasti lokasi penyimpanan dan kehadiran manskrip-manuskrip Melayu di dalam dan luar negara.
4. Menyebarkan ilmu yang terakam dalam manuskrip Melayu melalui hasilan persidangan yang diterbitkan.
Persidangan diserikan dengan beberapa ucap utama daripada tokoh akademik dan tokoh pengkaji manuskrip. Antara tokoh yang akan memberi ucap utama ialah YBhg. Prof. Datuk Dr. Zainal Kling dengan judulnya Keadilan: Nilai Teragung Kerajaan Melayu pada 24 November 2009. Ia dikuti dengan ucap utama daripada Prof. Dr. Abdullah Zakaria Ghazali dengan tajuk Naskhah Melayu Permata Melayu di Jagat Raya yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohammad Redzuan Othman Kedua-dua pemberi ucap utama tersebut merupakan tokoh akademik dalam bidang kebudayaan dan juga tokoh akademik dalam bidang sejarah dan manuskrip yang tidak asing lagi.
Pada hari berikutnya persidangan diunggulkan lagi dengan ucap utama daripada YBhg. Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham dengan judul Unsur-unsur Tasawwuf Dalam Syair-syair Naskhah Riau dan kemudian diikuti ucap utama oleh Dr. Nurhayati Rahman dengan judul Syair Perang Mengkasar Karya Encik Amin: Pusat Jaringan Ilmu & Kebudayaan Nusantara. Sesi ucap utama yang kedua ini akan dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan yang juga Pengarah Akademi Pengajian Melayu.
Seterusnya, pemakalah yang diundang pula terdiri daripada tokoh akademik dari bidang pengkajian dan penelitian manuskrip sehinggalah tokoh budayawan dan pengkaji kesusasteraan. Antara tokoh dalam bidang manuskrip yang bakal membentangkan kertas kerja ialah YBhg. Datuk Dr. Siti Hawa Salleh dengan kertas kerjanya berjudul Pensejarahan Negeri Kedah Darul-Aman: Suatu Penjelajahan Sastera Sejarah. Prof. Datuk Siti Hawa Salleh merupakan mantan pensyarah di Universiti Malaya yang berpengalaman puluhan tahun dalam penelitiannya terhadap manuskrip Melayu yang turut menyelia tesis beberapa tokoh yang mekar di bidang penelitian manuskrip. Selain itu Prof. Dr. Noriah Mohamad turut akan membentangkan kertas kerjanya yang berjudul Benci Tapi Sayang: Jawa Dalam Naskhah Melayu. Beliau merupakan tokoh akademik dalam bidang naskhah Melayu dari Akademi Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia. Pihak penganjur juga turut mengundang Prof. Madya Dr. Jelani Harun dari Universiti Sains Malaysia yang akan membentangkan kertas kerjanya yang berjudul Naskhah Melayu Perak dalam Perubahan Skriptoria Alam Melayu Abad ke-19. Banyak lagi pemakalah yang terdiri daripada ahli akademik pelbagai bidang dalam meneliti manuskrip Melayu yang akan menambahserikan lagi persidangan ini.
