Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bahasa. Papar semua catatan

07 September 2010

Membersihkan Diri Daripada Energi Negatif

Makna membersihkan diri memberikan dua maksud:
-membersihkan diri daripada hadas besar dan hadas kecil
-membersihkan hati

Maksud bagi membersihkan diri daripada energi negatif tergabung dalam dua pengertian sekaligus malah lebih mendalam lagi menuju kepada rohaniah.

Jika berwuduk alatnya ialah air. Pembersihan hati pula memerlukan zikir yang diawali dengan istighfar.

Energi Negatif

Energi bermaksud tenaga dan perbahasannya sangat meluas dalam bidang pengajian ilmu metafizik. Bagi memudahkan pemahaman energi negatif ialah segala unsur kotor sama ada najis yang dapat dilihat dengan mata kasar dan juga yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar hanya dapat dilihat melalui mata hati.

Dalam pengajian ilmu metafizik, energi negatif merangkumi unsur gangguan makhluk halus, mainan sihir, emosi yang negatif, keadaan mental yang bercelaru dan tabiat diri yang negatif seperti malas, bersangka buruk, hasad, fasad, meninggalkan solat, menonton bahan pornografi, pemarah, pembangkang, bengkeng dll.

Saya mempunyai beberapa pengalaman melakukan proses pembersihan energi negatif terhadap beberapa orang hamba Allah. Yang pertama ialah 4 tahun lepas, sewaktu saya masih belajar di universiti. Saya melakukan pembersihan dirinya dan dalam hitungan minit dengan izin Allah, energi negatif tersebut keluar daripada tubuh melalui kepalanya dalam bentuk asap hitam nipis. Kawan saya itu menuntut ilmu dari sebuah pusat pengajian metafizik terkenal suatu ketika dahulu dan kini merudum sehingga laman websitenya sudah 'ghaib'.

Dalam silibus pengajian ilmu kebatinan tersebut terdapat beberapa ayat dan jampi mantera yang tidak difahami maksudnya dan menyeru selain daripada Allah.

Walaupumn jampi mantera dan jampi termasuk dalam kategori ilmu metafizik, ia tidak termasuk dalam metafizik Islam. Maksudnya ilmu metafizik yang selari dan bersumberkan daripada agama Islam atau ajaran tasawuf itu sendiri sebagaimana yang disentuh oleh Prof Muhammad Naquib Alatas dalam karya-karyanya melalui percontohan terhadap karya mistik dan metafizik Hamzah Fansuri.

Cuma bidang Hamzah Fansuri menjurus kepada penulisan metafizik berlandaskan pengajian ilmu hakikat dan sirr dan pengalaman menjalaninya. Sementelahan yang saya maksudkan dalam entri ini ialah ilmu metafizik dalam cabang ilmu perubatan yang tiada kurang penting kedudukannya dalam agama Islam.

Demam dan Terbaring

Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang sahabat yang telah menerima ijazah ilmu daripada pelbagai orang namun TIADA satu amalan pun yang lekat atau tetap diamalkannya. Saya menerangkan kepadanya bahawa setiap ilmu ada hakikatnya. Bagi mendapat hakikat sesuatu ilmu haruslah beramal dan melalaui pengalaman pengamalan ilmu tersebut. Ini bukan bermaksud dalam konteks ilmu perbomohan.

Terdapat Ustaz Muda yang bertindak sebagai Tuhan dan Pemilik Agama apabila sewenang-wenangnya mengatakan "kita mengaku kewujudan aura namun apabila ia berlebih-lebih kepada perihal ajaib maka ia nyata ditolak oleh Islam." Soalnya ialah siapa Tuhan?Apakah dia adalah Tuhan bagi menentukan sesuatu perkara tersebut ditolak atau diterima Islam?

Sungguh aneh sikap tersebut bagi seorang mukmin kerana mukmin sejati sifatnya mengaji dan mengkaji serta bersuri kepada yang ahli bukannya semberono pukul lambak lalu menghukum dalam beberapa baris ayat yang kononnya ilmiah dan bersifat membela agama Islam itu.

Bagi mendapatkan sesuatu ilmu, maka dekatinya terlebih dahulu dan sabar untuk memahaminya serta selalu 'pulangkan' kepada Allah akan sesuatu yang diluar akal fikiran atau diluar kotak pengetahuannya sendiri.

Berbalik kepada pengalaman saya, melakukan ikhtiar pembersihan energi negatif terhadap sahabat saya itu, saya tidak melalukan apa-apa sentuhan pun. Dia hanya datang dan berbual dengan saya. Sambil berbual saya niatkan sahaja, dan memang reaksi daripada itu dia merasai suatu arus elektrik mengalir halus dalam tubuhnya dan menangkap kepala.

Kepala bukan sekadar menyimpan otak tetapi pusat kawalan pemikiran saraf dan minda manusia. Ia bagaikan dinamo yang menghasilkan jutaan kilowat tenaga elektrik yang mempunyai pertalian dengan roh manusia pula. Perbualan kami berkisar sewaktu tiga hari sebelumnya di mana saya telah melakukan ikhtiar pemberishan jalur dan nadi tenaga pada tubuhnya. kali pertama sewaktu hampir berbuka puasa.

Saya ambil kesempatan pada waktu tersebut kerana ia waktu mustajab doa. Silalah rujuk hadis nabi berkenaan. Dan pada waktu saya sedang mencari 'baju raya' di pasaraya Sogo. Saya tidka gemar sangar mahu keluar ke tempat begitu tetapi kerana diajak menemani saya gagahkan diri juga pergi. Apabila berada di sana bukan sahaja di SOGO malah di jalan-jalan sekitarnya disesaki dengan gerai ddan limpahan umat Muhammad SAW mencari keperluan berhari raya. Sementera menunggu barang dibayar dikaunter saya tafakur sejenak dan membuka dan membersihkan lagi jalur dan nadi tenaga pada sahabat saya itu secara jarak jauh. Untuk makluman saya bukanlah terpaksa beraksi atau bergerak semacam bomoh dan orang kesurupan. Cukup sekadar niat dan doa kepada Allah dengan bebekalkan keyakinan yang Allah campakkan ke hati saya.

