20 Disember 2011

Wanita menerusi Unforgiven dan Ombak Rindu

Oleh Ali Atan

Sesungguhnya terdapat persamaan dan perbezaan antara filem Unforgiven (1992) arahan Clint Eastwood dan filem Ombak Rindu. Persamaan antara kedua filem ini ialah terletak pada idea yang menggerakkan naratif. Idea utama kedua-dua filem ini ialah wanita. Perbezaannya terletak pada kewujudan, sifat dan peranan wanita yang menjadi sebab-akibat logik naratif.

Unforgiven dan Ombak Rindu menjadikan wanita bukan sekadar idea tetapi sebagai pusat konflik yang mengembangkan naratif. Wanita dalam kedua-dua filem diwujudkan sebagai pelacur. Dalam Unforgiven watak sekumpulan pelacur menjadi faktor penggerak naratif dalam sifat penentangan dan keberanian iaitu mempengaruhi tindakan watak-watak lelaki bergerak mencapai satu kesatuan naratif, manakala Claudia wujud sebagai watak wanita pengimbang fikir-tindak William. Claudia dan sekumpulan pelacur tidak dipertentangkan. William dan dua rakan kerjasamanya dipertentangkan dengan dua koboi yang melukai pelacur dan Sheriff Little Bill dengan anak buahnya.

Ombak Rindu menjadikan watak Ustazah Izzah sebagai penggerak naratif dalam sifat ketidakberdayaan. Manakala watak Mila dan Datuk Sufiah menjadi watak bertentangan dengan Ustazah Izzah, namun tiada kesatuan apabila Mila tidak tahu siapa wanita yang disayangi Hariz dan Datuk Sufiah yang hanya mengetahui Izzah sebagai perempuan simpanan menyebabkan longgarnya kesatuan naratif. Keadaan ini berlaku kerana pengaruh cinta tiga segi yang klise itu.

Peranan Claudia sebagai isteri dalam memori William Munny begitu mulia. Pengaruh yang bersumberkan cinta dan dua orang anaknya hadir dalam keadaan positif dan kebaikan. Babak pertama Unforgiven menjelaskan segala-galanya. Penolakan William Munny terhadap Schofield Kid untuk menjadi rakan pemburu kepada tawaran membunuh dua koboi yang melukakan wajah pelacur di Bar T adalah kerana ingatannya terhadap Claudia sebagai faktor perubahan dirinya daripada perompak, pemabuk dan pembunuh berhati kering kepada suami dan bapa bertanggungjawab sehingga William tidak memegang senjata api selama 11 tahun bersama Claudia.

Namun William menerima juga apabila Schofield menyatakan kesadisan dua koboi tersebut dan tawaran wang yang mana Willliam memerlukan wang untuk anaknya. Ternakan babi yang diusahakannya dan dua ekor babi yang terkena flu menjadi lambang pada manusia koboi bodoh dan bengis. Naratif berkembang dan berpindah ke dua titik plot dimana William bertembung sifat melampau Sheriff Little Bill di Bar T yang memukulnya sehingga demam dan Ned dibunuh kejam membuatkan William meneguk arak sebagaimana sewaktu zaman kejahatannya dahulu untuk melunaskan hutang nyawa rakan baiknya.

Hal ini berbeza dengan Ombak Rindu. Tiada perkembangan naratif yang kuat sehingga terperangkap dalam dilemma melankolik bertele-tele. Oleh kerana ketandusan faktor dan idea untuk mengembangkan naratif ke titik plot lain, maka watak Ustazah Izzah terpaksa dimanipulasi secara melampau. Peranan Ustazah Izzah dan Datuk Sufiah-Mila ialah pertentangan berterusan sehingga membuatkan Hariz terpedaya untuk menagih simpatik kosong penonton sahaja. Kedudukan Ustazah Izzah dalam konotasi negatif iaitu simpatik Hariz dan nafsu badaniahnya semata. Oleh sebab itulah terdapat lebih kurang tiga babak ranjang. Manakala Unforgiven hanya mempunyai satu babak ranjang. Namun ia dipamerkan dari arah tepi dalam tempo cepat berbanding babak ranjang Ombak Rindu dalam tempo lambat. Jika babak ranjang Unforgiven dalam pencahayaan malap, babak ranjang menerusi Ombak Rindu dalam pencahayaan terang.