Pihak penganjur mengundang pemakalah dari negara luar Malaysia. Antara pemakalah tersebut ialah Drs. Suriadi Mappangara dengan kertas kerjanya berjudul Lontarak & Legitimasi Kekuasaan (Studi Kasus Arung Palakka) dari Indonesia. Pemakalah dari Brunei iaitu En. Hj. Abdul Karim bin Hj. Abdul Rahman turut diundang yang akan membentangkan kertas kerjanya berjudul Salasilah Raja-raja Brunei: Sebuah Karya Historiografi Kesultanan Brunei. Selain itu Prof. Madya Dr. Tatiana Desinova (Russia) melihat Unsur-unsur Metrologi Dalam Teks-teks Melayu Lama dan Cik Cho Tae Young (Korea Selatan) menyorot Aksara Serang: Salah Satu Variasi Dari Tulisan Jawi di Sulawesi Selatan.
Persidangan ini akan dibahagikan pada enam sesi sidang. Keenam-enam sidang akan dijalankan dua hari berturut-turut yang dibahagikan kepada beberapa subtema sebanyak 10 subtema iaitu politik, surat-surat, bahasa, budaya, sastera, sejarah, salasilah, perubatan Melayu, sejarah perang dan umum. Ini sudah pasti memperlihatkan kevariasian persidangan ini dalam penelitian terhadap manuskrip Melayu.
Berdasarkan matlamat tersebut persidangan ini dijangka dapat menarik perhatian peserta daripada pelbagai golongan seperti ahli filologi, ahli akademik, sejarawan, karyawan, pengkaji/ peminat manuskrip lama, pengkaji/peminat bahasa, budaya, seni dan sastera teks tradisonal, mahasiswa/i dan seterusnya masyarakat umum yang mahu menambah pengetahuan.
Setakat ini pihak penganjur telah menerima maklum balas daripada semua golongan untuk menyertai persidangan ini selain daripada pembentang sebagai peserta persidangan. Bakal peserta telah mengajukan minat mereka untuk menyertai persidangan ini melalui pendaftaran secara on line melalui laman web persidangan yang boleh diakses di alamat
http://umconference.um.edu.my/PERANTARA. Mereka terdiri daripada mahasiswa/i dan pensyarah dari serata Insitiut Pengajian Tinggi Awam Malaysia dan juga individu dari negara jiran iaitu dari Indonesia dan Singapura. Pihak penganjur berharap pada hari pendaftaran iaitu 23 November ini jumlah peserta akan bertambah lagi.
Pihak penganjur menyusun jari memohon seribu maaf kepada individu yang mengajukan permohonan untuk membentangkan kertas kerja kerana kami tidak dapat menunaikan permohonan mereka. Hal ini kerana pemakalah adalah diundang dan diputuskan dalam mesyuarat penganjur. Namun demikian pihak pengajur tetap mengalu-alukan kedatangan mereka sebagai peserta dan akan diberikan layanan sewajarnya apabila mereka mendaftar sebagai peserta.
Sesungguhnya menjadi harapan pihak penganjur agar Persidangan Antarabangsa Manuskrip Melayu 2009 akan berjalan dengan sebaik-baiknya dan peserta mendapat ilmu pengetahuan baharu dan pelbagai berkenaan manuskrip Melayu. Manuskrip Melayu Warisan Negara kita bersama yang menandakan kejatidirian kita sebagai bangsa Melayu dalam menempuh laluan masa depan yang penuh dengan dugaan yang mengugah keperibadian bangsa.