Keyakinan bukan bisa dipelajari dan dilakoni melainkan ia suatu pemberian Allah yang mana tahap keyakinan itu terbahagi kepada empat dan pecahannya pula menjangkau seratus tingkat. :)

Hasil daripada 2 x proses pembersihan tersebut, sahabat saya mengalami reaksi pembersihan dan penyembuhan luar biasa. Dia terlantar, demam, muntah lebih 10x dan terpaksa melalukan zikir sebagaimana saya ajar secara berbaring sahaja. Saya tersenyum sahaja dan mengucapkan syukur kepada Allah.

Apabila dia bertemu saya, saya menerangkan serba ringkas mengapa berlaku demikian. Apabila berdepan dengan saya, saya ikhtiar lagi dan saya buat lagi sehingga skait kepala dan berat pada tubuh hilang sebaliknya diganti dengan rasa segar dan sihat cerah bijik mata kata orang Kedah:). Syukur alhamdulillah.

Walaupun selepas dia pulang sehari kemudian dia merasai hendak 'sakit' semula, dia berzikir dan berdia sebagaimana saya ajar dan Alhamdulillah Allah kabulkan berkat bulan mulia ini dan ia surut semula. Sebenarnya proses pembersihan yang say lakukan ke atasnya belum sempurna.

Oleh kerana dia sendiri belajar dengan berbagai orang yang tiada diketahui yang diterima itu ilmu haq atau ilmu bathil. Yang pasti banyaknya kepada bathil dna bathil itu tidak perlu banyak pun. Macam tahi cica masuk dalam sekawah gulai. takkanlah kita yang nampak tahi cicak seketul masuk dalam sekawah gulai sanggaup makan juga gulai tersebut smabil terbayangkan sifat najis tersebut?Tentu tidak sanggup.

Sepanjang proses pembersihan hanya zikir dan bacaan ayat Al Quran sebagai pemompa energi positif murni yang bersumberkan semata-mata daripada keyakinan yang haq diakses dan dialiri ke tubuh pesakit. jangan fikir ini ajaib dan ini jin setan. Jangan cepat menuduh. Cuba tilik itu nafsu ammarah kamu yang berkata atau roh yang menerima hiadayah Allah yang berkata?Kamu melihat dengan firasat hati orang beriman atau firasat manusia yang masih terkelubung dengan nafsu ammarah?

Selamat Hari Raya Aidil Fitri
Maaf Zahir Batin.

:Bagi yang memerlukan boleh menghubungi no telefon saya. Insya Allah setakat mana yang mampu saya membantu sesama insan. Ikhlaskan diri untu mengatasi masalah yang dihadapi jangan mengharapkan perawat SEMATA-MATA perlu ikhlas sehingga ikhlas ditafsirkan TIDAK BOLEH MENENTUKAN UPAH PERKHIDMATAN/MAHAR. Hendak menjemput Ustaz beri ceramah agama pun kena bagi duit upah, hendak belajar agama di mesir pun pakai duit berpuluh ribu. Apatah lagi mengubat sakit yang mana sihat itu lebih bernilai daripada jutaan wang ringgit dan harta benda.

Fikir-fikirkan dan selamat beramal!:)



19 Julai 2009

Kata-kata Hikmat-Lelaki-

Bagi orang yang arif, terlalu bodohlah menganggap pidato dan kata-kata unggul seseorang lelaki menandakan kehebatan dirinya yang sejati. Kau hanya dapat mengenal lelaki yang hebat dirinya apabila kata-katanya seiring dengan pidato dan kata-kata hebatnya. Tanpa perbuatan tiadalah pembuktian. Seperti merak yang mahu mengindahkan dunia yang dihudohkan manusia devian dengan kepak dan bulu warna warninya!

Kata Hikmat-Sahabat-

Sahabat adalah seseorang yang mengingatkan engkau sewaktu sejuta orang memuji 'sempurna dan hebatmu'. Sahabat juga adalah seseorang yang sudi bertanya khabar kpdmu tatkala sejuta orang berpaling wajah daripada memandangmu lantaran 'kekurangan dan kesusahanmu'(Muhammad Ali Atan)

Kesabaran

Ada hikmahnya setiap kejadian yang berlaku...
Sesekali Allah sembunyikan matahari...
Didatangkan ribut petir...
Kita menangis tertanya-tanya dimana cahaya...
Rupanya Allah hendak hadiahkan pelangi...
Kesimpulanya ibu segala cita-cita adalah kesabaran.

14 Julai 2009

Zamalah

Baru sembuh daripada selsema. Hah! Ini mesti bahang daripada kereta Siti Norliza yang saya tumpangi 2-3 hari lepas untuk berurusan di UM. Bahang-dingin (penghawa dingin). Khuatir juga saya. Semasa berjumpa doktor, doktor menyindir saya, "Ini bukan selsema babi ini."Dr bercakap begitu selepas saya bercakap dengan Siti Norliza yang mahu 'mendapatkan saya' setelah meletakkan keretanya di tempat letak kereta. Masa itu saya berada di bilik pemeriksaan dr. Saya tersengih semata melihat dr dan jururawat semuanya bertopeng dan berbaju plastik macam pakaian di bilik bedah. Hahaha.
~
Teori ialah cara memandang sesuatu fenomena, gejala, perihal dan subjek tertentu. Ia ada metodologi. Ia menyusun cara memandang kita dengan cara dan kaedah yang tertentu secara benar. Contoh kau hendak melihat gejala apa dalam karya sastera seperti novel?Contoh kau melihat konsep kemiskinan dalam cerpen Usman Awang daripada Teori Konseptual Kata Kunci. Jadi adakah teori wajar dimusuhi penulis?Pelik apabila penulis berkata 'saya tidak ikut teori'. Ya benar dalam pengkaryaan. Tetapi batil kalau memusuhi kerana tidak ada apa yang perlu dimusuhi. Dalam dunia sastera ada bahagian kritikan karya sastera. Kritikan inilah yang akan menjadi indeks pencapaian sastera tanah air. Kritikan yang baik menggunakan pendekatan dan teori tertentu dalam analisisnya. Jadi apakah yang kau hendak memusuhinya?Nampaknya kau hanya memusuhi bayang-bayang sendiri dan kejahilan sendiri. Penulis tidak perlu takut kepada teori kerana teori tidak 'memburu' pengkaryaannya. Teori hanya teori yang tidak perlu dicaci dan dimusuhi. Bodohlah penulis atau bakal penulis memusuhi teori kerana teori hanyalah teori yang tidak punya perasaan terhadap penulis bodoh yang mencaci dan memusuhinya.
~
Saidina Ali berkata "seseorang akan memusuhi sesuatu yang dia tidak mengetahuinya".
~
Petang ini saya akan ke UPM bertemu dengan Pensyarah yang juga sifu saya Shamsudin Othman. Ada hal sedikit. Zamalah?Cari sendirilah.