Logiknya, tidak peliklah jika babak ranjang dalam Unforgiven lebih banyak kerana wanita-wanita di Bar-T memang sudah lama menjadi pelacur. Namun Ustazah Izzah yang baharu sekali terbuang ke Kelab Malam jatuh ke tangan Kelvin pemilik Kelab Malam yang mana Hariz turut menyumbang pada kewujudan Kelab Malam tersebut; Ustazah Izzah yang baharu sekali dirogol, dituangkan arak ke mulutnya telah memainkan aksi porno bersama Hariz dengan terang dan mengalahkan aksi pelacur di Bar-T.

Ustazah Izzah 'berlakon' sebagai perempuan simpanan sehingga Hariz menggantungnya tidak bertali manakala Claudia menjadi isteri terbaik sepanjang umur William Munny. Jika simpatik ditagih pada Ustazah Izzah yang pandai mengaji dan berjaya mempengaruhi Hariz menjadi baik, namun penagihan simpatik dalam Unforgiven bukan kepada manipulasi kewujudan, sifat dan peranan wanita. Sebaliknya muncul sebagai watak pembaik kepada lelaki. Betapa setianya William Munny yang amat kejam itu kepada isterinya apabila menolak ajakan Delilia watak pelacur yang dilukakan wajahnya oleh koboi bodoh dan bengis itu untuk melakukan hubungan seks. Menerusi babak syot dua wajah Delilia dan wajah William Munny luka berparut itu begitu simbolik dan simbiosis.

Hariz tidak langsung membuktikan dirinya sedar kerana agama hanya simpatik dan nafsu nafsi. Doa Ustazah Izzah ketika hampir dirogol semasa masih menjadi perempuan simpanan adalah suatu bentuk kepasrahan yang salah. Ia diada-adakan bagi menimbulkan kesan 'memadai' untuk agama. Bandingkan dengan William ketika demam selepas dipukul Little Bill meracau-racau melihat roh dan muka isterinya berulat dan merasai betapa takutnya dia akan mati malah berpesan agar Ned jangan memberitahu kedua anaknya tentang kejahatannya pada masa silam. Berdasarkan ucapan "Jesus" di mulut William ketika Schofield Kid menyatakan kekejaman koboi mencederakan Delilia, menunjukkan William penganut Kristian.

Jika Unforgiven dimulakan babak aksi William mengorek kubur isterinya di bawah sebatang pokok tidak jauh dari rumahnya dalam lembayung matahari petang dan menziarahi pusara isterinya pada babak akhir hampir menyamai sinematografi Ombak Rindu pada babak akhir ketika Hariz dan Izzah menaiki kapal layar yang menuju ke arah Barat.

Ombak Rindu diharapkan lebih baik daripada Unforgiven apabila digambarkan pada permulaan babak Izzah seorang wanita yang mengajar kanak-kanak membaca Al-Quran. Tetapi sudah timbul ketidaktepatan inti novel dengan filem yang khabarnya mengecewakan sebahagian besar peminat. Izzah sebenarnya bukan ustazah sebaliknya seorang kerani dalam novel! Jadi apakah logik dan tujuan Osman Ali selaku penulis lakon layar dan pengarah mewujudkan Izzah sebagai ustazah berbaju kurung mengajar Al-Quran untuk melakonkan adegan ranjang?!

Pengamat filem, sastera dan budaya. Kredit Mingguan Malaysia. 19/12/2011.

Ombak Rindu Tragedi Murahan

Oleh Ali Atan                                                        

Dalam kebudayaan Barat, seni persembahan genre drama Greek menerapkan unsur tragedy sebagai asas penciptaan karya seni persembahan atau tulisan. Merujuk karya ilmiah berjudul Makna Kebahagiaan dan Pengalamannya dalam Islam oleh Prof Muhammad Naquib Al-Attas, Tokoh Melayu Terbilang 2011 merumuskan unsur tragedi (tragedy) bukan lagi wujud dalam bentuk seni, malah ia wujud dalam pengalaman sebenar yang dialami oleh masyarakat Barat. Menurut al-Attas, "seakan-akan dalam pengalaman dan kesedaran itu diada-adakan berterusan rasa bersalah-durhaka yang menghantui mereka, yang diajarkan oleh agama sebagai Dosa Asal (original sin) yang dilakukan Bapa kepada segala insan, yang telah tersilap langkah terpikat oleh peluang yang disodori godaan Si Penghasut yang mahu menyaksikan kejatuhannya dari rahmat Tuhan. "