22 November 2009

Allah Pelindung Orang Beriman

Allah pelindung orang beriman
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI (Siri Ke-61)
Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Adalah peperangan Uhud mempunyai banyak pengajaran dan memberi kesan mendalam ke dalam hati golongan yang beriman. Begitu juga menjadi pembeza dengan golongan yang syak wasangka.
Justeru, al-Quran menjadikan ini sebagai pengajaran untuk memberi peringatan kepada mujahidin apa yang sepatutnya dilakukan dalam semua situasi dan peperangan.
Begitu juga mengingatkan mereka bahawa kejayaan dalam amalan apa jua bentuk pun hendaklah diasaskan dengan penyusunan dan disiplin serta pembahagian tugas mengikut kepakaran masing-masing yang sudah pasti menatijahkan keputusan yang baik.
Ayat ke-149
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taatkan orang-orang yang kafir nescaya mereka akan menolak kamu kembali kepada kekufuran, lalu menjadilah kamu orang-orang yang rugi.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengingatkan hamba-hamba-Nya yang beriman agar tidak mentaati orang-orang kafir dan orang-orang munafik, kerana ketaatan kepada mereka akan menyebabkan kebinasaan di dunia dan akhirat.
Oleh kerana itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Jika kamu mentaati orang-orang kafir, nescaya mereka mengembalikanmu ke belakang (kepada kekafiran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi.
ii. Al-Qurtubi berkata: Apabila Allah SWT memerintahkan supaya mengikut sebagaimana yang telah dilakukan oleh golongan Ansar terhadap Nabi-nabi, maka diberi peringatan supaya tidak menghormati golongan yang kafir iaitu musyrikin Arab seperti Abu Sufyan dan sahabat-sahabatnya ketika itu.
iii. Al-Maraghi berkata: Jika kamu mentaati golongan yang mengingkari kenabian Muhammad SAW, dan menerima pendapat mereka serta meminta nasihat daripada mereka lantaran kamu menganggap mereka sebagai penasihat kamu, nescaya kamu akan dilabelkan sebagai orang murtad setelah beriman kepada Allah SWT dan ayat-ayat-Nya.
Bahkan kamu akan dikembalikan kepada agama asal, sehingga kamu mengalami kerugian di dunia dan di akhirat. Kerugian di dunia ialah kamu berada di bawah kekuasaan mereka, dihina dalam lingkungan mereka, dan kamu tidak akan memperoleh sebarang kebahagiaan dan kekuasaan di bumi seperti yang dijanjikan Allah kepada golongan yang beriman dengan keamanan yang sejati.
iv. Hamka berkata: Ayat ini adalah teguran kepada yang lemah atau tergoncang perasaan melihat pihak Islam telah terdesak.
Adapun dalam pimpinan tertinggi, Nabi SAW dengan sahabat-sahabat yang lain termasuk Abu Bakar, Umar, Ali, Saad bin Ubadah, Abu Ubaidah dan lain-lain sekali-kali tidak mengaku tunduk kepada musuh. Bahkan ada lagi beberapa orang perempuan yang ikut berperang dengan penuh semangat.
v. Quraish Shihab berkata: Ayat ini memperingatkan mereka agar jangan mengikut orang-orang kafir, kerana hal tersebut akan mengakibatkan kegagalan.
Jika kamu menunduk dan taat serta meminta perlindungan kepada orang-orang kafir termasuk orang munafik baik yang memerangi kamu di Uhud ataupun selain mereka, baik saat atau beberapa saat ketika malapetaka Uhud menimpa kamu mahupun selepas itu, jangan kamu tunduk kepada mereka dan menerima saranan daripada mereka yang bertentangan dengan tuntutan Alah SWT dan Nabi SAW.
vi. Al-Sonhaji berkata: Yang dimaksudkan orang-orang kafir dalam ayat ini ialah mengikut sesetengah ulama seperti Abu Sufyan yang terkenal sebagai ketua pembuat fitnah.
Menurut sesetengah ulama yang lain ialah orang Yahudi dan Nasrani dan ada pula yang mengatakan iaitu Abdullah bin Ubai bersama sahabat-sahabatnya dari golongan orang-orang munafik yang terkenal sebagai penghasut orang-orang mukmin yang lemah imannya.
Ayat ke-150
Firman Allah SWT yang bermaksud: (Janganlah kamu taatkan mereka!) Bahkan (taatlah kepada) Allah Pelindung kamu, dan Dialah sebaik-baik penolong.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Maraghi berkata: Janganlah kamu bandingkan kekuasaan Abu Sufian dengan pengikutnya dan kekuasaan Abdullah Ibn Ubai dengan kelompoknya.
Janganlah kamu terpedaya oleh kesesatan mereka. Mereka tidak akan sanggup menolong kamu. Hanya Allah SWT yang berkuasa menolong kamu melalui bimbingan-Nya yang telah dijanjikan kepada kamu.
ii. Hamka berkata: Setelah selesai peperangan, maka bergelimpanganlah mayat para syuhada. Abu Sufyan berdiri di puncak sebuah bukit dan bersorak memanggil nama-nama pahlawan Islam yang disangka telah tewas.