13 Julai 2009

Kebijaksanaan Dalam Berpengetahuan

Kebijaksanaan adalah salah satu daripada hikmah.
Pengetahuan adalah salah satu daripada natijah.
Tanpa kedua-duanya maka pincanglah neraca fikrah.
Disukat dengan pandangan makrifah.

[Belum tentu apa yang Engkau Pandang Baik maka ia Baik Bagi Allah. Tidak semestinya apa yang Engkau Pandang Buruk adalah buruk bagi Allah]

Zulaikha memandang Yusuf dengan ghairah.
Yusuf menafikan nafsu dan kehendak Zulaikha kerana takutkan Allah.
Dari pandangan nafsu kekacakan Yusuf mesti dilangsaikan walau apa cara sekalipun.
Dari pandangan nubuwwah kehormatan diri adalah suatu yang mesti dipertahankan sekalipun menafikan kesedapan badaniah.
Kebijaksaan salah satu bahagian nubuwwah.

Dan lagi:
Seperti Khidir dengan Musa.
Musa membantah Khidir.
Sedangkan itu ada hikmah.
Ada makrifah.
Ada nubuwwah.
Ada laduniyyah.

Tanpa hikmah maka jadilah seperti Musa membantah Khidir atas perbuatan.

Hubungan dengan Allah manifestasi hikmah dan kebijaksanaan yang diwarisi kepada hambaNya yang beriman yang membawa keelokan hubungan dengan makhlukNya.

Namun hubungan itu berdasarkan pertimbangan-pertimbangan tertentu yang tidak boleh disesuaikan dengan rasa kemanusiaan dan kenafsuaan semata-mata tetapi atas tunjuk ajar Allah.

Saya masih mencari hikmah seperti Musa mencarinya di sisi Khidir.
Saya masih mencari akhlak seperti Yusuf menundukkan pandangan dan melarikan dirinya daripada Zulaikha.

Benih yang baik, kemana pun dicampak, menjadi pulau jua.Insya Allah.

11 Julai 2009

Tugasan Asasi dan Tugasan Kreatif

Sehari dua ini saya agak sibuk dengan kerja-kerja menyusun semula jadul kerja dan tugasan asasi dan tugasan kreatif. Tugasan rasmi seperti menyediakan diri untuk mendidik dan tugasan kreatif ialah untuk mengarang karya. Walaupun kerja kreatif itu berjalan macam siput, namun saya berpuas hati kerana dapatan saya itu sangat terperinci dan berguna kepada pengkaryaan saya nanti. Selain itu menyelit juga ilham untuk beberapa buah puisi. Nurul Huda yang banyak membantu dan merangsang terutama dari segi terus mara dan mara dalam akademik-teruja dengan tawaran Fellowship Muda dari Universiti Sains Malaysia yang telah berjaya diperolehinya membuatkan saya begitu bangga sekali dengannya. USM menggunakan keseluruhan SLAB untuk anak Melayu belajar dari Sarjana hingga Doktor Falsafah. Saya tidak mahu berkomentar apa-apa kepada universiti saya, jika mereka telah tetap membuat keputusan memberikan semuanya slot SLAB kepada calon Doktpr Falsafah sahaja. Mungkin itu langkah terbaik mereka untuk menambahkan jumlah pensyarah. Cuma saya sedikit tertanya-tanya begitu cepatnya (Sebulan)slot tersebut habis digunakan. Saya berasa gembira jika yang memperolehinya adalah anak Melayu juga yang menyambung ke pHD. Saya bersangka baik.

07 Julai 2009

Sistem Terkandas dan Catitan Lain

Setelah saya menyerahkan CV di akademi, saya bergegas ke Perpustakaan Utama Universiti Malaya. Di sana, ramai sudah pelajar baharu mula menggunakan perkhidmatan di perpustakaan. Namun saya sedikit kecewa apabila Sistem Jaringan Komputer dan Internet UMLIB dna Pendeta WebPac telah terkandas menyebabkan saya tidak boleh meminjam semula buku, hanya dapat dihantar. Itupun dengan menulis nama pada sehelai kertas. Dan buku yang saya mahu pinjam semula harus saya bawa semula esoknya.
~
Kepada Norliza, yang banyak membantu saya hari ini, saya sangat terhutang budi. Juga ketika di akademi tadi, sesi pembelajaran bermula hari ini. Ketua Jabatan sibuk dengan urusan pelajar baru. Saya hanya meletakkan segalanya yang diminta beliau di atas mejanya.
~
Saya mula didatangi berbagai-bagai ilham untuk berkarya. Daripada puisi ke cerpen. Bentuk dan isi saling berubah-ubah sehingga membentuk yang tekal. Atau masih berapung-apung di medan imiginasi (bukan khyalan-imiginasi ialah khayalan yang terarah dan bermatlamat jelas)
~
Hari ini juga saya mendapat cek daripada Berita Harian, atas terbitan cerpen Warkah Raja Haji Fisabilillah pada 25 April lalu. Bolehlah saya gunakan wang ini untuk membeli buku-buku yang ada dalam senarai saya untuk membelinya. Terima kasih. Namun selepas ini saya akan menuruti permintaan terbaru BH jika menghantar lagi karya ke sana, untuk memberikan nombor akaun Maybank. Cek di atas nama pemegang akuan sahaja, membuatkan saya perlu kembali ke Bank CIMB untuk menuntut kad saya yang sudah hilang berbulan-bulan itu.
~
Apabila bilik sudah kemas dan lapang, lapanglah minda untuk bekerja. Kerja minda dan hati. Saya diterjah gugusan ilham dan idea tersebut, yang menendang akal dan hati saya.
~
Saya mula terfikir, apakah saya mampu berkarya seoptimanya lagi apabila saya menjadi TUTOR kelak?Saya sedikit bimbang di samping tidak sabar mahu menghadiri kuliah semula dan mendidik anak bangsa.
~
Emel daripada Nazmi Yaakub, wartawan BH meminta pandangan tentang penubuhan Sketariat Perhimpunan Penulis Muda 2011-polemikd an buah fikiran-tidak dapat saya tunaikan lagi. Saya ada deretan idea sebenarnya yang aktif dan agresif. Apapun Nazmi dan sahabat-sahabat seperjuangan kalian, saya akan membantu sedaya upaya untuk mempromosikan SPM ini di Universiti Malaya khususnya di APM. Itu janji saya.
~
Menanti nasib BAHASA MELAYU di sekolah-sekolah. Apakah seburuk si ikan kaloi, ibunya Si Bawang Merah?
~
Terima kasih Allah, yang mengurniakan rezeki dan nikmatNya.Amin.
~
PSST:Tentang SLAB, saya biarkan dulu, tidak mahu ganggu mood mereka yang berkaitan. Insya Allah, ada rezeki tiadalah ke mana-mana. Saya sayang bangsa saya sebenarnya. Dan saya tidak sabar untuk meminjam buku dan melakukan penyelidikan. :)