Selanjutnya, kejatuhan Bapa segala manusia ke lurah kehinaan sebagai "suatu sumpahan berterusan ke atas anak cucu dengan rundungan berterusan menyebabkan mereka merasa bersalah dan sentiasa menyakiti hati dan fikiran mereka sendiri sepanjang zaman." Selepas dibuang ke dunia, seperti pada babak pertengahan karya seni, peranan mereka tetap "bertelagah dan melakukan "keganasan". Tambah al-Attas, "ketagihan pada tragedi dan seni yang memperlakonkannya sedemikian laku sehinga agama sekalipun terpaksa ditempa dalam acuan tragedi. Dunia bagaikan pentas besar di mana insan merekacipta, melakonkan dan menyaksikan drama (lakonan) hidupnya sendiri demi menghasilkan kelegaan diri mereka daripada rasa takut dan hiba akan kesengsaraan diri." (khatarsis). Al-Attas merumuskan "tragedi bukan lagi suatu bentuk seni, kerana ia telah memberi kesan nyata kepada kebudayaan dan kerohanian Barat pada semua zaman."

Lebih jauh lagi, fahaman humanisme dan sekularisme yang muncul pada Zaman Pertengahan di Barat, "beransur serempak dengan munculnya falsafah dan sains sekular yang telah menjadikan tragedi menggantikan agama sebagai jalan untuk memartabatkan keluhuran insan. " Pengalaman tragedi dalam masyarakat Barat ini dijelaskan al-Attas dalam pengalaman Barat terhadap golongan gereja dan golongan pendeta Kristian yang sudah pastinya berbeza dengan pengalaman Islam. Filem Ombak Rindu bermula tragedi Ustazah Izzah dihantar bapa saudaranya Taha kepada Kelvin pemilik Kelab Malam sebagai pelayan kelab dan pelacur sebelum dibeli oleh Hariz sebagai perempuan simpanannya. Babak awal memaparkan alam yang indah dan disusuli Ustazah Izzah membaca doa selesai membaca Al Quran. Babak kanak-kanak melakukan bidaah meletakkan al-Quran di atas kepala sambil Izzah membaca doa dan sebelum habis bacaan doa disambung dengan lagu latar.

Di Kelab Malam, Ustazah Izzah dicengkam rahangnya oleh Kelvin dan orang-orangnya lalu dituangkan arak ke dalam mulut Ustazah Izzah. Baju kurung Ustazah Izzah dikoyak oleh Kelvin lalu pengsan. Apabila sedar, Izzah melihat Hariz menanggalkan bajunya dan meratah tubuh Ustazah Izzah dengan mata nafsu haiwaniyyahnya manakala Izzah hanya berkemban dengan mata separuh terbuka akibat pengaruh alkohol. Ustazah Izzah bersikap "pasrah" untuk dirogol Hariz. Ustazah Izzah memaut kaki Hariz merayu-rayu meminta agar dirinya dibeli oleh Hariz. Ustazah Izzah diperlakukan sebagai wanita murahan, sehingga Ustazah Izzah meminta Hariz menjadikannya sebagai isteri namun sanggup dinafikan hak-hak sebagai isteri demi menikmati hubungan seks halal. Mereka menikah di Selatan Siam.

Tragedi identiti dan nilai merujuk pada sifat zahir dan batin diri sebagai watak penjahat yang dipenuhi nilai keji seperti khianat, penipuan, pura-pura, munafik dan penonjolan sifat haiwaniyyah. Pernikahan Hariz dan Izzah dirahsiakan daripada ibunya oleh Pak Dollah dan isterinya. Mila sebagai selebriti yang baharu pulang dari luar negeri bercakap rojak dan Datin Suffiah yang berambut warna mengerbang, mendedahkan pangkal dada merupakan watak yang dicengkam tragedi identiti dan nilai yang kronis. Wafiah sahabat Hariz tiba-tiba muncul memeluk Hariz kecewa akibat cinta, merupakan watak tragedi nilai dan identiti. Taha juga mewakili watak yang mengalami tragedi identiti dan nilai. Pak Dollah dan isterinya sebagai watak manusia beragama yang pasif sekadar pembantu rumah. Sehingga Pak Dollah muncul tiba-tiba menyatakan Hariz adalah anak kandungnya kepada Datin Suffiah sebagai suatu bentuk tragedi identiti dan nilai.