Dipanggilnya Abu Bakar, kemudian Umar. Jika tidak menjawab, tentu pengikutnya gembira kerana mereka menyangka Abu Bakar dan Umar telah mati. Tetapi Umar al-Khattab tidak tahan mendengarnya, lalu disahutinya: "Kami semuanya masih hidup".
Akhirnya Sufyan membanggakan lambang perjuangannya: "Kami mempunyai Uzza dan tidak ada Uzza padamu". Mendengar itu, Rasulullah SAW menyuruh Umar menyahut: "Pelindung kami adalah Allah dan tidak ada pelindung bagi kamu".
Abu Sufyan terdiam sebab Uzza itu hanyalah berhala yang mereka lindungi, sebab itulah mereka banggakan. Sedangkan mereka memerangi Allah SWT kerana mempertahankan Uzza. Penangkisan Umar atas sorak Abu Sufyan inilah dikuatkan oleh ayat ini.
iii. Quraish Shihab berkata: Ayat ini menunjukkan bahawa boleh jadi ada penolong selain-Nya, tetapi sesiapa pun mereka, tidak memiliki kemampuan dari dirinya sendiri. Kemampuan memberi bantuan hanyalah datang daripada Allah SWT.
Bahkan jika penolong itu adalah orang-orang kafir, akan mengakibatkan kerugian dan kekecewaan di masa akan datang.
iv. Al-Sonhaji berkata: Jangan kamu fikir orang-orang seperti Abu Sufyan dengan kumpulannya dan Abdullah bin Ubai dengan sahabat-sahabatnya yang menggoda kamu itu dapat memberikan pimpinan. Tidak akan dapat mereka menolongmu.
Hanya Allah SWT jua yang menolong kamu dengan pimpinan-Nya dan pemeliharaan-Nya dan Dialah sebaik-baik Penolong.
Ayat ke-151
Firman Allah SWT yang bermaksud: Kami akan isikan hati orang-orang kafir itu dengan perasaan gerun, disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda (yang mereka sembah) yang Allah tidak menurunkan sebarang keterangan yang membenarkannya. Dan (dengan yang demikian) tempat kembali mereka ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang zalim.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Qurtubi berkata: Perkataan sultan memberi maksud hujah, bukti dan penerangan. Justeru, dikatakan kepada pemerintah itu sultan kerana ia menjadi hujah Allah di muka bumi. Antara maksud sultan di mana ia diberi cahaya dengannya dalam menegakkan kebenaran dan membasmi kebatilan.
ii. Al-Maraghi berkata: Kandungan ayat ini membatalkan amalan syirik, kesannya yang amat jelik terhadap jiwa.
Perbuatan syirik akan menyebabkan seseorang itu mempunyai jiwa yang pengecut kerana kepercayaan terhadap beberapa makhluk yang mempunyai kuasa ghaib, dan berada di sebalik perjalanan peraturan ilahi dan hukum sebab akibat.
Ringkasnya, watak orang musyrik apabila berhadapan dengan kamu wahai orang yang beriman, hati mereka akan cepat gundah, penuh dengan perasaan takut terhadap kamu.
Oleh yang demikian, kamu janganlah berasa takut kepada mereka. Jangan sesekali mempedulikan mereka dan menjadi teman mereka.
iii. Hamka berkata: Meskipun mereka telah berhasil dapat menewaskan 70 orang yang beriman, antaranya pahlawan yang gagah berani kebanggaan Islam iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib, namun kemenangan itu tidaklah menambahkan keberanian mereka, tetapi mereka kian merasa takut.
Apatah lagi apabila diseru oleh Umar dengan suruhan Rasulullah SAW perkataan, "bahawa pelindung kami adalah Allah. Sedangkan kamu tidak mempunyai sebarang pelindung". Hal ini meninggalkan kesan kengerian di hati mereka.
iv. Quraish Shihab berkata: Ayat ini menjelaskan salah satu bentuk pertolongan dan perlindungan Allah SWT.
Ayat ini memberi maksud akan dicampakkan dengan keras sehingga menggoncang hati orang-orang kafir yang tidak takut kepada Allah SWT dan melanggar perintah serta mengabaikan larangan-Nya.
Selain itu akan rasa takut untuk menyerang kaum muslimin, antara lain disebabkan mereka menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Bahkan banyak sekali keterangan membuktikan keesaan-Nya.
v. Al-Sonhaji berkata: Sebenarnya rasa takut yang menyelubungi hati orang-orang yang kufur (kafir) itu adalah disebabkan mereka menyekutukan Allah dengan sesuatu.
Mereka tiada mendapat apa-apa hujah atau bukti yang diturutkan oleh Allah kepada mereka iaitu hujah yang mempunyai daya kekuatan untuk menolak perkara-perkara yang batil dan salah. Disebabkan tidak adanya hujah-hujah dan bukti inilah hati mereka sentiasa diselubungi rasa khuatir dan ketakutan.
Berdasarkan ayat ini jelas menunjukkan betapa orang Islam mesti menolak bentuk kekufuran dan meletakkan tawakal kepada Allah SWT. Semoga Allah selamatkan kita daripada gaung api neraka. Amin.