06 Julai 2009

18 Buah Buku dan SLAB



Cleopatra Startan Versi Bahasa Ibundanya




Cleopatra Startan Versi English


Bandingkan.
-
Hari ini setelah melakukan pemeriksaan, rupa-rupanya terdapat 18 buah buku yang saya telah pinjam daripada Perpustakaan Utama Universiti Malaya. Sebahagian besar daripadanya adalah buku tentang sejarah Johor-Riau-Lingga, seni tembikar dan buku Bapa Tenas Effendy. 11 buah daripadanya sudah tamat tarikh tempoh pinjaman dekat sebulan!Aduhai. Esok baru saya akan hantar dan pinjam kembali 5-10 buah buku yang saya rasakan penting dan tiada duit untuk memfotostatnya.
-
Selain itu esok juga saya akan bertemu dengan Nurol Huda pelajar pascasiswazah yang baru sahaja dapat SLAB (Skim Latihan Akademik Bumiputera) di bawah slot Universiti Sains Malaysia (USM). Nurol baru pulang dari Riau, Indonesia. Tentu banyak ceritanya sepanjang dia di sana. Juga saya mahu tahu juga bagaimana pembentangan keertas kerjanya yang saya menjadi 'tutor' tidak rasmi menyediakn bahan dna rujukan kepadanya.
-
Dan semestinya dia mahu terus memujuk saya untuk mengisi borang SLAB di USM. Katanya, dekan mereka perlukan pelajar berpotensi untuk mendapatkan slot SLAB yang masih ada di USM. Ajakan Nurol ini sejak beberapa bulan lepas. Tetapi hati saya tetap kepada Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Selain faktor cinta kepada APM dan UM dan juga segala yang ada di sini, termasuk taman dan pokok-pokok berusia ratusan tahun, juga koleksi yang terdapat di Perpustakaan Za'aba dan Perpustakaan APM, UM juga dekat dengan Rumah PENA, GAPENA, DBP, kedai buku di Jalan Masjid India, Perpustakaan Negara, Perpustakaan Kuala Lumpur, Istana Budaya dan kawan-kawan, budayawan, ilmuwan, negarawan dan wartawan yang berjuang dalam gerakan sastera. Saya tidak mahu terputus hubungan dengan semua ini kerana inilah dunia saya dalam hemisfera yang lain.
-
Andai kata saya ke USM tentulah saya akan ketinggalan dalam jurus gerak sastera. Saya tidak mahu itu berlaku. Dahulu, semasa saya berhenti sementara kerja sebagai editor, saya sanggup berkerja apa sahaja hatta pengawal keselamatan semata-mata asalkan minat saya menulis dan membaca serta bergelumang dalam dunia sastera tidak terjejas. Saya sanggup.
-
Namun setelah terdapat peluang apabila UM mengeluarkan iklan SLAB November 2008 maka saya pun merasakan inilah peluangnya. Maka apabila saya memohon, lulus temuduga dan menunggu surat daripada KPT, surat yang lama dikirimkan sebelum ini, sebelum temuduga di Akademi kepada saya daripada Bahagian Sumber Manusia UM, sudah lama mengejutkan dan mengecewakan saya. Peruntukan SLAB untuk Sarjana telah diberikan kepada pHD tempatan.
-
Saya terfikir berapa ramai sangat pelajar Melayu yang hendak melanjutkan pelajaran di peringkat pHD?Pada masa yang sama KPT telah memperuntukkan SLAB dan SLAI (utk bukan bumiputera) di peringkat pHD. Adakah sudah terlalu ramai pelajar bumiputera pHD slot SLAB di UM sehingga memaksa SEMUA slot SLAB utk Sarjana di ambil?Inilah persoalan yang berlegar di mandala fikiran saya. Paling mengejutkan, surat daripada Bahagian Sumber Manusia UM tersebut tidak dikirim ke Akademi Pengajian Melayu, UM sedangkan kepala surat jelas menunjukkan surat itu ditujukan kepada setiap Pengarah/Dekan/Ketua Pendaftar setiap Akademi dan Fakulti untuk makluman bahawa SLOT SLAB untuk pelajar Sarjana telah diambil semuanya diberikan kepada pelajar pHD tempatan (bumiputera semuakah???).
-
Walaupun dalam surat itu dinyatakan permohonan kami(semua permohonan pelajar Melayu untuk SLAB UM di semua fakulti dan akademi)dilencongkan kepada biasiswa pascasiswazah UM, namun saya yakin itu sekadar penyedap hati semata. Ini kerana sudah masuk semester baharu tiada apa-apa lagi maklum balas daripada 'pihak berkaitan' seperti dimaklumkan dalam surat rasmi tersebut.
-
Apabila saya mennyatakan perkara ini kepada Ketua Jabatan Sastera saya, beliau terkejut kerana tidak tahu dan memikirkan saya sudah mendapat surat rasmi daripada KPT (SLAB adalah biasiswa dan program pembentukan pensyarah muda di Uni yang ditaja oleh Kementerian Pendidikan Tinggib. Stp IPTA telah diberikan SLOT SLAB tersebut)
-
Beliau dalam nada agak kehairanan itu juga menyatakan Jabatan Sastera amat perlukan tutor. Dan menyuruh saya memfotostat surat tersebut untuk diberikan sesalinan kepadanya. Saya telah tunaikan. Dan saya menunggu janji beliau untuk membincangkan hal ini dengan Pengarah(dekan, tetapi dekan untuk fakulti manakala Pengarah untuk akademi).
-
Nurol bersungguh mengajak saya ke USM, kerana dekannya juga bersungguh menyuruh Nurol mencadangkan nama-nama pelajar yang berpotensi untuk diberikan biasiswa SLAB slot USM dan menjawat tenaga pengajar di sana. Saya bukanlah manusia yang berkepentingan peribadi. Saya juga tidak fikirkan Sastera sebagai landas untuk saya cari makan melainkan Sastera adalah bidang permainan saya sejak sekolah lagi. Saya kenal buku Taman Kesusasteran Pelajar oleh Hashim Awang sejak sekolah rendah dan membacanya dengan penuh minat tentang proses kreativiti dan penciptaan karya sastera.
-
Hanya memikirkan andai saya berada dalam iklim sastera maka diharapkan saya dapat terus mengembangkan minat dan bakti sumbangan saya terhadap pembinaan bangsa dan jatidirinya. Kepada Nurol, saya menimbang tawaran tersebut, saya telah merumuskan saya perlu menunggu hingga hujung bulan ini sebagai respon saya hari ini kepada Ketua Jabatan bahawa saya sedia berkhidmat andai APM perlukan tutor (memang perlukan pun). Namun esoknya Nurol akan terus memujuk saya, dan saya memang kena bersabar lagi.
-
Mungkinkah ini pengorbanan sebuah cinta?
Pst:Buku itu adalah pembacaan sukarela saya untuk menambahkan ilmu tentang sejarah dan budaya serta ilmu sastera. Bayangkan kecintaan saya terhadap buku. Dan di Yan sekalipun, hampir semua buku di rak perpustakaan daerah yan telah saya pinjam hingga rak buku rujukan. Saya fikir, untuk menjadi tenaga akademik pembacaannya harus lebih meluas dan melebar lagi!