Berdasarkan hujah tersebut, nyatalah Ombak Rindu dibikin dalam kerangka pengalaman Barat dengan penerapan unsur tragedi secara meluas. Penonton sama ada sedar atau tidak disihir dengan tragedi untuk berasa simpatik kepada Ustazah Izzah. Walaupun ada babak Ustazah Izzah membaca Al-Quran dalam bilik diintai oleh Hariz semasa Ustazah Izzah masih perempuan simpanan Hariz, namun itu bukanlah bukti kuat menunjukkan Hariz bertaubat. Hariz hanya simpatik pada Ustazah Izzah atas tabiaat kemanusian dan nafsu badaniah sahaja.

Tiada langsung babak memperlihatkan Hariz menunaikan ibadat hatta solat. Agama hanya tempelan sahaja. Kemuncak cerita ini ialah pendedahan tragedi Pak Dollah-Datuk Suffiah, tragedi penceraian Mila-Hariz. Walaupun Hariz dan Ustazah Izzah menaiki kapal layar namun tiada langsung penjelasan babak dimana Hariz berubah menjadi baik kerana agama melainkan perubahan Hariz kerana semata-mata simpatik dan nafsu badaniah sahaja terhadap Ustazah Izzah.

Hal ini berbeza dengan pengalaman Islam dimana Adam a.s yang sedar lalu memohon ampun dosanya biarpun terlontar ke dunia. Allah menjanjikan kepada Adam a.s dan zuriatnya hidayat dan keselamatan bagi mereka yang ikhlas melaksanakan agama Allah. Merajalelanya watak Datuk Suffiah, engkar dan kerasnya Mila dan ketiadaan babak Hariz pulang kepada Allah membuktikan filem ini adalah filem tragedi murahan semata-mata.

Menurut al-Attas, "rasa takut dalam diri (akibat berdosa) harus dilawaskan bukan dengan iman kepada Tuhan, tetapi dengan mengusir Tuhan dari alam tabii;rasa hiba diri harus dihilangkan bukan dengan mengingati Tuhan, tetapi dengan rasa bangga akan tabiat kemanusiaan, dan dengan sikap angkuh menerima cabaran perihal keadaan buruk nasib insani." Manakala citra agama menerusi Ustazah Izzah dalam keadaan terhina, ketidakupayaan dan pasrah dalam lembah kehinaan. Agama pada Ustazah Izzah hanya pada tudung, kenaifan, mengajar dan membaca al-Quran. Agama pada Pak Dollah dan isterinya pada songkok dan pergi haji. Sampai bila kita hendak menyaksikan watak Melayu pincang dan keliru?Bilakah kita boleh berbangga pada sinema kita yang mengangkat keungulan identiti dan nilai jatidiri kita? Usah tertipu aspek teknikal filem seperti sinematografi, pencahayaan, pengarahan dan lakonan sahaja, namun falsafahnya hancur mengaibkan orang Melayu dan Islam.

Pengamat filem, sastera dan budaya.

-Kredit Mingguan Malaysia.12/11/2011.



17 Oktober 2011

Tidak Adil Mengatakan Orang Melayu Tidak Berdakwah Kepada Saudara Bukan Islam untuk Memeluk Islam