17 November 2009

UjianMu

Allah terus menguji saya. Dan mengapa saya belum dapat melepasinya. Aduhai, dunia...

05 November 2009

Simposium Warisan Tamadun Islam 2009


b.

a.


Insya Allah, datanglah beramai-ramai. Jika tiada aral saya mahu menyertainya sebagai pemakalah. Tajuk pilihan saya ialah membuktikan penggunaan nama Ali atau Saidina Ali dalam manuskrip2 Melayu bukanlah merujuk kepada fahaman Syiah. Ikutan masyarakat Melayu Nusantara ialah fahaman Ahlul Sunnah Wal Jamaah, bukannya Syiah, Wahhabi dan sewaktu dengannya.
Sekian harap maklum.









03 November 2009

Memorandom Bantahan Ke Atas Dr Asri Zaina Abidin

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PELANTIKAN DR. MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN SEBAGAI YDP YADIM
Memorandum Kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-HajBertarikh 12 Oktober 2009.Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Memorandum bagi pihak majoriti umat Islam Malaysia ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj supaya menarik balik pelantikan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Asri) sebagai Yang Di Pertua YADIM.
Antara Kandungan Memorandum ini ialah :
-1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.
2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkalibertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.
3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.
4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, seolat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.
5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama IslamNegeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.
6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.
7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umatIslam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (beritaberita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahandan beberapa kejadian pergaduhan.
8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam dimalaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, elstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negerinegeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.
9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran danpendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM. Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.
10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)Ditandatangani oleh:Mohamad Isa bin Abd RalipPresiden PGSM
Bertarikh 12 Oktober, 2009Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini –
1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia
2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan
3. Yayasan Jenderami4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)
5. Persatuan Peguam Syarie Malysia
6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia
7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)9. Jemaah Islah malaysia (JIM)
10. Persatuan Ulamak Malaysia11. Yayasan Paksi Kedah12. Persatuan Ulamak Kedah
13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)

02 November 2009

Kasyaful Asrar



Sila klik gambar untuk membesarkannya.


Sila klik gambar untuk membesarkannya.

Pagi. Membelek-belek kitab Kasyaful Asrar terjemahan ke bahasa Melayu tulisan rumi oleh Noraine Abu terbitan Al-Hidayah yang terkenal dengan slogan penerbitannya-Membaca Buku Al Hidayah Selangkah kita mendekati Alah-.
Dalam petikan di atas Syeikh Muhammad Shaleh Abdullah Mengkabau menjawab beberapa persoalan tentang mempelajari ilmu tasawuf dan kedudukannya.
Jawapan ulamak Melayu besar ini tepat dan ringkas. Hayati dan tanyalah kepada guru-guru agama yang faqih untuk mendapat huraiannya.
*Golongan wahhabi dan 'kaum muda' tidak suka kitab-kitab tasawuf walaupun mereka tidak pernah membacanya sekadar taksub kepada tokoh-tokoh wahhabi untuk menghukum tasawuf adalah sesat.

01 November 2009

Berkelana ke Tanah Merah 2











Berkelana ke Tanah Merah











Saya ke Tanah Merah kerana ada urusan kekeluargaan seminggu lepas. Sewaktu dalam bas Syarikat Adik Beradik, ketika tiba di jalan hendak masuk ke Kota Bharu saya saksikan lori balak menguasai jalan. Dan paling 'menakutkan' saya ialah melihat beberapa orang remaja menunggang motorsikal tanpa memakai topi keledar. Heronya remaja ini mereka mengekori dengan rapat belakang lori balak yang batang balaknya menonjol ke belakang. Sayangnya saya tidak merakam gambar remaja itu sebab terlalu 'seriau' memerhatikan mereka melingas kiri kanan belakang lori balak itu.





Gambar menunjukkan saya sudah tiba di Bandar Tanah Merah. Sempat merakam beberapa babak suasana petang yang mendung. Sebenarnya saya baharu belajar-belajar mengambil gambar. Jadi mungkin terlalu amatur gambar saya 'tangkap' itu.


Apapun selamat menghayati. Bukankah sekeping gambar dapat menceritakan segala-galanya?

*Sayangnya gambar 'gewe2' Tanah Merah tidak sempat saya rakamkan.

Pagi-pagi Merenung Hijau Daun

Pagi-pagi merenung hijau daun
kalaulah hati kita sesegar ini
kalaulah hati kita sekudus ini
pastilah aman dunia
dan manusia-manusianya
hidup aman sentosa

Sudah agak lama saya tidak mengemaskinikan blog.

Mungkin dengan kehadiran kamera baharu akan menaikkan semangat saya untuk menulis

Baharulah saya tahu gambar itu memberi inspirasi untuk mencatatkan sesuatu.