03 Julai 2009

Ketika Berjalan-jalan di Pasar Malam Bricfields

Saya membawa Mak Uda dan dua orang kwnnya. Beli buah-buahan. Manggis. Durian. Rambutan.Dan senja berbuka puasa dengan mereka, walau saya gagal puasa hari ini. Emm. Damainya hati apabila saya dapat berbual dengan insan-insan 'buta mata' ini. Mereka 'celik mata hati'. Manusia ramai yang 'buta mata hati'. Kekadang saya juga 'rabun mata hati'. Sewaktu mahu pulang, saya berselisih dengan seorang rakan Mak Uda yang juga 'buta mata', tetapi 'celik mata hati'...mereka menegur saya...saya menyapa mesra...dan setelah tiba di rumah Mak Uda sms :
-
Mereka tanya hang, ada makwe ke tak ada lagi. Mereka nak kawan dgn hang. Depa kata hang baik, budi bahasa dan suara romantik.
-
Saya senyum sendirian sewaktu baring-baring dia atas sofa sampai terlelap. Novel Ziarah menutupi wajah saya.

01 Julai 2009

DIWAN SHAMSI TABRIZ 3

Aku mabuk, aku sedih;aku hilang diri, jangan laknati aku, jangan kutuk;
Aku bangkit dan jatuh. Lihat, tapi jangan ceritakan ini pada siapapun.
Oh Pengenal Tuhan yang hilang diri!Jangan cari kesalahan pada Pencipta.
Aku pergi setengah gila dari rumah ke rumah, kampung ke kampung, kota ke kota,
Ambil cawan ini, ambil!Cabutlah pengakuan atasku sebagai Pembawa Cawan Cinta
Mari, dengar bual kosongku:Setiap saat aku katakan bahawa aku ini air bukan kendi.
Aku bukan laut, juga bukan kehampaan laut.
Aku daun pohonan di tiap hembusan angin.
Aku basah kerana air sungai.
Jangan ketawa seperti anak-anak, kerana kau tak tahu akan diriku.
Bacalah satu bab dari bukuku, bentangkan rahsia tenaga ciptaan darinya.
Aku mabuk anggur yang dilarang oleh polisi itu.
Aku mabuk anggur Tauhid, aku bebas dari warna dan bau.
Aku tak sabar ada di sini, aku di tempat lain dalam jiwa.
Aku tak kenal cuka lewat gula, aku tak tahu tong lewat kendi.
Jalaluddin Rumi

29 Jun 2009

SUCIKAN HATIKU

Sucikan hatiku, bebaskan jiwaku dari kekeliruan
Jadikan air mata dan insaf sebagai nasibku sehari-hari
Bimbing aku ke jalanmu., supaya nafsuku terkendali
Fana akan membuatku sentiasa dekat kepadaMu

Perselisihan antara aku dan dunia ini
Membuatku enggan pada dunia
Dari tujuan lain kupalingkan hatiku
Agar terhapus diriku oleh cinta padaMu

Oh Tuhan, dapatkah Kau bebaskan daku
Dari genggam kesesatan agar kumusyahadahkan kebesaranMu
Orang yang ingkar telah Kau jadikan muslim sejati
Mengapa Kau tidak jadikan aku muslim yang berhikmah?

Nafsuku di dunia ini telah menjerumuskan aku
Berilah aku mahkota kefakiran dan kemuliaan
Supaya aku menjadi zarah dalam rahsiaMu
Palingkan wajahku dari jalan yang tidak menujuMu


Jami'

28 Jun 2009

Sisi Lain Tentang Sastera

Justeru, pada pandangan saya tiada sesiapa pun yang layak menggelarkan pengarang itu sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden tanah air. Hal ini kerana setiap pengarang membawa perubahan yang tersendiri dalam karya mereka seiring dengan perkembangan ilmu di tengah masyarakat. Jikalau tetap untuk memberikan gelaran tersebut, saya fikir gelaran tersebut bukan bersifat mutlak tetapi suatu persamaan yang membangunkan dunia sastera tanah air. Ada unsur saling meminjam di antara kedua-dua tokoh ini dalam memajukan atau mengislahkan dunia sastera tanah air.
Terima kasih editor yang sudi menyiarkan tulisan berbentuk erncana sastera di Mingguan Malaysia hari ini. Untuk membaca rencana tersebut dila dapatkan akhbar Mingguan Malaysia atau klik link di bawah ini:
Namun edisi MM online hari ini tidak menyiarkan cerpen atau puisi. Sila dapatkan akhbar MM untuk menikmati cerpen dan puisi yang sudah pasti mengisi rohani dan pemikiran tuan/puan. Terima kasih.

27 Jun 2009

Falsafah Baik dan Jahat

Apabila kita baik dari suatu sudut maka kebaikan itu adalah kebaikan yang akan diganjari. Apabila kita jahat dari sudut yang lain kejahatan itu adalah kejahatan yang akan dibalasi. Tidak semua orang baik semuanya dan tidak semua orang jahat semuanya. Namun apabila baik melebihi jahat maka diharapkan dengan belas ehsan Allah akan dihapuskan jahat kita itu sebelum kita mati. Dan kalau jahat melebihi baik maka diharapkan jahat itu kita kurangkan dan tambahlah kebaikan agar terbuka jalan untuk terus jadi baik hampir semuanya. Begitulah iman manusia kadang tambah kadang berkurang. Saat berkurang diharapkan kita kepada Allah diberikan kekuatan untuk menambah kebaikan dan mengurangkan kejahatan. Ketika baik bertambah diharapkan ia bertambah lagi dan menjaga diri agar tidak membiarkan diri membuat jahat walau sedikit. Ini kerana jahat kalau dibiasa-biasakan, kita senang melakukan, kita angga[ tal apa sedikit sahaja, tak apa nanti aku bertaubat, tak apa sekadar isi masa lapang, tak apa untuk bermain-main sikit sahaja, tak apa untuk ringan-ringan nakal semata-maka kita telah membiarkan jahat yang setitik jadi beribu titik nodanya pada hati kita.
Saya teringat suatu ketika ketika dihantar ke sebuah masjid, dia berkata doakanlah saya, saya tersenyum sahaja. Saya tidak mahu mengakui dan memberitahu apa doa saya pada dia. Kerana hadis nabi menyebutkan antara doa mustajab itu adalah doa saudara seagama kepada saudaranya yang lain yang tidak diketahui oleh saudaranya yang didoakannya itu, isi kandungan doa tersebut. Kalau kamu merasai sesuatu yang menginsafkan, melembutkan, menyedarkan-tangkaplah ia..meskipun cahaya itu dari perut kunang-kunang kerana manatahu ia mahu membawamu ke cahaya yang tiada batas terangnya kepada kamu. Jangan biarkan baik yang sedikit menerpa hati kamu itu, kamu biarkan ia. Tangkap dan bawalah ia menghadap Tuhan tiap lepas solat agar diampuni dosa agar kian jelas dan bersih hatimu untuk menerima Nur Allah yang tiada batas terangnya itu kepada kamu. Dan saat ini awasilah musuh-musuhmu itu akan sentiasa menghasutmu dan membuka jalan kepadamu untuk memadamkan cahaya yang sedikit itu. Bunuhlah mereka dgn ZIKRULLAH. Insya Allah.

13 Jun 2009

8 Jam sebelum Pulang Ke KL dan Babak ke Babak Selepas Berada di KL

Saya didesak oleh semangat kata yang berasal dari gua diri yang sarat dengan kata-kata. Saya tertidur jam 12.30 mlm dan terjaga 1. pagi. Lantas sebahagian kata-kata itu saya bentukkan menjadi bait-bait puisi yang terindah. Saya beri namanya Sajak-sajak Laut. Saya mungkin akan mengirimkannya ke media dan sebahagian lagi disimpan di sini.
Sejak saya tiba di KL tiba-tiba saya begitu takut. Entah kepada siapa. Yang pastinya saya takut saya gagal mencapai impian. Di Hentian Duta saya dan ibu saudara saya seorang tunantera diambil oleh sepupu saya. Sepupu saya mengambil saya dan dua orang ibu saudara saya (seorang tunanetra seorang normal yang merupakan ibu kepada sepupu saya itu)dengan kereta Grand Lavina yang masih baharu dibelinya. Nama sepupu saya itu Hafiz.
Anaknya yang comel bernama Hani memanggil saya Pak Ngah. Saya takjub dengan mata jeli Hani. Ia bak bintang bersinar di langit timur. Saya mencari dimanakah saya dalam mata jeli Hani. Oh, wajah saya pada jernih matanya membuatkan saya kembali ke usia kanak-kanak semula.
Usia kanak-kanak saya sederhana sahaja tetapi indah. Mungkin lain entri saya akan menceritakannya.
Kami berpisah du Bricfields. Sesudah solat jamak dan qasar saya menyusur sayap petang. Oh saya baru teringat. Hafiz mengambil no telefon saya. Saya tidak ambil nombot telefonnya. Apakah saya bersalah dan menyombongkan diri?
Saya menelusuri KL yang mula diselaputi jerebu.
Saya menimbangtara antara
Harapan dan kekecewaan
Keinginan dan kepatahan
Perjuangan dan pengunduran
Kejayaan dan kegagalan
Saya tidak dapat bayangkan sesaat selepas ini di manakah saya akan berada. Yang pasti ia adalah suatu pilihan yang ditakdirkan. Senja saya terlentang di ruang tamu rumah. Saya menghidupkan komputer dan internet. Yang pertama saya periksa adalah email saya. Dan blog kawan-kawan.
Dan entri daripada blog bayan agak menarik rasa saya walaupun rasa itu samar-samar jauhnya.
Begitu saya tegaskan kepada sesiapa jua, saya bukannya penyair atau sasterawan. Saya cuma pemikir yang barangkali mungkin kelelahan di tengah perjalanan.
Kehausan. Kelaparan. Siapakah yang dapat menghilangkan kehausan dan kelaparan itu?
Saya tiada jawapan. Saya harus mandi dan mendirikan solat mahgrib. Menyusun jadual dan mengemaskan bilik. Ada sesuatu yang busuk dalam bilik. Mungkin cicak mampus di celah pintu. Mungkin lipas. Mungkin telur pecah. Mungkin. Mungkin dan mungkin.
Ada kawan-kawan kita gembira melalui hari ini dan esok. Entah apalah yang dilaluinya yang amat dia nanti-nantikan itu. Saya pohon dia terus gembira dan gembira.
Hari ini bukanlah terlalu menggembirakan sangat buat saya. Tetapi saya bersyukur dapat pulang ke KL tanpa selsema babi dan menulis entri ini.
Tiba-tiba saya teringat seruling misteri yang bergema malam santak dinihari di kampung saya. Ia merupakan lagenda si pencari cinta yang masih hangat dibual-bualkan orang.
Suatu ketika saya akan naratifkan jua di sini. Ia amat menarik. Dan ia agak mengembirakan hari-hari saya di kampung.

28 Mac 2009

10,000 Ancam Keluar UMNO

Pada tahun 1958, ekoran daripada kelambatan kerajaan menubuhkan kelas-kelas menengah Melayu, Kesatuan Guru-guru Melayu Semenanjung yang mempunyai ahli seramai 10,000 telah mengancam keluar daripada UMNO beramai-ramai.
Beberapa hari kemudian pelajar-pelajar Melayu telah mengadakan satu tunjuk perasaan sebagai menyokong tuntutan kesatuan guru itu. Kesan daripada desakan orang-orang Melayu yang mahu melihat anak-anak Melayu belajar di sekolah menengah yang menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu, Perdana Menteri ketika itu iaitu Tengku Abdul Rahman membuat kenyataan:
"Sesungguhnya orang-orang Melayu telah menunggu selama 100 tahun untuk mendapatkan pelajaran menengah. Sekarang mereka tidak sabar lagi. Sebelum Kerajaan Perikatan berkuasa memang tidak ada rancangan untuk memulakan pelajaran menengah Melayu."
The Straits Times, 28 Februari 1958.
Berdasarkan petikan diatas terang lagi nyata bahawa demontrasi sudah bermula sejak lebih 5 dekad yang lalu. Terutama dalam memperjuangkan hak-hak bangsa dan bahasa Melayu. Jadi mengapa sekarang UMNO takut kepada demontrasi?Begitulah UMNO. Apabila di desak barulah hendak berubah.
Berikutan daripada itu pada 1 Mac 1958, Kementerian Pelajaran telah mengumumkan bahawa pelajaran menengah Melayu yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar akan dimulakan pada 5 Mei 1958.
Dalam Penyata Talib 1960 telah mencadangkan:
1.Bahasa Melayu diajarkan mulai darjah 1 lagi di semua sekolah rendah yang bahasa pengantarnya bukan Melayu.
2.Meminta supaya Menteri Pelajaran menetapkan suatu tarikh tertentu untuk mewajibkan kelulusan Bahasa Kebangsaan untuk bakal-bakal guru yang mengikuti kursus-kursus perguruan.
3.Usaha haruslah dipertingkatkan bagi memperkukuhkan kedudukan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar bagi semua matapelajaran.

15 Februari 2009

Perkara 152 dan Akta Pendidikan Kebangsaan menyebutkan bahasa Melayu adalah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan Malaysia!

Bermula pada abad ke-19. Hasil karangan Munsyi Abdullah dianggap sebagai permulaan zaman bahasa Melayu moden.

Sebelum penjajahan Beritish, bahasa Melayu mencapai kedudukan yang tinggi, berfungsi sebagai bahasa perantaraan, pentadbiran, kesusasteraan, dan bahasa pengantar di pusat pendidikan Islam.

Selepas Perang Dunia Kedua, British merubah dasar menjadikan bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam sistem pendidikan.

Semasa Malaysia mencapai kemerdekaan, Perlembagaan Persekutuan Perkara 152 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 menyatakan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.
*HARI INI TEPAT 15.2 MERUPAKAN HARI KERAMAT PEMARTABATAN BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN YANG MENGISI FUNGSI SEBAGAI BAHASA RASMI, BAHASA ILMU/PENDIDIKAN, BAHASA PERPADUAN DAN BAHASA KOMUNIKASI UTAMA DAN TERUTAMA DI TANAH MELAYU INI. JUSTERU BARANGSIAPA YANG CUBA MEMIJAK BAHASA KEBANGSAAN SEPERTI MENOLAK BAHASA KEBANGSAAN DALAM SAINS DAN MATEMATIK ADALAH PENGKHIANAT, PENDERHAKA DAN PENJAHAT PALING TERUTAMA MESTI DITENTANG HABIS-HABISAN!

28 Januari 2009

Tanah dan Bahasa Siri 1

1.Ada Melayu mempertahankan tanah sahaja.
2.Ada Melayu mempertahankan bahasa sahaja.
3.Ada Melayu mempertahankan tanah dan bahasa.

Anda di golongan mana?

Renung-renungkan!...

bersambung...

29 Disember 2008

Nilai Sebenar Bahasa Melayu

Oleh Profesor Dr Muhammad Haji Salleh
(Sasterawan Negara)
Sudah beberapa kali saya, sebagai Sasterawan Negara, dan juga sebagai penulis puisi dan kritikan dalam bahasa Inggeris, diminta untuk menyatakan pandangan tentang penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains. Izinkan kami menyampaikan beberapa pandangan yang telah saya hablurkan selama berpuluh tahun membawa ke dua-dua bahasa ini ke dalam jiwa dan kehidupan saya.

Bahasa Melayu bukan sahaja suatu alat komunikasi dan medium untuk mendapatkan ilmu, tetapi terkandung di dalamnya cara berfikir, konsep alam, nilai masyarakat serta ilmu tradisional, agama dan budaya Melayu / Malaysia dan juga jati diri, khususnya yang terjalin dalam semua jenis sastera - lisan dan tulisan. Dengan memberi tempat yang lebih dominan kepada bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terdinamik maka kita merampas kemungkinan bahasa kebangsaan kita untuk menjadi bahasa besar dan serba-boleh.
Sementara itu kita diingatkan kepada suatu kajian oleh Open University di London yang meramal bahawa dalam 30 tahun bahasa Melayu akan menjadi bahasa keempat terbesar di dunia. Oleh itu menjadi tanggungjawab kitalah dewasa ini untuk memupuk bahasa yang tua lagi indah ini supaya bila sampai pada waktunya bahasa ini sudah benar-benar menjadi bahasa dunia.

Di sebaliknya kajian ini juga mendapat bahawa bahasa Inggeris tidak akan lagi menjadi bahasa pertama di dunia, malah hanya mendapat tempat bahasa ketiga, iaitu selepas Mandarin dan Sepanyol.

Berikut ialah di antara hujah mengapa bahasa Melayu harus kembali dijadikan bahasa matematik dan sains di sekolah dan universiti;

1.Tujuan pencapaian penguasaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah di Malaysia boleh dibaiki dengan kaedah mengajar yang lebih baik dan sikap terhadap bahasa yang lebih sihat. Sekiranya kita merujuk kepada pengalaman negara Belanda maka kita akan temui contoh bagaimana bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman hanya diperkenalkan pada peringkat sekolah menengah.
Tetapi oleh kerana cara pengajaran yang baik dan berkesan, maka selepas sekolah menengah pelajar-pelajar ini sudah boleh bercakap dan menulis dalam bahasa-bahasa ini dengan baik - lebih baik daripada pelajar Malaysia bercakap bahasa Inggeris (walau pun setelah 11 atau 13 tahun). Kita juga mungkin perlu merujuk kepada model pengajaran bahasa dari Denmark, Sweden dan Norway yang bangga dengan bahasa ibunda mereka sendiri tetapi dapat menggunakan bahasa antarabangsa lainnya dengan baik. Jadi contoh kita seharusnya bukan Singapura, tetapi Scandinavia, Belanda dan Belgium mahupun Switzerland.

2. Seperti sering diulang penghujah Pemenang Anugerah Nobel dalam semua bidang, termasuk sastera, bukan saja datang dari negara-negara berbahasa Inggeris, tetapi lebih banyak daripadanya daripada negara bukan berbahasa Inggeris - seperti Perancis, Jerman, Jepun, Sepanyol, Switzerland dan India / Bangladesh. Yang mencemerlangkan mereka bukanlah bahasa Inggeris tetapi ilmu yang baru, wawasan kemanusiaan dan eksperimen yang penuh tekun dan berterusan pula. Suasana ilmu adalah faktor penting yang menggerakkan mereka kepada kejayaan peringkat tinggi.

3. Beberapa masalah negara kita bukan berpuncakkan penguasaan bahasa Inggeris yang kurang cekap, tetapi kepada budaya kerja yang tidak rapi dan disiplin yang tidak ketat. Terdapat banyak negeri yang pernah dijajah Inggeris yang menggunakan bahasa itu sebagai bahasa di sekolah tetapi nampaknya agak kucar-kacir pentadbiran serta ekonomi dan ilmunya. Di sebaliknya di Malaysia Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah membawa kita jauh ke dalam dunia industri, sains dan teknologi serta ilmu.

4. Sekiranya kita tidak kembalikan bahasa Melayu kepada semua bidang ilmu maka kita, terutama kerajaan BN, akan dituduh sejarah sebagai pemusnah bahasa Melayu, sebuah bahasa yang lama dulu menjadi lingua franca daerah Asia tenggara dan untuk beberapa dekad lepas kemerdekaan bangkit dan kuat semula, hinggalah diturunkan darjatnya kerana arahan supaya menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih penting, kerana bidang-bidang terpilih diajar dalam bahasa ini.

5. Dengan keputusan ini dan penggunaan bahasa Inggeris untuk bidang-bidang terpilih dewasa ini maka dengan sendirinya kita telah menciptakan dua jenis warganegara Malaysia - yang pertama; menguasai bahasa Inggeris dan bidang sains dan teknologi, dan seterusnya yang kedua, warganegara yang berbahasa Melayu dan menguasai bidang-bidang sastera dan sains sosial - iaitu bidang-bidang yang dianggap tidak penting dan lebih rendah darjatnya.

6. Saya menyokong dasar yang membuka mata dan ilmu pelajar kepada dunia yang luas, relevan dan kemas kini. Saya tidak membantah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, malah ingin mencadangkan bahawa lebih banyak bahasa antarabangsa diajar. Namun untuk perkembangan budaya dan jati diri bangsa Malaysia kita perlu mempunyai sebuah bahasa persatuan yang dipelajari, didalami dan dibanggai oleh seluruh rakyat Malaysia. Sementara itu kerajaan juga harus mengajar bahasa ibunda pelajar-pelajar ini di peringkat sekolah rendah supaya bahasa itu tidak pupus.

Dalam bandingan dengan warganegara Thailand atau Indonesia, rakyat Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaannya, tidak bangga dengan budayanya dan tidak jelas jati dirinya. Sebabnya, antara lainnya, ialah bahawa sastera dan budaya tidak menjadi mata pelajaran penting.

Bersama pengajaran bahasa Melayu yang teratur dan rapi pelajar harus diperkenalkan kepada karya-karya penting sastera Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah secara wajib. Inilah yang dilakukan di semua negara Anglo-saxon, Perancis, Jerman, China, Jepun dan Korea. Hanya di Malaysia anak-anak (dan sekarang ini orang dewasa) tidak pernah mengenali atau membaca karya agung leluhur mereka seperti Sulalatus al-Salatin, Hikayat Hang Tuah atau Tuhfat al-Nafis, yang banyak melukis bangsa Melayu / Malaysia, nilai-nilainya dan juga jati dirinya.

7. Sekarang ini bahasa Melayu sedang melemah di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di peringkat negara, media masa dan kehidupan secara amnya. Sekiranya bahasa ini tidak diberikan ruang untuk hidup dalam dunia dan disiplin baru dan mencabar , dengan sendirinya bahasa Inggeris akan masuk menjajah kembali, dan kita kan menjadi tidak lebih dari pengguna dan peminjam bahasa dan konsep-konsep yang tersimpan dalam bahasa itu. Sementara itu konsep-konsep tempatan, keindahannya, muziknya akan hilang dari bangsa Melayu yang diamanahkan untuk mewarisinya.

Banyak lagi hujah yang dapat saya tuliskan. Tetapi hujah-hujah yang telah diturunkan ini, saya rasa mencukupi untuk kesempatan ini. Saya amat berharap bahawa bahasa kebangsaan kita akan kembali diberikan martabat ilmu, makna jati diri dan budayanya, seperti selayaknya sebuah bahasa besar dan tua.

Sesuatu bangsa yang tidak menghormati bahasanya biasanya tidak dihormati oleh bangsa lain yang menghormati bahasanya sendiri.