Judulnya agak panjang namun itulah hakikat penulisan kali ini. Sebelum saya pergi jauh saya hendak nyatakan komen dan pandangan saya terhadap siaran radio IKIM baru-baru ini. Saya ingat siarannya bermula jam 4.30 petang setiap hari Khamis. Slot siaran tersebut menampilkan saudara baru kita memeluk Islam. Ada suatu siri slot tersebut saya mendengarnya sambil saya memandu ke Janda Baik. Dalam kesesakan jalan itu, saya tertarik dengan pengakuan ikhlas suadara mualaf yang berketurunan Cina Hokkain yang memeluk Islam. Pengakuannya memang bagus namun apabila dia menyalahkan orang Melayu yang tidak berdakwah kepadanya tentang Islam, pandangannya itu saya rasa salah. Kecenderungan untuk selalu berfikir secara 'pukul lambak' menyebabkan saya rasa kurang senang dengan pandangan saudara mualaf tersebut yang juga seorang profesor. Dia mengatakan Orang Melayu tidak mengambil inisiatif untuk berdakwah Islam kepada orang bukan Melayu yang kafir. Saya kira pandangannya ini salah kerana di negara kita kewujudan syair agama dan luasnya siaran dakwah dalam medium tentang Islam itu sendiri samada pengajian khusus hingga dakwah Islam secara umum sangat banyak sekali. Selain medium penyiaran, medium bercetak juga terlibat. Banyak menerangkan konsep asas dan umum agama Islam. Inilah yang perlu diteliti saudara muallaf tersebut jangan 'pukul lambak' bahawa tiada orang Melayu berdakwah kepadanya tentang Islam. Mungkin dia hendak menyatakan tiada orang Melayu yang 'datang' kepadanya menyatakan kepadanya tentang kebenaran Islam atau asas Islam. Saya kira mungkin saudara baharu tersebut tidak jumpa orang melayu yang betul-betul berdakwah tentang Islam. Insya Allah kalau boleh berjumpa jemaah tabligh insya Allah A-Z mereka boleh bayankan asas kebenaran Islam. Kalau jumpa saya pun Insya Allah. Saya pernah berdakwah menyeru kepada Islam kepada pelajar saya yang bukan Islam sehingga mereka tertarik untuk mendekati Islam dengan bertanyakan saya bagaimana untuk membeli kitab Al Quran yang suci. Mungkin pengalaman saudara baharu itu benar namun apabila disiarankan secara meluas maka ia kurang baik kerana menampakkan bahawa seperti orang Melayu tidak menyebarkan dakwah Islam kepada mereka. bagi pengetahuan saudara baharu tersebut orang Melayu telah Islam di tanah Jawi ini sejak ratusan tahun lampau dan dikalangan mereka memang terdapat pendakwah yang hebat dan menggunakan sepenuh masa untuk berdakwah. Jadi tiada masalah hal ini. IKIM pun satu hal juga sepatutnya fahamkan saudara baharu kita ini tentang peranan orang Melayu yang sekian lama berdakwah untuk Islam. Namun dejay radio IKIM sudah tertawan atau terlalu toleransi sehingga membiarkan kesilapan kedua dan ketiga berlaku. Kesilapan kedua ialah apabila dia menyatakan dia berkahwin dengan wanita Melayu. Dia membawa ibu mertuanya ke beijing untuk melihat agar ibu mertuanya sedar (?) bahawa Islam bukan milik orang Melayu sahaja. Apabila tiba salah sebuah masjid di Beijing, ibu mertuanya bercakap Melayu kepada saudara seagama. Dan gamatlah saudara muallaf kita ini kepada ibu mertuanya sendiri yang cuba bercakap Melayu kepada orang Cina Muslim yang sudah pasti tidak difahaminya. Mesejnya ialah : Islam bukan milik Melayu semata. Berpanjang-panjang pula saudara maullaf kita ketawakan ibu mertaunya sendiri yang 'dangkal' tentang Islam bukan milik Melayu sahaja. Orang Melayu termasuk saya tidak pernah mengklaim agama Islam untuk melayu sahaja. Tetapi hakikat sejarah membuktikan kerana agama Islamlah orang Melayu jadi kuat perkasa bina negara sistem politik dan perundangan sehingga membentuk adat istiadat serta keseluruhan pandangan alam dan kebudayaan Melayu sehingga ke tradisi tulisnya. Itu hakikat sejarah tanah jawi yang tidak dapat dinafikan lagi. Malah orang Melayu adalah bangsa muslim yang paling toleran terhadap bangsa lain dan mengalu-alukan saudara berlainan bangsa memeluk Islam kerana apabila saudara Cina atau India memeluk Islam maka makin mudahlah mereka faham dasar pembinaan dan hala tuju negara kita ini. Mudah-mudahan suadara muallaf kita ini sedar dan janganlah memukul lambak kerana tiada orang Melayu berdakwah Islam kepadanya maka orang Melayu seluruh Tanah Jawi ini memang tak berdakwah langsung dengan orang bukan Islam dari kaum lain.

*Kita harap saudara muallaf kita ini membanykkan dakwah menyeru kaumnya untuk memeluk Islam agar mudahlah terbentuk hubungan erat antara Melayu dan kaum Cina serta India juga.

29 September 2011

Mengenang Tok Awang Ngah dan Ketokohannya 2

Salam sejahtera. Maka banyaklah ulasan dan emel bertalu-talu berbahas dengan saya berkenaan Tok Awang Ngah. Sama juga komentar dan emel kepada saya berkaitan Format Skrip Drama-sila rujuk arkib blog ini.
Saya dapat satu idea. Apa kata para peminat Tok Awang Ngah dari seluruh negara membuat perjumpaan sesama kita dan berbincang tentangnya. Mana tahu antara peminat TAN terdapat peminat yang pernah bersemuka dan berjumpa dengannya.

Daripada sekian banyak buku TAN yang ada pada saya, menunjukkan TAN seorang yang sangat suka berjumpa dengan orang-orang lama yang tahu selok beluk ilmu perubatan tradisional. Apa yang saya dapat camkan, TAN mempunyai ilmu perubatan yang lebih kepada perubatan cara tidur dan makrifah. Saya teringat lagi suatu kisah dalam Siri Berkelahi dengan Syaitan TAN yang menyebutkan tentang bagaimana TAN melawan Tukang Sihir cukup dengan:

-Berdepan dengan pesakit

-Merenung dalam 'hakikat' sehingga nampak tukang sihir
-Dan menunjuk Tukang Sihir dengan Jari Telunjuk seraya berkata "Sejuklah Engkau".

Tidak lama kemudian ditemui di salah sebuah kampung kejiranan Dukun tua mengerekot mati ditengah rumah bagai kesejukan teramat sangat. Sangat unik bagi saya teknik ini. Teknik ini juga saya guna dalam pengubatan saya. Ada juga kadangkala saya 'nampak' dan kadangkala tidak nampak. Saya hanya menunjukkan jari telunjuk dan menggerakkan kekanan dan kekiri seolah-olah memberi amaran jangan jin-jin penganggu menganggu pesakit saya lagi. Dan kaedah itu biarpun tanpa 'penglihatan hakikat' berhasil dan pesakit tidak lagi diganggu.

Siapakah antara peminat TAN dan SBDS ini kenal anak murid atau anak TAN kerana kononnya TAN sudah telah meninggal dunia tahun lepas.
Benarkah berita ini?Insya Allah kerana memandangkan banyak sungguh peminat merespon tentang TAN maka saya agar masukkan cerita-cerita sedutan daripada SBDS ini buat tatapan peminat.

Perkara kedua ialah apa kata kita cadangkan agar semua novel seram SBDS TAN ini di adaptasi ke bentuk drama! Pasti meletup! Tetapi tengoklah siapa yang duduk dan menguasai penyiaran negara kita! Cerita hantu seram yang menguatkan ketakutan dan membiarkan penguasaan hantu dan kejahatan ke atas fikiran banyaklah berleluasa dalam fiksyen drama seram bodoh di negara kita masani.

Sangat memualkan dan sangat bertentangan dengan novel seram Siri Berkelahi dengan Syaitan TAN yang bukan menyebabkan kita rasa takut apabila membaca novel seramnya tetapi bertujuan untuk menyedarkan kita dan menyampaikan mesej kepada kita betapa orang beriman soleh dan berzikir dapat menewaskan gangguan syaitan sekuat mana sekalipun. Insya Allah!
Tok Awang Ngah wajar muncul ke tengah masyarakat jika masih hidup, bertemu peminatnya dan 'bertanggungjawab' ke atas penulisan novel seramnya bukannya selamanya menyorokkan diri. Zaman 'nama pena' telah berlalu, kini penulis apatah lagi penulis yang karyanya sangat kuat impaknya ke tengah masyarakat haruslah bersedia keluar berdepan dengan masyarakat dan menyumbang bakti sosial menyebarkan ilmu yang di 'warisinya' daripada bapa dan datuknya Tok Aji yang sangat langka tetapi selari dengan landas syariat yang tidak terikat dengan satu kaedah tertentu sahaja.




Teknik Perubatan Tidur....Tok Awang Ngah ajarilah kami!


25 Mei 2011

Drama Bodoh RTM

Salam kembali.
Drama di RTM khususnya drama Melayu sangat bodoh dan membodohkan sesiapa yang menontonnya. Drama-darama RTM ini boleh dilihat dalam setiap seksyen dan waktu...khususnya waktu sebelah pagi. saya berkesempatan sekali sekala menonton drama RTM sebelah pagi hari bekerja..sekadar hendak tahu. Masya Allah sangat memalukan. Drama Melayu di RTM sangat memalukan saya sebagai orang Melayu. Kalaulah saya ini orang luar agaknya tentu saya akan berfikir orang Melayu ini suka sangat menzalimi orang lain walaupun sudah kaya dan jadi korporat besar. Selepas itu orang Melayu suka bergaduh sebab cinta dengan ayat-ayat klisenya. Drama Bodoh RTM ini menjadi suatu identiti drama Melayu. Sedangkan RTM memilih darama terbaik dari China dan juga dari Barat untuk ditayangkan kepada masyarakat Malaysia. Pelik kenapa hal ini boleh berlaku. Drama cerdik dari luar itu memang hebat dan skripnya sangat mantap. Tetapi kalau drama Melayu RTM tetap saja sama. Sampai malas saya nak 'kutuk'. Apatah lagi nak bagi kritikan membina.. Sudah tak ada ayat lagi dah nak buat. Sangat memilukan. Teringat bagaimana skrip drama Melayu dipilih oleh panel RTM. Saya pernah buat beberapa skrip dna proposal drama-salah satunya dikatakan berat dan penonton Malaysia tidak mahu tonton drama berat dan kompleks. Amboi, betui ka..sebab kita tgk drama import ok ja masuk dalam negara kita tembus tembok RTM? Saya tidak mahu kata apa-apa  lagi. Sudahlah RTM nak diperbadankan. Entahlah. Bagi saya kalau orang yang di dalam RTM orang itu juga, tak bermaknalah apa-apa. Hanya bermakna buat orang itu sahaja. Mungkin pendapatannya selepas ini kian bertambah juta-juta. Entahlah. Tentang proposal drama itu, saya hanya ambil konsep drama import ja. Pengisian drama import dan ilmu bantu yg dimasukkan yang dijalin dengan cerita dan teknik pengambaran yang mantap. Ini bukan soal modal kerana kita boleh menggunakan segala apa yang ada utk membikin karya yang lebih hebat. Tetapi apakan daya...Drama Bodoh RTM...lebih tepat Drama Bodoh yang ditayangkan di RTM.

16 Mac 2011

Pencerobohan bahasa gugat jati diri nasional

16 MAC 2011 — Dalam Malaysia cuba membentuk dan mengekalkan jati diri nasional, sudah tentu bahasa mempunyai peranan. Untuk ini, pengetahuan dan penguasaan terhadap satu bahasa yang dikongsi bersama adalah penting.

Menerusi penggunaan bahasa sebegini di seluruh pelosok negara, perpaduan bulat dalam kalangan rakyat boleh dicapai. Ini dapat dilakukan antaranya melalui jati diri nasional yang dimiliki semua lapisan dan sektor rakyat selepas dipupuk melalui penggunaan satu bahasa yang dituturkan serta difahami bersama.

Sebaliknya, penggunaan pelbagai bahasa, lebih-lebih lagi untuk tujuan rasmi dalam majlis formal, termasuk pendidikan, dilihat sebagai menghalang proses perpaduan yang ingin dipupuk, selain merintangi proses pembentukan jati diri nasional yang dihasratkan.

Berdasarkan ideologi nasionalisme bahasa, promosi hanya satu bahasa untuk tujuan nasionalistik, iaitu penyatupaduan dan wahana komunikasi rasmi negara, khususnya dalam sistem pendidikan negara, didapati berjaya membentuk dan mengekalkan jati diri nasional.

Pemilihan hanya satu bahasa untuk membentuk jati diri nasional walaupun di dalam negara yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik yang diamalkan di merata tempat, baik di Asia mahu di Barat memang terbukti kejayaannya.

Dalam konteks ini, penggunaan bahasa Melayu yang didapati amat berkesan untuk menonjolkan jati diri nasional, bukan saja perlu diteruskan. Malah, ia perlu dipertingkat dari semasa ke semasa supaya keutuhan bentuk dan amalan berbahasa Melayu dapat sentiasa dipelihara.

Sehubungan ini, tindakan memperkenal semula penggunaan bahasa penjajah yang walaupun kini adalah bahasa perhubungan dunia dengan nilai pragmatik yang amat tinggi, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya semacam bahasa rasmi negara adalah langkah ke belakang dari segi nasionalisme budaya. Nasionalisme budaya amat mementingkan warisan budaya dan bahasa pribumi sendiri.

Nasionalisme budaya menegaskan peri pentingnya sebuah komuniti politik yang merdeka, mengamalkan resam dan tertib yang sama, selain memiliki idealisme sosial yang sama, daripada budaya dan bahasa sendiri.

Justeru orientasinya yang sebegini, nasionalisme budaya juga dikenali sebagai nasionalisme jati diri. Dengan ini, nasionalisme budaya ataupun jati diri ini mengutamakan kesatuan serta kualiti kehidupan rakyat yang diasaskan sepenuhnya kepada warisan budaya dan bahasa negara berkenaan.

Untuk sesebuah komuniti politik terus menjadi perkasa dan bersatu padu, semua ahli di dalamnya perlu bukan saja memiliki nilai asas yang sama mengenai budaya dan bahasa negara, tetapi berkongsinya supaya ia dapat dikekalkan dengan lebih baik lagi.

Ini penting bukan saja untuk memelihara, tetapi memperkasa satu bentuk kelainan budaya atau jati diri nasional yang didapati tidak sama dengan yang dipamerkan komuniti politik lain.

Kelainan atau jati diri inilah yang mendorong komuniti berkenaan untuk terus maju dan membandingkan segala kemajuan yang dicapainya itu dengan yang dijangkau komuniti lain. Dalam hal ini, semua kemajuan itu diasaskan sepenuhnya kepada nilai, simbol, sejarah, aspirasi dan tradisinya sendiri.

Sehubungan ini, tindakan Malaysia pada 2003 untuk menggunakan kembali bahasa Inggeris, khususnya di sekolah bagi mengajar sains dan matematik melalui Dasar PPSMI, selepas bahasa Melayu berjaya digunakan sebagai bahasa ilmu untuk beberapa tempoh lamanya adalah keputusan yang kurang bijak. Tindakan ini boleh memberi banyak implikasi buruk kepada bahasa Melayu, khususnya sikap negatif terhadapnya.

Antaranya kedudukan bahasa Melayu dilihat lemah sebagai bahasa negara, lebih-lebih lagi dalam kapasitinya sebagai bahasa rasmi negara, sehingga perlu digantikan dengan bahasa lain yang lebih berprestij.

Lebih mudarat lagi ialah tindakan seperti ini menjejaskan proses pembentukan dan pengekalan jati diri nasional yang tidak selalunya mudah dan lancar dalam sebuah negara pelbagai etnik yang mengamalkan pelbagai budaya pula.

Walaupun tindakan ini ditarik balik, manakala pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran ini dikendalikan seperti sedia kala dengan menggunakan bahasa Melayu semula selaku bahasa pengantar utama, kesannya dalam bentuk persepsi bahawa bahasa Melayu tidak mampu menjadi bahasa ilmu sepenuhnya, akan terus tinggal dalam minda sesetengah pihak di negara ini untuk satu tempoh yang lama.

Kesan ini yang terbaru dapat dilihat pada ucap utama pada satu forum yang berjudul “Past Wisdom for Future Direction”. Pemidatonya menyelar mereka yang menentang Dasar PPSMI dengan mengatakan penggunaan bahasa Inggeris semula itu, tidak sekali-kali bersifat tidak patriotik.

Beliau juga menyentuh peri pentingnya bahasa Inggeris pada zaman globalisasi ini dan memberi amaran Malaysia akan ketinggalan jika ia terus enggan menggunakan bahasa Inggeris dalam bidang pendidikan berkenaan.

Tuntutan kepenggunaan terhadap bahasa Inggeris yang begitu tinggi ketika ini tidak dapat disangkal. Namun, adakah itu kaedahnya untuk rakyat Malaysia menguasai lingua franca dunia serta bahasa ibunda sains dan teknologi itu?

Dalam hal ini, bukan saja impak terhadap jati diri linguistik rakyat, tetapi kejayaan bahasa Melayu memajukan bangsa dan negara Malaysia, selain menyatupadukan rakyat yang berasal daripada pelbagai etnik perlu diambil kira dengan serius.

Sudah pasti kita mempunyai pilihan lebih bijak sifatnya untuk tujuan integrasi yang lebih banyak dengan pasaran antarabangsa yang mementingkan penggunaan bahasa Inggeris. Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBM-MBI) yang menggantikan Dasar PPSMI, adalah respons bestari bagi menyahut tuntutan tinggi untuk menguasai bahasa Inggeris.

Dalam keghairahan mengembalikan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara sebagai antara bahasa pengantarnya, ada sesetengah pihak daripada kalangan etnik Melayu sendiri mengesyorkan bahasa dunia itu dijadikan alat pemersatu bangsa Malaysia. Bahasa Inggeris bersifat neutral etnik di negara ini yakni ia bukan bahasa leluhur mana-mana kumpulan utama di Malaysia.

Hasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan kemajuan bangsa dan negara melalui Dasar PPSMI, walaupun adalah satu penyelewengan dalam pembentukan dan pengekalan jati diri nasional, sebetulnya adalah lebih mulia daripada hasrat menggunakan bahasa Inggeris untuk tujuan pemersatuan sosial di Malaysia.

Dalam konteks begini, ia sesungguhnya adalah satu pencerobohan yang amat hina sifatnya terhadap jati diri nasional yang sudah, sedang dan akan terus dibentuk dan dikekalkan di negara ini. — Berita Harian

* Teo Kok Seong ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Ketamadunan Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)