12 September 2009

Falsafah Kematian dan Takdir dalam The Final Destination

Filem The Final Destination 4 ini memang mengujakan terutama daripada aspek falsafah kematian yang ingin ditonjolkannya. Sebagai sebuah genre filem maka 'mainan' imej dan gambar itu sangat bagus walaupun ada kalanya kemalangan-kemalangan yang tercipta atau dicipta itu nampak sangat hiperbola sifatnya. Namun apa yang mengesankan saya ialah bagaimana kematian mendatangi setaip watak-wataknya. Boleh ddikatakan kemalangan yang dialami oleh setiap watak-watak dalam filem ini adalah kematian berunsur kebetulan tetapi kebetulan yang bersistematik.
Kemalangan bersistematik yang melibatkan jentera dan mesin ini sebenarnya mengingatkan kita bahawa kemalangan boleh berlaku tanpa disangka-sangka. Satu hal yang menarik bagaimana kemalangan maut dalam filem ini diciptakan demikian rupa dengan memasukkan sebab musabab terjadinya kemalangan tersebut. Dan paling saya 'gemar' ialah kemalangan berlaku setelah watak-wataknya mencarut, menyumpah dan mencela sesuatu hal atau situasi. Ini sangat menarik. Kemalangan juga berlaku terhadap watak yang berniat jahat untuk melakukan kejahatan terhadap orang lain.
Walaupun seorang daripada wataknya yang mempunyai intuisi selalu selamat dan dapat memintas takdir kemalangan maut daripada berlaku namun pada akhirnya apabila watak itu mencela, mencarut dan memaki, dalam suatu pertemuaan di kafe, lelaki berintusi tersebut mula sedar bahawa mereka tidak mengubah apa-apa kerana segala yang berlaku adalah menurut urutannya, maka berlakulah kemalangan akhir yang menutup filem ini dengan kematian semua watak-wataknya tetapi digambarkan dengan agak 'rock' apabila di x ray keadaan tulang yang hancur berkecai termasuk watak lelaki berintusi tersebut.
Rumusannya berhati-hati selalu dan jaga lidah anda!Sesuai dengan firman Allah dalam Surah Al Humazah 'Wai lul likul lihumazatil humazah' iaitu 'Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela baginya neraka Humazah'. Saya fikir inilah subjek yang menggerakkan filem ini selain takdir kemalangan maut yang tidak boleh disekat urutannya serta keunikan setiap kemalangan maut tersebut yang berlaku secara bersistematik berdasarkan hukum sebab-akibat. Walaupun demikian filem ini tetap segar. 4 bintang daripada 5 bintang dari sudut pemerian dan kesungguhan pengarah untuk merealisasikan kemalangan bersistematik tersebut. Ditambah dengan penggunaan kaca mata 3D yang mengujakan penonton dengan gambar-gambar yang timbul dan menerpa kearah penonton. Bantuan 3 D nyata menghidupkan lagi filem ini dengan prinsip filem yang mengutamakan kejelasan dan kekuatan imej atau gambar dalam memberi kesan terbaik kepada penonton.
Memang unsur kebetulan mendominasi tetapi ingatlah banyak kemalangan yang aneh dan kemalangan ngeri di jalan raya yang berpunca daripada kelalaian dan kealpaan kita terhadap situasi dan persekitaran kita. Jangan ambil mudah ketika memandu balik kampung semoga selamat dan pokoknya berdoa kepada Allah.
PS:Insya Allah selepas ini blog saya akan terus diaktifkan dengan ulasan filem dan buku-buku yang menarik.
Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan